Promosi Cabutan Tiket Bertuah Yang Dianjurkan Oleh Institusi-Institusi Kewangan IBB, TAIB dan IDBB
Soalan: Yang Dimuliakan Pehin, kaola sangat tertarik dengan penjelasan Pehin mengenai cabutan tiket bertuah (siri 63/1991, m.s. 268 - Fatwa Mufti Kerajaan) yang hukumnya adalah judi/haram.
Oleh yang demikian kaola sangat berminat/rungsing untuk mengetahui hukum/permasalahan yang sama iaitu bank IBB, TAIB dan IDBB yang akhir-akhir ini telah bersaing mengadakan/mengamalkan sistem pelbagai promosi (cabutan bertuah) dengan menjanjikan pemenang akan menerima hadiah umrah, kereta, rumah dan pelbagai hadiah lagi. Jika promosi/cabutan bertuah yang dikendalikan oleh bank-bank tersebut tidak dihukumkan judi/haram, apakah sebab dan bezanya.
Kaola mohon dapat penjelasan agar tidak lagi menjadi kerungsingan.
Jawapan: Mana-mana promosi yang dijalankan oleh syarikat-syarikat atau bank-bank dan institusi kewangan dengan menawarkan hadiah-hadiah seperti pakej umrah, kereta, rumah dan bermacam-macam lagi melalui cabutan bertuah adalah harus dan tidak bertentangan dengan konsep muamalat menurut hukum syara‘ dengan syarat peserta yang mengikuti cabutan undi tersebut tidak dikenakan sebarang bayaran. Di samping itu hadiah yang bakal diberikan itu bukanlah hasil daripada kutipan wang pelanggan, sama ada secara langsung atau pun tidak, umpamanya dengan menaikkan harga barangan atau service (perkhidmatan), bahkan hadiah-hadiah itu adalah semata-mata sumber daripada penganjur sendiri atau pihak yang lain daripada pelanggan.
Apa yang jelas dan sebagaimana yang saya difahamkan bahawa hadiah-hadiah yang diberikan IBB, TAIB dan IDBB adalah atas kerelaan serta kesukaan pihak penganjur dan bukannya bersumberkan hasil kewangan peserta. Pelanggan yang mengikuti perkhidmatan bank-bank berkenaan pula akan tetap menerima perkhidmatan pihak bank sebagaimana sepatutnya dan tidak terjejas sekalipun dengan adanya promosi tersebut, di samping tidak mengenakan atau menaikkan apa-apa bayaran bagi tujuan penyertaan cabutan nombor bertuah.
Adapun jenis cabutan bertuah yang tidak harus bahkan diharamkan ialah apabila ia mengandungi unsur penganiayaan iaitu judi, yang mana salah satu pihak daripada dua belah pihak yang membuat transaksi akan mengalami risiko sama ada untung atau rugi. Ini boleh terjadi – misalnya - dengan menaikkan harga barangan atau perkhidmatan daripada harganya yang biasa disebabkan adanya hadiah yang ditawarkan itu. Ataupun untuk menyertai cabutan undi bertuah itu, peserta disyaratkan mesti membuat sebarang pembayaran. Bertolak dari sinilah dapat dibezakan bahawa promosi yang dianjurkan oleh bank-bank berkenaan adalah harus dan terselamat serta sunyi daripada unsur perjudian sebagaimana yang telah saya sebutkan awal-awal lagi.
Manakala fatwa berhubung dengan cabutan tiket bertuah siri 63/1991 adalah fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Kerajaan yang dahulu. Fatwa yang diberikan oleh Allahyarham bahawa cabutan tiket bertuah yang diambil melalui tiket jualan pelayaran dengan outboard itu adalah ia judi. Kita membuat takwilan bahawa ia dihukumkan judi kerana ada unsur penganiayaan terhadap pelanggan umpamanya dengan menaikkan harga tiket daripada harganya yang biasa kerana disebabkan hadiah yang bakal dimenangi melalui cabutan undi bertuah itu.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9226
