Jodoh: Lambat Kahwin Kononnya “Dibuat Orang” Bagaimana Perempuan Mencari Jodoh
Soalan: Saya mempunyai seorang kakak yang berumur 45 tahun. Untuk makluman Pehin kakak saya belum kahwin lagi. Masalahnya ialah ibu saya selalu membawa kakak saya berjumpa bomoh kerana katanya kakak saya lambat jodoh kerana buatan orang. Tapi sampai hari ini masih tiada yang masuk meminang. Saya takut ibu saya jatuh syirik kerana berjumpa bomoh dan saya juga ada terbaca bahawa syirik itu adalah di antara dosa-dosa besar yang tidak akan diampun oleh Allah. Saya ada menasihatkan ibu saya tapi katanya kita kenalah berusaha. Betulkah jodoh kakak saya lambat kerana dibuat orang? Setahu saya jodoh, rezeki dan ajal itu di tangan Allah. Diharap Pehin dapat memberi panduan tentang hal ini. Untuk pengetahuan Pehin, ibu saya juga kuat agama, pandai mengaji, hafal setengah surah-surah al-Qur‘an dan rajin sembahyang malam tapi percaya juga pada bomoh.
Jawapan: Menurut Kamus Dewan, bomoh adalah bererti juga pawang atau dukun. Pawang pula diertikan sebagai orang yang mempunyai kebolehan untuk melakukan sesuatu (biasanya dengan menggunakan kuasa ghaib).
Jadinya dalam konteks seseorang berjumpa bomoh seperti kata penanya, iaitu “ibunya selalu membawa kakaknya berjumpa bomoh kerana lambat kahwin dan bomoh memberitahu itu adalah kerana buatan orang”. Si bomoh berkata begitu adakah bererti dia mengetahui perkara ghaib?
Mengetahui Yang Ghaib
Mempercayai perkara-perkara yang ghaib daripada seseorang yang dikatakan sebagai bomoh atau pawang itu boleh merosakkan aqidah, kerana perkara ghaib itu adalah perkara yang di luar kuasa manusia untuk mengetahuinya. Firman Allah:
Tafsirnya: “Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada siapapun.” (Surah al-Jinn: 26)
Kecuali kepada rasul-rasulNya sahaja sebagaimana firman Allah:
Tafsirnya: “Melainkan kepada mana-mana rasul yang diredhaiNya (untuk mengetahui sebahagian daripada perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Allah hendak melakukan yang demikian) maka Dia mengadakan di hadapan dan di belakang rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan).” (Surah al-Jinn: 27)
Perkara ghaib yang diberikan atau dibukakan kepada rasul yang diredhai oleh Allah itu ialah “setengah daripada ilmu yang bersifat ghaib yang berfungsi sebagai mu’jizat mereka.” (Tafsîr an-Nasafi: 4/302)
Ini bermakna bukanlah seluruh yang ghaib itu diberitahukan oleh Allah kepada rasulNya.
Imam Abu Su‘ud pula berkata: “Allah tidaklah menyingkapkan rahsia yang ghaib itu dengan cara selengkap dan sesempurna-sempurnanya kepada rasul yang diredhaiNya sehingga ke tahap ‘ain al-yaqîn. Allah hanya mengurniakannya kepada mereka sebahagian daripada perkara-perkara ghaib yang ada kaitan dengan risalah mereka sahaja.” (Tafsîr Abu as-Su‘ud: 5/781)
Mengikut Ibnu Katsir, rasul atau utusan yang dimaksudkan sama ada dia daripada kalangan malaikat atau manusia. (Tafsîr Ibnu Katsir: 7/139)
Berdasarkan catatan Ibnu Hajar, Imam az-Zamakhsyari berpendapat bahawa keramat para wali tidak termasuk dalam hal ini; walaupun mereka diredhai Allah, tetapi mereka bukanlah rasul. (Fath al-Bâri: 15/314)
Mengikut ayat tersebut, pengecualian itu ialah bagi yang berpangkat “rasul yang diredhai oleh Allah”, dan dengan itu terkeluar dan tidak termasuk “yang bukan rasul yang tidak diredhai oleh Allah”, seperti orang fasiq dan kafir. Orang yang tidak diredhai Allah dalam hal ini tidak sekali-kali diberiNya sedikitpun ilmu yang ghaib itu.
Selanjutnya di bawah ini dinukil catatan Imam al-Qurthubi ketika mentafsirkan surah al-Jinn, ayat ke 26-27 itu:
“Para ulama Rahimahumullah berkata: “Tatkala Allah Ta‘ala bermegah dengan ilmu ghaib dan Dia hanya mengkhususkan dan memilihnya untukNya sahaja tanpa ada pilihan lain, maka di dalam ayat itu terdapat petunjuk bahawa tidak ada sesiapa pun yang mengetahui yang ghaib melainkan Dia sahaja. Kemudian Allah mengecualikan orang-orang tertentu daripada kalangan rasul yang diredhaiNya lalu melimpahkan setengah yang dikehendakiNya dengan ilmu ghaibNya itu menerusi wahyu kepada mereka dan menjadikannya sebagai mu‘jizat dan bukti kebenaran kenabian mereka itu.”
Sementara itu, ahli nujum (tukang tilik dan tukang ramal) dan yang seumpamanya, seperti orang yang meramal dengan cara mempergunakan batu-batu kecil, meneliti kitab-kitab dan menerusi (suara-suara) burung, bukanlah termasuk daripada kalangan yang diredhai oleh Allah lalu memperlihatkan mana-mana yang dikehendakiNya daripada ilmu ghaibNya itu kepada mereka bahkan orang-orang berkenaan adalah kufur kepada Allah. (Tafsîr al-Qurthubi: 19/28)
Dalam ayat yang lain juga menjelaskan dengan tegas bahawa perkara ghaib itu tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Allah, sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: “Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dialah sahaja; dan Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Dia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir biji benih pun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya itu) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfûzh) yang terang nyata.” (Surah al-An‘âm: 59)
Jika seseorang itu mendakwa dirinya atau orang lain mendakwanya mengetahui perkara-perkara ghaib, maka dakwaan itu adalah suatu pendustaan kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pula telah menceritakan diri Baginda dalam perkara ini sebagaimana firman Allah:
Tafsirnya: Katakanlah: “Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudharat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman.” (Surah al-A‘râf: 188)
Para jin juga tidak mengetahui perkara-perkara ghaib. Ini terbukti bila mana mereka itu tidak mengetahui tentang kematian Nabi Sulaiman sebagaimana diceritakan oleh Allah:
Tafsirnya: “Setelah Kami tetapkan berlakunya kematian Nabi Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka tentang kematiannya melainkan semut putih (anai-anai) yang telah memakan tongkatnya. Maka apabila dia tumbang, ternyatalah kepada golongan jin itu, bahawa kalaulah mereka sedia mengetahui perkara ghaib, nescaya mereka tidaklah tinggal sedemikian lamanya di dalam azab (kerja berat) yang menghina.” (Surah Saba’: 14)
Berubat Kepada Bomoh
Pada dasarnya berubat kepada bomoh atau kepada seseorang yang menggunakan rawatan secara ubat-ubatan seperti memakan herba, jamu dan sebagainya adalah diharuskan oleh syara‘ selama mana cara seperti ini tidak termasuk dalam kategori memakan barang-barang haram, najis atau memudharatkan. Jika rawatan yang dilakukan oleh bomoh atau seseorang itu membawa kepada berlakunya perkara-perkara haram seperti pendedahan anggota badan atau aurat tanpa darurat, maka berubat kepada orang sedemikian itu adalah bertentangan dengan syara‘.
Manakala rawatan yang menggunakan bacaan daripada ayat-ayat al-Qur’an, zikir, doa atau jampi yang difahami maknanya, adalah ia harus. Tetapi jika ia bukan daripada ayat al-Qur’an, zikir atau doa bahkan ia hanyalah jampi atau kata-kata yang tidak diketahui maknanya, atau kata-kata yang boleh membawa kepada maksud menyekutukan Allah Subhanahu wa Ta‘ala seperti menyeru kuasa dewa-dewa, syaitan dan sebagainya, maka haram berubat yang seumpama itu. Termasuk dalam hal ini ialah rawatan dengan menggunakan sihir.
Bahaya Menemui Dan Mempercayai Tukang Tenung Atau Tukang Tilik
Apabila seorang bomoh itu menjalankan pengubatannya dengan menggunakan tenungan atau tilikan, atau mengkhabarkan hasil tenungan dan tilikannya kepada pesakit, maka bomoh yang menggunakan rawatan sebegini disebut sebagai kâhin (tukang tilik tukang tenung) atau ‘arrâf (makna lebih kurang dengan kâhin). Mereka biasanya mendakwa bahawa mereka mempunyai keupayaan mengetahui perkara-perkara ghaib yang tidak diketahui oleh orang lain.
Mendatangi kâhin, dukun atau ‘arrâaf dan bertanya sesuatu perkara ghaib dan mempercayai apa yang dikatakannya itu adalah dosa besar. Banyak hadis menerangkan tentang ancaman dan dosa besar dalam perkara ini:
Maksudnya: “Sesiapa datang kepada ‘arrâf (tukang tenung atau tukang ramal), lalu bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima sembahyangnya selama 40 malam.” (Hadis riwayat Muslim)
Sabda Baginda lagi:
Maksudnya: “Sesiapa yang datang kepada tukang tenung lalu mempercayai apa yang dikatakannya, tidak diterima baginya sembahyang selama empat puluh hari.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Sabda Baginda lagi:
Maksudnya: “Sesiapa yang datang kepada tukang tilik atau tukang tenung lalu dia mempercayai apa yang dikatakannya, maka sesungguhnya dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Manusia Tidak Berkuasa Mendatangkan Manfaat Atau Mudharat Kepada Seseorang
Dakwaan bomoh bahawa seseorang itu tidak mendapat jodoh atau tidak dipinang orang ialah kerana adanya perbuatan orang, atau kerana disihir sehingga orang itu tidak dipinang. Apakah benar dakwaan seperti ini?
Sihir memang wujud. Pertarungan kuasa ahli-ahli sihir dengan Nabi Musa di zaman Fir‘aun telah diceritakan oleh Allah di dalam al-Qur’an. Namun dakwaan seseorang boleh mendatangkan manfaat atau mudharat kepada seorang yang lain telah ditolak oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, dalam makna bahawa sesuatu itu sama ada baik atau jahat tidak akan terjadi melainkan dengan kehendak Allah jua.
Perkara ini dijelaskan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Dari Abu Abdullah bin ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma katanya: “Pada suatu hari aku berada di belakang Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu Baginda bersabda: “Hai anak! Aku akan mengajar engkau beberapa perkataan. Peliharalah Allah, nescaya Dia pelihara engkau; peliharalah Allah, nescaya engkau dapatiNya di hadapan engkau. Apabila engkau meminta, maka mintalah kepada Allah dan apabila engkau memohon pertolongan, maka pohonlah pertolongan itu dengan Allah. Dan ketahuilah! Sesungguhnya umat itu kalau mereka berkumpul untuk memberi manfaat kepada engkau dengan sesuatu, tidaklah mereka dapat memberikannya kepada engkau kecuali dengan sesuatu yang sudah dituliskan oleh Allah di atas engkau. Dan jika mereka berkumpul untuk membahayakan engkau dengan sesuatu, tidaklah mereka dapat membahayakan engkau kecuali dengan suatu yang sudah dituliskan oleh Allah atas engkau. Telah diangkatkan segala pena dan telah kering pula segala buku.” (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan katanya hadis ini Hasan Shahîh)
Kuasa Ghaib
Jika bomoh atau pawang itu orang yang dikatakan mempunyai kebolehan untuk melakukan sesuatu dengan menggunakan kuasa ghaib, maka siapakah kuasa ghaib itu?
Alam ghaib termasuk para malaikat, jin dan qarîn. Bolehkah manusia berhubungan dengan mereka (malaikat, jin dan qarîn) itu sehingga mereka boleh digunakan untuk memberikan perkhidmatan bagi menyampaikan maksud?
(i) Malaikat: Adalah alam yang halus dan jernih, dijadikan daripada cahaya. Mereka diperkenankan oleh Allah untuk menyerupai berbagai bentuk. Mereka juga diberi tugas sebagai wakil Allah untuk kemashlahatan manusia, seperti menyampaikan wahyu, mencatat amalan-amalan manusia, membantu orang-orang beriman di dalam peperangan dan lain-lain lagi. Namun semua itu bukanlah dilakukan oleh mereka sesuka hati, tetapi ialah melalui perintah dan izin Allah jua. Sesiapapun daripada kalangan manusia dan lain-lain makhluk tidak boleh menguasai mereka, atau secara langsung meminta pertolongan kepada mereka kecuali dengan perintah dan izin Allah Ta‘ala sahaja.
Sebagai bukti jelas, ialah apabila wahyu terhenti turun kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam buat sementara waktu, padahal Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam amat rindu dan ternanti-nanti akan kedatangan Malaikat Jibril ‘Alaihissalam, namun Malaikat Jibril tidak turun-turun juga, mengapa? Kerana belum mendapat izin dan perintah daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Cerita ini ada disebut oleh Imam al-Bukhari, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bertanya kepada Jibril, sabdanya:
Maksudnya: “Ya Jibril! Apakah yang menghalangi engkau untuk menemui saya lebih banyak lagi daripada biasa?”
Maka diturunkan ayat al-Qur’an:
Tafsirnya: “Kami tidaklah akan dapat turun melainkan dengan perintah daripada Tuhanmu jua.” (Surah Maryam: 64)
Berdasarkan kisah ini, dapatlah difahami bahawa para malaikat itu tidak mungkin diperintah oleh manusia. Begitu juga dengan dakwaan bahawa ada orang yang boleh menghadirkan atau memanggil mana-mana malaikat atau roh untuk membantu pengubatannya. Jika perkara ini boleh berlaku maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah lebih awlâ berbuat demikian itu.
(ii) Jin: Dalam aqidah Islam alam jin dan syaitan itu diperkatakan dengan luasnya. Kewujudan jin dan syaitan adalah suatu hakikat yang telah sabit.
Menurut al-Mawardi dalam A‘lâm an-Nubuwwah, bahawa jin itu jenis alam yang berkata-kata. Mereka makan dan minum, berkahwin dan mati. Keadaan mereka terlindung daripada dapat melihat mereka. Di antara mereka itu ada juga yang baik di samping yang jahat. Sebagaimana disebutkan oleh al-Qur’an:
Tafsirnya: “Dan sesungguhnya ada di antara kami golongan yang baik, dan ada pula di antara kami yang lain daripada itu. Kami masing-masing adalah menurut jalan dan cara yang berlainan.” (Surah al-Jinn: 11)
Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah menemui sebahagian daripada para jin. Mereka itu mendengarkan bacaan al-Qur‘an daripada Baginda, sebagaimana firman Allah:
Tafsirnya: “Dan semasa kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar al-Qur‘an, setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah setengah kepada yang lain: “Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya”. Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran al-Qur‘an itu) dengan memberi peringatan dan amaran.” (Surah al-Ahqâf: 29)
Yang jahat di kalangan mereka pula akan sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia, seperti firman Allah menceritakan kata-kata iblis:
Tafsirnya: “Iblis berkata: “Demi kuat kuasaMu (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hambaMu yang mukhlis (yang bersih daripada sebarang kederhakaan dan penyelewangan).” (Surah Shâd: 82-83)
Selain menggoda dan mendorong kepada waswas, golongan jin penderhaka juga boleh memudaratkan manusia dengan berbagai-bagai kemudharatan. (iii) Qarîn: Telah sah dan sabit dalam hadis, bahawa setiap manusia itu ada qarîn atau teman yang sentiasa bersamanya semenjak dia dilahirkan lagi sampailah dia meninggal dunia. Imam Muslim telah meriwayatkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Tiada seseorang daripada kanak-kanak yang dilahirkan itu terlepas daripada tusukan (gangguan) syaitan, maka kanak-kanak itu pun menangis akibat gangguan syaitan itu, kecuali anak Maryam Isa ‘Alaihissalam) dan ibunya (Maryam sendiri).” (Hadis riwayat Muslim)
Untuk lebih jelas lagi dipetik pula riwayat Imam Muslim selanjutnya bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Tiada seseorang pun daripada kamu, melainkan diwakilkan bersamanya qarîn daripada kalangan jin.” Sahabat bertanya: “Apakah Tuan juga, wahai Rasulullah?” Nabi menjawab: “Ya, aku pun begitu juga, akan tetapi Allah telah menolongku menguasainya, maka dia pun Islam dan tidak menyuruh aku melainkan dengan kebajikan sahaja.” (Hadis riwayat Muslim)
Daripada maksud hadis-hadis ini menunjukkan qarîn-qarîn manusia itu kecuali qarîn Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah bersifat mengganggu dan perosak serta menyesatkan.
Walaupun manusia itu tidak berupaya menguasai dan mengatasi jin, kecuali bagi orang yang diberikan izin oleh Allah seperti Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam, namun tiadalah terhalang daripada berlakunya manusia itu dapat berhubung dan bekerjasama dengan jin pada mencapai setengah-setengah maksud manusia itu. Hubungan dan kerjasama ini boleh tercapai dengan berbagai cara dan keadaan. Perkara ini berlaku kepada sebahagian orang di zaman lampau mahupun zaman sekarang.
Perkara bekerjasama dengan jin ini biasanya berlaku kepada dukun-dukun, tukang-tukang ramal dan tukang-tukang sihir, dan adapun hubungan atau kerjasama itu pada masa sekarang disebut sebagai menghadirkan atau memanggil roh.
Qarîn daripada kalangan jin mempunyai kemampuan untuk berbohong dan mengada-adakan yang karut-marut, hatta meniru tuannya dalam berbagai keadaan seperti suara dan kadang-kadang juga rupa tuannya itu sendiri.
Qarîn mempunyai pengetahuan tentang tuannya sama ada yang zahir mahupun yang sulit-sulit.
Qarîn-qarîn boleh berhubung sesama mereka sendiri. Qarîn juga ada kalanya menjadi pembantu kepada tuannya dalam kerja-kerja tertentu, sehingga kerja-kerja itu menjadi senang ataupun sebaliknya kerja-kerja itu menjadi susah kerana qarîn meletakkan halangan-halangan dan gangguan-gangguan. Selain daripada itu boleh juga terjadi perkara-perkara yang lain lagi, berdasarkan alam jin itu mempunyai keanehan-keanehan yang tersendiri.
Maka apabila seseorang manusia itu berusaha dengan cara tertentu atau dengan berbagai jalan untuk menghadirkan atau mendatangkan roh, adalah qarîn orang itu akan berupaya menerima suara-suara, dan kemudian akan memberitahukan berbagai hal dan berbagai perkara ghaib yang telah disepakati oleh para qarîn melalui pertukaran maklumat sesama mereka. Selepas itu orang pun menyangka bahawa yang bercakap itu ialah roh orang mati yang telah dipanggil itu. Padahal yang bercakap itu ialah qarîn-qarîn sendiri yang membawa berita dan cerita yang bercampur-campur, yang direka-reka dan dusta. Adalah semata-mata bohong cerita-cerita yang disuarakan oleh qarîn-qarîn itu yang berupa perkara-perkara ghaib seperti alam kubur, nikmat kubur, azab kubur dan kejadian-kejadian yang akan berlaku seperti bila terjadi Kiamat, kerana qarîn-qarîn itu juga sama sekali tidak mengetahui perkara-perkara ghaib. firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) tiada siapa pun di langit dan di bumi ini mengetahui perkara ghaib melainkan Allah.” (Surah an-Naml: 65)
Al-Qur‘an al-Karim telah menceritakan dengan jelasnya berkenaan jin Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam. Ketika Nabi Sulaiman wafat, tidak siapa pun tahu bahawa Baginda itu telah wafat, termasuklah juga jin-jin yang sentiasa berkhidmat kepada Baginda. Mereka melihat Nabi Sulaiman seperti biasa di atas tongkatnya, sehingga mereka menyangka bahawa Baginda itu masih hidup, padahal Baginda sebenarnya sudahpun wafat. Perkara ini berjalan sekian lamanya, sehinggalah dengan takdir Allah, anai-anai telah memakan tongkat Baginda itu lalu tongkat itupun patah dan Baginda tumbang tersungkur, barulah jin-jin itu tahu rupanya Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam telah wafat. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Setelah Kami tetapkan berlakunya kematian Nabi Sulaiman, tidak ada yang menjelaskan kepada mereka tentang kematiannya melainkan semut putih (anai-anai) yang telah memakan tongkatnya. Maka apabila dia tumbang tersungkur, barulah jelas kepada golongan jin itu, bahawa kalaulah mereka sedia mengetahui perkara ghaib nescaya tidaklah mereka itu tinggal sedemikan lamanya di dalam azab (kerja berat) yang menghinakan.” (Surah Saba’: 14)
Bagaimanakah Perempuan Mencari Jodoh?
Jawabnya: Hendaklah perempuan jangan menolak seorang lelaki yang datang meminangnya padahal lelaki tersebut sekuf’ dengannya. Begitu juga walinya janganlah enggan dan menolak untuk mengahwinkan anaknya itu.
Jika perempuan itu menolak atau walinya enggan menerima pinangan dan menolak, maka ini bermakna kedua-dua mereka telah melakukan kesilapan dan kecuaian pada memenuhi salah satu daripada tuntutan dan tanggungjawab agama yang sangat besar. Jika berlakulah perkara buruk (maksiat) akibat daripada kesilapan dan kecuaian ini, maka sudah tentu dosanya akan ditanggungkan sama-sama kepada mereka.
Kita elok melihat dan mencontohi masyarakat Muslimin generasi pertama, di mana kaum as-salaf ash-shâlih dan para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menjalani suatu sunnah yang indah dalam perkara menyegerakan perkahwinan anak-anak mereka. Sunnah atau cara tersebut ialah: Para wali akan sentiasa memantau dan mencarikan lelaki yang salih untuk dikahwinkan dengan anak-anak atau adik-beradik perempuan mereka. Ini kadang-kadang mereka lakukan secara terbuka dan berterus-terang tanpa segan silu, tidak seperti pada hari ini, apabila pihak perempuan yang meminang, maka perkara ini akan dianggap aneh dan aib sehingga melahirkan pepatah: “Perigi Mencari Timba”. Ini sebenarnya tidak selari dengan ajaran agama. Janganlah ada orang yang menyangkanya sebagai ajaran agama. Ianya tidaklah lebih dari suatu anggapan semata-mata, anggapan yang tidak berlandaskan syara‘.
Jika kita mahu melihat daripada kaca mata agama yang sebenar-benarnya, maka inilah kita bawakan contoh seperti di bawah ini:
Sayyidina ‘Umar Ibnu al-Khaththab Radhiallahu ‘anhu, manakala suami puterinya Hafshah, Khunais bin Hudzafah, meninggal dunia akibat perang Uhud, beliau dengan tidak segan-segan menawarkan puterinya itu kepada sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk dikahwini. Mula-mula dia menawarkannya kepada Sayyidina ‘Utsman bin ‘Affan Radhiallahu ‘anhu. Sayyidina ‘Utsman minta waktu untuk berfikir. Beberapa hari kemudian Sayyidina ‘Utsman menemui Sayyidina ‘Umar lalu berkata: “Setelah aku fikirkan, ternyata aku tidak berminat untuk berkahwin pada hari ini.”
Setelah itu Sayyidina ‘Umar menawarkan pula puterinya kepada Sayyidina Abu Bakar ash-Shiddiq Radhiallahu ‘anhu. Sayyidina Abu Bakar diam tidak memberi jawapan sehingga menyebabkan Sayyidina ‘Umar marah, bahkan kemarahannya kepada Sayyidina Abu Bakar itu melebihi daripada kemarahannya kepada Sayyidina ‘Utsman - Radhiallahu ‘anhum ajma’in.
Didorong oleh kedua-dua kejadian yang sangat menyinggung perasaannya itu, Sayyidina ‘Umar lalu menemui Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk mengadukan sikap Sayyidina ‘Utsman yang menolak dan sikap Sayyidina Abu Bakar yang tidak mahu ambil hirau itu. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan hikmah memberikan jawapan: “Mudah-mudahan Allah mentakdirkan bagi anak perempuanmu itu seorang suami yang lebih baik daripada ‘Utsman, dan mentakdirkan bagi ‘Utsman pula seorang isteri yang lebih baik daripada anak perempuanmu.” Perkara ini disebut oleh al-Bukhari dalam riwayatnya:
Maksudnya: “Bahawasanya ‘Umar bin Khaththab ketika Hafshah binti ‘Umar telah menjadi janda daripada Khunais bin Hudzafah as-Sahmiy dan dia merupakan salah seorang sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang wafat di Madinah.
Maka ‘Umar bin Khahthtab berkata: “Saya datang kepada Utsman bin ‘Affan lalu saya tawarkan Hafshah kepadanya.
Lalu dia berkata: “Saya akan melihat urusanku”. Lalu saya menginap beberapa malam. Kemudian dia menemui saya.
Katanya lagi: “Benar-benar telah nampak kepadaku untuk tidak kahwin pada hari ini.”
‘Umar berkata: “Lalu saya temui pula Abu Bakar ash-Shiddiq seraya saya berkata: “Jika engkau mahu, maka saya akan mengahwinkan engkau dengan Hafshah binti ‘Umar.”
Lalu Abu Bakar diam, sehingga dia tidak memberikan jawapan kepada saya sedikitpun. Dan dia benar-benar telah membuat saya marah kepadanya mengatasi (kemarahan saya) ke atas Utsman. Kemudian saya menginap beberapa malam.
Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melamarnya, lalu saya mengahwinkan Hafshah dengan Baginda. Maka Abu Bakar menemui saya seraya berkata: “Benar-benar engkau telah marah kepadaku, ketika engkau menawarkan Hafshah kepadaku, tetapi aku tidak memberikan jawapan kepadamu sedikitpun.”
‘Umar berkata: “Saya jawab: “Ya”.
Abu Bakar berkata: “Sesungguhnya tidak ada yang menghalangiku untuk memberi jawapan kepadamu terhadap apa yang telah engkau tawarkan kepadaku, hanya saja aku sudah tahu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menyebut-nyebutnya (Hafsah) sehingga aku tidak mahu membuka (menyiarkan) rahsia Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Dan andaikata Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam meninggalkannya (membiarkan dan tidak meminangnya) tentulah aku menerimanya.” (Irsyâd as-Sârî: 11/462)
Keadaan seperti yang dilakukan oleh Sayyidina ‘Umar bin al-Khaththab ini banyak berlaku di kalangan generasi pertama kaum Muslimin dan generasi yang berikutnya, kaum tâbi’în. Mereka secara terus-terang menawarkan anak-anak atau wanita-wanita yang berada di bawah penjagaan mereka kepada kaum lelaki yang salih, tanpa mengira sama ada tawaran itu diterima atau ditolak. Semua ini dilakukan semata-mata untuk memenuhi tanggungjawab menunaikan amanah Allah. Bagi anak-anak perempuan itu pula cukup memahami tujuan para ibu bapa berbuat demikian itu, kerana itulah mereka tidak membantah, malahan sentiasa bersedia untuk mentaatinya. Berbeza dengan masyarakat sekarang, trend ini telah hampir dilupakan orang, bahkan dianggap lapuk dan ketinggalan zaman. Jika terdapat sebarang orang yang mahu mencubanya, nescaya orang tersebut akan dianggap aneh atau luar biasa dan mungkin juga diejek sebagai mahu menjual barangan yang tidak laku.
Di dalam keadaan tertentu, wanita juga boleh menawarkan dirinya sendiri untuk dikahwini. Ini memanglah kedengarannya aneh, tetapi di segi syara‘ ianya adalah harus dan boleh. Wanita dibenarkan memilih jodohnya sendiri, lebih-lebih lagi jika dia tidak mempunyai sebarang wali untuk memilihkannya jodoh yang baik, atau dia sendiri memang amat mengingini seorang lelaki salih yang kuat agama untuk menjadi pasangannya. Jika inilah niatnya yang mendorongnya bertindak seumpama itu, maka ia bukan sahaja harus, malah juga membawa pahala kepadanya.
Sebuah hadis yang berasal daripada Anas Radhiallahu ‘anhu menjadi dalil dan memperaku perkara ini:
Maksudnya: “Telah datang seorang perempuan kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menawarkan dirinya untuk dinikahi oleh Baginda. Dia berkata: “Wahai Rasulullah, apakah tuan inginkan diri saya?” Anak perempuan Anas (yang ketika itu hadir) berkata: “Alangkah tidak pemalunya, alangkah buruknya, alangkah buruknya perempuan itu”. Anas menjawab: “Dia adalah lebih baik daripada dirimu. Dia menyukai Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, kerana itulah dia menawarkan dirinya untuk dikahwini oleh Baginda.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Daripada peristiwa ini, kita dapat mengambil kesimpulan penting mengenai beberapa ciri kelebihan perempuan Muslimah, antaranya:
Pertama: Perempuan ini adalah seorang yang berhimah lagi bijaksana. Sungguhpun dia menawarkan dirinya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, namun dia masih berjaya mempertahankan kesopanannya selaku seorang perempuan. Dia hanya menggunakan ungkapan yang layak lagi penuh beradab. Kita perhatikan ungkapannya itu: “Apakah Tuan inginkan diri saya?” Dia tidak berkata, misalnya: “Saya mahukan Tuan untuk menikahi saya.”
Kedua: Sikap perempuan itu adalah betul kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak menyalahkannya, apatah lagi mencelanya. Anas Radhiallahu ‘anhu juga dengan tegas membantah anak perempuannya yang mencela perempuan tersebut, dan bahkan menegaskan yang perempuan berkenaan itu adalah lebih baik daripada anaknya sendiri, iaitu demi kecintaannya terhadap Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sehingga mendorongnya bertindak menawarkan dirinya kepada Baginda. Ertinya dari segi agama perbuatan perempuan tersebut adalah tidak menyalahi hukum syariat.
Ketiga: Hanya mengambil sikap mendiamkan diri sebagai isyarat penolakannya terhadap tawaran perempuan ini. Baginda tidak menolaknya dengan perkataan atau reaksi secara berterang-terangan, kerana hendak menjaga perempuan daripada tersinggung dan merasa malu. Ini juga menunjukkan satu daripada kemuliaan akhlak Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Perkara pokok yang ditakuti daripada perbuatan melambat-lambatkan perkahwinan ialah berlakunya maksiat zina. Tidak syak lagi ia turut mengancam kesejahteraan masyarakat dan negara. Kerana zina berpotensi besar untuk mendatangkan berbagai malapetaka, terutamanya malapetaka penyakit-penyakit ganjil yang merbahaya yang belum pernah diketahui sebelumnya. Lihat sajalah AIDS sebagai contoh, yang hingga sekarang menjadi pembunuh utama yang belum ditemui penyembuhnya. Perkara ini telah pun diperingatkan oleh Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Daripada Abdullah bin ‘Umar katanya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam datang menemui kami lalu bersabda: “Wahai (kamu) kalangan Muhajirin! Ada lima perkara apabila kamu diuji dengannya, aku pun berlindung dengan Allah daripada perkara-perkara tersebut menimpa kamu, (iaitu salah satu): Tidak muncul perkara keji (zina) di dalam suatu kaum sehingga mereka melakukannya dengan terang-terangan, melainkan merebaklah dalam kalangan mereka itu penyakit taun dan pelbagai penyakit yang belum pernah wujud (menimpa) orang-orang yang terdahulu daripada mereka.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Kesimpulannya, perkahwinan itu pada dasarnya adalah sunat, tetapi akan menjadi wajib apabila seseorang itu takut terjerumus kepada al-fawâhisy (perkara-perkara keji) yang boleh membinasakan agama dan dunianya terutama maksiat zina. Di dalam kedudukan seperti ini, tidak syak lagi, perkahwinan itu dengan sendirinya wajib disegerakan.
Berkata al-Qurthubi: “Para ulama kita berkata bahawa hukum wajib atau sunat perkahwinan itu adalah tertakluk kepada keadaan diri orang mukmin itu, iaitu adakah dia takut terjerumus kepada perzinaan dan tidak sabar menahan diri ataukah sebaliknya dia tidak mempunyai perasaan yang seperti itu? Jika dia mempunyai perasaan: Kiranya dengan tidak berkahwin akan membinasakan urusan agama dan dunianya, maka pada ketika itu, perkahwinan adalah wajib baginya. Barang siapa berkeinginan untuk kahwin dan dia mampu untuk mengahwini seorang perempuan yang merdeka, maka sunat baginya kahwin. Akan tetapi jika dia tidak mampu, hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu boleh mengurangkan nafsu syahwat.”
Sementara itu, bagi perempuan pula, al-Imam ar-Ramli dalam kitabnya, Nihâyah al- Muhtâj menyebut:
Ertinya: “Dalam kitab at-Tanbîh menyebutkan bahawa mana-mana perempuan yang harus baginya nikah, sekiranya dia menghajatinya, sunatlah dia nikah, dan jika tidak, adalah makruh jua. Inilah pendapat yang dinukil oleh al-Azra‘i daripada al- Ashhâb (sahabat-sahabat asy-Syafi‘e). Kemudian al-Azra’i juga menukil tentang wajib kahwin ke atas perempuan.”
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9070
