Menggugurkan Janin
Soalan: Saya adalah pesakit kanser paru-paru yang telah menerima rawatan chemotherapy dan radiotheraphy daripada Damansara Hospital Kuala Lumpur pada tahun lepas yang hingga kini berterusan menerima rawatan biasa berkala bagi memoniter penyakit yang saya deritai.
Akan tetapi isteri saya baru-baru ini telah disahkan mengandung oleh pihak hospital. Saya sangat bimbang akan keselamatan isteri saya, kerana itulah saya telah mengadakan perbincangan dengan doktor yang membuat rawatan kepada saya. Melalui perbincangan tersebut doktor berkenaan telah menjelaskan bahawa kandungan tersebut boleh mengancam keselamatan isteri saya.
Oleh yang demikian saya dan isteri saya telah membuat keputusan untuk menggugurkan kandungan tersebut. Pertanyaan saya apakah pandangan Islam tentang kedudukan pengguguran tersebut?
Jawapan: Antara yang menjadi kebanggaan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pada Hari Akhirat kelak ialah dengan ramainya umat Baginda. Oleh kerana itu meramaikan zuriat atau keturunan itu adalah dituntut dalam Islam. Suruhan meramaikan zuriat itu disebut secara terus terang sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Anas bin Malik katanya:
Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyuruh berkahwin dan melarang sekeras-kerasnya membujang dan Baginda bersabda: “Kamu kahwinilah wanita yang pengasih dan subur, sesungguhnya aku adalah nabi (berbangga dengan) ramai bilangan kamu di Hari Kiamat.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Nash-nash di atas jelas menggambarkan bahawa agama Islam itu sangat menggalakkan keramaian umatnya dan tidak menyukai amalan memusnahkan keturunan. Salah satu punca kemusnahan baka atau keturunan manusia ialah pengguguran janin.
Pengguguran Janin
Amalan menggugurkan janin di zaman mutakhir ini nampaknya sudah dianggap sebagai suatu alternatif bagi penyelesaian masalah hidup. Ia turut diikuti oleh sebilangan masyarakat kita. Sebahagian pengguguran janin itu dilakukan melalui pihak yang berautoriti seperti pusat kesihatan, hospital dan klinik. Ada juga pengguguran janin yang dilakukan melalui bomoh atau dukun. Tidak kurang juga pengguguran janin yang dilakukan sendiri oleh orang yang ingin menutup malu seperti memakan ubat atau mencederakan janin.
Kejadian Manusia
Hukum pengguguran janin itu antara lain mempunyai kaitan dengan proses pertumbuhan kejadian manusia. Proses pertumbuhan kejadian manusia itu disebut dengan jelas dalam al-Qur’an. Firman Allah:
Tafsirnya: “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada pati (yang berasal) daripada tanah. Kemudian Kami jadikan “pati” itu (setitis) air benih pada tempat penetapan yang kukuh (rahim). Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku; lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging, kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu, Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik pencipta.” (Surah al-Mu’minûn: 12-14)
FirmanNya lagi:
Tafsirnya: “Dialah yang menciptakan kamu daripada tanah, kemudian daripada (setitis) air benih, kemudian daripada sebuku darah beku, kemudian daripada seketul daging; kemudian Dia mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak.” (Surah Ghâfir: 67)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pula bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya seorang daripada kamu dikumpulkan dalam perut ibunya selama empat puluh hari, kemudian (berubah) menjadi segumpal darah seperti itu (masa empat puluh hari), kemudian menjadi sepotong daging seperti itu, kemudian Allah mengutus malaikat kepadanya dengan perintah pencatatan empat kalimat, maka dia (malaikat) mencatat: Amal perbuatannya, ajalnya, rezekinya, dan dia celaka atau bahagia. Kemudian ditiupkan roh kepadanya.” ( Hadis riwayat al-Bukhari)
Pembicaraan para ulama tentang hukum pengguguran janin itu dihubungkan dengan tahap kejadian manusia seperti yang dinyatakan di atas. Pendapat para ulama dalam hal ini difokuskan kepada dua aspek iaitu pengguguran janin sebelum ditiupkan roh dan selepas ditiupkan roh.
Menggugurkan Janin Sebelum Ditiupkan Roh
Para ulama berselisih pendapat berkenaan hukum pengguguran janin sebelum ditiupkan roh, bukan saja di kalangan para ulama mazhab yang empat, bahkan juga di dalam satu mazhab, umpamanya dalam mazhab Syafi‘e terdapat perselisihan pendapat di kalangan mereka. Di antara faktor yang menyebabkan berlakunya perselisihan pendapat dalam perkara ini adalah disebabkan ketiadaan nash atau dalil yang jelas dan terang yang menerangkan hukum mengenainya, sama ada nash atau dalil yang terdiri daripada ayat-ayat al-Qur’an ataupun hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Hanya yang ada ialah nash atau dalil yang menerangkan hukum larangan membunuh jiwa (nyawa) manusia, antaranya firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka; dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) – yang terang daripadanya dan yang tersembunyi; dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan oleh Allah (membunuhnya) melainkan dengan (jalan) yang hak (yang dibenarkan oleh syara‘). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya.” (Surah al-An’âm: 151)
Dengan sebab ketiadaan nash atau dalil yang merujuk langsung kepada permasalahan pengguguran janin, maka para ulama berijtihâd dan mengeluarkan hukum berdasarkan dalil-dalil yang ada hubungkaitnya dengan masalah ini.
Pendapat Ulama Mazhab Syafi‘e Mengenai Pengguguran Janin
Imam al-Ghazali mengatakan bahawa pengguguran janin hukumnya adalah haram secara mutlak pada semua peringkat kehamilan. Alasannya, kerana yang demikian itu merupakan jenayah kepada sesuatu yang sudah wujud dan terhasil.
Al-Imam Ibnu Hajar Rahimahullah Ta‘ala menjelaskan di dalam kitabnya at-Tuhfah bahawa menggugurkan janin selepas berlalu tempoh kandungan selama empat puluh dua malam hukumnya adalah haram. Al-Imam itu dipetik sebagai berkata:
Ertinya: “Para ulama berselisih pendapat mengenai perbuatan yang menyebabkan keguguran kandungan yang belum mencapai tempoh ditiupkan roh iaitu seratus dua puluh hari, dan pendapat yang muttajah (الْمُتهجَه) (yang lebih dicenderungi)
sebagaimana juga pendapat Ibnu ‘Imad dan yang lainnya ialah hukumnya adalah haram. Ketetapan hukum ini tidak bercanggah dengan pendapat bahawa ‘azl itu adalah harus, kerana keduanya (‘azl dan pengguguran sebelum janin ditiupkan roh) mempunyai perbezaan yang jelas. Bahawasanya air mani ketika ianya keluar adalah semata-mata air yang beku atau kental. Berlainan halnya ketika air mani itu mantap di dalam rahim dan mulai terbentuk. Perkara ini dapat diketahui melalui tanda-tanda. Di dalam hadis riwayat Imam Muslim bahawa air mani itu mula membentuk selepas empat puluh dua malam.” (Hâsyiah asy-Syarawani: 8/241).
Menurut al-Imam asy-Syarawani, pengguguran sebelum berlalu empat puluh dua malam iaitu tempoh di mana air mani belum lagi mulai membentuk hukumnya adalah tidak haram, sebagaimana katanya:
Maksudnya: “Dan perkataan Ibnu Hajar: “Dan ianya mulai membentuk” memberi maksud bahawa sebelum ianya mulai membentuk hukumnya adalah tidak haram (melakukan perbuatan yang menyebabkan keguguran kandungan).” (Hâsyiah asy- Syarawani: 8/241).
Al-Imam ar-Ramli Rahimahullah Ta‘ala pula mengatakan bahawa pendapat yang râjih (pendapat yang kuat) ialah pendapat yang mengatakan bahawa menggugurkan janin sebelum ditiupkan roh hukumnya adalah harus. Ini jelas sebagaimana katanya:
Maksudnya: “Dan pendapat yang râjih (kuat) ialah pendapat yang mengatakan haram secara mutlak menggugurkan janin selepas ditiupkan roh dan harus menggugurkan sebelum ditiupkan roh.” (Nihâyah al-Muhtâj: 8/443)
Pendapat Ulama Sekarang
Para ulama zaman sekarang lebih cenderung mengatakan bahawa pengguguran janin sebelum ditiupkan roh adalah tidak diharuskan melainkan jika terdapat sebab darurat yang mendesak untuk berbuat demikian.
Asy-Syeikh Jadul Haq Ali Jadul Haq Rahimahullahu Ta‘ala, bekas Syeikh al-Azhar, Mesir, mengatakan:
Ertinya: “Pendapat yang saya pilih dan yang saya cenderung kepadanya dalam perkara pengguguran sebelum umur janin cukup seratus dua puluh hari di dalam rahim ialah harus menggugurkan janin itu ketika ada darurat, iaitu yang dikatakan oleh para fuqahâ’ sebagai uzur.” (Buhûts wa Fatâwâ Islâmiyyah: 2/406).
Dr. Wahbah az-Zuhaili Hafizahullahu Ta‘ala mengatakan:
Ertinya: “Dan saya juga lebih cenderung untuk mengatakan bahawa pengguguran itu tidak harus sebaik-baik saja bermula kehamilan, kerana satu kehidupan (nyawa) telah sabit, dan janin telahpun mula terbentuk, melainkan jika terdapat keadaan darurat seperti ada penyakit kronik ataupun yang menular, umpamanya penyakit paru-paru atau kanser. Ianya juga diharuskan jika terdapat keuzuran, seperti susu si ibu akan terhenti apabila mengandung sedangkan dia mempunyai anak kecil yang sedang menyusu. Si bapa pula tidak mampu untuk mengupah penyusu, dan ini ditakuti akan membawa bencana kepada anak berkenaan. Dan saya cenderung kepada pendapat ini, kerana saya cenderung kepada pendapat Imam al-Ghazali. Imam itu menganggap pengguguran itu walaupun pada hari pertama mengandung adalah seperti pembunuhan (mengubur hidup-hidup), di mana ia dianggap sebagai jenayah ke atas sesuatu yang wujud dan terhasil.” (Fiqh al-Islâmiy: 3/557).
Dr. Yusof al-Qaradhawi Hafizahullahu Ta‘ala pula menjelaskan ketika beliau menghuraikan kedudukan hukum pengguguran janin sebelum ditiupkan roh dengan katanya:
Ertinya: “Sesungguhnya hukum asal pengguguran itu adalah haram, dan hukum haram itu akan lebih besar setiap kali kehidupan janin itu lebih tetap. Maka pada empat puluh hari pertama kandungan hukum haram itu lebih ringan. Kadang-kadang pengguguran itu akan menjadi harus disebabkan oleh setengah keadaan keuzuran. Pada empat puluh hari seterusnya hukum haram itu akan lebih kuat, maka tidak harus melakukan pengguguran melainkan disebabkan keadaan keuzuran yang lebih kuat berdasarkan pandangan ahli yang berpengetahuan (dalam hal ini). Hukum haram itu akan lebih tegas dan berganda apabila kandungan sudah melewati seratus dua puluh hari, di mana ianya sudah memasuki tempoh apa yang dikatakan di dalam hadis sebagai ‘tiupan roh’.” (Al-Qaradhawi, 2000: 2/602)
Menggugurkan Janin Setelah Ditiupkan Roh
Ulama fiqh sepakat mengatakan bahawa melakukan pengguguran janin setelah roh ditiupkan kepadanya adalah haram dan perbuatan tersebut merupakan suatu dosa dan jenayah melainkan kerana darurat. Wajib diyâh ke atas orang yang melakukannya sekiranya janin itu gugur dalam keadaan hidup dan didenda dengan kadar yang rendah daripada diyâh jika janin itu gugur dalam keadaan tidak bernyawa. (Yas’alûnaka fi ad-Dîn wa al-Hayâh: 2/202).
Pengguguran Kerana Darurat
Hukum asal pengguguran itu adalah haram. Dosa haram itu menjadi semakin besar apabila janin itu semakin sempurna bentuk dan hidupnya.
Menurut Dr Yusof al-Qaradhawi, pada empat puluh hari yang pertama dosa haram itu lebih ringan bahkan harus dilakukan sekiranya ada sebab-sebab yang mendorong dan dii‘tibâr. Selepas empat puluh hari dosa haram itu menjadi semakin besar, tidak harus menggugurkannya kecuali disebabkan oleh sebab-sebab yang amat perlu mengikut pandangan pakar dalam bidang tersebut. Dosa haram itu makin berganda-ganda apabila janin berumur lebih daripada seratus dua puluh hari iaitu setelah ia memasuki peringkat ditiupkan roh. Pada ketika ini tidak harus menggugurkan janin kecuali disebabkan oleh keadaan yang sangat darurat dengan syarat darurat itu betul-betul berlaku, bukan hanya dengan sangkaan atau jangkaan semata-mata. Perlulah diingat bahawa sesuatu yang diharuskan kerana darurat hanya dibolehkan mengikut kadarnya. (Al-Qaradhawi, 2000: 2/602).
Menurutnya lagi, darurat itu hanya berlaku dalam satu bentuk sahaja, iaitu apabila janin tetap kekal berada di dalam rahim ianya akan membahayakan nyawa ibunya. Ini disebabkan ibu merupakan tunjang kepada kewujudan janin sedang janin hanyalah ranting kepada tunjang tersebut. Oleh itu tunjang tidak boleh dikorbankan hanya kerana ranting. Ini adalah logik yang boleh diterima oleh semua: syara‘, akhlak, ilmu perubatan dan undang-undang.
Sebahagian ulama menyandarkan hujjah mereka kepada sejauh mana risiko yang akan timbul. Sekiranya bahaya mengekalkan kandungan atau pun janin itu lebih besar dibandingkan menggugurkan janin, maka pengguguran itu adalah harus atas dasar darurat. Pengguguran janin itu adalah bahaya yang lebih ringan. (Yas’alûnaka fi ad- Dîn wa al-Hayâh: 2/202).
Sebab-Sebab Pengguguran Janin
Jika ditinjau kepada kejadian-kejadian pengguguran janin itu, antaranya adalah berpunca dari sebab-sebab berikut:
i) Salah satu pasangan atau kedua-keduanya mengidap penyakit yang berbahaya. ii) Nasihat doktor pakar. iii) Gangguan fizikal dan mental yang boleh menggugat kehidupan ibu yang hamil itu. iv) Kemiskinan dan kesempitan hidup. v) Mengakhiri kehamilan yang tidak diinginkan seperti: a) Kegagalan pencegahan kehamilan. b) Hamil akibat hubungan seksual di luar nikah. c) Hamil kerana dirogol. d) Sumbang mahram.
Sebab-sebab yang disebutkan dalam perkara (i), (ii) dan (iii) lebih berat kepada keperluan menggugurkan janin. Keadaan sedemikian merupakan darurat yang menyebabkan pengguguran janin kerananya adalah harus.
Mengenai kemiskinan Allah berfirman:
Tafsirnya: “Dan janganlah kamu bunuh anak-anak kamu kerana takutkan kemiskinan! Kamilah yang memberi mereka rezeki dan kamu juga.” (Surah al-Isrâ’: 31)
FirmanNya lagi:
Tafsirnya: “Dan janganlah kamu bunuh anak-anak kamu dengan sebab kemiskinan! Kamilah yang memberi kamu rezeki dan mereka juga.” (Surah al-An‘âm: 151)
Ayat-ayat ini menegaskan bahawa Allah melarang membunuh anak-anak kerana kemiskinan.
Berdasarkan kepada umum ayat-ayat yang dibincangkan di atas juga menunjukkan bahawa menggugurkan kehamilan yang tidak diingini seperti kegagalan pencegahan kehamilan, akibat hubungan seksual di luar nikah, kerana dirogol atau akibat sumbang mahram dan seumpamanya adalah haram. Dalam kes-kes seumpama ini tidak ada yang dinamakan darurat.
Berdasarkan penjelasan-penjelasan di atas, keharusan pengguguran janin itu hanya akan tertakluk kepada keadaan darurat sebagaimana dirumus berikut ini:
i) Tidak harus menggugurkan janin setelah bermula kejadiannya iaitu setelah berumur 40 hari sekalipun belum ditiupkan roh kerana ia adalah suatu kehidupan melainkan kerana darurat sebagaimana kecenderungan kebanyakan ulama.
ii) Haram dan berdosa menggugurkan janin yang telah ditiupkan roh (setelah berumur 120 hari) tanpa ada darurat yang diperakukan oleh syara‘. Bahkan ia suatu jenayah.
iii) Harus menggugurkan janin itu sekalipun setelah ditiupkan roh jika pengekalan janin dalam perut ibunya itu dipercayai boleh mengancam nyawa ibunya dengan adanya pengesahan oleh doktor pakar mengenainya.
iv) Haram menggugurkan janin yang telah mencapai umur 120 hari jika tidak ada bahaya yang dipercayai berlaku ke atas ibu yang mengandungnya sekalipun dipercayai janin itu akan lahir dalam keadaan tidak normal kerana janin itu adalah suatu kehidupan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9143
