Promosi Jualan Dengan Memberi Hadiah
Soalan: Syarikat kami telah menukar tatacara promosi yang baru bagi model terbaru telefon bimbit yang akan dipasarkan. Untuk pengetahuan pihak tuan, tujuan kami mengadakan promosi tersebut adalah untuk mempromosikan pelancaran telefon bimbit model terbaru bagi model Siemens C45. Untuk pelancaran model terbaru ini pihak pengeluar telefon bimbit Siemens telah memperuntukkan 10 set telefon bimbit Siemens C45 untuk dimenangi oleh para pelanggan.
Dengan kerjasama pihak pengeluar, syarikat kami akan memberi setiap pembelian dari kedai-kedai kami potongan istimewa serta pihak pelanggan juga akan mendapat peluang untuk memenangi telefon bimbit Siemens C45 yang ditaja oleh pihak pengeluar.
Untuk pengetahuan pihak tuan, semasa promosi ini dijalankan, setiap pelanggan yang datang membeli di kedai-kedai atau kaunter promosi, sama ada membeli eksesori telefon atau set telefon bimbit baru, berpeluang menyertai tawaran istimewa ini dengan tidak ditetapkan jumlah harga pembelian mereka. Dengan itu, setiap pelanggan bolehlah terus mengisi borang penyertaan di semua cawangan kedai pihak syarikat kami.
Oleh itu, syarikat kami memohon apa jua pandangan daripada pihak tuan mengenai perkara ini.
Jawapan: Hadiah-hadiah yang diberikan sama ada dalam bentuk barangan atau lainnya oleh syarikat penganjur kepada pelanggan-pelanggannya kerana membeli eksesori telefon atau set telefon bimbit baru tidaklah ia termasuk dalam perjudian memandangkan tiada terdapat unsur penganiayaan di dalamnya, kerana antara unsur-unsur suatu perjudian itu ialah salah satu pihak beroleh keuntungan sementara di pihak yang satu lagi terdedah kepada risiko kerugian. Semua ini nampaknya tidak berlaku dalam promosi yang dicadangkan oleh syarikat penganjurnya.
Apa yang jelas hadiah-hadiah yang diberikan oleh syarikat penganjur itu adalah dengan kesukaannya sendiri, manakala pembeli atau pelanggan pula terlepas daripada sebarang bentuk penganiayaan, seperti dikenakan harga yang tinggi untuk menampung kos hadiah.
Jika demikianlah halnya, maka harus penganjur berkenaan menjalankan promosi jualannya dan memberikan hadiah atas dasar kesukaannya sendiri tanpa merugikan pembeli atau pelanggannya itu.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8651
