Kelebihan Ayat Al-Kursiy Dan Ayat 128-129 Surah At-Taubah
Soalan: Dengan hormat sukacita dipohonkan bagi mendapatkan pandangan dan fatwa Yang Dimuliakan Lagi Di Hormati Pehin Mufti Kerajaan berhubung dengan ayat al-Kursiy dan ayat 128-129 surah at-Taubah yang ditulis di dalam sehelai baju dan tali pinggang jenis besi kemudian dipakai bagi tujuan mempertahankan diri.
Jawapan: Sememangnya ayat-ayat al-Qur’an itu mempunyai kelebihan dan keistimewaan. Banyak hadis-hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam menjelaskan tentang kelebihan sesuatu surah atau ayat daripada al-Qur’an yang boleh didapati di dalam bab Fadhâ’il as-Suwar. Di antara ayat-ayat itu ialah ayat al-Kursiy dan ayat yang ke- 128 dan 129 daripada surah at-Taubah iaitu:
Kelebihan Ayat Al-Kursiy
Di dalam sebuah kitab yang berjudul Ayat al-Kursiy: Ma‘ânîha wa Fadhâ’iluha karangan Imam al-Hafidz Jalaluddin as-Suyuthi yang ditahqîq dan diulas oleh Yusuf al-Badriy dan disemak oleh Dr. Mohd ‘Asyur, terdapat penjelasan tentang ayat al-Kursiy termasuk kedudukan, keberkatan, tafsiran dan fadhilatnya. Di antara fadhilat dan keberkatan serta kedudukannya dengan bersandarkan kepada hadis-hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam ialah:
(1) Menjadi pengawas dan pengawal bagi orang yang membacanya daripada ditimpa bencana.
(2) Menghilangkan kesusahan dan penghapus kesedihan. (3) Menjaga pembacanya daripada terkena penyakit gila. (4) Menyebabkannya masuk syurga. (5) Menjadi penyebab suatu doa dikabulkan. (6) Melindungi kanak-kanak. (7) Memudahkan ibu-ibu mengandung melahirkan anak. (8) Memberi keberkatan bagi amal-amal salih. Di antara hadis-hadis yang menyebut tentang kelebihan-kelebihan tersebut ialah: 1. Dimakbulkan Doa.
Maksudnya: Daripada Abu Umamah dalam sebuah hadis marfû’, Baginda bersabda: “Nama Allah yang Maha Agung, yang mana jika seseorang berdoa denganNya nescaya akan dikabulkanNya, ada di dalam tiga surah iaitu surah al-Baqarah, Âli ‘Imran dan Thâhâ”. Berkata Abu Umamah: “Lalu aku pun m e n c a r i n y a d a n m e n d a p a t i n y a a d a d i d a l a m s u r a h a l - B a q a r a h p a d a a y a t a l - K u r s i y: ( هللا ال إله إال هو احلي القيوم ) di dalam surah Âli ‘Imran ) ) dan di dalam surah Thâhâ pada ayat: وعنت (Hadis ditakhrîjkan oleh Ibnu Abu ad-Duniya di dalam kitab ad-Du‘â’, dan oleh ath-Thabarani, Ibnu Mardawih dan al-Harawi dalam kitab Fadhâ‘il, dan al-Baihaqi dalam kitab al-Asmâ’ wa ash- Shifât, juga daripada Ahmad, Ibnu Majah dan at-Tirmidzi, at-Tirmidzi berkata hadis ini adalah hadis shahîh, tanpa menyebut perkataan ( 2. Sebagai Pengawas Dan Penjaga.
Maksudnya: “Daripada Ibnu Mas‘ud katanya: “Telah berkata seorang lelaki: “Wahai Rasulullah ajarkanlah kepadaku sesuatu semoga Allah menjadikannya bermanfaat kepadaku”. Baginda bersabda: “Bacalah ayat al-Kursiy, maka sesungguhnya ia akan menjagamu, zuriatmu dan akan menjaga rumah kediamanmu sehinggakan rumah-rumah yang ada di sekeliling rumahmu.” (Hadis ditakhrîjkan oleh al-Muhamiliy di dalam kitab Fawâ’idnya)
3. Sebagai Pelindung.
Maksudnya: “Daripada Ali: “Aku mendengar Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang membaca ayat al-Kursiy setiap kali selepas sembahyang tidak akan ada yang menghalangnya daripada memasuki syurga kecuali mati, dan sesiapa yang membacanya ketika hendak berbaring untuk tidur, Allah menyelamatkannya, rumahnya, rumah tetangganya dan penghuni rumah-rumah sekitarnya.” (Hadis ditakhrîjkan oleh al-Baihaqi)
4. Memudahkan Melahirkan Anak.
Maksudnya: “Daripada Fatimah binti Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawasanya Rasulullah ketika mana dekatnya saat Fatimah melahirkan, Baginda menyuruh Ummu Salamah dan Zainab binti Jahsy untuk menemui Fatimah dan supaya keduanya membacakan di sisinya ayat al-Kursiy dan ayat إنربكم هللا ) ) sehingga akhir ayat, dan memperlindungkannya dengan membacakan di sisinya al-mu‘awwidzatain (Hadis ditakhrijkan oleh Ibnu as-Sunniy)
5. Menghalau Syaitan.
Maksudnya: “Di dalam surah al-Baqarah ada ayat yang merupakan penghulu ayat-ayat al-Qur’an, tidak dibaca di dalam sebuah rumah yang terdapat di dalamnya syaitan melainkan syaitan itu akan keluar daripadanya iaitu ayat al-Kursiy.” (Hadis ditakhrîjkan oleh Sa‘id bin Manshur)
Maksudnya: Daripada al-Hasan bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya Malaikat Jibril datang kepadaku lalu berkata: “Bahawasanya ‘Ifrit daripada kalangan jin akan memperdayakanmu maka apabila engkau hendak tidur bacalah ayat al-Kursiy.” (Hadis ditakhrîjkan oleh Ibnu Abu ad-Dunia di dalam kitab Makâyid asy-Syaithân dan ad-Dainuri di dalam kitab al-Mujâlasah)
6. Menjadi Penyebab Masuk Syurga.
Maksudnya:“Sesiapa yang membaca ayat al-Kursiy selepas setiap kali sembahyang fardhu maka tidak akan ada yang menghalangnya daripada memasuki syurga kecuali mati (Iaitu tidak ada yang menghalangnya daripada memasuki syurga melainkan dia akan mati dan dimasukkan ke dalam syurga).” (Hadis ditakhrîjkan oleh an-Nasa‘i di dalam kitab ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah dan ar-Rauyani di dalam Sunannya)
Martabat Dan Kedudukan Ayat Al-Kursiy Berdasarkan hadis-hadis Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kedudukan ayat al-Kursiy ini adalah seperti berikut:
1) Seperempat daripada al-Qur’an. 2) Ayat yang paling agung di dalam al-Qur’an. 3) Tergantung di Arasy. 4) Simpanan Allah di bawah Arasy.
Martabat ayat al-Kursiy ini adalah bersandarkan hadis-hadis Baginda yang di antaranya:
Maksudnya: “Daripada Ibnu ‘Abbas dia berkata: “Adalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila membaca surah al-Baqarah atau ayat al-Kursiy Baginda tertawa dan bersabda: “Sesunguhnya kedua-duanya itu adalah di antara simpanan Allah ar-Rahman.” (Hadis ditakhrîjkan oleh Ibnu al-Mardawaih)
Maksudnya: “Daripada Abu Umamah dia berkata: “Aku berkata: “Wahai Rasulullah, mana satukah ayat yang diturunkan ke atasmu yang paling agung?” Baginda bersabda: “ هللا ال إله إال هو احلى القيوم iaitu ayat al-Kursiy.” (Hadis ditakhrîjkan oleh Ahmad dan ath-Thabarani)
Demikianlah beberapa keistimewaan atau fadhilat ayat al-Kursiy. Melihat kelebihannya yang banyak itu, tentu tiada siapa yang akan mengabaikannya, kerana beramal dengan ayat al-Kursiy bererti melindungi pembacanya daripada sebarang bencana dan kesusahan.
Kelebihan Ayat 128-129 Surah At-Taubah Al-‘Allâmah as-Sayyid Muhammad al-Husaini az-Zubaidi ketika mensyarahkan kitab Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn karangan al-Imam al-Ghazali ada menyebutkan sebuah hadits dha‘if yang terdapat di dalam kitab Fadhâ’il al-Qurân karangan Abdul Malik bin Habib riwayat Muhammad bin Bakar bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya:“Sesiapa yang melazimkan membaca ayat:
maka dia tidak akan mati ditimpa keruntuhan, lemas dan mati dengan pukulan besi.” (Ittihâf as-Sâdah al-Muttaqîn bi Syarh Ihyâ’ Ulûm ad-Dîn: 5/133)
Di dalam sebuah hadis lagi menjelaskan kelebihan ayat ini yang diriwayatkan oleh ath-Thabarani di dalam bab Doa daripada Anas katanya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengajarkan kepadaku bacaan yang dapat menghindarkan diriku dengannya daripada setiap syaitan yang direjam dan daripada setiap orang yang berbuat dengan sewenang-wenangnya lagi keras kepala.” Seterusnya di hujung hadis ada manyebutkan ayat فقل حس ِب هللا sehingga akhir surah Bara’ah. (Ittihâf as-Sâdah al- Muttaqîn bi Syarh Ihyâ’ Ulûm ad-Dîn: 5/133)
Sabda Baginda lagi:
Maksudnya: “Sesiapa yang membaca pada setiap hari ketika pagi dan petang:
sebanyak tujuh kali nescaya Allah akan memeliharanya daripada sesuatu yang menyusahkannya daripada urusan dunia dan akhirat.” (Hadis ditakhrîjkan oleh Ibnu as-Sunni dan Ibnu ‘Asakir secara marfû‘ dan ditakhrîjkan oleh Abu Daud secara mauqûf daripada Abu ad-Darda’)
Berdasarkan hadis yang tersebut di atas, jelaslah ayat ini mempunyai beberapa keistimewaan, sekaligus dapat menarik perhatian serta mendorong kita untuk membaca al-Qur’an secara umumnya, kerana setiap huruf ayat al-Qur’an yang dibaca, Allah akan kurniakan kepada si pembacanya sepuluh kebajikan.
Selain daripada itu, berkata al-‘Allâmah Syeikh Ahmad as-Sawi al-Maliki di dalam kitab Tafsirnya yang terkenal, “Hâsyiah al-‘Allâmah as-Sawi ‘alâ Tafsîr al-Jalâlain” ketika mentafsir kedua-dua ayat penghujung surah at-Taubah tersebut:
Ertinya: “Kedua-dua ayat ini (ayat ke 128-129 surah at-Taubah ) adalah pelindung daripada segala yang tidak diingini. Telah wârid dalam hadis bahawa sesiapa yang membaca kedua-duanya dengan mengulangi bacaan ayat kedua (ayat 129) tujuh kali pada waktu pagi dan tujuh kali pada waktu petang, dia akan selamat daripada semua yang tidak disukainya sehingga dia mati. Dan sesiapa yang hendak diwafatkan Allah, orang berkenaan dilupakan oleh Allah untuk membacanya.” (Hâsyiah al-‘Allâmah as-Sawi ‘ala Tafsîr al-Jalâlain: 2/177)
Kedua-dua ayat di atas sesuai, bahkan disarankan untuk dijadikan wirid sebagaimana pendapat Hujjatul Islam dan ahli ijtihad mazhab dalam mazhab asy-Syafi‘e iaitu Imam al-Ghazali Rahimahullah di dalam kitabnya Ihyâ’ Ulûm ad-Dîn, beliau berpendapat adalah sunat (mustahabb) membaca beberapa ayat yang mana terdapat pelbagai fadhilat atau kelebihan berdasarkan hadis-hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam. Di antara ayat-ayat yang dimaksudkan ialah ayat al-Kursiy daripada surah al-Baqarah dan dua potong ayat (… لقدجاءكم... / فإم تولوا) daripada surah at- Taubah (Bara‘ah) iaitu untuk dijadikan sebagai wirid.
Menyentuh tentang mempertahankan diri atau berjaga-jaga ini, di dalam bahasa Arab perbuatan ini disebut sebagai ta‘wîdz yang bererti memohon perlindungan dengan menggunakan jampi (ruqyah) atau tamîmah (azimat atau tangkal iaitu sekeping kertas atau beberapa keping kertas yang ditulis padanya beberapa ayat al-Qur’an kemudian digantung pada kepala antara lain tujuannya adalah untuk bertabarruk) dan seumpamanya. Perkara ini adalah harus menurut jumhûr ulama di antaranya Imam as-Suyuthi dengan beberapa syarat antaranya:
(i) Hendaklah terdiri daripada ayat-ayat al-Quran atau nama-nama Allah atau sifat-sifatNya.
(ii) Hendaklah dengan bahasa Arab atau dengan bahasa yang difahami maknanya.
(iii) Hendaklah pengamalnya itu beri‘tiqâd bahawa ta‘wîdz atau ruqyah itu tidak memberi kesan dengan sendirinya bahkan dengan takdir Allah jua.
Penggunaan tangkal atau azimat (tamîmah) mestilah juga memenuhi syarat-syarat yang dikehendaki pada mengamalkan ruqyah seperti di atas. Selain daripada itu sebagaimana yang tersebut di dalam kitab Nihâyah al-‘Amal ada menjelaskan beberapa syarat yang perlu diikuti oleh penulis atau pembuat tamimah iaitu seperti berikut:
1. Hendaklah dia dalam keadaan thahârah (suci daripada hadas).
2. Hendaklah berada di tempat yang suci
3. Hendaklah dia tidak ragu-ragu akan kebenaran tamîmah itu
4. Hendaklah tujuannya untuk menulis tamimah itu bukan sekadar untuk mencuba-cuba.
5. Hendaklah dia melafazkan apa yang ditulisnya itu.
6. Hendaklah dia bermaksud untuk memohon keredhaan Allah di dalam menulis tamîmah itu.
Kesemua syarat di atas adalah antara syarat-syarat sahnya satu-satu tamimah itu. Untuk lebih baik lagi ada setengah ulama menambah iaitu hendaklah penulisnya itu sedang berpuasa. (Fath al-‘Allâm bi Syarh Mursyid al-Anâm: 1/362)
Tujuan bertabarruk dengan ayat al-Qur’an adalah diharuskan dari segi syara’ sama ada dengan menulis ataupun membacanya. Bertabarruk atau mengambil berkat itu termasuklah memohom perlindungan atau memohon penjagaan diri. Ini kerana kedua-dua ayat itu mempunyai kelebihan sebagaimana hadis-hadis Baginda telah menyingkap rahsia serta pelbagai keistimewaannya.
Walau bagaimanapun di dalam perkara menulis ayat-ayat al-Qur’an ini hendaklah ayat-ayat berkenaan terpelihara daripada terdedah kepada perkara-perkara yang boleh membawa kepada kehinaan. Dalam hal ini Imam an-Nawawi berkata:
Ertinya: “Fasal: Menurut mazhab kita, bahawasanya makruh hukumnya mengukir dinding dan pakaian dengan ayat-ayat al-Qur’an dan nama-nama Allah.” (At- Tibyân fî Âdâb Hamalât al-Qur’ân)
Menyentuh tentang hukum makruh memakai pakaian yang diukir atau ditulis dengan ayat al-Qur’an atau nama-nama Allah, al-Khatib asy-Syarbini di dalam kitab al-Iqnâ’ berkata:
Ertinya: “Dan makruh menulis al-Qur’an di dinding sekalipun dinding masjid, pakaian, makanan dan sebagainya. Harus meroboh dinding, begitu juga memakai baju dan memakan makanan (yang diukir atau ditulis dengan ayat-ayat al-Qur’an atau nama-nama Allah). Tidak mengapa melekatnya makanan itu pada sesuatu yang ada di dalam perut. Berlainan halnya dengan menelan kertas yang ditulis dengan nama Allah, maka perbuatan itu adalah haram. Tidak makruh menulis sesuatu daripada al-Qur’an dan dimasukkan ke dalam bekas untuk diminum airnya sebagai ubat, berbeza dengan pendapat Ibnu Abdul Salam yang menghukumkannya haram di dalam fatwanya. Dan memakan makanan itu adalah seperti meminum air, tidak makruh di dalam perkara ini. ” (Al-Iqnâ’: 1/95)
Kesimpulan
Menurut Imam an-Nawawi seperti penjelasan di atas, bahawa adalah makruh hukumnya menulis ayat-ayat al-Qur’an pada pakaian. Oleh yang demikian itu eloklah dibuat cara-cara lain yang wârid seperti mengamalkan bacaan ayat-ayat al-Qur’an, seperti ayat لقد جاءكم... atau mengamalkan apa-apa jua yang menjadi amalan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berupa perlindungan diri daripada jin, syaitan dan makhluk-makhluk jahat yang lain, bukan dengan cara menulis ayat-ayat al-Qur’an itu pada baju, tali pinggang besi atau seumpamanya kerana semua itu ditakuti boleh membawa kepada kehinaan ayat-ayat al-Qur’an tersebut di samping boleh juga mendatangkan macam-macam anggapan dan tohmah kepada pemakainya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9111
