Penggunaan Nama “Jesus” Kepada Nabi Isa ‘Alaihissalam Dan Nabi-Nabi Lain Yang Diinggeriskan
Soalan: Dengan hormatnya sukacita memaklumkan bahawa Bahagian Penguatkuasaan Agama, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Agama telah menerima sebuah buku yang bertajuk “JESUS SEBAGAI NABI ISLAM” oleh Muhammad ‘Ataur Rahim, terjemahan Roudlan Herman P.
Sukacita memaklumkan bahawa berdasarkan penelitian terhadap kandungan buku tersebut yang telah dijalankan oleh Seksyen Penyelidikan Bahagian Penguatkuasaan Agama adalah seperti berikut:
Buku ini merupakan hasil usaha yang dilakukan selama 30 tahun oleh penulis tersebut dan isi kandungan buku tersebut secara umumnya mencakupi beberapa aspek yang berhubung dengan sejarah Nabi Isa ‘Alaihissalam, Injil Bernabas dan Injil Hermas, fahaman Kristian terhadap doktrin Triniti, Nabi Isa ‘Alaihissalam dalam perspektif al-Qur’an dan hadis dan juga perkembangan Kristian pada masa kini. Tata-rata buku ini menggunakan Nabi Isa ‘Alaihissalam sebagai Jesus kecuali apa yang terdapat dalam terjemahan ayat-ayat al-Qur’an ia digunakan dengan nama Isa/Isa putera Maryam.
Buku ini menjelaskan siapa sebenarnya Jesus menurut perspektif Islam; Jesus adalah Nabi Isa ‘Alaihissalam (al-Masih) dan bukan perserupaan daripada Nabi Isa ‘Alaihissalam. Ia merupakan titik perbezaan antara pandangan Islam dengan gereja (Kristian) sejak kebelakangan ini. Pengarang buku ini juga membuat kajian tentang kehidupan misteri Nabi Isa ‘Alaihissalam dan ajarannya dengan menggunakan beberapa sumber termasuk Dead Sea Scrolls (dokumen-dokumen yang ditemui dekat Laut Mati), Kitab Injil, penelitian kontemporer, al-Qur’an dan hadis.
Penulis memberikan penjelasan mengenai hal tersebut dengan menggunakan logik sejarah. Beliau menemui fakta bahawa sebahagian besar penyebab terjadinya penyimpangan kebenaran terhadap Nabi Isa ‘Alaihissalam adalah kerana menonjolnya dua dogma iaitu kepercayaan secara paksa yang tidak disertai dengan hujjah yang rasional, ketuhanan Nabi Isa ‘Alaihissalam dan Triniti. Dalam hal ini, Muhammad ‘Ataur Rahim cuba untuk menepis beberapa cerita dongeng sekitar masalah Nabi Isa ‘Alaihissalam yang dibuat oleh gereja Ortodoks, padahal Nabi Isa ‘Alaihissalam merupakan seorang nabi yang mengajarkan tauhid. Beliau diutus oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala sebagai rasul untuk membanteras dan memperbaiki elemen-elemen dasar yang tumbuh dan berkembang dalam lingkungan kependetaan Yahudi.
Secara keseluruhan, pengarang berkeinginan agar kandungan buku ini dapat membantu orang-orang bukan Islam untuk mendapatkan kebenaran dan mengurangkan kekhuatiran terhadap Islam yang sudah melekat pada sebahagian besar umat Kristian.
Untuk makluman pihak Dato, penggunaan nama “Jesus” kepada Nabi Isa telah menimbulkan kekeliruan orang ramai berdasarkan aduan dan maklum balas yang diterima.
Sehubungan dengan itu, sukacita dipohonkan kerjasama daripada Jabatan Dato untuk meminta pandangan, fatwa dan irsyâd daripada Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin Mufti mengenai penggunaan nama “Jesus” kepada Nabi Isa ‘Alaihissalam dan nama-nama nabi lain yang diinggeriskan untuk dijadikan panduan dan rujukan bahagian ini dalam menjalankan tugas.
Jawapan: Tidak mengapa menggunakan nama-nama dalam bahasa Inggeris yang dimaksudkan kepada seseorang seperti Jesus yang dimaksudkan kepada Nabi Isa ‘Alaihissalam, Mary yang dimaksudkan kepada Maryam ‘Alaihissalam, Abraham yang dimaksudkan kepada Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam, Joseph yang dimaksudkan kepada Nabi Yusuf ‘Alaihissalam, David yang dimaksudkan kepada Nabi Daud ‘Alaihissalam, John yang dimaksudkan kepada Nabi Yahya ‘Alaihissalam, Eve yang dimaksudkan kepada Hawwa’ ‘Alaihassalam dan seumpamanya, selama mana maksud nama-nama tersebut merujuk atau menjurus kepada diri seseorang yang sama. Itu cumalah sebutan untuk nama dalam bahasa yang lain daripada bahasa al- Qur’an (Arab).
Setakat yang difahami perkataan seperti Jesus yang biasanya digunakan dalam tulisan-tulisan yang berbahasa Inggeris bukanlah semata-mata terjemahan bahkan ia boleh terjadi disebabkan perbezaan sebutan atau dialek dalam satu-satu bahasa. Kita juga tahu dan yakin bahawa Jesus yang disebut oleh orang Kristian dan disebut oleh orang Islam sebagai Nabi Isa ‘Alaihissalam itu adalah orang yang sama. Hanya yang membezakannya ialah dari sudut aqidah. Orang Kristian percaya Nabi Isa ‘Alaihissalam yang dilahirkan oleh Maryam ‘Alaihassalam itu adalah anak Tuhan dan dia mati disalib. Sedangkan orang Islam meyakininya bahawa Nabi Isa ‘Alaihissalam itu adalah anak Maryam dan bukan anak Tuhan. Nabi Isa ‘Alaihissalam juga tidak mati disalib. Adapun yang mati disalib itu adalah orang lain yang diserupakan dengannya oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala, sedangkan diri Nabi Isa ‘Alaihissalam itu diangkat ke langit seperti mana yang difirmankan Allah di dalam surah an-Nisâ’ ayat 157-158:
Tafsirnya: “Dan (disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan: “Sesungguhnya kami telah membunuh al-Masih Isa ibn Maryam, Rasul Allah” padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak memalangnya (di kayu palang salib), tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa). Dan sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham mengenai Nabi Isa sebenarnya mereka berada dalam syak (ragu-ragu) tentang menentukan (pembunuhannya). Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata, dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin. Bahkan Allah telah mengangkat Nabi Isa kepadaNya; dan adalah Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah an-Nisâ’: 157-158)
Sebagai perbandingan yang menguatkan fahaman kita lagi bahawa persoalan ini hanya merupakan merujuk kepada perbezaan dialek menurut bahasa, tetapi masih mempunyai maksud kepada satu perkara yang sama ialah sebagai contoh sebutan pada nama negara. Germany adalah sebutan dalam bahasa Inggeris. Jerman adalah
sebutan dalam bahasa Melayu, manakala Almania (املانيا) adalah sebutan dalam bahasa
Arab. Ketiga-tiga nama di atas adalah merujuk kepada negara yang satu tetapi disebut dalam loghat atau dialek yang berlainan. Contoh yang lain lagi seperti negara Jepun. Ia adalah sebutan di dalam bahasa Melayu. Dalam bahasa Inggeris ia disebut sebagai
Japan. Dalam bahasa Arab ia disebut sebagai Yaban (َيِبن). Manakala ‘Jepun’ di
dalam bahasa Jepun sendiri disebut sebagai Nippon. Ini menunjukkan bahawa perbezaan sebutan atau dialek terhadap sesuatu nama tidak menunjukkan perbezaan diri atau benda yang dimaksudkan, apatah lagi untuk mengubah deskripsinya yang sebenar.
Walau bagaimanapun bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai khususnya kepada orang-orang Islam sendiri tentang penggunaan nama Jesus kepada Nabi Isa ‘Alaihissalam, kerana menurut kepercayaan orang Kristian Jesus atau Nabi Isa itu adalah anak Allah dan mati disalib, sedangkan menurut aqidah orang Islam pula Jesus atau Nabi Isa ‘Alaihissalam itu adalah anak Maryam dan bukan anak Allah serta bukan orang yang disalib, maka kenyataan seumpama ini perlulah dijelaskan dengan terang dan diselitkan di dalam mana-mana sebarang media cetak yang menggunakan nama Jesus yang merujuk kepada Nabi Isa ‘Alaihissalam itu.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9202
