Promosi Tiket Bertuah
Soalan: Dengan segala hormat sukacita dipanjangkan permohonan Syarikat Century Travel Centre Sdn. Bhd. yang berhajat untuk mengadakan jualan promosi dan seterusnya memberikan hadiah-hadiah melalui cabutan bertuah (lucky draw) setiap penghujung bulan mulai sekarang hingga penghujung tahun ini.
Daripada syarat yang dikenakan, semua pembeli tiket penerbangan daripada syarikat berkenaan berhak mendapat hadiah jika terpilih tanpa membuat pembayaran tambahan bagi menyertainya dan Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi secara dasar tidak ada halangan dengan permohonan ini tertakluk pandangan/ulasan pihak Yang Dimuliakan Pehin mengenainya.
Jawapan: Daripada penelitian kita terhadap keterangan-keterangan yang dinyatakan dalam surat pemohon, promosi yang akan dijalankan adalah merupakan pemberian hadiah kepada pelanggan-pelanggan secara pemilihan melalui undian, dengan syarat pelanggan yang berhak untuk menyertai promosi ini hendaklah membeli tiket bernilai $200.00 bagi setiap tiket. Syarat sedemikian boleh membuka ruang pertaruhan dengan kadar-kadar yang khusus. Hal sedemikian menyerupai judi yang diharamkan oleh Islam.
Mensyaratkan pembelian tiket sebanyak $200.00 itu adalah pertaruhan. Ia telah mempertaruhkan wangnya sebanyak $200.00 untuk mendapatkan hadiah yang. ditawarkan oleh Syarikat Century Travel Centre Sdn. Bhd, sungguhpun dia mendapat tiket yang dibelinya itu. Ada ulama yang tidak menggemari jika seseorang membeli barang melalui cabutan nombor bertuah kerana ini bererti pembeli itu belum tentu mendapat hadiah yang ditawarkan itu. Kegagalan untuk mendapat hadiah itu bererti kerugian bagi satu pihak iaitu pembeli.
Sementara itu jika tujuan dan niat asasi seseorang itu bukan untuk membeli tiket, tetapi semata-mata hanya untuk mendapatkan hadiah yang ditawarkan, maka ini juga menuju kepada bentuk perjudian atau menghampiri perjudian.
Dalam hubungan ini, jika syarat itu ditiadakan, yakni jangan terdapat sebarang syarat yang boleh menekan dan mendorong pelanggang sehingga terpaksa memenuhinya bagi mendapatkan hadiah, maka dalam hal ini hukumnya harus Syarikat Century Travel Centre Sdn. Bhd., menyediakan hadiah kerana hadiah itu secara sukarela dihadiahkan oleh syarikat tanpa sebarang syarat yang berisiko kepada untung atau rugi bagi salah satu pihak.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8945
