Tafsiran Anak Yatim Menurut Syara‘
Soalan: Dengan hormatnya sukacita kaola memaklumkan bahawa Unit Perkhidmatan Hal Ehwal Masyarakat, Kementerian Kebudayaan Belia Dan Sukan adalah agensi yang diamanahkan untuk menyelenggarakan derma kutipan-kutipan bagi Tabung Anak- Anak Yatim Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.
Antara lain, fungsi tabung berkenaan adalah menerima sumbangan derma daripada orang ramai (termasuk sumbangan derma orang bukan Islam) dan seterusnya memberikan sumbangan derma tahunan kepada anak-anak yatim seluruh negara.
Dalam hal ini Kementerian ini telah menerima salinan Fatwa Mufti bilangan: 5/MKB/13/1981 (siri 17/90) bertarikh 13 Syaaban 1410 bersamaan dengan 10hb. Mac 1990, yang mana telah menggariskan kategori anak-anak yatim termasuk seperti berikut:
i. Budak kecil yang tidak mempunyai bapa.
ii. Budak kecil daripada anak zina (anak luar nikah) dan anak pungut.
iii. Budak kecil yang dinafikan dengan sebab li‘ân antara suami isteri atau dengan sumpah.
Walau bagaimanapun, sejauh ini anak-anak yatim yang dihulurkan sumbangan derma adalah terdiri daripada anak-anak yatim yang berumur 18 tahun ke bawah serta yang tidak mempunyai bapa sahaja. Akan tetapi anak-anak kecil dalam tafsiran anak luar nikah atau yang seumpamanya belum pernah dihulurkan sumbangan derma sebelum ini.
Oleh yang demikian, Kementerian ini berpendapat, bagi mengelakkan sebarang keraguan mengenai tafsiran kategori anak-anak yatim yang berkelayakan serta selaras dengan kehendak hukum Islam untuk menerima sumbangan derma daripada orang ramai, maka Kementerian ini ingin memohon jasa baik pihak Pehin untuk menjelaskan kedudukan kategori-kategori yang disebutkan di atas.
Di atas penjelasan lanjut pihak Pehin dalam perkara ini adalah sangat-sangat diharapkan dan terlebih dahulu kaola ucapkan ribuan terima kasih.
Jawapan: Anak yatim itu sebagaimana yang ditakrifkan oleh al-‘Allâmah Ibnu Qasim al-Ghazzi ialah anak kecil yang tidak mempunyai bapa. Maksud tidak mempunyai bapa itu ialah tidak mempunyai bapa yang diketahui menurut syara‘ sebagaimana yang dikatakan oleh al-‘Allâmah al-Fadhil wa al-Qudwah al-Kâmil asy-Syeikh Ibrahim al-Baijuri.
Berdasarkan takrif tersebut asy-Syeikh Ibrahim al-Baijuri telah mengkategorikan anak zina, anak yang dinafikan nasabnya dengan li‘ân atau half (sumpah) dan anak pungut kepada anak-anak yatim. Al-‘Allâmah itu berkata:
Ertinya: “Oleh yang demikian termasuk di dalam tafsiran anak yatim itu anak zina, anak pungut, anak yang dinafikan (nasabnya) disebabkan li‘ân atau half (sumpah untuk menafi nasab seseorang). Sekalipun mereka itu tidak dinamakan anak-anak yatim menurut ‘urf (adat kebiasaan) kerana anak zina hanya tidak mempunyai bapa yang sah menurut syara‘, anak pungut pula boleh jadi muncul bapanya, anak yang dinafikan nasabnya melalui li‘ân atau half pula boleh jadi penafinya itu mendakwakan nasabnya yang dinafikannya itu. Akan tetapi berdasarkan qiyâs mereka itu diberikan daripada bahagian (harta al-fai’) anak-anak yatim, sekiranya muncul bapa bagi anak pungut itu atau orang yang menafikan nasabnya itu mendakwa (sabit nasabnya) maka menurut pendapat yang mu‘tamad (dalam mazhab syafi‘e) dipulangkan kembali bahagian yang telah diberikan kepada kedua-dua mereka itu”. (Hasyiah al-‘Allâmah al-Fadhil wa al-Qudwah al-Kâmil asy-Syeikh Ibrahim al-Baijuri: 2/281) Berdasarkan nash di atas jelaslah bahawa anak yatim itu ialah:
i. Kanak-kanak yang tidak mempunyai bapa.
ii. Kanak-kanak daripada anak zina (anak luar nikah)
iii. Anak pungut.
iv. Kanak-kanak yang dinafikan dengan sebab li‘ân antara suami isteri atau dengan sumpah untuk menafikan nasabnya.
Adapun had umur anak yatim ialah kanak-kanak yang masih belum lagi mencapai had umur baligh sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Tidak ada keyatiman apabila telah bermimpi (yakni mencapai umur baligh)” (Hadis riwayat Abu Daud)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8667
