Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Pembedahan Plastik

Soalan: Dengan penuh hormat kaola memaklumkan bahawa kaola telah terbaca satu makalah keluaran Media Permata bertarikh 22hb. Mei, 2001 ruangan muka hadapan mengenai dengan “Plastic Surgery”. Sukacita kaola pohonkan apalah kiranya Pehin akan dapat memberikan pandangan dari segi hukum mengenai dengan isu berkenaan.

Makalah berkenan telah menerangkan bahawa satu kejayaan bagi para doktor di negera ini yang berkeyakinan bahawa pembedahan plastic surgery boleh dikendalikan. Pembedahan ini adalah bagi sesuatu yang tidak elok atau cantik kepada yang elok dan cantik seperti pembedahan muka, hidung dan lain-lain organ. Perkara ini seperti yang lazimnya sudah biasa dilakukan di negara-negara yang maju khususnya di Jepun.

Persoalan kaola ialah, apakah dari segi hukum mengenai dengan pembedahan plastic surgery?

Diharap agar mendapat pandangan dan penjelasan daripada Pehin.

Jawapan: Prosedur surgeri plastik terbahagi kepada dua bahagian utama: Membentuk semula dan kosmetik.

Pertama: Prosedur membentuk semula ialah pembedahan untuk memulihkan bentuk dan dalam banyak keadaan, fungsi bahagian badan yang tidak normal disebabkan oleh kecederaan, penyakit atau kecacatan kongenital (sejak lahir). Membaikpulih luka, melecet yang teruk dan patah tulang muka ialah prosedur yang biasa berlaku. Penggunaan tarik, flap (siat) dan graf (cantuman) tisu badan untuk memulihkan kehilangan bentuk kerana terbakar dan pindah otot belakang ke kaki dan tangan yang cedera ialah contoh-contoh biasa prosedur membentuk semula yang dilakukan oleh doktor surgeri plastik. Membuang kanser kulit dan membaikpulih belahan bibir dan lelangit juga biasa dibuat oleh ramai doktor surgeri plastik. Surgeri membentuk semula bolehlah diertikan sebagai prosedur surgeri yang dilakukan ke atas bahagian tubuh yang tidak normal bagi mendapatkan bentuk yang normal dan membetulkan fungsinya. Yang dipentingkan di sini ialah bahawa prosedur itu dilakukan ke atas bahagian-bahagian tisu badan.

Kedua: Prosedur kosmetik pula ialah pembedahan yang bertujuan semata-mata untuk mencantikkan bahagian badan mengikut sukat-sukat rupa dan fungsi badan yang normal. Contoh-contoh yang ada ialah prosedur seperti menegang muka, mengubahsuai hidung untuk kecantikan dan membuang lemak. (Plastic Surgery, Department of Surgery University of Iowa Hospital and Clinic Iowa City, Lowa)

Adapun kes-kes yang pertama itu iaitu membentuk semula yang dikendalikan oleh pakar di hospital-hospital dan klinik, tidak syak lagi adalah harus dan boleh. Pembedahan kerana membentuk semula itu tidak ditegah, bahkan nash-nash syara‘ secara umumnya menghendaki demikian sehingga ke peringkat wajib, seperti membetul atau membaikpulih tulang yang retak atau patah, menjahit luka yang membahayakan atau menampal kulit yang terbakar. Semuanya ini adalah bersifat rawatan untuk kesembuhan dan keselamatan. Bukan pembedahan untuk mengubah kejadian Allah sebagaimana maksud firman Allah:

Tafsirnya: “Dan demi sesungguhnya aku (syaitan) akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak) lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah.” (Surah an-Nisâ’: 119)

Pembedahan pembentukan semula ini hanyalah untuk menghilangkan kecacatan yang baru mendatang terhadap kejadian Allah. Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mengizinkan seorang lelaki yang terpotong hidungnya dalam suatu peperangan supaya menjadikan (mengganti) hidungnya itu dengan emas.

Kesimpulannya mana-mana pembedahan plastik bagi tujuan prosedur membentuk semula umpamanya untuk menghilangkan kecacatan atau menolak penyakit seperti mengembali atau memulihkan anggota badan yang rosak adalah harus.

Sementara pembedahan bagi tujuan kosmetik (untuk mengubah kejadian asal kepada yang lain daripada yang belum pernah ada sebelumnya dengan maksud supaya kelihatan lebih cantik) adalah ini dilarang dan malah dilaknat oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, sebagaimana sabda Baginda dalam hadis daripada Ibnu Mas‘ud:

Maksudnya: “Allah melaknat perempuan-perempuan yang mentatu dan yang minta ditatu, yang mencabut bulu di mukanya dan yang minta cabutkan bulu di mukanya, yang menjarangkan giginya (di antara gigi seri depan dengan gigi seri) untuk kecantikan (mereka adalah) perempuan-perempuan yang merubah ciptaan Allah.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9194