Zakat Perniagaan Dan Wang Simpanan Pertubuhan
Soalan: Sukacita kaola ingin memaklumkan Yang Dimuliakan Pehin bahawa sebuah pertubuhan yang telah ditubuhkan pada tahun 1939 sehingga bulan April 2001, mempunyai ahli seramai 2,500 orang yang terdiri daripada orang Islam dan bukan Islam. Pertubuhan ini juga mempunyai beberapa bahagian yang berfungsi sebagai jentera penggerak bagi memastikan agenda pembangunan pendidikan, projek pembangunan dan perekonomian berjalan dengan lancar dan sistematik. Sukacita kaola ingin mengambil perhatian Yang Dimuliakan Pehin bahagian-bahagian dalam pertubuhan ini terbahagi kepada 2 kategori:
(a) Bahagian yang ditadbir secara keseluruhannya oleh Badan pertubuhan ini (tidak terlibat dengan perniagaan).
(b) Bahagian yang dimiliki oleh ahli-ahli pertubuhan ini melalui saham-saham yang dilaburkan untuk tujuan perniagaan dan perekonomian.
Sehubungan dengan itu, sukacita juga dimaklumkan bahawa ahli-ahli pertubuhan ini yang terdiri daripada orang Islam dan bukan Islam melabur dalam bentuk saham di bahagian-bahagian pertubuhan yang terlibat di dalam aktiviti perniagaan dan perekonomian. Selain daripada itu, ahli-ahli pertubuhan ini juga menyimpan wang secara bulanan di salah satu bahagian yang berfungsi sebagai bank.
Oleh yang demikian, sukacita dipohonkan apalah kiranya jasa baik pihak Yang Dimuliakan Pehin dapat memberikan keterangan dan penjelasan mengenai perkara berikut untuk dijadikan panduan kepada pihak kami:
(a) Adakah bahagian-bahagian pertubuhan ini yang terlibat dalam aktiviti perniagaan dan perekonomian wajib mengeluarkan zakat?
(b) Syarat dan nishâb zakat perniagaan.
(c) Syarat dan nishâb zakat harta (wang) bagi individu (ahli-ahli pertubuhan).
(d) Kaedah pengiraan zakat perniagaan.
(e) Kaedah pengiraan zakat bagi individu.
Untuk makluman Yang Dimuliakan Pehin, garis panduan secara hitam-putih tersebut akan dimanfaatkan oleh Ahli Jawatankuasa Tertinggi pertubuhan ini untuk dihadapkan dalam Mesyuarat Agung Perwakilan pertubuhan (MAP) kali ke 51/2000- 2001.
Segala jasa baik dan perhatian Yang Dimuliakan Pehin untuk menyempurnakan hasrat seluruh warga pertubuhan ini agar permasalahan mengenai Rukun Islam yang keempat dapat dibincangkan dalam MAP nanti dan seterusnya diselesaikan dengan bijaksana, amatlah dihargai dan semoga segala amalan kita semua mendapat keberkatan dan rahmat daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Amin.
Jawapan: a. Adakah bahagian-bahagian pertubuhan yang terlibat dalam aktiviti perniagaan dan perekonomian wajib mengeluarkan zakat?
Ya, bahagian-bahagian pertubuhan berkenaan wajib mengeluarkan zakat perniagaan.
b. Syarat wajib dan nishâb zakat perniagaan.
Syarat-syaratnya:
1. Barangan perniagaan dimiliki menerusi cara tukaran. 2. Barangan itu diniatkan untuk diniagakan. 3. Barangan itu tidak dimaksudkan untuk kegunaan peribadi. 4. Cukup haul. 5. Kesemuanya tidak bertukar menjadi wang. 6. Cukup nishâb pada akhir haul.
Nishâbnya:
Cukup atau lebih senilai 85 gram emas pada akhir haul.
c. Syarat dan nishâb zakat harta (wang) bagi individu (ahli-ahli) pertubuhan.
Syarat-syaratnya:
1. Islam. 2. Milik sempurna. 3. Cukup nishâb. 4. Cukup haul.
Nishâbnya: Cukup atau lebih senilai 85 gram emas pada akhir haul. d. Kaedah pengiraan zakat harta perniagaan: Jumlah nilai keseluruhan harta perniagaan (termasuk modal dan keuntungan) dibahagikan kepada 1/40 atau 2.5% daripada jumlah nilai tersebut. e. Kaedah pengiraan zakat individu: Jumlah kesemua harta simpanan termasuk pokok dan keuntungan pada akhir haul dibahagikan kepada 1/40 atau 2.5% daripada jumlah tersebut. Bagi memperjelaskan perkara ini, di bawah ini dihuraikan selok-belok zakat perniagaan yang ada kaitan dengannya.
ZAKAT PERNIAGAAN DAN WANG SIMPANAN Pengertian Zakat Zakat mengikut pengertian lughah (bahasa) bermakna kesuburan, kesucian (thahârah), keberkatan, pujian, mensucikan dan bertambah baik. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Demi sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikannya.” (Surah asy-Syams: 9) Jika dinamakan apa yang dikeluarkan itu sebagai zakat, maka ianya merupakan sesuatu yang diharapkan sebagai penyebab bagi kesuburan harta atau pahala. Lebih jauh lagi dari itu ialah sebagai bukti kesucian jiwa bagi seorang pemilik harta yang mematuhi ajaran agamanya. Imam an-Nawawi Rahimahullah menyebutkan pendapat Abu Hasan al-Wahidi bahawa dinamakan apa yang dikeluarkan daripada harta itu sebagai zakat, ialah kerana terdapat padanya makna yang dimaksudkan dalam pengertian bahasa, iaitu untuk menyuburkan, memperbanyak dan melindungi harta yang dizakat itu. (Al- Majmû‘: 5/324-32).
Ada juga yang menerangkan bahawa zakat ialah kalimat yang dipakai untuk dua erti, iaitu subur dan suci. Ia juga boleh dipakai bagi nama sedekah yang wajib, sedekah sunat, kemaafan dan juga kebenaran. (Subul as-Salâm: 2/120). Dengan pengertian ini, maka zakat itu berfungsi menyuburkan, menyucikan, memberkati dan menyebabkan bertambah baiknya lagi apa yang dizakat, serta akan menunjukkan kesucian diri orang yang berzakat daripada sifat kedekut dan dengan sendiri akan memperolehi pahala dengan sebab zakat itu.
Adapun dari segi syara‘ pula ialah: “Nama bagi kadar sesuatu yang dikeluarkan daripada harta tertentu yang diberikan kepada golongan tertentu mengikut syarat-syarat tertentu.” (I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/147).
Imam al-Mawardi pula memberikan pengertiannya sebagai berikut: “Zakat ialah nama yang jelas untuk mengambil sesuatu yang tertentu daripada harta yang tertentu mengikut sifat (cara-cara) tertentu untuk diberikan kepada golongan tertentu.” (Al-Mawardi, al-Hâwi al-Kabîr: 3/71).
Pengertian yang lain bahawa zakat ialah yang dikeluarkan secara wajib daripada sebahagian harta dengan tujuan untuk membersihkan harta atau diri, iaitu sebagai sedekah wajib kepada golongan tertentu yang telah ditetapkan oleh syara‘ yang berjumlah sebanyak lapan golongan.
Jenis Yang Dizakat
Imam an-Nawawi Rahimahullah berkata:
“Ulama kita berkata: “Zakat ada dua jenis: Pertama, zakat badan iaitulah zakat fitrah, dan ia tidak berkaitan dengan harta, dan diambil kira padanya ialah keupayaan untuk mengeluarkannya. Kedua, zakat harta.”
Zakat harta terbahagi dua. Pertama, yang berkaitan dengan jenis harta dan nilai, dan itulah zakat perniagaan. Kedua, yang berkaitan dengan zat (benda). Zat (benda) yang berkaitan dengan zakat pula ada tiga, iaitu: haiwan, permata dan tumbuh-tumbuhan.
Maksud haiwan ialah jenis an‘âm (ternakan), maksud permata ialah emas dan perak dan maksud tumbuh-tumbuhan ialah makanan yang mengenyangkan serta tahan lama.
Setengah ulama kita meringkaskannya saja, iaitu: “Ternakan, tanam-tanaman, emas dan perak, perniagaan, galian dan fitrah.” (An-Nawawi, Raudah ath-Thâlibîn: 2/150).
Dari keterangan Imam an-Nawawi Rahimahullah yang tersebut di atas, dapatlah difahami bahawa jenis harta yang wajib dizakat itu - selain zakat fitrah - terbahagi kepada lima jenis iaitu:
1. Haiwan, iaitu haiwan ternakan seperti unta, lembu, kerbau dan kambing.
2. Tanam-tanaman dan buah-buahan yang mengenyangkan seperti kurma, anggur, padi, gandum, jagung dan lain-lain.
3. Galian.
4. Emas dan perak.
5. Perniagaan dan matawang
Adapun matawang sama ada dalam bentuk emas/perak atau kertas, sementara perniagaan pula tergolong dalam perkiraan zakat emas dan perak kerana zakatnya bergantung kepada nilainya. (Lihat: Abdul Mu‘thi Muhammad bin ‘Umar an-Nawawi, Nihâyah az-Zain, hlm. 168 dan al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah: 23/250-270)
Dalam huraian di bawah ini akan disentuh zakat perniagaan dan wang simpanan serta perkara-perkara yang berkaitan dengannya.
Perniagaan Wajib Dizakat
Mengikut jumhûr ulama, termasuk kesemua ulama Syafi‘e, berpendapat perniagaan itu wajib dizakat. Bahkan Ibnu Mundzir menyebutkan bahawa para ulama telah ijmâ‘ mengatakan bahawa perniagaan itu wajib dizakat, katanya: “Kesemua ahli ilmu mengatakan bahawa perniagaan adalah wajib dizakat.” Katanya lagi: “Pendapat ini kami perolehi daripada pendapat ‘Umar bin al-Khaththab, Ibnu ‘Abbas, ulama fiqh yang tujuh, Sa‘id bin Musayyab, Qasim bin Muhammad, ‘Urwah bin Zubair, Abu Bakar bin Abdurrahman bin Harb, Jarihah bin Zaid, ‘Ubaidullah bin Abdullah bin ‘Utmah, Salam bin Yasar, Hasan al-Bashri, Thaus, Jabir bin Zaid, Maimun bin Mahran, Nakha‘i, Malik, Tsauri, al-Auza‘i, asy-Syafi‘e, an-Nu‘man (Abu Hanifah) dan sahabat-sahabatnya, Ahmad, Ishak, Abu Tsaur dan Abu ‘Ubaid”. (Al-Majmû‘: 6/47). Sehubungan dengan ijmâ‘ yang disebutkan oleh Ibnu Mundzir ini, pengarang Tuhfah dan Nihâyah al-Muhtâj memberi tafsiran bahawa ijmâ‘ ini ialah ijmâ‘ kebanyakan ahli ilmu.” - (Tuhfah al-Muhtâj: 3/292, Nihâyah al-Muhtâj: 3/101).
Berkata al-Mawardi dalam al-Hâwi: “Zakat adalah wajib bagi harta perniagaan pada setiap tahun. Inilah mazhab kita (mazhab Syafi‘e). Inilah juga pendapat ‘Umar, Ibnu ‘Umar, Jabir, ‘Aisyah Radhiallahu ‘anhum, ulama fiqh (Madinah) yang tujuh dan ulama Iraq.” (Al-Hâwi al-Kabîr: 3/282).
Berkata Imam ar-Rafi‘i dalam Syarh al-Wajîz: “Zakat perniagaan adalah wajib mengikut pendapat jumhûr, di kalangan mereka termasuklah Imam Syafi‘e Radhiallahu ‘anhu.” - (Tepi al-Majmû‘: 6/38).
Dalil Jumhûr
Dalil jumhûr ulama tentang wajibnya zakat perniagaan sebelum ijmâ‘ ialah al-Qur’an al-Karim dan hadis. Dalil-dalil mereka yang terdiri daripada al-Qur’an, hadis, ijmâ‘ dan qiyâs adalah seperti berikut:
1. Al-Qur‘an:
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman, belanjakanlah oleh kamu sebahagian yang baik-baik daripada yang kamu usahakan dan daripada yang Kami keluarkan untuk kamu dari bumi, dan janganlah kamu senghaja memilih yang buruk daripadanya, lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat, padahal kamu sendiri tidak sekali-kali mahu mengambil yang buruk itu jikalau diberikan kepada kamu, kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.” (Surah al-Baqarah: 267)
Berkata Hasan bahawa yang dimaksudkan dengan “belanjakanlah” (انفقوا) ialah mengeluarkan zakat yang diwajibkan. Untuk ini Imam Fakhrurrazi berkata: “Zahir ayat menunjukkan wajib zakat pada setiap harta yang diusahakan manusia, termasuklah padanya zakat perniagaan, zakat emas dan perak.” (Tafsîr al-Kabîr: 7/65)
Mengenai dengan “hasil usaha” (ما كسبتم), diriwayatkan daripada Mujahid bahawa yang dimaksudkan dengannya ialah usaha perniagaan. (Tafsîr ath- Thabari: 3/80-81)
Berkata al-‘Allâmah Abu al-Barakat Abdullah bin Ahmad bin Mahmud an- Nasafi berhubung dengan awal ayat di atas: “Padanya terdapat dalil wajib zakat pada harta-harta perniagaan”. (Tafsîr an-Nasafi: 1/135).
2. Hadis
Diriwayatkan oleh Abu Daud dengan tidak menyebutkan kedhaifannya, dan oleh ad-Daraquthni, yang ditashhîhkan oleh Ibnu Abdul Barr daripada Samurah, katanya:
Maksudnya: “Adapun kemudian daripada itu, maka sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyuruh kami mengeluarkan zakat daripada harta benda yang kami sediakan untuk diperjualbelikan.”
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Pada unta ada zakatnya, pada sapi ada zakatnya, pada kambing ada zakatnya, dan pada kain (peralatan perang) ada zakatnya.” (Hadis riwayat ad-Daraquthni dan lain daripada Abu Tsaur)
Berkata ulama, adalah sudah dimaklumi bahawa benda kain atau peralatan perang itu tidak wajib dizakat jika dipandang dari segi zat bendanya. Jadi yang dimaksudkan wajib zakat pada kain atau peralatan perang itu ialah zakat perniagaan apabila ianya diniagakan. (Al-Hâwi al-Kabîr: 3/283, dan al- Majmû‘: 6/48).
3. Ijmâ‘
Diriwayatkan oleh Abu ‘Ubaid melalui sanadnya daripada Abdul Qarri, katanya:
Maksudnya: “Adalah saya di zaman ‘Umar menguruskan Baitulmal, maka apabila beliau mengeluarkan pemberian, beliau mengumpul segala harta peniaga, kemudian menghitung segala harta mereka yang ada dan yang jauh, seterusnya mengambil zakat daripada harta mereka yang ada dan yang jauh itu.” (Hadis riwayat Ibnu Abu Syaibah, al-Amwâl: 526 dan al-Muhalla: 6/34)
Disebutkan oleh Imam An-Nawawi bahawa Himas adalah seorang peniaga udum (lauk-pauk atau kulit). Ketika berlalu di dekatnya, ‘Umar Radhiallahu ‘anhu berkata: “Keluarkan zakat hartamu.” Himas menjawab: “Saya tidak mempunyai harta, saya hanyalah menjual udum.” ‘Umar Radhiallahu ‘anhu berkata lagi: “Kiralah harganya, kemudian keluarkan zakatnya.” Berkata Himas: “Saya pun melakukannya.” (Riwayat asy-Syafi‘e dan lain-lain dalam kitab al-Amwâl: 526 dan al-Majmû‘: 6/48).
Abu ‘Ubaid meriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar, katanya: “Barang yang ada daripada hamba atau kain yang dimaksudkan untuk diperniagakan, adalah padanya zakat.” (Abu ‘Ubaid, dalam kitab al-Amwâl: 527 dan 530).
Abu ‘Ubaid juga meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhu, bahawa adalah wajib dikeluarkan zakat perniagaan itu. (Al-Amwâl: 426).
Keadaan yang berlaku dalam perkara ini, tidak terdapat riwayat walau daripada seorang sahabat pun yang bertentangan dengan perkataan ‘Umar yang disebutkan di atas, begitu juga dengan apa yang diriwayatkan daripada anaknya Abdullah dan Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhum, bahkan hukum wajib dikeluarkan zakat perniagaan inilah yang diamalkan dan difatwakan sehingga zaman tâbi‘în. (Fiqh az-Zakâh: 1/326). Selain dari itu, sebagaimana yang disebutkan di atas, Ibnu Mundzir juga menyebutkan bahawa ulama telah ijmâ‘ mengatakan bahawa hukum zakat perniagaan itu adalah wajib.
4. Qiyâs
Zakat adalah wajib dikeluarkan daripada setiap yang boleh diperkembangkan, seperti emas, perak, binatang dan pertanian. (Ahsan al-Kalâm: 6/322). Ulama telah sepakat mengatakan bahawa wajib dikeluarkan zakat daripada tiga jenis benda ini apabila persyaratannya sudah mencukupi. Maka oleh itu, barangan yang diperniagakan juga adalah sama seperti emas, perak, binatang dan pertanian yang mempunyai persamaannya dari segi boleh diperkembangkan. Maka kerana itu, diqiyâskanlah ia kepada ketiga-tiga benda yang wajib dizakat ini. (Bidâyah al-Mujtahid: 1/217).
Benda Yang Diniagakan Dagangan atau niaga mengikut pengertian bahasa bermakna membeli dan menjual barang dengan tujuan memperolehi laba (Ensiklopedia Indonesia, A-Z,: 363). Dengan pengertian ini bermakna batasan yang diniagakan atau harta perniagaan itu -sebagaimana yang disebutkan oleh setengah ulama - ialah segala sesuatu yang dibeli atau dijual untuk tujuan memperolehi keuntungan. (Fiqh az-Zakâh: 1/320).
Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullah: “Harta perniagaan ialah segala yang dimaksudkan untuk diniagakan ketika melakukan pemindahan hak milik dengan melakukan tukar menukar (barangan) yang murni. Huraian mengenainya ialah seperti berikut: Bahawa terdapat niat saja untuk memperniagakan barangan belumlah cukup untuk menjadikannya sebagai barang perniagaan. Sekiranya dia mempunyai barang simpanan yang bukan untuk dijual yang diperolehinya daripada pembelian atau daripada cara yang lain, yang pada awalnya bukanlah untuk diniagakan, kemudian dijadikannya untuk diniagakan, maka barang itu belumlah menjadi barang perniagaan mengikut yang sebenarnya dan mengikut yang diputuskan oleh kebanyakan ulama, akan tetapi mengikut al-Karabisyi dari kalangan ulama kita berpendapat bahawa barang itu sudah menjadi barang perniagaan.” (Al-Majmû‘: 6/49).
Adapun apabila barangan itu diniatkan untuk diperniagakan ketika mula membelinya, maka yang dibeli itu jadilah ia harta perniagaan. Barangan seperti ini hendaklah dikira masanya (haul), sama ada ia yang dibeli dengan cara tukar menukar barangan atau tunai, atau hutang jangka pendek atau jangka panjang.
Apabila sudah sabit tujuan berniaga, maka setiap kali melakukan transaksi tidak lagi diperlukan niat yang baru. (Raudah ath-Thâlibîn: 2/266).
Tidak perlunya niat baru itu adalah kerana orang yang bersangkutan sudah dikira sebagai seorang peniaga semenjak barangan yang pertama dibelinya untuk diniagakan.
Walau bagaimanapun, apabila dia memiliki barang-barang kelengkapan lain di rumahnya, binatang tunggangannya (kenderaan), atau lain-lain peralatan yang sama dengan itu, kemudian dia bermaksud memperniagakan dan menjualnya, maka maksud atau niatnya itu sahaja belumlah cukup untuk membuat barangan itu menjadi barang perniagaan, melainkan apabila dia sudah betul-betul telah menjualnya dan telah menerima wang beliannya, dan semenjak dari itulah barang berkenaan baru dikira barang perniagaan. (Al-Majmû‘: 6/49). Disimpulkan bahawa yang dimaksudkan “harta perniagaan” oleh ulama-ulama fiqh ialah segala sesuatu, selain emas dan perak, yang disediakan untuk diperniagakan daripada berbagai jenis harta yang terdiri daripada peralatan, perabot, pakaian, makanan, perhiasan, permata, binatang, tumbuh-tumbuhan, tanah, rumah dan lain-lain sebagainya. (Fiqh az-Zakâh: 1/320)
Jenis Perniagaan Berdasarkan pengertian di atas, maka mana-mana usaha yang berbentuk dagang atau niaga, sama ada ia secara kecil-kecilan atau besar-besaran, dan sama ada dalam bentuk syarikat atau individu, adalah ia dinamakan perniagaan yang wajib dizakat bermula dari ia dinamakan perniagaan. Jenis-jenis perniagaan itu termasuklah perniagaan runcit, barangan, eksport, import, perkhidmatan kedai makan, perhotelan, pembuatan atau perkilangan dan pembinaan.
Syarat Wajib Zakat Perniagaan Kebanyakan ulama Syafi‘e memberikan enam syarat sehingga menjadikan perniagaan itu wajib dizakat. Syarat-syarat berkenaan ialah seperti berikut: Pertama: Nishâb Nilai kesemua harta perniagaan itu mestilah cukup nishâb emas atau perak yang wajib dizakat mengikut nilai pasaran tempatan. Pengiraan kadar nilai ini pula adalah mengikut perkiraan nilainya di akhir haul, kerana di akhir haul inilah zakat perniagaan wajib dikeluarkan. Kedua: Haul Perniagaan itu sudah cukup haulnya, iaitu cukup satu tahun, mengikut kalendar Islam sejak bermulanya perniagaan. Ketiga: Niat berniaga. Barangan yang dibeli mestilah diniatkan atau dimaksudkan untuk diniagakan. Niat ini mestilah juga terjadi semasa pemindahan milik melalui jual beli di majlis jual beli itu. Keempat: Dimiliki melalui pertukaran (transaksi). Barangan yang diniagakan mestilah dimiliki melalui tukar-menukar, seperti jual beli, sewa-menyewa dan sebagainya. Dan adapun barangan yang diperolehi melalui pesaka, pemberian, hadiah dan lainnya, tidak dikira sebagai harta perniagaan. Kelima: Tidak untuk kegunaan peribadi. Barangan yang hendak diniagakan tidak diubah fungsinya kepada fungsi lain, yakni tidak diniatkan sebagai simpanan untuk kegunaan peribadi atau untuk disedekahkan. Keenam: Tidak bertukar menjadi emas atau perak.
Barangan yang diniagakan itu hendaklah tidak bertukar menjadi emas atau perak sehingga kadar nishâbnya kurang dari yang secukupnya. Jika ia bertukar menjadi emas atau perak dan nishâb harta perniagaan itu tidak cukup, maka tidaklah wajib dikeluarkan zakat perniagaan. Kerana itulah disyaratkan juga supaya barangan yang diniagakan itu bukan barangan yang wajib dizakat, seperti emas dan perak kerana mengikut kaedah fiqh tidak boleh berhimpun dua zakat dalam satu barangan. (Nihâyah al-Muhtâj: 3/101-108, al-Iqnâ‘: 1/190 dan Busyra al-Karîm: 2/51)
Bentuk Zakat Perniagaan Yang Dikeluarkan
Zakat perniagaan itu dikeluarkan adakah langsung daripada barangan yang diniagakan atau daripada nilai atau harganya?
Bertolak daripada arahan ‘Umar bin Khaththab Radhiallahu ‘anhu kepada Himas supaya menilai barangan yang diniagakannya, menunjukkan bahawa zakat perniagaan itu bukanlah pada barangan atau harta perniagaan, akan tetapi ialah pada nilainya. Nilai ini pula bukan nilai ketika dibeli, akan tetapi nilai pada saat cukupnya haul, iaitu waktu wajibnya zakat. Di samping itu tidaklah diambil kira kurang atau lebih nilaian ini berbanding dengan harga pembelian asal. (Ahsan al-Kalâm: 6/322)
Ketika memperkatakan masalah ini mengikut mazhab Syafi‘e, Imam an-Nawawi menyebutkan: “Padanya ada tiga pendapat:
Pertama: Yang masyhur dalam qaul jadîd, ia (zakat itu) dikeluarkan daripada nilai/harganya, dan tidak boleh dikeluarkan daripada barangan yang diniagakan.
Kedua: Wajib dikeluarkan daripada barangan yang diniagakan, dan tidak boleh dikeluarkan daripada nilai/harganya.
Ketiga: Boleh dipilih, sama ada daripada barangan atau nilai/harga barangan yang diniagakan. (Raudah ath-Thâlibîn: 2/266)
Dalam al-Majmû‘ sewaktu menghuraikan perkara pertama, Imam an-Nawawi Rahimahullah menyebutkan bahawa zakat harta perniagaan ialah 2.5 daripada kesemua nilainya tanpa diperselisihkan oleh ulama. Nilai nishâb itu pula hendaklah cukup atau lebih yang diqiyâskan sama dengan nishâb emas dan perak. Adapun 2.5 daripada nilai/harga nishâb harta perniagaan yang wajib dikeluarkan dan bukan daripada barangannya adalah yang paling shahîh yang dipakai oleh ulama-ulama Syafi‘e, dan itulah juga yang difatwa dan diamalkan. (Al-Majmû‘: 6/68)
Berkata al-Mawardi: “Imam Syafi‘e Radhiallahu ‘anhu telah menetapkan dalam qaul jadîd - dan inilah yang paling shahîh - bahawa hendaklah dikeluarkan zakat perniagaan itu 2.5 daripada nilai atau harganya. Pendapat ini didasarkan kepada riwayat yang menyebutkan bahawa ‘Umar bin Khaththab Radhiallahu ‘anhu pernah mengambil nilai/harga barangan jualan Himas. Maka kerana itu wajib dikeluarkan zakat perniagaan itu daripada apa yang diwajibkan padanya, iaitu nilainya, bukan daripada barangannya. (Al-Hâwi al-Kabîr: 3/282)
Cara Menilai Harta Perniagaan
Untuk menilai berapa kadar 2.5% zakat yang wajib dikeluarkan daripada kesemua harta perniagaan, maka hendaklah terlebih dahulu diketahui berapa nilai nishâb kesemua harta perniagaan iaitu dengan menghimpunkan mana-mana yang ada daripada senarai yang berikut:
1. Barangan perniagaan yang masih ada termasuk stok (termasuk bangunan, kenderaan dan lain-lain yang menghasilkan pulangan seperti kerana disewakan).
2. Wang tunai di tangan.
3. Hutang di tangan orang lain yang diharapkan akan diperolehi balik.
4. Wang tunai yang disimpan oleh pihak lain.
5. Pelaburan daripada hasil perniagaan.
Jika kesemua mana-mana yang ada daripada senarai yang di atas dinilai setelah cukup haul (genap setahun) mengikut perkiraan bulan Islam, maka itulah nishâb harta perniagaan, dan jika sudah cukup, atau lebih, senilai/seharga emas 85 gram) atau nishâb perak (595 gram) itulah yang dibahagikan sebanyak 2.5%. Hasilnya itulah yang wajib dikeluarkan sebagai zakat perniagaan untuk tahun berkenaan.
Kadar Zakat Perniagaan Masa Kini
Telah disebutkan bahawa para ulama telah sepakat mengatakan yang kadar zakat yang wajib dikeluarkan daripada nilai kesemua harta perniagaan ialah 1/40 atau 2.5%. Kadar ini adalah diqiyâskan kepada kadar zakat yang wajib dikeluarkan dari zakat emas dan perak yang sudah cukup nishâbnya. (Raudah ath-Thâlibîn: 2/273)
Para ulama juga telah sepakat mengatakan bahawa nishâb emas berkenaan ialah 20 mitsqal. Menurut perkiraan ulama-ulama mutakhir, seperti Syeikh Yusuf al-Qardawi dan Dr. Wahbah az-Zuhaili, kadar 20 mitsqal ini adalah sama dengan 85 gram dan kadar inilah juga yang telah ditetapkan oleh Majma‘ Kajian Islam al-Azhar asy-Syarif (Lihat: Buhûts wa Fatâwa Islâmiyyah oleh Jad al-Haqq: 2/231-232) dan ada juga yang menyebutkan sama dengan 89 2/7 gram (Lihat: Zain ath-Thâlib: 2/27)
Manakala nishâb perak pula ialah 200 dirham (lihat Mughni al-Muhtâj: 1/389). Menurut keduanya yang paling râjih kadar yang 200 dirham ini adalah sama dengan 595 gram, (Fiqh az-Zakâh 1/269 dan al-Fiqh al-Islâmi wa Adillatuh: 2/773) dan mengikut pendapat yang lain kadarnya adalah sama dengan 625 gram. Dengan yang demikian, nishâb harta perniagaan jika didasarkan kepada nishâb emas ialah apabila nilai keseluruhan yang diperniagakan itu cukup atau lebih seharga 20 mitsqal atau 85 gram, ataupun 89 2/7 gram emas.
Dan jika didasarkan kepada nishâb perak pula ialah apabila nilai keseluruhannya cukup atau lebih seharga 200 dirham atau 595 gram, ataupun 625 gram perak.
Mengikut data-data yang diperolehi dari Kementerian Kewangan pada 15 Jun 1996 berdasarkan harga emas yang ditetapkan oleh Bank Islam Brunei ialah B$25.00 satu gram emas dan harga emas pertengahan (emas 916) satu gram ialah B$22.00. Dengan yang demikian nilai nishâb perniagaan yang didasarkan kepada nilai nishâb emas pertengahan ialah 85gram x B$22.00 = B$1,870.00 (zakatnya ialah $46.75) atau 89 2/7gram x B$ 22.00 = B$ 1,964.30 (zakatnya ialah $49.11)
Penerapan Kadar % Zakat Perniagaan
Berdasarkan data-data yang disebutkan di atas, dalam menerapkan atau melaksanakan pengeluaran kadar % zakat perniagaan (pada tarikh 15 Jun 1996 itu), ada dua pilihan, yang pertama berasaskan nilai nishâb emas masa kini yang bernilai B$1,870.00, atau B$1,964.30, dan yang kedua berasaskan nilai nishâb perak masa kini yang bernilai B$351.05 atau B$368.75.
Dalam erti kata, apabila nilai kesemua harta perniagaan sudah sampai, atau lebih B$1,870.00 atau B$1,964.30 (berdasarkan nilai nishâb emas), maka wajiblah mengeluarkan zakatnya, atau B$351.05 atau B$368.75 (berdasarkan nilai nishâb perak) juga wajiblah mengeluarkan zakatnya.
Yang Mana Patut Diterapkan?
Pada lazimnya apabila seseorang diarahkan untuk mengeluarkan zakat daripada wang yang dimilikinya dan diberi pilihan antara yang sedikit dengan yang banyak, maka pada lazimnya dia akan memilih yang paling sedikit. Akan tetapi dalam masalah memilih di antara nishâb emas dan perak ini, tentulah dia akan memilih nishâb yang paling tinggi, kerana jika dia memilih nishâb yang terendah, maka sudah tentu dia akan mengeluarkan zakat perniagaannya ketika kadar nishâb perniagaannya itu masih rendah.
Selain daripada itu, sebagai bahan renungan, bahawa unta mula wajib dizakat ialah jika sudah cukup 5 ekor, sapi 30 ekor, kambing 40 ekor dan tanam-tanaman (bijirin) lebih kurang 2000 liter.
Jika dinilaikan 5 ekor unta, atau 30 ekor sapi, atau 40 ekor kambing atau 2000 liter bijirin ini, tentulah harganya sudah mencapai ribuan ringgit. Jadi alangkah jauh perbezaan orang yang memiliki 40 ekor kambing yang bernilai melebihi seribu ringgit baru dikenakan zakat, sedangkan peniaga yang nilai harta perniagaannya belum sampai seratus riyal atau rupee sudah diwajibkan mengeluarkan zakat perniagaannya.
Berdasarkan dua pendapat dan ketetapan Majma‘ Kajian Islam al-Azhar asy-Syarif serta praktikal yang berlaku di beberapa buah Negera di Asia Tenggara, maka saya adalah lebih cenderung kepada pendapat bahawa penetapan nilai zakat perniagaan dan simpanan buat masa ini ialah berdasarkan nilai emas, iaitu sebaik-baik saja sampai atau lebih nilai harta perniagaan atau simpanan itu sama dengan 85 gram emas barulah wajib dizakat.
Zakat Syarikat Pelaburan
Kedudukan zakat syarikat pelaburan (mudhârabah) mengikut mazhab Syafi‘e adalah seperti berikut:
“Pemilik harta (pelabur) mestilah mengeluarkan zakat ke atas modal dan juga ke atas keuntungan. Kerana dialah pemilik yang sebenar terhadap kedua-duanya (modal dan keuntungan).
Manakala ‘âmil (pekerja atau badan atau syarikat) yang menguruskan pelaburan juga mesti mengeluarkan zakat daripada bahagian keuntungan, kerana dia boleh memiliki bahagiannya jika telah dilakukan pembahagian keuntungan itu.” (Nihâyah al-Muhtâj 3/108)
Pengeluaran Zakat
Barang yang hendak dikeluarkan zakatnya dalam bentuk dimiliki secara kongsi atau syarikat, manakala salah seorang daripada rakan kongsi atau syarikat itu mengeluarkan zakatnya, maka adalah sah dan memadai sekalipun tanpa izin rakan yang satu lagi.
Imam Zainuddin al-Malibari berkata:
Ertinya: “Dan adalah harus bagi setiap rakan kongsi untuk mengeluarkan zakat harta perkongsian walaupun tanpa izin rakan kongsi yang lain, kerana syara‘ membenarkannya seperti pendapat al-Jurjani dan diakui oleh ulama lain. Dan adalah terdapa niat orang yang mengeluarkan zakat itu bagi niat rakan kongsi yang lain dan inilah yang aujah.” (Fath al-Mu‘în: 54)
As-Sayyid al-Bakri mengulas perkataan al-Malibari: “Sama ada zakat yang dikeluarkan daripada barangan itu sendiri atau daripada yang lain... dan perkara ini harus kerana ada kebenaran syara‘ mengenainya, yakni kerana harta perkongsian itu telah menjadi seperti satu harta.” (I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/208)
Tetapi apabila yang hendak dizakat itu milik individu, seperti wang simpanan, maka pemilik sendirilah yang wajib mengeluarkan zakatnya dan semasa mengeluarkannya itu wajib pula berniat bahawa itulah zakat (wang simpanannya).
Al-Malibari berkata:
Ertinya: “Tidak memadai sebagai zakat apabila memberikan harta (zakat) kepada yang berhak tanpa niat zakat.” (Fath al-Mu‘în: 53)
Kecuali dia berwakilkan kepada orang lain untuk mengeluarkannya. (Fath al-Mu‘în: 53)
Bahagian-Bahagian Pertubuhan Dan Zakat
Mana-mana bahagian pertubuhan berkenaan yang terlibat dengan aktiviti apa jua jenis perniagaan, seperti kedai, kereta sewa, bangunan sewa dan sebagainya adalah wajib dizakat.
Kewajiban ini berlaku sejak mula terlibat dengan perniagaan dan terdapat syarat-syarat yang telah disebutkan. Sekiranya ia telah terlibat dengan perniagaan sejak tahun 1939 sehingga sekarang dan selama tempoh ini ia aktif, tetapi tidak pernah mengeluarkan zakat perniagaannya, maka wajiblah zakatnya itu dikeluarkan selama tempoh berkenaan.
Di dalam al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah (23/297) disebutkan:
Ertinya: “Apabila seseorang mukallaf wajib mengeluarkan zakat dalam beberapa tahun dan selama tempoh itu dia tidak membayarnya sedangkan syarat-syarat wajib telah sempurna, maka tidak gugur kewajipan itu walau sedikit dengan kesepakatan ulama dan dia wajib membayar zakatnya bagi setiap tahun yang sudah berlalu yang tidak dikeluarkan zakatnya padanya itu.”
Zakat Wang Simpanan
Wang kertas adalah wajib dizakat kerana ia merupakan harta dan modal perniagaan syarikat atau individu yang pada lazimnya sebagai harta simpanan. Apabila ada yang berpendapat ini tidak wajib dizakat sudah barang tentu hak-hak fakir miskin tidak dapat disempurnakan. Selain itu, wang juga merupakan alat transaksi antarabangsa. Oleh yang demikian kadar nishâbnya adalah berdasarkan nilaian emas atau perak. (Al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah: 23/266-267)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8682
