Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المواريث

Adakah Cucu Yang Kematian Bapa Berhak Mewarisi Harta Peninggalan Neneknya?

Soalan: Dengan segala hormat dan takzim sukacita kaola memohon penjelasan dan kerjasama Pehin mengenai pertanyaan kaola ini.

Apakah kedudukan waris bagi anak yang meninggal dunia terlebih dahulu sebelum ayahnya? Si mati mempunyai seorang anak lelaki (cucu).

Berhakkah cucunya (anak si mati) menerima harta pusaka neneknya (ayah si mati)?

Jawapan: Jika cucu ayah si mati itu mempunyai bapa saudara (adik beradik ayahnya yang telah meninggal dunia itu) maka cucu atau dalam bahasa Arabnya ibn al-ibn kepada nenek itu, tidak berhak mewarisi atau mempusakai harta peninggalan neneknya apabila neneknya meninggal dunia.

Kewujudan bapa saudara (adik beradik lelaki ayahnya itu) sama ada seorang atau lebih dalam senarai ahli waris telah menghalang atau mendinding cucu itu daripada mewarisi pusaka neneknya. Ini kerana pertalian mereka dengan nenek kepada cucu itu adalah lebih dekat disebabkan pertalian yang langsung (mubâsyarah) yakni anak dengan ayah, berbanding dengan cucu, hubungan kerabat antara dia dengan neneknya hanya bersambung melalui ayahnya. Atas sebab inilah, cucu itu terdinding atau termahjûb daripada mewarisi pusaka nenek kerana adanya di sisi cucu itu ahli ‘ashabah yang paling kukuh dan dekat kepada si mati.

Berlainan halnya jika ayahnya tidak mempunyai adik beradik lelaki, dalam hal ini cucu (ibn al-ibn) ada haknya untuk mewarisi harta pesaka peninggalan neneknya sekalipun ada di antara ahli waris itu adik beradik perempuan ayahnya (emak saudaranya).

Untuk lebih jelas kita bawakan jadual pembahagian dalam dua masalah di atas:

1. Seorang lelaki meninggal dunia dan meninggalkan seorang anak lelaki serta seorang cucu lelaki:

Ahli waris Saham Cucu م Anak lelaki (bapa saudara si cucu) ع

2. Seorang lelaki meninggal dunia dan meninggalkan seorang anak perempuan serta seorang cucu lelaki: Ahli waris Saham Asal Masalah: 2 Cucu ع 1 Anak perempuan (emak saudara si cucu) ½ 1

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9001