Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الطهارة

Tayammum Atau Sertu?

Soalan: Dengan penuh hormat dihadapkan kemusykilan-kemusykilan yang telah dikemukakan oleh beberapa orang pegawai dan kakitangan Negara Brunei Darussalam di United Kingdom secara lisan. Oleh itu kaola pohonkan fatwa mengenai perkara:

“Adakah terdapat dalam bab Thaharah atau nash mengenai dengan isitilah “mentayammumkan” rumah atau kenderaan bagi memastikan kebersihannya sebab sepanjang pengetahuan kaola hal tayammum hanyalah sebagai pengganti wudhu atau mandi dan bagi meringankan seseorang yang tidak dapat menggunakan air kerana sesuatu halangan yang tertentu. Jika ada, bagaimana kaifiyyâtnya. ”

Segala fatwa dari Yang Dimuliakan Pehin mengenainya nanti, insyâ’ Allah akan menjadi panduan, rujukan dan menambahkan lagi pengetahuan keagaman di kalangan abis kaola.

Jawapan: Adapun istilah “mentayammumkan” seperti mentayammum rumah atau kenderaan sebenarnya perkataan itu hanyalah istilah orang tempatan Brunei sahaja, yang dimaksudkan kepada kerja pembersihan najis mughallazhah. Membersihkan najis mughallazhah itu “sertu” namanya, bukan tayammum.

Adapun tayammum itu maknanya pada syara‘ menepuk debu tanah ke muka dan dua tangan ganti wudhu atau mandi dengan syarat-syarat yang tertentu.

Di antara perkara-perkara yang membolehkan seseorang bertayammum ialah:

(i) Uzur memakai air, umpama takut badannya jadi binasa atau hilang manfaat anggotanya, atau takut hendak pergi mengambil air disebabkan ada binatang buas atau ada musuh, atau takut hartanya kena curi atau kena rompak jika ditinggalkannya, atau (ii) Ada air di sisinya, tetapi dia berhajat kepada air itu untuk minuman bagi dirinya atau binatang peliharaannya sekalipun keperluan air itu untuk masa akan datang.

Apabila berlaku pada seseorang yang uzur dengan sebab tiada air atau sakit umpamanya, sedang dia hendak sembahyang, maka wajiblah dia bertayammum kerana mandi hadas (jika ada) atau kerana wudhu ganti daripada air untuk mengharuskan sembahyang atau untuk menyentuh mushhaf.

Jadinya fungsi tayammum itu ialah sebagai ganti kepada wudhu bagi membolehkan seseorang melakukan ibadah seperti sembahyang, menyentuh mushhaf dan lain-lain. Seseorang boleh bertayammum kerana tidak dapat berwudhu, sama ada kerana air tidak ada atau tertegah memakai air sebagaimana penjelasan di atas.

Cara bertayammum ialah dengan menepukkan kedua belah telapak tangan kepada debu yang suci, kemudian menyapukannya ke muka, selepas itu, menepukkannya sekali lagi kepada debu yang suci, kemudian menyapukannya kepada kedua belah tangan mulai hujung jari sehingga ke siku.

Menyertu (bukan mentayammum) rumah atau kenderaan pula bererti membersih atau mencuci najis mughallazhah ) iaitu anjing, babi atau mana-mana daripada keduanya. Maka jika terkena anggota, pakaian atau kenderaan seseorang dengan darah, najis, kencingnya atau badannya yang basah, maka cara mencucinya ialah membasuh tujuh kali dengan air muthlaq iaitu setelah menghilangkan ‘ain, bau atau warnanya (najis). Salah satu daripada basuhan yang tujuh itu ialah air yang bercampur dengan tanah.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8671