Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Men‘dye’ Atau Menginai Rambut

Soalan: Saya telah membaca berkenaan ‘Persoalan Rambut dan Men‘dye’ bilangan 145 dalam web Tuan, dan saya mengulangi banyak kali agar saya benar-benar faham.

Sebelum ini saya sudah menghantar e-mail kepada Ketua Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia iaitu Dato Dr Ismail Ibrahim, yang sebelum ini bertugas sebagai Ahli Panel Radio IKIM. Saya bertanyakan soalan kepadanya berbunyi:

“Apakah boleh/apakah hukumnya jika isteri saya men‘dye’ atau menginai rambut untuk kecantikan (bukan untuk dipamerkan kepada orang lain, kerana isteri saya akan memakai tudung jika keluar rumah) khas untuk saya.” Dan beliau menjawab:

“Saudara … jika isteri saudara ingin menginai rambut bergantung kepada niatnya, kalau hanya untuk saudara … boleh.

Dan sekarang isteri saya telah menginai rambutnya.

Diharap Tuan dapat mengulas persoalan saya ini.

Jawapan: Persoalan men‘dye’ atau menginai rambut adalah dua persoalan yang berbeza. Men‘dye’ rambut boleh menghalang air sampai ke kulit rambut. Ini menyebabkan air wudhu atau hadas besar tidak terangkat, berlainan dengan inai. Inilah di antara kelainan atau perbezaan antara keduanya itu.

Oleh kerana mewarna rambut ini suatu ‘trend’ atau kecenderungan remaja-remaja sekarang, maka elok kita hurai persoalan mewarna rambut. Lebih-lebih lagi persoalan men‘dye’ rambut.

Bolehkah Mewarna (Dye) Rambut?

Mewarnai rambut yang beruban adalah sunat. Begitu juga dengan janggut yang beruban. Manakala warna yang dibenarkan ialah kekuningan atau kemerahan. Inilah pendapat yang disepakati oleh para ashhâb. (Al-Majmû‘: 1/360-362) Perkara sunat ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya:

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bahawasanya orang-orang Yahudi dan Nashrani tidak mewarnai (rambut atau janggut mereka), kerana itu buatlah kelainan daripada mereka.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Ini diperkuatkan lagi dengan peristiwa ketika Abu Quhafah (ayah kepada Sayyidina Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu) di bawa ke hadapan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pada hari pembukaan Makkah yang mana ketika itu rambut dan janggut dipenuhi dengan uban, lalu Baginda bersabda:

Maksudnya: “Tukarkan (warna uban) itu dengan sesuatu dan jauhilah daripada (menggunakan) pewarna hitam.” (Hadis riwayat Muslim)

Sementara itu pula rambut yang tidak beruban adalah sayugianya ia dikekalkan atau dibiarkan seperti mana aslinya. Ia tidak perlu diwarnakan kecuali jika ada sesuatu yang memerlukan ianya diwarnakan umpamanya untuk tujuan perubatan.

Larangan Mewarnai Rambut Dengan Warna Hitam

Para fuqaha pula sepakat mencela perbuatan mewarnai rambut dengan warna hitam. Adapun pendapat yang shahîh mengatakan bahawa ianya haram digunakan melainkan ke atas orang-orang yang berjihad. (Al-Majmû‘: 1/60-362). Dalil haram mewarnai rambut dengan warna hitam itu adalah berdasarkan riwayat daripada Jabir Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: “Pada hari penaklukan Makkah, dibawa Abu Quhafah ke hadapan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan rambut dan janggutnya berwarna putih seperti tsaghâmah (sejenis tumbuhan yang bunga dan buahnya berwarna putih). Maka Baginda bersabda: “Tukarlah ini dengan sesuatu (yang lain), tetapi jauhilah (daripada menggunakan) warna hitam.” (Hadis riwayat Muslim)

Sementara hadis daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma katanya:

Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Di akhir zaman akan banyak kaum yang mewarnai rambut dengan warna hitam, seperti dada burung merpati, mereka itu tidak dapat menikmati harumnya bau syurga.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Imam an-Nawawi di dalam Syarh Shahîh Muslim menjelaskan kedudukaan hukum mewarna rambut atau janggut yang beruban dengan warna hitam, katanya:

Ertinya: “Dan haram mewarnainya (rambut atau janggut yang beruban) dengan warna hitam menurut pandapat yang ashah. Dan ada qîl (pendapat lain): (Hukumnya) adalah makruh karâhah tanzîh (larangan melakukan sesuatu pekerjaan dengan shîghah karâhah secara jelas atau ada indikasi yang memalingkan larangan itu kepada hukum makruh yakni tidak haram). Adapun pendapat yang terpilih ialah pendapat yang mengatakan keharamannya berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Jauhilah daripada (menggunakan) pewarna hitam”, inilah pendapat menurut mazhab kami (mazhab Syafi‘e).” (Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi: 4/812)

Tidak syak lagi perbuatan mewarnakan rambut dengan warna hitam sudah disebut oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam beberapa abad yang lalu, dan kebenarannya telahpun nyata. Oleh itu jauhilah perbuatan mewarnakan rambut dengan pewarna hitam.

‘Dye’ Rambut Yang Dijual Dipasaran

Mewarna rambut bukan dengan inai tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya dengan alasan bahawa pewarna yang digunakan itu halal ataupun suci.

Pada kebiasaannya pewarna rambut yang dijual di kedai-kedai untuk mewarnakan rambut digunakan kerana dicap dengan perkataan HALAL oleh syarikat pengeluar. Setakat manakah kehalalannya (kesuciannya?) dan apakah ia tidak menghalangi air untuk sampai ke kulit rambut ketika mengangkat hadas kecil dan besar?

Rambut merupakan bahagian yang wajib dibasuh ketika mandi junub atau mengangkat hadas kecil (wudhu). Ini bererti air yang bersih wajib sampai ke semua bahagian rambut termasuk kulit kepala ketika mandi junub atau sebahagiannya ketika berwudhu. Jika ada sesuatu yang menghalangi air untuk sampai membasahi rambut, maka tidaklah sah mandi dan wudhu berkenaan. Sehubungan dengan itu ibadat-ibadat yang dilakukan seperti sembahyang juga menjadi tidak sah kerana hadas atau wudhu tidak terangkat.

Dari itu sekiranya pewarna rambut itu sifatnya melekat melapis rambut, walaupun ianya suci, maka ia sudah menghalangi air untuk sampai ke rambut. Jika ini terjadi, maka mandi junub dalam keadaan rambut diwarnakan dengan bahan tersebut tidaklah sah dan sekaligus sembahyangnya juga tidak sah kerana hadas tidak terangkat.

Berbeza halnya, jika pewarna rambut itu tidak melekat seperti inai, yang sifatnya meresap pada kulit, kuku atau rambut, ianya itu tidaklah menghalangi air daripada sampai kepada bahagian-bahagian yang wajib dibasuh.

Meniru Gaya Dan Fesyen Orang Kafir

Perbuatan mewarnakan rambut dengan bentuk atau gaya seperti orang-orang kafir yang tidak ada dalam akhlak Islam, adalah semua itu dilarang dan hukumnya haram, sekalipun pewarna itu suci, kerana larangan menyerupai mereka itu ada disebut oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan sabda Baginda:

Maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia adalah daripada golongan mereka.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Menurut Ibnu al-Qayyim menyerupai mereka dari sudut penampilan zhâhiriyyah adalah merupakan suatu jalan ke arah menyetujui maksud dan perbuatan serta menganggapnya perkara itu perkara baik.

Dari itu perbuatan menyerupai orang-orang kafir, ini amatlah ditegah, sekalipun bukan bertujuan menirunya demi menjaga iman dan aqidah umat Islam daripada terjebak kepada perkara yang boleh membawa kufur. Wal‘iyadzubillâh.

Sementara itu khusus bagi wanita yang mewarnakan rambut, sudah tentu juga akan membawa kepada mendedahkan aurat, kerana tujuan mewarnakan itu sendiri ialah untuk ditontonkan kepada orang lain. Jika yang menonton itu termasuk bukan mahram, maka adalah jelas perbuatan itu haram di sisi syara‘.

Isteri Menginai Rambut

Mewarnakan uban yang tumbuh pada rambut kepala adalah sunat sama ada lelaki atau perempuan. Tetapi warna yang digunakan mestilah bukan warna hitam. Kecuali harus warna hitam itu sekiranya bertujuan untuk menakutkan musuh ketika berjihad. Begitu juga perempuan diberi kelonggaran menggunakan warna hitam bagi tujuan berhias untuk suaminya, sebagaimana yang disebutkan oleh Ishaq bin Rahawaih. (Al-Majmû‘: Kitâb ath-Thahârah, bâb as-Siwâk: 1/360-362). Demikian juga menurut Syihab ar-Ramli, harus bagi perempuan yang bersuami mewarnai rambutnya dengan warna hitam jika dengan izin suaminya. (Bughyah al-Mustarsyidîn: Bâb ‘Aqîqah: 78)

Sifat Pewarna Rambut

Jika sifat pewarna rambut itu menghalangi air daripada sampai kepada rambut, maka ia tidak boleh dipakai sekalipun suci. Walaupun ada label halal atau suci disebutkan, namun ditinggalkan adalah lebih utama untuk mengelakkan syubhah, kerana tidak jelas dari segi bahan-bahan yang terkandung dan juga keperluan memakainya. Menjauhi perkara syubhah atau samar-samar seperti ini merupakan satu daripada tuntutan syara‘. Dengan mematuhinya bermakna memelihara agama. Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Tinggalkanlah barang yang meragukan engkau kepada apa yang tidak meragukan engkau.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan an-Nasa’i) Sabda Baginda lagi:

Maksudnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram juga jelas (terang) dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia, maka sesiapa memelihara (dirinya daripada) segala kesamaran, sesungguhnya dia telah memelihara bagi agamanya dan kehormatannya. Dan sesiapa yang jatuh ke dalam perkara syubhah (samar), jatuhlah dia ke dalam yang haram. Seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternakannya) makan di dalamnya. Ketahuilah bahawa tiap-tiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah bahawa larangan Allah ialah segala yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa di dalam badan itu ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah seluruh badan dan apabila ia rosak, rosaklah semuanya, ketahuilah itulah dia hati.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9138