Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Pertanyaan Mengenai Tugas-Tugas Imam Dan Bilal

Soalan: Di sini kaola ada empat kemusykilan yang mana kaola ingin sekali untuk mendapatkan penjelasan daripada Pehin.

1. Apa hukumnya bilal yang dilantik oleh kerajaan ada di dalam masjid tetapi orang lain menjalankan tugasnya iaitu seperti melaungkan azan?

2. Apa hukumnya imam dan bilal menyuruh orang lain membaca tarhîm dan azan Subuh sedangkan tugas tersebut mesti dibuat oleh bilal yang dilantik? Tetapi bilal ketika itu tidak hadir di masjid, yang ada imam saja, malah bacaan orang yang membaca tarhîm tidak betul tajwidnya boleh atau tidak?

3. Bolehkah bilal menjalankan tugas imam seperti mengimamkan sembahyang fardhu, dalam masa yang sama imam tidak hadir bertugas di masjid dan orang lain (jemaah yang hadir ketika itu) menjalankan tugas mengganti bilal? Apa hukumnya?

4. Bolehkan imam dan bilal bertugas bergilir-gilir di dalam masjid seperti imam hadir di masjid, bilal tidak hadir dan sebaliknya? Apa hukumnya?

Kaola harap pehin akan dapat memberikan penjelasan di atas keraguan saya ini.

Jawapan: Setiap perkara yang dipertanggungjawabkan ke atas manusia sama ada yang terdiri daripada kewajipan-kewajipan syara‘ seperti ibadah dan yang selainnya seperti wadî‘ah, keluarga dan harta adalah merupakan amanah. (Lihat Wizârah al-Awqâf li as-Syu‘ûn al-Islâmiyyah, al-Mawsû‘ah al-Fiqhiyyah: 6/236).

Menunaikan amanah dan memeliharanya telah digariskan oleh syara‘ dan ia adalah satu kewajipan sebagaimana firman Allah:

Tafsirnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya).” (Surah an-Nisâ’: 58)

Di dalam ayat yang lain, Allah berfirman bagi menyatakan di antara salah satu sifat orang-orang yang mendapat kejayaan itu ialah:

Tafsirnya: “Dan mereka yang menjaga amanah dan janji.” (Surah al-Mu’minûn: 8)

Ungkapan yang sama juga Allah firmankan menyatakan bahawa di antara salah satu sifat orang-orang yang mendirikan sembahyang itu ialah:

Tafsirnya: “Dan mereka yang menjaga amanah dan janji.” (Surah al-Ma‘ârij: 32)

Dua ayat yang sama tersebut, sekalipun datang dalam bentuk khabariyah (khabar berita), tetapi ia sebenarnya mengandungi makna insya‘iyyah (tuntutan atau perintah). Dengan itu kedua ayat tersebut menunjukkan bahawa orang-orang yang beriman adalah diperintahkan supaya memelihara amanah dan mereka wajib mematuhi perintah itu.

Amanah juga merupakan salah satu daripada sifat atau akhlak yang mulia. Bersifat amanah atau lebih dikenali dengan sifat jujur adalah diwajibkan ke atas setiap orang Islam. Anas ibnu Malik Radiallahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Tidak sempurna iman orang yang tidak mempunyai sifat amanah baginya dan tidak sempurna iman orang yang tidak mempunyai sifat tanggungjawab baginya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Oleh itu tugas atau pekerjaan yang dipertanggungjawabkan ke atas kita, lebih-lebih lagi tugas atau pekerjaan yang kita dibayar upah daripadanya adalah salah satu daripada amanah yang wajib dilaksanakan. Melaksanakan tugas atau tanggungjawab itu pula hendaklah dengan penuh sifat amanah atau jujur. Adapun orang yang tidak melaksanakan amanah atau tugas yang dipertanggungjawabkan ke atasnya, adalah orang itu telah berkhianat, kerana lawan bagi sifat amanah itu ialah khianat. Firman Allah:

Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Anfal: 27)

Khianat pula adalah salah satu daripada sifat orang yang munâfiq. Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Tanda orang munâfiq itu ada tiga: Apabila dia berkata dia bohong, apabila dia berjanji dia mungkir dan apabila dia diberi amanah dia khianat.” (Hadis riwayat Muslim)

Manakala balasan orang yang munâfiq itu ialah akan ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari lapisan-lapisan dalam neraka sebagaimana firman Allah:

Tafsirnya: “Sesungguhnya orang-orang munâfiq itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka, dan engkau tidak sekali-sekali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka.” (Surah an-Nisâ’: 145)

Sehubungan dengan itu, berkenaan dengan bilal yang berada dalam masjid dan dia tidak melaungkan azan, maka perkara itu adalah tertakluk kepada keadaan. Jika dia tidak melaungkan azan itu kerana ingin bersenang-senang atau tidak melaksanakan tugasnya dengan sempurna sebagaimana yang sewajarnya, maka dia berdosa kerana mengingkari amanah yang diberikan kepadanya. Namun pada hukum syara‘, azan tetap sah dan tidak menjadi kesalahan atau berdosa jika ia dilaungkan oleh orang lain.

Sebenarnya tugas-tugas imam dan bilal itu telahpun ditetapkan oleh pihak-pihak tertentu. Sekiranya imam atau bilal menyuruh orang lain melaksanakan tugasnya kerana malas atau lain-lain sebab yang boleh dikategorikan sebagai cuai pada menjalankan tugasnya, maka dia berdosa kerana tidak menunaikan amanah (tugasnya). Namun, jika orang lain disuruh melaksanakan tugas-tugas mereka sebagai ganti kerana perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan seperti sakit dan sebagainya, atau untuk memberi penghormatan kepada orang yang dianggap lebih layak kerana ilmu dan umurnya, maka tidaklah dia dikira berdosa. Walaupun begitu tidak mengapa sekiranya sebahagian tugas seperti azan sekali sekala dilaksanakan oleh orang lain bagi tujuan membiasakan atau melatih pelapis-pelapis jawatan imam dan bilal itu. Namun begitu, dalam memilih orang-orang yang akan menjalankan tugas seperti pelapis-pelapis itu hendaklah dipilih daripada orang-orang yang mampu melaksanakannya dengan betul dari segi cara dan bacaannya.

Demikian juga tidak mengapa bagi bilal mengimamkan sembahyang fardhu di masjid yang ada imam yang dilantik oleh kerajaan. Begitu juga ada salah seorang jemaah yang menjalankan tugas bilal seperti melaungkan azan dan seumpamanya. Namun orang-orang lain yang menjalankan tugas imam atau bilal itu tidak menyebabkan imam dan bilal yang dilantik rasmi oleh kerajaan mengambil kesempatan sehingga mereka menjadi kurang atau cuai pada menjalankan tugas yang diamanahkan ke atas mereka itu.

Sama ada bolehkah imam atau bilal bertugas cara bergilir-gilir? Itu adalah tertakluk kepada peraturan kerja yang diperaturkan oleh pihak-pihak yang melantiknya. Namun pada hemat kita bergilir-gilir itu bukanlah amalan yang bagus, lebih-lebih lagi jika di suatu masjid yang mempunyai seorang imam dan seorang bilal kerana tugas kedua-dua jawatan tersebut telahpun ditetapkan dan dimaklumi sebagai tersendiri.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9219