Berniat Imam Untuk Sembahyang Berjemaah Dengan Kanak-Kanak Dan Kedudukan Saf Kanak-Kanak Dalam Berjemaah
Soalan: Bolehkah kita berniat jadi imam dengan anak perempuan yang masih kecil?
Bagaimanakah saf yang sepatutnya bagi masalah-masalah di atas. Mohon berikan penjelasan yang lengkap dari segi syariat kita pada masalah ini.
Jawapan: Berniat Imam Dengan Jemaah Kanak-Kanak
Jika anak perempuan tersebut telah sampai had umur mumaiyiz dan sah sembahyangnya kerana memenuhi syarat-syarat sah sembahyang khususnya syarat-syarat suci daripada hadas, suci badan, pakaian dan tempat sembahyang daripada najis yang tidak dimaafkan dan menutup aurat di samping melaksanakan rukun-rukun di dalam sembahyang, maka sahlah sembahyang dengan niat menjadi imam itu.
Sebaliknya jika anak perempuan tersebut tidak memenuhi syarat-syarat sah itu tadi maka tidaklah sah niat berimam itu kerana berniat imam dalam keadaan yang dia tidak yakin ada orang yang akan mengikutinya berjemaah adalah tidak sah. Dalam hal ini, anak perempuan yang tidak sah sembahyangnya samalah seperti tiada jemaah yang hadir bersembahyang di belakangnya.
Berniat menjadi imam di dalam sembahyang ketika takbîratulihrâm sekalipun tiada seorangpun di belakangnya untuk berjemaah bersama-samanya pada waktu itu adalah sah jika dia percaya atau yakin akan ada jemaah nanti mengikutinya menurut pendapat al-awjah kerana dia akan menjadi imam. Adapun jika dia tidak yakin maka tidaklah sah niat imamnya itu. Bahkan jika dia berniat imam dalam keadaan itu iaitu dia tidak yakin tiada sesiapapun yang akan berjemaah dengannya maka batallah sembahyangnya kerana perbuatannya mempermain-mainkan. (Lihat I‘ânah ath- Thâlibîn: 2/32-33 )
Saf Kanak-Kanak Dalam Sembahyang Jemaah Sembahyang yang jemaahnya hanya terdiri seorang kanak-kanak lelaki disunatkan dia berdiri di sebelah kanan imam. Sementara kanak-kanak perempuan sama seperti kedudukan perempuan dewasa iaitu berdiri di belakang imam.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9022
