Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الطهارة

Permasalahan Darah Yang Keluar Selepas Bersalin

Soalan: Seorang perempuan yang beranak telah bernifas selama 40 hari. Selepas 55 hari dari masa beranak (15 hari selepas berhentinya darah yang pertama), darah telah keluar semula. Apakah hukum darah ini?

Jawapan: Adapun perempuan yang bernifas itu sekiranya darah nifasnya berhenti dalam tempoh nifas iaitu enam puluh hari (tempoh nifas yang paling lama), kemudian didatangi lagi darah selepas itu, maka dalam hal ini ada dua keadaan yang perlu diperhatikan iaitu:

1. Setelah habis tempoh dia bernifas iaitu selama enam puluh hari

Darah yang keluar setelah berakhir tempoh nifas sekalipun darah nifasnya itu berhenti kadar satu lahzhah ianya adalah dikira darah haidh. Sebaliknya jika nifas itu tidak berhenti, bahkan berterusan sehingga melewati tempohnya selama enam puluh hari, maka darah yang keluar pada hari yang dilewatinya itu adalah darah istihâdhah (darah penyakit).

2. Darah berhenti ketika di dalam tempoh nifas

Sekiranya darah itu berhenti selama lima belas hari iaitu tempoh naqa‘nya (terputus darah) kemudian keluar lagi darah selepas itu, sebagaimana yang dihadapi oleh perempuan berkenaan, maka darah itu adalah darah haidh. Perempuan itu dalam tempoh naqa‘nya adalah suci di mana wajib ke atasnya mengqadha sembahyang atau puasa yang ditinggalkannya di dalam tempoh naqa‘nya.

Sementara itu jika tempoh naqa‘ (terputus darah) itu kurang daripada lima belas hari maka darah itu adalah masih darah nifas. (Sila rujuk Fath al-‘Allâm: 1/399)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8639