Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Hukum Menggugurkan (Abortion) Janin Atau Anak Dalam Kandungan

Soalan: Kira-kira 46 juta pengguguran kandungan telah berlaku setiap tahun di seluruh dunia, 26 juta dari jumlah tersebut adalah daripada negara-negara yang membangun termasuklah negara-negara Islam. Terdapat banyak sebab kenapa manusia berhasrat untuk menggugurkan kehamilan yang tidak diingini mereka; kegagalan pencegahan kehamilan, kemiskinan, rogol, sumbang mahram, fizikal dan gangguan mental yang boleh menggugat kehidupan ibu yang hamil itu, dan sebagainya. Disebabkan hampir kesemua negara-negara Islam mengenakan undang-undang yang ketat ke atas pengguguran secara paksa, mereka yang ingin menggugurkan biasanya akan meminta pertolongan daripada orang-orang yang bukan pakar melalui cara yang menyalahi undang-undang. Akibatnya adalah jelas, di mana percubaan itu selalunya berakhir dengan pendarahan yang banyak dan kematian yang tidak dapat dielakkan. Berjuta-juta orang mati sia-sia dalam usia muda mereka.

Sebagaimana yang diketahui umum bahawa ulama bersepakat mengatakan bahawa pengguguran kandungan selepas 120 hari atau selepas roh ditiupkan ke dalam janin adalah sama sekali ditegah. Tetapi hukum pengguguran sebelum 120 hari umur kehamilan adalah begitu jauh berbeza di antara satu mazhab dengan mazhab yang lain dan dari sebuah negara ke sebuah negara yang lain.

Di Indonesia, kedua-dua sivil dan undang-undang Islam menegah keras sebarang usaha pengguguran kandungan tidak kira umur kandungan tersebut. Tapi undang-undang No. 23 Tahun 1992, Sistem Kesihatan Kebangsaan, menyatakan bahawa: “Dalam kes-kes kecemasan, pertimbangan khas untuk mengakhiri kehamilan boleh diaplikasikan”. Tetapi apakah tafsiran dengan “dalam kes-kes kecemasan”, tidak pernah didefinisikan dengan baik sehingga sekarang. Tidak ada peraturan kerajaan atau ketetapan kementerian yang telah dikeluarkan, sesuatu yang begitu diperlukan oleh pakar-pakar kesihatan dalam menghadapi isu tersebut.

Atas tujuan inilah maka surat ini dihadapkan kepada Pehin untuk menjalankan satu penyelidikan tentang undang-undang Islam mengenai pengguguran kandungan. Tetapi sebelum kami melancarkan projek ini, kami ingin membuat kajian perbandingan di antara negara-negara utama Islam ke atas undang-undang pengguguran kandungan, termasuklah negeri Pehin. Hasil daripada kerja di peringkat awal ini ialah himpunan undang-undang Islam ke atas pengguguran kandungan daripada negara-negara utama Islam. Langkah yang kedua ialah penyelidikan kami sendiri berasaskan undang-undang pengguguran kandungan berdasarkan himpunan hukum pengguguran di atas.

Untuk menjayakan kerja ini, saya ingin memohon kemurahan hati Pehin untuk menyediakan kami undang-undang rasmi mengenai pengguguran kandungan di dalam negeri asal Pehin. Untuk tujuan ini, kami bukan sahaja memerlukan undang-undang tersebut tetapi juga petikan ayat-ayat al-Qur’an dan hadis dengan tafsir dan terjemahannya sekali untuk mencapai kata sepakat atau ijmâ‘ bagi hukum tersebut.

Kami akan berbesar hati di atas kemurahan dan kerjasama Pehin dan kami yakin bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala akan membalas Pehin dengan sentiasa dikurniakan rahmatNya.

Jawapan: Pengguguran anak (abortion) itu boleh terjadi dengan berbagai-bagai sebab:

(i) Salah satu pasangan berpenyakit kelamin.

(ii) Atas dasar nasihat para doktor yang mahir lagi amanah, apabila tindakan pengguguran tidak diambil boleh membahayakan nyawa ibu.

(iii) Untuk membuang atau melenyapkan janin atau anak dalam kandungan akibat hubungan seksual di luar nikah atau mengakhiri kehamilan yang tidak dikehendaki.

Menurut penanya terdapat banyak sebab kenapa manusia berhasrat untuk menggugurkan kehamilan yang tidak diingin mereka:

(a) Kegagalan pencegahan kehamilan. (b) Kemiskinan. (c) Rogol. (d) Sumbang mahram. (e) Fizikal dan gangguan mental yang boleh menggugat kehidupan ibu yang hamil itu.

Menggugurkan janin dalam kes (iii) di atas bukan dengan sebab dharurat seperti (i) dan (ii) di atas juga (sebagaimana huraiannya akan datang) selain dosa besar boleh menjadi hukuman jenayah dan hukuman tertakluk kepada peruntukan undang-undang mengenainya.

Menggugurkan janin atau kandungan dengan sebab-sebab yang disebutkan oleh penanya pada kes-kes (a) hingga (d) itu termasuk jenayah seperti juga (iii) di atas. Kecuali kes (e) di mana jika pengguguran tidak dilakukan ia boleh membahayakan nyawa atau keselamatan.

Walau bagaimanapun sebelum kita menghuraikan pengguguran janin dalam tempoh sebelum dan setelah ditiupkan roh, elok kita huraikan pendapat mengenai ‘azl, khasnya ulasan al-Imam an-Nawawi.

‘Azl

Kaedah seperti ini sudah lama dikenal sejak berabad-abad dulu. Di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ada di antara sahabat Baginda yang melakukan kaedah ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Jabir bin Abdullah:

Maksudnya: “Kami pernah melakukan ‘azl pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Apabila berita itu sampai kepada Nabi Allah Shallallahu ‘alaihi wasallam Baginda tidak melarang kami.” (Hadis riwayat Muslim)

Pendapat Ulama Tentang ‘Azl

Ada di kalangan para ulama yang berpendapat bahawa ‘azl itu haram. Alasan pengharaman itu berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada ‘Aisyah binti Abu Bakr, Judamah berkata:

Maksudnya: “Aku pernah datang di majlis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam sekelompok orang ramai sedang Baginda bersabda: “Sesungguhnya aku bercita-cita untuk melarang daripada melakukan al-ghilah, kemudian aku memerhatikan di dalam kaum Rom dan Parsi ada melakukan ghilah (menyusukan anak semasa mengandung, menurut tafsiran Ibnu As-Sikkit) terhadap anak-anak mereka, tetapi ternyata perbuatan itu tidak mendatangkan apa-apa mudharat kepada anak-anak mereka.”

Kemudian mereka bertanyakan tentang ‘azl. Lalu Baginda pun bersabda: “Yang demikian (‘azl) adalah pembunuhan (mengubur hidup-hidup) secara sembunyi-sembunyi.” (Hadis riwayat Muslim)

Menurut Imam an-Nawawi bahawa melakukan ‘azl itu hukumnya adalah makruh. Alasannya kerana ‘azl itu merupakan salah satu daripada cara-cara memutuskan keturunan. Imam an-Nawawi cuba mentaufiq di antara hadis yang melarang ‘azl dan mengharuskannya dengan berkata bahawa hadis yang melarangnya menurut beliau ada kemungkinan mengandungi maksud makruh tanzîh. Sementara itu hadis yang mengharuskannya bermaksud bahawa ‘azl itu tidak haram dan bukan bermakna menafikan hukum makruhnya.

Menggugurkan Janin Sebelum Ditiupkan Roh

Para ulama berselisih pendapat berkenaan hukum pengguguran janin sebelum ditiupkan roh, bukan saja di kalangan para ulama mazhab yang empat, bahkan juga di dalam sesuatu mazhab terdapat perselisihan pendapat di kalangan mereka sendiri.

Di antara faktor yang menyebabkan berlakunya perselisihan pendapat dalam perkara ini adalah disebabkan ketiadaan dalil yang jelas dan terang yang menerangkan hukum mengenainya, sama ada dalil yang terdiri daripada ayat-ayat Al-Qur’an ataupun hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Hanya yang ada ialah dalil-dalil yang menerangkan hukum larangan membunuh jiwa (nyawa) manusia, di antaranya firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka; dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) yang terang daripadanya dan yang tersembunyi; dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan oleh Allah (membunuhnya) melainkan dengan (jalan) yang hak (yang dibenarkan oleh syara‘). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya.” (Surah al-An‘âm: 151)

Oleh kerana janin pada peringkat air mani dan segumpal darah belum dikatakan sebagai insan atau manusia yang bernyawa apakah dia juga termasuk di dalam larangan yang diperuntukkan di dalam dalil-dalil yang mengharamkan membunuh jiwa manusia seperti ayat di atas?

Dengan sebab ketiadaan dalil yang jelas dan terang yang merujuk langsung kepada permasalahan ini, para ulama terdahulu berijtihâd dan mengeluarkan hukum berdasarkan dalil-dalil yang ada hubungkaitnya dengan masalah ini.

Di dalam mazhab Syafi‘e terdapat beberapa pendapat yang berbeza dalam menetapkan hukum bagi masalah ini.

Al-Imam Ibnu Hajr Rahimahullahu Ta‘ala menjelaskan di dalam kitabnya at-Tuhfah bahawa menggugurkan janin selepas berlalu tempoh kandungan selama empat puluh dua malam hukumnya adalah haram. Al-Imam dipetik sebagai berkata:

Ertinya: “Para ulama berselisih pendapat mengenai perbuatan yang menyebabkan keguguran kandungan yang belum mencapai tempoh ditiupkan roh iaitu seratus dua puluh hari, dan pendapat yang muttajah (الْمُتهجَه) [yang lebih dicenderungi] sebagaimana juga pendapat Ibn ‘Imad dan yang lainnya ialah hukumnya adalah haram. Ketetapan hukum ini tidak bercanggah dengan pendapat bahawa ‘azl itu adalah harus, kerana keduanya (‘azl dan pengguguran sebelum janin ditiupkan roh) mempunyai perbezaan yang jelas. Bahawasanya air mani ketika ianya keluar adalah semata-mata air yang beku/kental. Berlainan halnya ketika air mani itu mantap di dalam rahim dan mulai terbentuk. Perkara ini dapat diketahui melalui tanda-tanda. Di dalam hadis riwayat Imam Muslim bahawa air mani itu mula membentuk selepas empat puluh dua malam.” (At-Tuhfah: 8/241)

Al-Imam asy-Syarawani pula menjelaskan ketika mengulas perkataan Imam Ibnu Hajar di atas bahawa pengguguran sebelum berlalu empat puluh dua malam iaitu tempoh di mana air mani belum lagi mulai membentuk hukumnya adalah tidak haram, sebagaimana katanya:

Ertinya: “Dan perkataan Ibnu Hajr: “Dan ianya mulai membentuk” memberi maksud bahawa sebelum ianya mulai membentuk hukumnya adalah tidak haram (melakukan perbuatan yang menyebabkan keguguran kandungan).” (Hawâsyi asy- Syarawani ‘alâ Tuhfah al-Muhtâj: 8/241)

Menurut al-Imam ar-Ramli Rahimahullahu Ta‘ala pula, bahawa pendapat yang râjih (yang kuat) ialah pendapat yang mengatakan bahawa menggugurkan janin sebelum ditiupkan roh hukumnya adalah harus. Ini jelas sebagaimana katanya:

Maksudnya: “Dan pendapat yang râjih (kuat) ialah pendapat yang mengatakan haram secara mutlak menggugurkan janin selepas ditiupkan roh dan harus menggugurkan sebelum ditiupkan roh.” (Nihâyah al-Muhtâj: 8/443)

Manakala Imam al-Ghazali pula mengatakan bahawa pengguguran janin hukumnya adalah haram secara mutlak pada semua peringkat kehamilan. Alasannya, kerana yang demikian itu merupakan jenayah kepada sesuatu yang sudah wujud dan terhasil.

Para ulama zaman sekarang lebih cenderung mengatakan bahawa pengguguran janin sebelum ditiupkan roh adalah tidak diharuskan melainkan jika terdapat sebab darurat yang mendesak untuk berbuat demikian.

Asy-Syeikh Jadul Haq Ali Jadul Haq Rahimahullahu Ta‘ala, seorang ulama bekas Syeikh al-Azhar mengatakan di dalam kitabnya Buhûts wa Fatâwa Islâmiyyah fî Qadhâya Mu‘âshirah (2/406):

Ertinya: “Pendapat yang saya pilih dan yang saya cenderung kepadanya dalam perkara pengguguran sebelum umur janin cukup seratus dua puluh hari di dalam rahim ialah harus menggugurkan janin itu ketika ada darurat, iaitu yang dikatakan oleh para fuqahâ’ sebagai uzur.”

Dr. Wahbah az-Zuhaili Hafizhahullahu Ta‘ala, seorang ulama terkenal pengarang kitab al-Fiqh al-Islâmi wa Adillatuh mengatakan di dalam kitabnya itu (3/557):

Ertinya: “Dan saya juga lebih cenderung untuk mengatakan bahawa pengguguran tidak harus sebaik saja bermula kehamilan, kerana satu kehidupan (nyawa) telah sabit, dan janin telahpun mula terbentuk, melainkan jika terdapat keadaan darurat seperti ada penyakit kronik ataupun yang menular, umpamanya penyakit paru-paru atau kanser. Ianya juga diharuskan jika terdapat keuzuran, seperti susu si ibu akan terhenti apabila mengandung sedangkan dia mempunyai anak kecil yang sedang menyusu. Si bapa pula tidak mampu untuk mengupah penyusu, dan ini ditakuti akan membawa bencana kepada anak berkenaan. Dan saya cenderung kepada pendapat ini, kerana saya cenderung kepada pendapat Imam al-Ghazali. Imam itu menganggap pengguguran itu walaupun pada hari pertama mengandung adalah seperti pembunuhan (mengubur hidup-hidup), di mana ia dianggap sebagai jenayah ke atas sesuatu yang wujud dan terhasil.”

Dr. Yusof al-Qaradhawi Hafizahullahu Ta‘ala pula menjelaskan ketika beliau menghuraikan kedudukan hukum pengguguran janin sebelum ditiupkan roh di dalam kitabnya Fatâwa Mu‘âshirah (2/602):

Ertinya: “Sesungguhnya hukum asal pengguguran itu adalah haram, dan hukum haram itu akan lebih besar setiap kali kehidupan janin itu lebih tetap. Maka pada empat puluh hari pertama kandungan hukum haram itu lebih ringan. Kadang-kadang pengguguran itu akan menjadi harus disebabkan oleh setengah keadaan keuzuran. Pada empat puluh hari seterusnya hukum haram itu akan lebih kuat, maka tidak harus melakukan pengguguran melainkan disebabkan keadaan keuzuran yang lebih kuat berdasarkan pandangan ahli yang berpengetahuan (dalam hal ini). Hukum haram itu akan lebih tegas dan berganda apabila kandungan sudah melewati seratus dua puluh hari, di mana ianya sudah memasuki tempoh apa yang dikatakan di dalam hadis sebagai ‘tiupan roh’.”

Menggugurkan Janin Setelah Ditiupkan Roh

Ulama fiqh sepakat mengatakan bahawa melakukan pengguguran janin yang telah menerima roh hukumnya haram termasuk kerana sebab-sebab seperti kemiskinan, rogol atau sumbang mahram. Ini adalah berdasarkan larangan Allah membunuh anak dalam konteks yang umum, sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan besar.” (Surah al-Isrâ’: 31)

FirmanNya di dalam ayat yang lain:

Tafsirnya: “ … dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka; dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) yang terang daripadanya dan yang tersembunyi; dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syara‘). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya.” (Surah al-An‘âm: 151)

Kedua-dua ayat ini jelas bahawa membunuh anak kerana kemiskinan adalah haram, termasuklah anak itu ialah persoalan janin yang telah dihuraikan di atas.

Menggugurkan Janin Hasil Daripada Perkosaan

Di antara persoalan yang sering ditimbulkan seperti yang diminta penanya bahawa ada sebab kenapa ada perempuan berhasrat untuk menggugurkan kehamilan yang tidak diingini seperti dirogol.

Perempuan yang dirogol dan mengandung hasil daripada pencabulan atau perkosaan itu akan menanggung rasa gelisah atau resah, takut, keji dan hina.

Inginlah kita menegaskan perempuan-perempuan yang dirogol atau diperkosa, mereka itu tidaklah berdosa terhadap apa yang menimpa mereka selama mana mereka menolak, menentang dan tidak rela terhadap perbuatan yang menimpa mereka itu dalam keadaan mereka tidak dapat membela dan mempertahankan diri bahkan mereka dalam ketakutan di bawah tekanan kekuatan yang ganas atau di bawah ancaman keselamatan. Apa yang menyedihkan ada di antara perempuan-perempuan itu yang dibunuh setelah dirogol dan diperkosa.

Dalam keadaan terpaksa dan darurat, Islam menggariskan bahawa melakukannya adalah tidak berdosa sebagaimana perkara itu dijelaskan melalui firman Allah.

Tafsirnya: “Sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Baqarah: 173)

Hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ada menerangkan bahawa tidak berdosa terhadap suatu perbuatan yang dipaksa sebagaimana sabda Baginda:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengangkat daripada umatku (dosa) tersilap, lupa dan dipaksa.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Sesungguhnya makhluk manusia itu mempunyai kehormatan walaupun terhasil atau terjadi dengan cara janin yang haram seperti zina, apatah lagi kalau ia terhasil daripada perhubungan yang dipaksa seperti dirogol atau diperkosa tanpa kerelaan.

Oleh kerana tingginya martabat manusia itu pernah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyuruh perempuan daripada kabilah al-Ghamidiyah yang mengaku berzina dan wajib direjam supaya balik ke rumahnya sehingga perempuan itu bersalin. Kemudian selepas melahirkan anaknya dia disuruh sekali lagi bersama anaknya sehingga berhenti menyusu.

Menggugurkan Kehamilan Disebabkan Kemiskinan

Ayat-ayat dalam surah al-An‘âm 151 dan surah al-Isrâ’ ayat 31 seperti yang dibawa terdahulu dan akan datang ini adalah ayat-ayat yang melarang pembunuhan kerana kemiskinan.

Menurut penanya bahawa: “Terdapat banyak sebab kenapa manusia berhasrat untuk menggugurkan kehamilan yang tidak diingini mereka, di antaranya disebut kemiskinan.

Mengenai kemiskinan dan hubungannya dengan anak, maka eloklah mengongsikan buah fikiran Muhammad Mutawalli asy-Sya‘rawi mengenai ayat-ayat tersebut yang menerangkan bahawa menanam anak kecil hidup-hidup memang pernah berlaku di zaman Jahiliah. Lalu Islam melarangnya sesuai dengan firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan janganlah kamu bunuh anak-anak kamu disebabkan kemiskinan! Kamilah yang memberi kamu rezeki dan mereka juga.” (Surah al-An‘âm: 151)

Persoalan di sini ialah mengenai kemiskinan dan membunuh anak-anak yang masih kecil.

Kemudian datang pula firman Allah yang lain berbunyi:

Tafsirnya: “Dan janganlah kamu bunuh anak-anak kamu kerana takutkan kemiskinan! Kamilah yang memberi mereka rezeki dan kamu juga.” (Surah al-Isrâ’: 31)

Cuba kita perhatikan apa sebab perbezaan ini? Pada ayat pertama berbunyi: “Dan janganlah kamu bunuh anak-anak kamu dari sebab kemiskinan!” Yakni kemiskinan itu sebenarnya ada pada ketika itu. Sebab itu Allah Ta‘ala mengatakan: “Kamilah yang memberi kamu rezeki dan mereka juga”. Biasanya apabila seseorang itu miskin, dia akan menguruskan rezekinya terlebih dahulu, kemudian barulah dia mencari rezeki sesiapa yang datang sesudahnya daripada anak-anak dan isteri. Sebab itulah Allah Ta‘ala mengatakan: “Kamilah yang memberi kamu rezeki dan mereka juga!” Maksudnya, Allah menjamin rezekinya terlebih dahulu yang menjadi pokok pemikirannya. Kemudian Allah Ta‘ala menjamin sama rezeki anak-isterinya.

Tegasnya, seolah-olah Allah Ta‘ala mengatakan kepadanya: “Engkau miskin dan sedang sibuk menguruskan rezekimu, seraya engkau takut hendak beristeri, nanti datang pula anak-anak yang mesti engkau uruskan pula rezeki-rezeki mereka, kerana engkau tidak punya rezeki yang cukup untuk mereka. Jangan bimbang! Akulah yang memberimu rezeki nanti, dan Aku juga yang memberi mereka rezeki. Untukmu sudah Aku tetapkan rezekimu, dan untuk mereka juga Aku akan tetapkan rezeki mereka. Mereka tidak akan merampas rezekimu, walau sedikitpun.”

Manakala pada ayat yang kedua pula, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berbicara tentang jenis manusia yang lain pula, iaitu janganlah membunuh anak-anak kerana takutkan kemiskinan dan Allahlah yang memberi mereka rezeki.

Di sini, manusia itu tidak sibuk menguruskan rezekinya dan tidaklah pula dia bimbang akan menjadi miskin. Sebab padanya cukup rezeki yang diperlukannya. Akan tetapi dia bimbang, jika beristeri dan mendapat anak, dia akan menjadi miskin, kerana anak-anak itu akan mengongsikan rezeki yang ada padanya, sehingga akhirnya tidak mencukupi. Lantaran itu dia enggan berkahwin, kerana takut mendapat anak, kerana si anak itu seolah-olah akan merampas rezekinya, dan menjadikannya miskin pula. Sebab itulah Allah Ta‘ala mengatakan: “Kamilah yang memberi mereka rezeki dan kamu juga.”

Jadi maksud ayat pertama, ialah orang itu sangat masyghûl (sibuk) dengan urusan rezekinya sendiri kerana dia seorang miskin. Sebab itulah Allah Ta‘ala mengatakan kepadanya: “Kamilah yang memberi kamu rezeki”, supaya dia merasa tenang tentang rezekinya Manakala pada ayat kedua pula, orang itu tidak miskin, tetapi dia bimbang akan menjadi miskin, jika dia berkahwin dan mempunyai anak, lalu takut anak itu akan mengambil sebahagian daripada rezekinya sehingga menjadikannya miskin pula. Allah Ta‘ala telah memberi jaminan kepadanya, bahawa anak-anak itu tidak akan merampas rezekinya dengan firmanNya: “Kamilah yang memberi mereka rezeki dan kamu juga.”

Nyatalah perubahan ta‘bîr di sini perlu, supaya Allah Ta‘ala berbicara kepada tiap-tiap golongan menurut kemusykilannya.

Satu hal lagi, kita ingin mengetahui; mengapa Allah Ta‘ala mengatakan (tafsirnya): “Kamilah yang memberi kamu rezeki dan mereka juga”. Pada ayat lain pula: “Kamilah yang memberi mereka rezeki dan kamu juga”. Mengapa tidak Dia katakan bahawa: “Kamilah yang memberi kamu sekalian rezeki?” Jawabnya: Allah Ta‘ala mahu kita sekalian tahu, bahawa setiap manusia di dunia ini mempunyai rezeki yang berasingan, tidak sama satu dengan yang lain. Rezeki itu pula telah ditetapkan oleh Allah Ta‘ala, tiada seorang pun dapat merampas daripadanya walau sedikit pun.

Dari sini, tahulah kita bahawa si anak tidak boleh merampas rezeki si bapa sedikit pun. Begitu juga bapak tidak boleh merampas rezeki si anak sedikit pun. Tahulah kita sekarang, bahawa jika kita dikurniakan anak, maka rezeki yang telah ditetapkan Allah Ta‘ala itu tidak akan dibahagikan antara kita dengan anak kita. Masing-masing telah mempunyai rezekinya yang tersendiri. Dengan yang demikian juga, jika kita bunuh anak kita, tidaklah kita akan mendapat rezeki yang lebih banyak daripada apa yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Pengguguran Kerana Darurat

Hukum asal pengguguran itu adalah haram. Dosa haram itu menjadi semakin besar apabila janin itu semakin sempurna kehidupannya.

Pada empat puluh hari yang pertama dosa haram itu lebih ringan bahkan harus dilakukan sekiranya ada sebab-sebab yang mendorong dan diiktibar. Selepas empat puluh hari dosa haram itu menjadi semakin besar, tidak harus menggugurkannya kecuali disebabkan oleh sebab-sebab yang amat perlu mengikut pandangan pakar dalam bidang tersebut. Dosa haram itu makin berganda-ganda apabila janin berumur lebih daripada seratus dua puluh hari iaitu setelah ia memasuki peringkat ‘ditiupkan roh’ seperti yang diceritakan oleh hadis.

Pada ketika ini tidak harus menggugurkan janin kecuali disebabkan oleh keadaan yang sangat darurat dengan syarat darurat itu betul-betul berlaku, bukan hanya dengan sangkaan atau jangkaan semata-mata. Perlulah diingat bahawa sesuatu yang diharuskan kerana darurat hanya dibolehkan mengikut kadarnya.

Pada pandangan saya darurat hanya berlaku dalam satu bentuk sahaja, iaitu apabila janin tetap kekal berada di dalam rahim ianya akan membahayakan ibunya. Ini disebabkan ibu merupakan tunjang kepada kewujudan janin sedang janin hanyalah ranting kepada tunjang tersebut. Oleh itu tunjang tidak boleh dikorbankan hanya kerana ranting. Ini adalah logik yang boleh diterima oleh semua: syara‘, akhlak, ilmu perubatan dan undang-undang.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9059