Remembrance Day (Hari Memperingati Askar Bukan Islam Yang Terkorban)
Soalan: Dengan penuh hormat dan takzim sukacita dimaklumkan kepada Pehin bahawa Angkatan Tentera Laut Diraja Brunei telah menerima undangan daripada Lembaga Pembangunan Labuan bersama dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkenaan perkara di atas.
Sehubungan dengan itu sebelum pihak abis kaola memberikan jawapan kepada Lembaga Pembangunan Labuan bersama dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), sukacita terlebih dahulu dipohonkan nasihat pandangan agama Islam/fatwa mengenai penglibatan Angkatan Tentera Laut Diraja Brunei menghadiri upacara itu nanti.
Untuk makluman Pehin, ‘REMEMBRANCE DAY’ ialah hari yang bersejarah, yang mana telah disambut pada setiap tahun untuk memperingati mereka yang telah terkorban dalam peperangan dunia kedua. Pada setiap tahun negara-negara Komanwel yang terlibat dalam peperangan dunia kedua menentang negara Jepun di kepulauan Borneo akan menghantar perwakilan mereka ke Labuan bagi memperingati hari tersebut. Upacara itu akan dijalankan di Perkuburan Peperangan Labuan (Labuan War Cemetery) di mana acara yang akan dijalankan ialah perbarisan Angkatan Tentera Laut negara-negara Komanwel dan upacara penyimpanan kalungan bunga. Dimaklumkan juga bahawa Markas Angkatan Tentera Laut Diraja Brunei telah difahamkan oleh pihak penganjur tidak ada kegiatan keagamaan semasa upacara tersebut.
Oleh yang demikian jawapan yang seawal mungkin adalah sangat-sangat diharapkan bagi tindakan menjawab undangan tersebut di atas.
Jawapan: Remembrance Day atau upacara hari memperingati askar yang terkorban dalam peperangan tidak ada dalam Islam. Dalam lampiran A yang menyatakan aturcara majlis berkenaan dijumpai beberapa perkara yang meragukan dan bahkan bercanggah dengan syara‘ iaitu:
1. Acara keagamaan (Islam/Christian/Sikh).
2. 2 minit senyap (2 min silence).
3. Muzik lagu-lagu sedih memperingati mereka yang terkorban.
4. Tiupan trompet (traditional untuk memberi semangat kepada askar-askar).
5. Upacara ‘Blessing’ oleh semua agama.
Acara keagamaan
Dalam Islam sendiri tidak ada upacara atau majlis yang dinamakan Remembrance Day atau hari memperingati askar-askar yang terkorban dalam sesuatu peperangan, sekalipun askar-askar itu beragama Islam.
Tuntutan kepada orang Islam yang masih hidup untuk kepentingan orang Islam yang sudah meninggal ialah memandikan, mengkafani, menyembahyang dan mengkebumikannya. Kemudian di dalam sembahyang jenazah ialah mendoakan mayat supaya diampunkan, dirahmati dan lain-lain. Di antara sabda-sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai tuntutan memohonkan keampunan itu ialah:
Maksudnya: “Minta ampunlah kamu untuk saudara kamu.” (Hadis riwayat Muslim)
Dalam al-Qur’an Allah menyebutkan:
Tafsirnya: “Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas Kasihan dan RahmatMu.”
(Surah al-Hasyr: 10)
Sementara itu Islam melarang (haram) berdoa memohonkan pengampunan, rahmat, keselamatan atau lain-lain seumpamanya bagi roh-roh orang bukan Islam seperti ia disebut sebagai ‘Blessing’ yang merupakan salah satu daripada aturcara di Remembrance Day itu. Blessing itu menurut kamus bererti memohon rahmat, restu, berkat. Mengenai larangan berdoa atau memohon keampunan bagi orang bukan Islam, firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “(Orang-orang munâfiq itu) sama sahaja engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun bagi mereka. Jika engkau (wahai Muhammad) meminta ampun bagi mereka tujuh puluh kali (sekalipun) maka Allah tidak sekali-kali mengampunkan mereka; yang demikian itu, kerana mereka telah kufur kepada Allah dan RasulNya; dan Allah tidak akan memberi hidayah kepada kaum yang fâsiq.” (Surah at-Taubah: 80)
Firman Allah:
Tafsirnya: “(Tidak ada faedahnya) kepada mereka, sama ada engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun, Allah tidak sekali-kali akan mengampunkan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah kepada kaum yang fâsiq.” (Surah al-Munâfiqûn: 6)
Firman Allah lagi:
Tafsirnya: “Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.” (Surah at-Taubah: 113)
Itu belum lagi mengambil kira apakah sebenarnya yang menyebabkan mereka terkorban itu. Jika perjuangan mereka yang dahulu itu untuk menakluki Islam, atau mempertahankan penguasaan mereka terhadap orang Islam dalam makna mengekalkan penjajahan mereka, kerana di antara lain matlamat penjajahan itu ialah termasuk untuk mengembangkan agama mereka (Kristian). Oleh yang demikian, adalah tidak munasabah kita menyertai Remembrance Day itu. Lebih-lebih lagi jika dihubungkan dengan perkara-perkara keagamaan mereka, maka jelaslah perkara itu bertentangan dengan syara‘.
Senyap 2 minit (2 min silence).
Senyap dua minit itu, jika ia merupakan ajaran dalam agama Kristian, maka sudah tentulah ia bertentangan dengan syara‘, kerana mengikuti orang-orang Kristian bererti menyerupai mereka. Perkara larangan ini dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah salah seorang daripada mereka.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Muzik Lagu-Lagu Sedih Dan Tiupan Trompet
Hukum membunyikan alat-alat bunyian (املعازف) itu jelas haramnya berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Akan berlaku pada umat saya oleh beberapa kumpulan dan jemaah menghalalkan zina, sutera (dipakai oleh kaum lelaki), arak dan ma‘âzif (alat-alat bunyi-bunyian).” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Abu Daud)
Al-Imam ar-Ramli asy-Syafi‘e dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj ilâ Syarh al- Minhâj: 8/296 menjelaskan tentang haramnya menggunakan alat seperti trompet yang masuk dalam kumpulan املزامري dan alat-alat lain, katanya:
Ertinya: “Adalah haram mempergunakan alat muzik yang tergolong sebagai lambang (syiar) peminum arak seperti thunbûr, ‘ûd, rabâb, santhîr, junk, kamanjah, shanj iaitu berupa kepingan kekuningan yang dijadikan awtâr (kecapi) yang dipukul dengannya atau dua kepingan yang diadukan (dipukul) antara satu dengan yang lain, kedua-duanya adalah haram. Begitu jugalah mizmâr Iraqi (seruling Iraq) dan semua jenis awtâr dan mazâmîr, dan haram juga mendengarnya kerana akibat keseronokan mendengarnya itu membawa kepada fasâd (kerosakan).”
Allahyarham Fadhilah al-Imam al-Akbar Abdul Halim Mahmud (bekas Syeikh al- Azhar) apabila diminta fatwa tentang hukum ‘Bekerja Meniup Mizmâr’, al-Imam itu menjawab:
Ertinya: “Seorang yang meniup mizmâr hukumnya berdosa - selama bukan dalam majlis perkahwinan - kerana adanya tegahan demikian. Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Aku diperintahkan untuk memusnahkan “thabl dan mizmâr”. Dikeluarkan oleh ad-Dailami.
Daripada Ibnu Mas‘ud bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Nyanyian itu menumbuhkan sifat nifâq (munâfiq) dalam hati sebagaimana air menumbuhkan sayur.” (Hadis riwayat al-Baihaqi, Ibnu Abu ad-Dunia dan Abu Daud
Daripada Sayyidina Ali Karramallahu Wajhahu: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang memukul duff (rebana), bermain shanj dan memukul (meniup) mizmâr.” Sesuai dengan hadis-hadis yang kami sebutkan, maka kami berpendapat bahawa bekerja meniup mizmâr itu hukumnya haram. Ibnu Hajar al-Haitami (dalam perkara mizmâr ini) telah menghitungnya sebagai dosa besar bagi yang melakukan dan mendengarnya.”
Demikian pendapat al-Imam al-Akbar Abdul Halim Mahmud dalam kitab fatwanya (2/254).
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8654
