Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Cara Memusnahkan Mushhaf Atau Kitab Agama Yang Mengandungi Ayat-Ayat Al-Qur’an

Soalan: Dengan hormatnya, sukacita dipohonkan kerjasama daripada pihak tuan bagi mengenal pasti tempat pemusnahan (pembuangan) mushhaf atau kitab agama yang menggandungi ayat-ayat al-Qur’an.

Untuk makluman Jabatan tuan, Jabatan ini pernah melakukan pemusnahan/pembuangan atas nasihat Jabatan Mufti pada tahun 1995 di belakang Sekolah Ugama PAP Hafizah Sururul Bolkiah Berakas dengan digali lubang yang dalam dan seterusnya dibakar dan ditimbus balik. Oleh yang demikian Jabatan ini telah menerima kebenaran dengan tatacara yang sama.

Sehubungan dengan perkara ini, Jabatan ini memohonkan kerjasama daripada pihak Jabatan tuan untuk mengemaskinikan tatacara agar ditempatkan satu kawasan yang khas yang difikirkan sesuai oleh Jabatan tuan.

Jawapan: Mushhaf atau kertas yang mengandungi ayat-ayat al-Qur’an tidak boleh dikoyak atau dicarik-carik, kerana cara itu bererti memutuskan huruf-huruf dan kalimatnya dan mempersia-siakan apa yang termaktub itu. Jika mushhaf atau tulisan ayat-ayat al-Qur’an itu tidak boleh dibaca atau tidak boleh digunakan lagi, ia boleh dimusnahkan antara caranya ialah dengan membasuh tulisannya sehingga tidak kelihatan lagi, membakar atau menanamnya.

Sebahagian ulama berpendapat membakarnya adalah lebih utama kerana Sayyidina Utsman bin ‘Affan pernah membakar mushhaf-mushhaf tertentu dan tidak ada sahabat yang membantahnya.

Setengah ulama mutakhir berpendapat bahawa cara membakar itu adalah cara yang paling ringan dilakukan. Disertakan dengan niat yang baik, maka cara ini dilakukan hanya semata-mata untuk menjaga kesucian dan kemuliaan al-Qur’an, bukan merendahkan apa lagi menghinanya dan tidak mendedahkannya kepada pencemaran dan penghinaan. (Ahsan al-Kalâm: 2/210)

Mengenai dengan tempat pemusnahan atau pembakarannya itu, bolehlah ditentukan sendiri dimana-mana yang difikirkan sesuai.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9030