Adakah Harus Dibaca Qunut Nâzilah Di Dalam Sembahyang Jumaat Kerana Situasi Yang Melanda Umat Islam Hari Ini?
Soalan: Jabatan Hal Ehwal Masjid telah menerima memorandum Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama berserta sepucuk surat tanpa nama dan alamat yang menjelaskan tentang keadaan umat Islam di merata dunia sekarang ini sedang mengalami ujian, penderitaan dan kesangsaraan yang dahsyat di mana setiap negeri Islam adalah dianggap sebagai terroris. Rakyat Afghanistan, Pakistan, Palestin, Iraq, Chechnya, Kashmir dan lain-lain negara Islam sedang menempuh masa yang sangat genting dalam mempertahankan nyawa mereka. Penulis surat tersebut telah mencadangkan agar ‘doa qunut’ dibacakan dalam sembahyang Jumaat bagi menyelamatkan orang-orang Islam daripada kejahatan kaum kafir.
Sehubungan dengan cadangan penulis surat tersebut, sukacita Jabatan Hal Ehwal Masjid memohon pandangan dan ulasan dalam kadar yang segera jua mengenai ketentuan untuk mengadakan doa qunut tersebut; adakah situasi sekarang yang menimpa umat Islam di merata dunia ini membolehkan kita untuk membaca doa qunut dalam sembahyang Jumaat, sedang dalam masa yang sama juga Jabatan Hal Ehwal Masjid telahpun mengusaha dan menyediakan teks doa untuk dibacakan oleh imam-imam masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara selepas sembahyang fardhu Jumaat dan sembahyang fardhu lima waktu. Antara lain kandungan doa itu adalah untuk memohon perlindungan Allah Subhanhu wa Ta‘ala supaya umat Islam di negara ini dan juga di negara-negara lain terhindar daripada malapetaka, penyakit dan kejahatan serta kezaliman orang-orang yang berlaku zalim dan sekutu-sekutu mereka.
Jawapan: Persoalan yang ditimbulkan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid ialah berhubung dengan situasi atau keadaan yang menimpa umat Islam masa kini yang sedang mengalami ujian, penderitaan dan kesangsaraan yang dahsyat di mana setiap negeri Islam adalah dianggap sebagai terroris. Rakyat Afghanistan, Pakistan, Palestin, Iraq, Chechnya, Kashmir dan lain-lain negara Islam lagi sedang menempuh masa yang sangat genting dalam mempertahankan nyawa mereka. Adakah situasi dan keadaan ini dianggap sebagai suatu malapetaka atau bahaya yang disunatkan kepada kita untuk membaca doa qunut di dalam sembahyang Jumaat apabila ia menimpa umat Islam?
Itulah pokok persoalan yang dikemukakan oleh Jabatan berkenaan berhubung dengan suatu surat yang ditujukan kepada jabatan itu yang mana dalam surat tersebut mencadangkan dan memohon supaya doa qunut dibaca di dalam sembahyang Jumaat berdasarkan gambaran umat Islam pada hari ini.
Untuk menjawab persoalan ini, kita perlulah merujuk tentang hukum membaca doa qunut khasnya qunut Nâzilah di dalam sembahyang-sembahyang fardhu, bilakah masanya ia sunat dibaca dan apakah sebab-sebab yang mengharuskannya.
Bila Doa Qunut Nâzilah Sunat Dibaca?
Doa qunut yang dikenal dengan qunut Nâzilah disunatkan pembacaannya pada tiap-tiap kali sembahyang fardhu termasuk sembahyang fardhu Jumaat iaitu ketika i‘tidâl rakaat akhir setelah membaca tahmîd (zikir ketika i‘tidâl) untuk menolak kecelakaan, bala bencana atau bahaya yang menimpa umat Islam seperti ketakutan, kemarau, wabak penyakit atau bahaya yang diakibatkan oleh adanya permusuhan daripada orang-orang kafir dan lain-lain seumpamanya. Apabila bahaya yang mengancam itu telah berakhir, maka berakhirlah pembacaan qunut Nâzilah itu.
Berkata Imam an-Nawawi:
Ertinya: “(Mustahabb) disunatkan membaca doa qunut di dalam tiap-tiap sembahyang fardhu kerana ditimpa an-nâzilah (malapetaka) bukan secara mutlak menurut pendapat yang masyhur.” (Minhâj ath-Thâlibîn: 1/172)
Ketika menjelaskan kedudukan hukum doa qunut Nâzilah di dalam sembahyang fardhu dan apakah bentuk malapetaka itu, Imam an-Nawawi berkata:
Ertinya: “Menurut mazhab Syafi‘e bahawasanya doa qunut itu sunat (dilakukan) di dalam sembahyang fardhu Subuh secara berkekalan. Adapun selain daripada sembahyang Subuh, maka ada tiga pendapat mengenainya. Pendapat yang shahîh lagi masyhur ialah bahawasanya jika berlaku malapetaka seperti (bahaya) musuh, kemarau, wabak penyakit, kehausan, bahaya yang jelas berlaku ke atas umat Islam dan seumpamanya maka (sunat) mereka membaca qunut Nâzilah pada keseluruhan sembahyang fardhu dan jika tidak maka tidaklah (disunatkan qunut tersebut).” (Syarh Shahîh Muslim: 2/319)
Malapetaka atau bahaya yang menimpa orang-orang Islam yang disunatkan membaca doa qunut Nâzilah pada setiap sembahyang fardhu itu sama ada ia berbentuk umum atau khusus dalam erti umum. Berkata asy-Syeikh Sa‘id bin Muhammad bin Ba ‘Asyin pada menjelaskan berhubung dengan malapetaka yang menimpa orang-orang Islam:
Ertinya: “(Sunat membaca qunut Nâzilah di dalam sembahyang fardhu) apabila berlaku malapetaka yang umum iaitu seperti kemarau, ketakutan daripada pihak musuh, (serangan) belalang, hujan yang memudharatkan (yang mendatangkan bahaya) umpamanya ke atas tanaman dan malapetaka yang khusus yang dalam makna umum seperti penawanan seorang alim dan seorang yang gagah (pejuang Islam) kerana orang-orang Islam akan mudharat (berada dalam keadaan bahaya) dengan kehilangan mereka itu.” (Busyra al-Karîm: 1/175)
Qunut Nâzilah itu pula bukan hanya disunatkan untuk dibaca oleh orang-orang Islam yang ditimpa malapetaka, bahkan ia juga sunat dibaca oleh mereka yang tidak terlibat atau terkena malapetaka itu iaitu untuk mendoakan saudara-saudara Islam mereka semoga terlepas dan selamat daripada musibah dan bencana yang menimpa mereka itu. Hal ini ada dijelaskan oleh as-Sayyid al-Bakri sebagaimana perkataan Bujairimi yang dinaqal beliau katanya:
Ertinya: “Maka disunatkan bagi penduduk suatu daerah yang tidak ditimpa ke atas mereka suatu bencana melakukannya (membaca qunut Nâzilah) untuk orang yang ditimpa bencana.” (Hâsyiyah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/257)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri pernah mempraktikkan pembacaan doa qunut Nâzilah di dalam sembahyang fardhu Baginda. Hal ini jelas berlaku sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila hendak mendoakan supaya ditimpakan kecelakaan ke atas seseorang ataupun mendoakan kebaikan untuk seseorang Baginda membaca qunut setelah bangun daripada ruku‘ sehingga kadang-kadang Baginda berdoa setelah membaca (مسََع َ هللا لَمَن ْ محََدَه) dengan doa:
Maksudnya: “Ya Allah! Ya Tuhan kami! BagiMu segala puji dan syukur. Ya Allah! Selamatkan al-Walid bin al-Walid, Salamah bin Hisyam dan ‘Aiyash bin Abu Rabi‘ah. Ya Allah! Kuatkanlah tekananMu ke atas suku Mudhar jadikanlah kesusahan mereka itu bertahun-tahun seperti tahun-tahun (yang dilalui) oleh Nabi Yusuf (ketika terjadinya kemarau).”
Perbuatan sedemikian itu juga dilakukan oleh Baginda apabila sahabat-sahabat Baginda yang digelar al-Qurra’ (mereka ini mencari kayu api pada waktu siang dan melakukan ibadah khususnya sembahyang pada waktu malam) telah dibunuh di Bi’r Ma‘unah sebagaimana yang dinaqal oleh Ibnu Hajar di dalam kitabnya at-Tuhfah, katanya:
Ertinya: “Bahawasanya Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca qunut Nâzilah selama sebulan, berdoa (memohon ditimpakan kecelakaan) ke atas orang-orang yang membunuh sahabat-sahabat Baginda al-Qurra’ di Bi’r Ma‘unah untuk menghindarkan mereka itu daripada berbuat sewenang-wenangnya terhadap orang Islam.” (Tuhfah al-Muhtâj: 2/68)
Apabila orang-orang Islam pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dibunuh oleh kabilah Bani Sulaim yang terdiri daripada kabilah Ri‘al, Dzakwan dan ‘Ushaiyah, Baginda berdoa supaya ditimpakan kecelakaan ke atas mereka sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallhu ‘anhuma katanya:
Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca qunut Nâzilah selama sebulan terus-menerus pada tiap-tiap kali di belakang sembahyang Zuhur, Ashar, Maghrib, ‘Isya’ dan Subuh. Apabila Baginda membaca مسع هللا ملن محده pada rakaat akhir Baginda berdoa (supaya ditimpakan kecelakaan) ke atas suku/puak daripada Bani Sulaim yang terdiri daripada puak-puak Ri‘al, Dzakwan dan ‘Ushaiyah sementara makmum di belakang Baginda mengaminkannya (Hadis riwayat Abu Daud dengan isnâd hasan atau shahîh )
Pada zaman Sayyidina Umar al-Khaththab Radiallahu ‘anhu pula apabila berlaku pembunuhan orang-orang Islam oleh Ahli Kitab, maka Sayyidina Umar membaca qunut Nâzilah dan di dalam qunut beliau itu beliau membaca:
Ertinya: “Ya Allah! Turunkan laknatMu ke atas orang-orang kafir Ahli Kitab.”
Beliau mengkhususkannya kepada kuffâr Ahli Kitab.
Akan tetapi pada zaman Imam an-Nawawi Rahimahullah beliau memilih bacaan:
Ertinya: “Ya Allah! Turunkan laknatMu ke atas orang-orang kafir.”
Kerana orang-orang kafir itu dengan sendirinya termasuk Ahli Kitab dan selain mereka daripada kalangan orang-orang kafir.
Apabila kita memberi penuh perhatian terhadap peristiwa-peristiwa dan berbagai pergolakan yang terjadi pada masa ini, apa yang nyata ialah umat Islam pada hari ini sedang menghadapi berbagai tekanan dan penindasan oleh orang-orang kafir. Nyawa orang-orang Palestine sangatlah murah bagi orang-orang Yahudi. Hampir setiap hari ada saja berita pembunuhan orang-orang Palestine di tangan Yahudi itu. Kezaliman mereka di bumi Palestine yang mereka rampas itu sudah di peringkat bermaharajalela. Itu belum lagi mengambil kira kemusnahan harta benda mereka.
Demikian juga halnya dengan orang-orang Islam Chechnya. Orang-orang Islam di Kashmir pun tidak kurang menerima penindasan dan kezaliman.
Ketika fatwa ini ditulis, Amerika dan sekutunya sedang mengumpulkan berpuluh-puluh ribu bala tentera bahkan sudah melebihi seratus ribu tenteranya di teluk untuk menyerang Iraq. Keadaan ini sangat menakutkan. Menurut penganalisis politik, peperangan bila-bila masa sahaja akan meletus. Amerika suatu kuasa besar yang sepatutnya menjadi pelindung tetapi sebaliknya telah dan akan bertindak menghancurkan Iraq tanpa sebab-sebab yang wajar kecuali hanya pada pandangan Amerika. Menurut setengah pendapat sikap Amerika ini hanyalah untuk menghancurkan umat Islam selain sebab-sebab untuk mengaut kekayaan minyak Iraq. Paling malang lagi ada juga beberapa buah negara Islam yang bersekongkol untuk menghancurkan Iraq.
Berdasarkan kepada ancaman bahaya musuh terhadap Iraq, keadaan sekarang yang sangat menakutkan, dan keadaan peperangan di Chechnya, Palestine dan Kashmir, adalah munasabah supaya dibaca qunut Nâzilah sebagaimana yang pernah diamalkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Qunut Nâzilah sebagaimana yang wârid daripada Sayyidina Umar al-Khaththab ialah:
Adapun berhubung dengan teks doa khusus yang disediakan oleh jabatan berkenaan untuk dibacakan setiap kali selesai menunaikan sembahyang fardhu elok juga diteruskan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9005
