Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الحج والعمرة

Aqiqah

Soalan: Benarkah aqiqah untuk anak lelaki semestinya dibuat 2 bahagian, atau ia sekadar afdhal dibuat 2 bahagian? Ada yang mengatakan cukup 1 bahagian.

Jawapan: Menyembelih binatang bagi tujuan aqiqah itu adalah sunat mu’akkadah (sunat yang sangat digalakkan) ke atas orang yang berkewajipan menanggung nafkah anak damit yang diaqiqahkan. Aqiqah itu hendaklah dilaksanakan dengan hartanya, bukan daripada harta anak damit tersebut. Bagi anak lelaki, yang afdhalnya disunatkan menyembelih dua ekor kambing, manakala bagi anak perempuan, memadai dengan seekor kambing sahaja sebagaimana kata ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha mengenai aqiqah:

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan kepada mereka (membuat aqiqah) untuk anak lelaki ialah dua ekor kambing yang mencukupi (syarat sah aqiqah), dan untuk anak perempuan pula seekor kambing. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Walau bagaimanapun jika seseorang itu tidak mempunyai kemampuan untuk melakukan aqiqah bagi anak lelakinya dengan dua ekor kambing, maka memadailah dengan seekor kambing, atau pun satu pertujuh daripada seekor unta, kerbau atau lembu. Ini kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri membuat aqiqah untuk cucunda-cucunda Baginda dengan menyembelih seekor kambing sahaja setiap seorang sebagaimana hadits riwayat Abu Daud:

Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan aqiqah untuk Hasan dan Husain masing-masing seekor kambing.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9299