Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الطهارة

Melambatkan Sembahyang Sehingga Datang Uzur Syar‘i (Haidh)

Soalan: Apakah hukum bagi seorang Muslimah yang melambatkan solat fardhu dan apabila hendak mengerjakannya didapati haidhnya tiba? Bagaimanakah keadaan tersebut?

Jawapan: Pengertian Melambatkan

Persoalan ini ada kaitan dengan al-amr (perintah) dari sudut: al-wujûb (wajib), al-faur (segera), al-waqt (tempoh) dan lain-lain. Dalam pembahasan ilmu usul fiqh disebutkan bahawa jika perintah itu secara mutlak tidak disertai tanda-tanda tertentu, seperti perintah sembahyang fardhu yang lima, ia bermakna wajib dipatuhi sebaik saja bermula tempoh kewajipan itu berkuat kuasa, dan wajib ini ada yang disebut wajib muwassa‘. Tempoh mula kewajipan ini ialah sebaik saja masuk waktunya.

Imam asy-Syirazi Rahimahullah memperjelas perkara ini dengan berkata bahawa apabila Allah Ta‘ala memerintah supaya melakukan satu-satu ibadat dalam satu jangka (tempoh) tertentu, maka hal ini perlu ditinjau dan dianalisis. Jika ibadat berkenaan meliputi kepada keseluruhan waktu atau tempoh yang diperuntukkan untuknya, dan waktu lain tidak termasuk kepadanya, seperti puasa bulan Ramadhan, maka kewajipan melakukannya berkait dengan keseluruhan waktunya itu. Oleh sebab itu wajiblah terus melakukan ibadat berkenaan sebaik saja waktunya tiba sehingga berakhir tempoh waktu kewajipan itu.

Tetapi sekiranya ibadat itu mempunyai tempoh waktu yang panjang dan tempoh melaksanakan perintah ibadat itu tidak meliputi seluruh waktu yang ditetapkan (muwassa‘), seperti perintah ibadat sembahyang, maka kewajipan melakukannya ialah di awal waktu secara wajib muwassa‘. (Asy-Syirazi, Syarh al-Luma‘: 245-246).

Jenis perintah wajib pertama di atas tidak ada ruang melambat atau menangguhkannya kerana apabila dilambatkan daripada waktunya bermakna telah mengeluarkannya daripada waktunya dan ini tidak boleh berlaku. Jika hal ini berlaku, bukan dinamakan melambatkan, tetapi meninggalkan perintah wajib. Jadi perintah dalam jenis ini tidak ada istilah melambatkan, dan yang ada ialah sama ada menunaikan atau meninggalkan kewajipan.

Manakala jenis perintah wajib kedua di atas, jika tidak ditunaikan pada awal waktu, sedangkan kewajipan sudah bermula di awal waktu, tetapi dilakukan masih dalam tempoh waktunya yang luas itu, maka inilah pengertian melambat-lambatkan.

Contoh: Sembahyang Zuhur wajib dilakukan apabila waktunya masuk. Waktu yang ditetapkan melakukan kewajipan sembahyang fardhu Zuhur ini misalnya 3 jam bermula jam 12.12 sehingga jam 3.23 (pada 1/10/2002). Apabila tepat jam 12.12, orang yang berkewajipan terus istinjâ’, berwudhu, menutup aurat (berpakaian), azan, sembahyang sunat rawâtib dua atau empat rakaat, iqâmah, kemudian barulah menunaikan perintah wajib, iaitu sembahyang fardhu Zuhur. Tindakan seperti ini dinamakan telah menunaikan perintah wajib.

Walaupun tidak terus melakukan fardhunya yang asas (iaitu sembahyang Zuhur) sebaik saja masuk waktu, perbuatan itu telah dinamakan menyahut atau menunaikan kewajipan kerana perbuatan istinjâ’, berwudhu, menutup aurat, azan, sembahyang sunat qabliyah, dan iqâmah, merupakan satu tuntutan sunat dan kesempurnaan fardhu. Kesemua perbuatan ini berakhir jam 12.42 dan mengambil masa selama lebih kurang 30 minit.

Daripada keterangan dan contoh di atas dapatlah diketahui pengertian melambatkan, iaitu tidak melakukan kewajipan sebaik saja tiba waktu kewajipan, tetapi melakukannya terlewat sebelum habis tempoh waktunya.

Bolehkah ini dilakukan?

Boleh tidaknya perkara seperti ini ada kaitan al-amr (perintah) dengan al-‘azm (azam).

Persoalan Perintah, Azam Am dan Azam Khas

Allah Ta‘ala telah memerintah supaya melakukan yang wajib-wajib, seperti taat kepadaNya dengan melakukan apa saja perintah seperti sembahyang fardhu bila tiba waktunya, mengeluarkan zakat bila tiba waktunya, puasa Ramadhan bila tiba waktunya, menghormati al-Qur’an pada bila-bila masa, patuh kepada Nabi setiap saat, patuh kepada ibu bapa dan banyak lagi. Allah juga memerintahkan supaya meninggalkan semua laranganNya, seperti tidak berdusta, tidak mencuri, tidak khianat, tidak melihat aurat perempuan ajnabi, tidak makan riba, tidak minum arak, tidak menerima rasuah sepanjang masa dan banyak lagi.

Semua perintah dan larangan Allah Ta‘ala wajib dipatuhi oleh setiap orang mukallaf, tidak boleh dilanggar, tidak boleh dicuaikan dan semuanya wajib dilakukan apabila kewajipannya muncul jika ia berkaitan dengan waktu seperti sembahyang fardhu, puasa Ramadhan dan setiap saat atau terus menerus tidak melihat aurat ajnabi pada bila-bila masa.

Dalam kaitan ini ulama usul fiqh berkata bahawa sebaik saja seorang itu mukallaf (bâligh), maka dia wajib berazam (iaitu berniat atau memutuskan dalam hati) akan mematuhi semua perintah dan larangan Allah Ta‘ala. Azam jenis ini disebut “azam am” kerana ia berkait dengan apa saja jenis kewajipan yang akan wajib dilakukannya apabila tiba waktu melakukan atau meninggalkannya sepanjang hidupnya.

Mereka juga berkata, bahawa selain azam am ada lagi azam khas. Azam ini berkait dengan tibanya waktu untuk melakukan sesuatu yang wajib dalam waktunya. Misalnya; jika sudah masuk malam Hari Raya Puasa bermakna wajiblah terus mengeluarkan zakat fitrah atau menangguhkan sehingga sebelum habis tempohnya, tetapi wajib ada azam untuk itu, dan seperti jika masuk waktu sembahyang fardhu, maka wajiblah terus melakukannya, atau menangguhkannya sehingga sebelum habis waktunya, tetapi wajib ada azam di awal waktu untuk ini. Inilah azam khas.

Mereka berkata bahawa kewajipan azam ini ialah untuk tidak dianggap cuai dan supaya tidak berdosa jika terjadi uzur syar‘i sebelum sempat melakukannya. Perkara azam ini jarang dibincangkan orang. Salah satu kitab yang membincangkannya ialah kitab Fath al-‘Allâm. Muhammad al-Hijaz pengulas kitab ini berkata:

“Tajuk “Azam Khas dan Azam Am” ini sangat bernilai, saya berpendapat tuan tidak akan menemuinya dalam kitab-kitab lain. Oleh sebab itu ambillah dan sampaikan kepada orang lain supaya tuan beroleh pahala sebagai seorang penuntut dan guru.” (Fath al-‘Allâm: 2/89)

Apabila Masuk Waktu Wajib Berazam

Berdasarkan analisis ulama fiqh dan usulnya, apabila masuk waktu sembahyang fardhu, wajiblah dilakukan salah satu daripada dua perkara:

1. Terus menunaikannya, atau 2. Membuat azam dalam hati akan menunaikannya dalam waktunya.

Pengarang kitab Fath al-‘Allâm Rahimahullah berkata:

“Sebaik saja masuk waktu (sembahyang fardhu), wajiblah dilakukan salah satu daripada dua perkara: “Sama ada melakukannya terus atau berazam melakukannya dalam waktunya. Jika kewajipan ini tidak dilakukan dan tidak berazam akan melakukannya dalam waktunya, maka dia berdosa.” (Fath al-‘Allâm: 2/89).

Jika perkara pertama dilakukan, bermakna kewajipan telah selesai dan pahala sudah menanti. Sekiranya setelah itu dia meninggal dunia, tidak ada lagi dosa mengenainya.

Jika perkara kedua yang dilakukan (berazam), bermakna kewajipan belum tertunai dan pahalanya belum diperolehi. Sekiranya meninggal dunia atau ada halangan yang menghalang melakukannya, seperti datang haidh, beranak, pengsan, hilang akal dan lain-lain uzur syar‘i sehinggalah habis waktunya, maka dia tidak berdosa kerana adanya azam.

Pengarang Fath al-‘Allâm Rahimahullah berkata:

“Jika seseorang itu bermaksud melambatkannya daripada awal waktu dan melakukannya dalam waktunya, adalah harus, tetapi dengan syarat pada saat itu dia wajib berazam melakukannya sebelum habis waktunya mengikut qaul yang ashah, dimana sekiranya dia mati dalam waktu itu setelah berazam tetapi belum sempat melakukannya dan waktunya masih cukup untuk melakukannya, maka dia tidak berdosa. Berbeza jika dia tidak melakukan azam tersebut, di mana sekiranya dia mati dalam waktu kewajipan itu sebelum sempat melakukannya, dia adalah berdosa.” (Fath al-‘Allâm: 2/88).

Bila Haram Melambat-lambatkan Sembahyang?

Walaupun harus melambatkan melakukan sembahyang fardhu setelah berazam, tetapi adalah haram melambat-lambatkannya sehinga ke suatu waktu yang tidak cukup masa untuk memenuhi semua rukun yang fardhu dalam sembahyang. Andainya memulai pekerjaan sembahyang pada ketika itu, maka tidak harus baginya melakukan yang sunat-sunat, bahkan wajib terus kepada perkara-perkara wajib sahaja dan berniat sembahyang ‘adâ’an’ (tunai), kiranya baki waktu yang tinggal hanya cukup satu rakaat sahaja.

Adapun kalau seseorang itu memulai pekerjaan sembahyang, sedang waktu sembahyang masih tinggal cukup-cukup untuk memenuhi fardhu-fardhunya sahaja, maka harus baginya melakukan tuntutan sunat dalam sembahyang, bahkan inilah yang afdhal menurut qaul mu‘tamad sebagaimana dalam kitab an-Nihâyah, sekalipun akan terkeluar sembahyang atau sebahagiannnya daripada waktunya. (Fath al-‘Allâm: 2/89)

Fadhilat Awal Waktu

Walaupun harus melambatkan mengerjakan sembahyang dari awal waktu sehingga sebelum habis waktu setelah terlebih dahulu berazam, tetapi adalah lebih baik melakukannya di awal waktu walaupun sembahyang ‘Isya’ menurut qaul mu‘tamad, sebagaimana sabit bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah ditanya:

Maksudnya: “Apakah amalan-amalan paling afdhal?” Lalu Baginda menjawab: “Sembahyang pada awal waktunya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Lain-lain hadis yang menerangkan kelebihan awal waktu itu ialah:

Maksudnya: “Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu katanya: “Saya telah bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tentang amalan-amalan yang lebih disukai oleh Allah Ta‘ala. Sabda Baginda: “Sembahyang pada waktunya.” (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi dan an-Nasa’i)

Maksudnya: “Dan diriwayatkan daripada Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma, sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Awal waktu daripada sembahyang itu keredhaan Allah dan akhir waktu kemaafan Allah.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan ad-Daraquthni)

Diriwayatkan oleh ad-Daraquthni lagi:

Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Awal waktu itu keredhaan Allah, pertengahan waktu rahmat Allah dan akhir waktu kemaafan Allah ‘Azza wa Jalla.” (Hadis riwayat ad-Daraquthni)

Berkata Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu: “Keredhaan Allah lebih kami sukai daripada kemaafanNya.”

Berdasarkan keterangan di atas disimpulkan:

1. Setiap orang mukallaf wajib melakukan semua perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya. Azam ini dinamakan ‘azam am’.

2. Setiap orang mukallaf apabila tiba waktu sembahyang dia wajib terus melakukan sembahyang, atau dia terus membuat azam akan melakukannya dalam waktunya. Azam ini dinamakan ‘azam khas’.

Jika telah membuat azam, kemudian timbul uzur syar‘i yang menyebabkan tidak lagi dapat melakukannya dalam waktunya, seperti datang haidh, lupa, sakit tenat atau meninggal dunia tidaklah dia berdosa.

Sebaliknya, jika belum melakukannya apabila waktunya tiba dan tidak pula membuat azam, kemudian timbul uzur syar‘i yang menyebabkan tidak lagi dapat melakukannya dalam waktunya, seperti datang haidh, sakit tenat atau meninggal dunia adalah dia berdosa.

3. Perkara kedatangan haidh setelah masuk waktu dan belum sempat menunaikan sembahyang fardhu (seperti yang ditanya), maka sembahyang berkenaan wajiblah diqadha setelah suci, sama ada telah berazam atau belum.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9121