Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Zakat Emas Perhiasan

Soalan: Kaola ada beberapa soalan serta rasa tidak pasti mengenai zakat emas. Kaola banyak membaca buku-buku mengenai zakat emas, tetapi contoh-contoh yang dicatat dalam kebanyakan buku-buku berkenaan, lebih kepada contoh seperti dalam bentuk dirham, yakni tidak mengikut cara-cara yang diamalkan di Brunei ini. Dari itu, kaola berasa tidak faham dan inginkan penjelasan:

- Bagaimanakah cara yang betul untuk kita, kaum wanita yang mempunyai emas, mengeluarkan zakat dan bagaimana perkiraannya?

- Wajib mengeluarkan zakat emas sebanyak 2½ % daripada emas-emas yang melebihi 90 gram

- Adakah wanita yang memakai semua emas-emasnya dalam masa setahun tidak perlu di zakat?

Jawapan: Emas dan perak adalah dua jenis galian termasuk dalam harta yang wajib dizakat. Zakat emas dan perak itu pada awalnya lebih digantungkan kepada dinar dan dirham kerana dinar itu diperbuat daripada emas dan dirham pula diperbuat daripada perak sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Maka apabila engkau mempunyai dua ratus dirham dan telah sampai haul maka padanya (wajib zakat) lima dirham dan tiada atasmu sesuatupun (yang wajib dizakat) pada emas sehingga engkau mempunyai dua puluh dinar, apabila engkau mempunyai dua puluh dinar dan telah cukup haul, maka padanya (wajib zakat) setengah dinar.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Seperti mana juga harta-harta yang lain, zakat pada emas adalah mensyaratkan haul dan nishâb. Haul itu ialah sempurna tempoh kekal mata benda itu selama setahun Hijriyah. Manakala nishâb ialah kadar minima harta yang wajib dizakat.

Nishâb Zakat Emas Dan Perak

Adapun nishâb emas, mengikut ijmâ‘ para ulama ialah 20 dinar (mitsqâl) mengikut timbangan Makkah sebagaimana sabda Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di atas.

Dalam hadis yang lain Baginda bersabda:

Maksudnya: “Tiadalah dikenakan apa-apa (zakat) pada yang kurang daripada dua puluh dinar. Adapun pada dua puluh dinar itu (zakatnya) setengah dinar.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Menurut para penyelidik dalam penelitian mereka berkenaan dengan mata wang Islam bahawa satu mitsqâl atau satu dinar di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersamaan dengan 4.25 gram mengikut timbangan pada zaman sekarang. Maka, nishâb bagi zakat emas adalah 20 mitsqâl x 4.25 gram = 85 gram.

Manakala satu dirham pula bersamaan dengan 2.975 gram. Maka nishâb bagi zakat perak itu adalah 200 dirham x 2.975 = 595 gram. (Buhûts wa Fatâwa Islamiyyah fî Qadhâya Ma‘âshirah li Fadhîlah al-Imam al-Akbar asy-Syeikh Jad al-Haqq Ali Jad al-Haqq syeikh al-Azhar).

Oleh itu, ulama mengatakan bahawa barangsiapa yang memiliki emas atau perak yang mencapai jumlah nishâb 85 gram bagi emas dan 595 gram bagi perak, maka wajiblah dikeluarkan zakatnya.

Emas Dan Perak Yang Bagaimana Wajib Dizakat?

Bagi kaum wanita, mengeluarkan zakat emas adalah tertakluk kepada bagaimana cara pemilikan, penggunaan dan kadar berat emas itu.

Jika mereka memiliki emas bagi tujuan perniagaan, atau simpanan semasa (bukan untuk dipakai), atau seperti disimpan untuk dijual apabila memerlukannya, atau perhiasan bukan pada tubuh badan, maka wajib dikeluarkan zakatnya setiap kali cukup haul dan nishâb. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/155).

Tiada Zakat Bagi Barang Kemas

Menurut Syeikh Muhammad asy-Syarbini al-Khathib dalam kitabnya Mughni al- Muhtâj (1/390), adapun barangan emas yang dipakai oleh perempuan (bukan untuk simpanan) dan pada kadar yang tidak berlebihan yang boleh dianggap membazir atau boros, maka tidaklah wajib atasnya zakat.

Ini bererti jika mereka memilikinya bagi tujuan dijadikan perhiasan tubuh badan yang dibenarkan oleh syara‘ dan kadar beratnya pula bersesuaian dengan taraf atau kedudukan si pemakai mengikut adat kebiasaan setempat seperti kampung atau negeri, maka emas jenis perhiasan ini tidaklah wajib dizakat.

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Tidak ada kewajipan zakat pada perhiasan tubuh badan.” (Hadis riwayat al-Baihaqi dan ad-Daraquthni daripada Jabir)

Sebab tidak wajib dizakat itu ialah kerana emas yang telah dijadikan perhiasan tubuh badan yang diharuskan syara‘ itu dianggap tidak lagi sebagai barang yang dikembangkan, kerana zakat hanya wajib bagi harta yang dikembangkan. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/155).

Syeikh al-Malibari Rahimahullah berkata:

Ertinya: “Tidak wajib zakat pada perhiasan yang diharuskan, walaupun untuk disewakan, melainkan dengan niat menyimpan (untuk simpanan).” (Fath al-Mu‘în: 51)

Dalam kitab al-Majmû‘ disebutkan bahawa para ulama telah ijmâ‘ mengatakan bahawa harus bagi kaum wanita memakai segala jenis barang perhiasan yang diperbuat daripada emas dan perak, seperti kalung, cincin, gelang tangan dan seumpamanya. Begitu juga segala macam perhiasan yang pada kebiasaannya menjadi pakaian bagi kaum wanita. Tidak terdapat perselisihan ulama mengenai perkara tersebut. (Al-Majmû‘: 5/522-523)

Berdasarkan kepada kesepakatan ulama itu, dapatlah kita katakan bahawa setiap barang yang biasanya menjadi pakaian dan perhiasan kaum wanita maka ianya halal atau harus bagi seseorang wanita itu menjadikannya pakaian atau perhiasan dirinya. Tidak kira sama ada barang-barang tersebut diperbuat daripada emas ataupun perak, seperti gelang tangan, gelang kaki, subang (anting-anting), cincin, kalung dan lain-lain sebagainya.

Semua pakaian atau perhiasan yang tersebut itu, tidaklah dikenakan zakat padanya.

Barang Kemas Yang Berlebihan

Sungguhpun Islam mengharuskan bagi kaum wanita memakai barang-barang kemas sebagai perhiasan diri mereka, namun keizinan yang berbentuk harus itu bukanlah mutlak tanpa dibatasi dengan sempadan yang tertentu. Bahkan Islam membatasi penggunaan atau pemakaiannya dengan dua batasan, iaitu: Tidak berlebih-lebihan dan tidak bermegah-megah, seperti sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadis Baginda:

Maksudnya: “Makan dan bersedekahlah kamu serta berpakaianlah dengan tidak berlebih-lebihan dan tidak bermegah-megah.” (Hadis riwayat an-Nasa’i)

Oleh kerana itu barang-barang kemas yang diperbuat daripada emas dan perak yang diharuskan bagi kaum wanita memakainya, sekiranya barang-barang tersebut berlebihan maka ia akan menjadi sebahagian harta yang wajib dikeluarkan zakat.

Dalam hal ini Imam an-Nawawi berkata:

Ertinya: “Para ulama daripada kalangan kita berkata: “Setiap barang perhiasan yang diharuskan bagi kaum wanita, maka yang diharuskan itu hanyalah jika sekiranya tidak berlaku padanya berlebih-lebihan yang nyata. Jika sekiranya (berlaku berlebih-lebihan yang nyata) seperti gelang kaki yang berat timbangannya dua ratus dinar (atau mitsqâl) maka pendapat yang shahîh sebagaimana yang diputuskan oleh kebanyakan para ulama Iraq adalah mengharamkannya.” (Al-Majmû‘: 5/523)

Sementara itu disebutkan dalam kitab Hâsyiah ‘ala Syarh ar-Ramli li as-Sittîn Mas’alah, muka 74:

Ertinya: “Dan haram hukumnya ke atas perempuan menghiasi alat peperangan dan (begitu juga haram ke atasnya) berlebih-lebihan pada barang-barang perhiasannya seperti gelang kaki yang berat timbangannya dua ratus dinar (atau mitsqâl).”

Kemudian disebutkan lagi dalam Hâsyiah tersebut:

Ertinya: “Maka dapatlah diketahui bahawa yang disyaratkan pada barang-barang perhiasan itu ialah tidak berlebih-lebihan, sekalipun sikap berlebih-lebihan itu tidak melampaui sebagaimana mengikut pandapat yang mu‘tamad.”

Menurut Syeikh al-Malibari Rahimahullah, keharusan kaum wanita memakai emas sebagai perhiasan tubuh badan, seperti gelang, rantai leher, anting-anting, selipar dan mahkota adalah dengan ijmâ‘. Keharusan ini atas dasar tidak berlebih-lebihan. Ini bermakna selama mana emas perhiasan tubuh badan itu masih dalam peringkat tidak berlebih-lebihan, maka selama itu ia diharuskan dan tidak wajib dizakat.

Menurutnya lagi, kadar berat yang biasa (diharuskan) itu ialah 200 mitsqâl emas bagi setiap jenis perhiasan. (Fath al-Mu‘în: 51).

Sebagaimana yang diterangkan terdahulu bahawa satu mitsqâl / dinar di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah bersamaan dengan 4.25 gram mengikut timbangan pada zaman sekarang. Maka, berat 200 mitsqâl / dinar itu adalah bersamaan dengan 850 gram (200 mitsqâl x 4.25 gram = 850 gram).

Oleh itu, apabila seorang wanita memiliki barang-barang kemas yang diperbuat daripada emas sebagai pakaian dan perhiasan dirinya mencapai berat timbangan pada setiap jenis barang kemas 850 gram, maka adalah wajib ke atasnya mengeluarkan zakat pada barang yang mencapai timbangan tersebut. Sebagai contoh setiap jenis itu ialah, seorang perempuan memiliki 850 gram gelang tangan, 850 gram gelang kaki, 850 gram rantai leher.

Imam Ibnu Hajar al-Haitami pula menegaskan di dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj bahawa apabila terdapat apa yang dikatakan berlebih-lebihan itu maka hendaklah dikeluarkan zakat pada semua barang perhiasan tersebut, bukan hanya setakat pada kadar yang dikatakan berlebihan itu, umpamanya seorang wanita itu memiliki 900 gram barang-barang kemas yang diperbuat daripada emas, maka dalam hal ini hendaklah dia mengeluarkan 2.5% atau 1/40 daripada 900 gram tersebut, bukan pada kadar 50 gram yang melebihi had 850 gram sahaja.

Menurut Ibnu Hajar al-Haitami, timbangan 200 mitsqâl juga digunakan pada perhiasan daripada perak, katanya:

Ertinya: “Dan ulama yang lain pula membahaskan bahawa (apa yang dikatakan) berlebih-lebihan pada gelang kaki yang diperbuat daripada perak itu ialah apabila mencapai timbangannya dua ribu mitsqâl, akan tetapi pendapat ini adalah jauh (daripada kebenaran). Bahkan sepatutnya memadailah padanya (apabila mencapai timbangan) dua ratus mitsqâl, sama seperti (kadar timbangan pada) emas.” (At-Tuhfah: 3/280)

Maka, mana-mana barang kemas wanita yang diperbuat daripada perak yang dikhususkan untuk dijadikan pakaian atau perhiasan apabila mencapai pada kadar timbangan 200 mitsqâl iaitu bersamaan dengan 850 gram, maka termasuklah ia dalam kategori barang-barang yang dikenakan zakat. Di mana wajib dikeluarkan daripadanya apabila sampai haul satu tahun mengikut perhitungan tahun Hijriyyah pada kadar 2.5% atau 1/40.

Contoh Pengiraan Zakat

1. Barang kemas yang diperbuat daripada emas:

Seorang wanita memiliki barang-barang kemas yang diperbuat daripada emas sebagai pakaian dan perhiasan dirinya yang tiap-tiap satunya mencapai berat timbangannya 200 mitsqâl (850 gram) maka zakat yang wajib dikeluarkan ialah sebanyak:

850 gram x 2.5% = 21.25 gram.

Sebagai irsyâd, kadar 21.25 gram yang wajib dikeluarkan itu pula boleh juga dinilai dengan matawang ringgit. Katakan nilai semasa 1 gram emas (21 karat) berharga $19.00, maka zakat yang wajib dikeluarkan mengikut nilaian matawang ringgit ialah 21.25 gram x $19.00 = $403.75.

2. Barang kemas yang diperbuat daripada perak:

Seorang wanita memiliki barang-barang kemas yang diperbuat daripada perak sebagai pakaian dan perhiasan dirinya yang tiap-tiap satunya mencapai berat timbangannya 200 mitsqâl (850 gram) maka zakat yang wajib dikeluarkan ialah sebanyak:

850 gram x 2.5% = 21.25 gram.

Kadar 21.25 gram yang wajib dikeluarkan itu pula boleh juga dinilai dengan matawang ringgit. Katakan nilai semasa 1 gram perak berharga $00.50, maka zakat yang wajib dikeluarkan mengikut nilaian matawang ringgit ialah sebanyak $10.63.

Sungguhpun barang-barang kemas yang diperbuat daripada emas dan perak, yang diharuskan bagi wanita memakainya dan tidak dikenakan zakat sebagaimana mengikut pendapat yang difatwakan dalam mazhab Syafi‘e, namun bagi sesiapa yang memiliki barang-barang seperti ini walaupun tidak mencapai tahap yang dikatakan berlebih-lebihan, dan tidak pula kurang daripada nishâb dua puluh mitsqâl adalah elok juga baginya mengeluarkan zakat barang-barang tersebut. Sikap seperti ini dikatakan sebagai “berhati-hati”.

Sehubungan dengan ini Ibnu ash-Shalah iaitu salah seorang ulama dalam mazhab Syafi‘e pernah memfatwakan ketika beliau ditanya tentang seorang wanita yang memiliki barang perhiasan yang khusus untuk dipakai, apakah diwajibkan zakat ataupun tidak apabila sampai haul.

Beliau menjawab:

Ertinya: “Mengikut pendapat yang azhhar bahawasanya barang perhiasan tersebut tidak wajib dikeluarkan zakat padanya, akan tetapi untuk lebih hati-hati sayugialah juga dikeluarkan zakatnya, dan Allah lebih Mengetahui.” (Fatâwa Ibn al-Shalah: 109)

Adakah Barang-Barang Kemas Yang Rosak Dikenakan Zakat?

Bagi menjawab persoalan ini perlu melihat kepada beberapa keadaan, seperti berikut:

1) Jika barang kemas tersebut rosak tetapi masih boleh dipakai, seperti hanya terdapat kerosakan yang kecil ataupun hanya bengkok sedikit sahaja umpamanya, maka dalam hal ini tidaklah dikenakan zakat.

2) Jika barang kemas tersebut rosak ataupun patah dan tidak dapat digunakan lagi, sehingga ianya terpaksa dilebur semula untuk diperbaiki, maka dalam hal ini termasuklah ia dalam kategori barang-barang yang dikenakan zakat. Sementara haulnya pula bermula ketika barang tersebut menjadi rosak ataupun patah.

3) Jika barang kemas tersebut rosak ataupun patah dan tidak dapat digunakan lagi, akan tetapi untuk memperbaikinya tidaklah perlu dilebur semula bahkan diperbaiki dengan hanya mempateri umpamanya, maka hukum zakatnya dalam hal ini seperti berikut: i) Sekiranya tujuan ianya diperbaiki itu untuk dijadikan barang simpanan bukan untuk dipakai, maka dalam hal ini barang tersebut dikenakan zakat.

ii) Sekiranya tujuan ianya diperbaiki untuk digunakan semula menjadi pakaian perhiasan, maka mengikut pendapat yang ashah dalam mazhab Syafi‘e tidaklah dikenakan zakat padanya, walaupun kerja pembaikannya itu tertangguh sehingga setahun umpamanya, tetaplah ia tidak dikenakan zakat, kerana sudah ada niat untuk memperbaikinya.

Barang-Barang Kemas Emas Dan Perak Bagi Maksud Untuk Disimpan

Menurut ulama mazhab Syafi‘e bahawa seorang yang memiliki barang-barang kemas yang diperbuat daripada emas dan perak akan tetapi tujuan pemilikannya itu bukanlah untuk digunakan pada perkara-perkara yang diharamkan, dimakruhkan dan bukan pula yang diharuskan, bahkan tujuannya ialah untuk disimpan semata-mata, atau apa yang disebut sebagai koleksi, maka dalam hal ini barang tersebut dikenakan zakat sebagaimana pendapat jumhûr ulama.

Apabila barang tersebut mencapai nishâb 20 mitsqâl (85 gram) bagi emas dan 200 dirham (595 gram) bagi perak, maka kadar yang wajib dikeluarkan zakatnya ialah 2.5% atau 1/40.

Barang-Barang Kemas Yang Bukan Diperbuat Daripada Emas Dan Perak Barang-barang kemas yang bukan diperbuat daripada emas dan perak, seperti intan, berlian, batu permata, mutiara, tembaga, kaca dan sebagainya, menurut jumhûr ulama fiqh daripada kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah bahawa benda-benda seperti ini tidak dikenakan zakat, walaupun setengah daripadanya lebih bermutu buatannya dan lebih mahal harganya, kerana benda-benda seperti ini diciptakan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala untuk menjadi perhiasan, pakaian dan kesenangan bagi kaum wanita. Firman Allah Ta‘ala dalam surah an-Nahl, ayat 14:

Tafsirnya: “Dan Dialah yang memudahkan laut, supaya kamu dapat makan daripadanya daging yang lembut hidup-hidup, dan dapat pula mengeluarkan daripadanya benda-benda perhiasan (seperti mutiara dan lain-lain) untuk kamu memakainya; dan (selain itu) engkau melihat pula kapal-kapal belayar padanya; dan lagi supaya kamu dapat mencari rezeki daripada limpah kurniaNya; dan supaya kamu bersyukur.” (Surah an-Nahl: 14)

Oleh itu, menurut jumhûr ulama Ahli Sunnah, ayat ini hanya menunjukkan pada mengharuskan memakainya tetapi tidak menyatakan wajib dikeluarkan zakat daripadanya. (Ensiklopedi Hukum Islam J/6)

Daripada penjelasan di atas dapatlah disimpulkan bahawa, barang-barang kemas yang diperbuat daripada emas dan perak yang digunakan oleh kaum wanita sebagai pakaian dan perhiasan mereka adalah dikecualikan daripada zakat. Sungguhpun begitu pengecualian tersebut bukanlah secara mutlak kerana apabila mencapai pada suatu had yang dianggap berlebih-lebihan maka ianya dikenakan zakat.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8678