Adakah Anak Angkat Keturunan Cina Dikategorikan Anak Yatim?
Soalan: Dengan sukacitanya di sini hamba memohon penjelasan daripada pihak Jabatan Tuan mengenai dengan masalah berikut:
Arwah bapa hamba mengangkat seorang anak lelaki yang pada masa ini sudah berumur hampir 16 tahun. Bapa asalnya seorang bukan beragama Islam, sama ada kedua-dua ibu bapanya ini masih hidup ataupun sudah meninggal tidak diketahui. Anak ini diasuh sejak umurnya 7 hari dari kampung pedalaman di Ulu Merudi Miri, dengan mengikut cara proses mengangkat anak angkat yang sah. Di sini hamba ingin mengetahui, bagaimana kedudukan anak angkat arwah bapa hamba ini? Adakah ianya dikategorikan sebagai anak yatim? Atau bagaimana?
Untuk pengetahuan tuan sekarang anak ini dipelihara oleh ibu angkatnya (balu arwah bapa hamba) dan ibu angkatnya ini pula tidak mempunyai apa-apa pekerjaan hanya menerima pencen tua sahaja.
Jawapan: Anak yatim itu ialah kanak-kanak yang kematian bapanya. Menurut sebahagian ulama lagi anak yang tidak mempunyai bapa yang sah seperti anak zina juga adalah termasuk dalam golongan anak yatim. Walau bagaimanapun menurut hukum syara‘, kanak-kanak tersebut tidak lagi dianggap sebagai anak yatim apabila mereka telah mencapai umur bâligh. Mengikut mazhab Syafi‘e antara tanda-tanda bâligh itu ialah keluar air mani sama ada dengan bermimpi atau sampai umur lima belas tahun atau kedatangan haidh.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8991
