Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Anak Bukan Islam Yang Diangkat Oleh Orang Islam

Soalan: Dengan hormat, sukacita dipohonkan penjelasan dan penerangan Pehin mengenai kemusykilan-kemusykilan yang dikemukakan di bawah ini dengan memberikan fakta al- Qur’an dan al-hadits atau ijmâ‘ ulama untuk menambah ilmu pengetahuan, pegangan dan sumber rujukan kaola dan umat Islam umumnya bagi menuju keredhaan dan keampunan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Sepertimana Fatwa Mufti Kerajaan Brunei Bil: (221) dlm. MKB. 31/1967 pt: 3 bertarikh 1 Sya‘ban, 1403 bersamaan 14hb. Mei, 1983 bahawa kanak-kanak kafir yang dibela, diasuh, diangkat oleh orang Islam, maka tiadalah ia menjadi orang Islam kecuali apabila ia telah bâligh dan mengucap dua kalimat syahadat maka itu sah Islamnya. Apabila kanak-kanak itu tiada dihukumkan dia orang Islam, maka tiadalah sunat diberi nama Islam kepadanya.

Persoalannya:

1. Bagaimana cara menguruskan jenazah kanak-kanak tersebut di atas apabila ianya meninggal?

2. Di perkuburan manakah (sama ada perkuburan orang Islam atau kafir) jenazah kanak-kanak tersebut dikebumikan?

3. Bolehkan jenazah kanak-kanak tersebut dibacakan surah Yâsîn, bacaan tahlîl dan sebagainya kerana sewaktu hidupnya telah mengamalkan ajaran dan kehidupan sebagai seorang Islam?

4. Dalam konteks ini bolehkan anak angkat memberikan syafaat kepada ibu bapa angkatnya di akhirat nanti?

5. Bolehkah ibu bapa angkat memberikan hartanya kepada anak angkat melalui wasiat sama ada secara bertulis ataupun lisan?

6. Bolehkah nama anak angkat digandingkan dengan nama bapa angkat?

7. Bolehkah bapa angkat ataupun bapa tiri dipanggil bapa secara lisan sahaja bagi penghormatan bukan tercatat di dalam sesuatu dokumen rasmi?

Jawapan: Fatwa Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abd. Aziz menyebutkan:

“Anak yang bukan Islam diasuh atau dijadikan anak angkat oleh orang Islam, maka anak itu tiada jadi orang Islam, kecuali anak itu apabila ia telah bâligh dan mengucap dua kalimat syahadat, maka baharulah dia jadi orang Islam. Maka bâligh boleh berlaku dengan keluar mani atau keluar haidh pada perempuan atau cukup umur 15 tahun qamariyah bagi lelaki atau perempuan, tiadalah sah Islam kanak-kanak kafir yang mumayyiz bersendiri yakni ketika kanak-kanak kafir itu Islam dengan tiada mengikut Islam salah seorang ibu bapanya, dan erti ibu bapanya itu di sini ialah datuk neneknya sama ada lelaki atau perempuan sekalipun mereka bukan waris pusaka.

Maka dalam masalah di atas ini, bahawa kanak-kanak kafir dibela atau diasuh oleh orang Islam, maka tiadalah ia menjadi orang Islam kecuali apabila ia telah bâligh dan mengucap dua kalimat syahadat maka ketika itu sah Islamnya.”

Sesungguhnya kita menghormati fatwa Allahyarham di atas, namun kita lebih cenderung mengatakan sebaliknya iaitu kanak-kanak bukan Islam apabila diangkat oleh orang Islam akan menjadi Islam, ini setelah membuat kajian dan penyelidikan mendalam mengenainya. Fatwa kita telahpun keluar mengenai Permasalahan Mengangkat Anak Bukan Islam: Mengazan, Mengaqiqah, Membin Serta Mengkebumikannya melalui siri fatwa (14/2002).

Maka inilah diperturunkan sekali lagi fatwa berkenaan seperti berikut:

Status Anak Angkat

Sebelum menjawab soalan-soalan pecahan yang dikemukakan, kita huraikan dahulu secara umum persoalan anak angkat itu.

Salah satu tradisi di kawasan sebelah sini dalam soal menjadikan anak orang bukan Islam sebagai anak angkat kepada orang Islam, ialah menerusi penyerahan bulat-bulat atau penyerahan sepenuhnya anak berkenaan kepada bapa atau ibu angkat dan selepas penyerahan tidak ada kaitannya lagi dengan bapa atau ibu kandungnya dari segi asuhan, jagaan atau pembelaan. Proses ini berlaku seperti menyerahkan hak milik sesuatu barang kepada orang lain, ia tidak diharap akan dimiliki semula.

Pada masa ini perkara yang sama juga berlaku, bahkan ia diperkuat lagi oleh peraturan atau undang-undang pengesahan daripada mahkamah, sehinggalah ada yang memiliki sijil atau surat penyerahan anak angkat itu.

Kesan daripada penyerahan sepenuhnya ini, menjadikan kedudukan anak angkat dalam pandangan orang lain adalah seolah-olah sama dengan anak kandung sendiri kepada bapa angkat. Dengan kata lain, penguasaan terhadap anak itu telah diserahkan sepenuhnya kepada bapa angkat. Bahkan sebahagian bapa atau ibu kandung anak berkenaan tidak mahu tahu lagi tentang anaknya itu. Inilah di antara proses pengambilan anak angkat yang berlaku, sama ada anak yang baru lahir atau yang belum mumayyiz.

Sebagai tanda adanya penguasaan penuh terhadap anak angkat itu, kedua ibu bapa yang mengangkat ada yang sampai membin atau membintikan anak angkat tersebut kepada dirinya sendiri (bapa angkat) walaupun perkara ini menyalahi hukum syara‘, yakni haram orang Islam membin atau membintikan pada dirinya kanak-kanak yang bukan anaknya sendiri sama ada anak itu anak angkat, anak pungut atau anak tawanan perang. Dalam setengah kes, walaupun sudah mengetahui tentang kedudukan hukumnya, namun masih terdapat juga ibu bapa angkat yang mahukan anak angkatnya itu dibin atau dibintikan kepada dirinya.

Berdasarkan keadaan ini dan keadaan yang sudah-sudah pernah berlaku, maka ramailah anak angkat yang diasuh oleh orang-orang Islam terus menetap bersama keluarga angkat dan hidup secara Islam sehingga dewasa. Mereka bukan sahaja menerima pendidikan di sekolah-sekolah agama, bahkan taat menjalankan ajaran Islam sejak kecil lagi dan tidak mahu kembali ke pangkuan ibu bapa kandung dan agama asalnya. Pendeknya, mereka menjalani hidup adalah benar-benar sebagai orang Islam.

Selain soal asuhan dan penjagaan, salah satu unsur yang menjadi perhatian di sini ialah perpindahan “kuasa” bapa kandung kepada bapa angkat secara mutlak tanpa paksaan atau tekanan daripada mana-mana pihak. Dalam setengah kes, pengangkatan itu berlaku seperti ‘jual beli’ iaitu dengan ada imbalan daripada ibu bapa angkat kepada ibu bapa kanak-kanak yang diangkat itu. Ini berlaku walaupun Islam sebenarnya tidak mengharuskan jual beli manusia. Kita sebutkan perkara ini untuk memberi gambaran tentang kuasa terhadap anak itu tidak lagi dimiliki oleh ibu bapa kandung tetapi telah berpindah kepada indung (ibu bapa) angkat.

Tekanan keadaan hidup atau sebab-sebab lain seperti sebahagian ibu bapa itu menganggap anak perempuan tidak membawa tuah atau dilahirkan di luar nikah boleh menjadi sebab orang memberikan anaknya kepada orang lain dan bahkan memberikan kuasa penuh kepada siapa yang mengangkat itu yang diperkemas lagi dengan pengesahan oleh pihak mahkamah.

Pendek kata, pengangkatan anak itu boleh dikatakan sebagai peralihan kuasa, pemeliharaan dan pembelaan anak yang diangkat termasuklah hal-hal yang berkaitan dengan berbagai kebajikan seperti urusan sekolah, pendaftaran taraf kebangsaan dan lain-lain. Semua ini menjadi tanggungjawab orang yang mengangkat itu.

Begitulah antara gambaran kedudukan pengangkatan anak angkat yang kita ketahui di Alam Melayu.

Bilakah Kanak-Kanak Diperakui Sebagai Islam?

Ulama Syafi‘e berpendapat bahawa kanak-kanak yang belum bâligh dihukumkan sebagai Islam secara zahir dan batin sama ada kerana dia ditawan oleh orang Islam secara bersendirian tanpa ibu bapanya atau kerana dia mengikut salah satu keturunannya daripada pihak bapa atau ibunya yang Islam. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 4/199)

Adapun anak pungut (laqîth) apabila dipungut dalam negeri Islam atau perkampungan orang Islam, anak itu juga diakui oleh syara‘ sebagai Islam.

Dihukumkan Islam Kerana Ditawan

Khusus bagi kanak-kanak bukan Islam yang ditawan oleh orang Islam, adalah dihukumkan sebagai Islam kerana mengikut orang Islam yang menawannya, tetapi dengan syarat ketika dia ditawan itu tiada bersamanya salah seorang daripada ibu atau bapanya. Sekiranya dia bersama-sama dengan keduanya atau salah seorang daripada keduanya, maka kanak-kanak itu dihukumkan mengikut agama mereka, kerana pengaruh tabâ‘iyyah (ikutan) keturunan lebih kuat daripada pengaruh tabâ‘iyyah orang yang menawannya. (Hâsyiah al-Bajuri: 2/61)

Imam an-Nawawi berkata:

Ertinya: Apabila orang Islam menawan anak kecil, maka anak itu mengikut orang yang menawannya dalam Islam (yakni dihukumkan seorang Islam) jika tidak ada bersamanya salah seorang daripada kedua ibu bapanya. (Minhâj ath-Thâlibîn: 177)

Apa yang disebutkan oleh ulama Syafi‘e: “Jika kanak-kanak itu ditawan secara bersendirian (seorang diri) tanpa bersamanya salah seorang daripada ibu bapanya”, menunjukkan betapa kuat pengaruh kuasa ibu atau bapa terhadap anak mereka berbanding dengan pengaruh keislaman orang yang menawan anak mereka.”

Kanak-kanak hanya boleh mengikut agama orang yang menawannya jika kedua ibu bapanya tidak bersamanya. Selama kanak-kanak itu bersama kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada mereka, maka selama itu pulalah dia di bawah pengaruh dan kuasa mereka (ibu atau bapa kandungnya). Jika salah seorang daripada ibu bapanya masuk Islam, maka dia dihukumkan Islam dengan sendirinya.

Jadi dalam soal ini terdapat satu unsur atau sebab kanak-kanak itu dihukumkan Islam, iaitu tidak ada bersama kanak-kanak tawanan itu kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada mereka di dalam tentera musuh atau dalam harta ghanîmah (harta rampasan) yang ditawan bersama-samanya.

Maka dengan itu kanak-kanak berkenaan dianggap bagaikan anak yang baru lahir daripada ibu bapa yang beragama Islam ketika dia ditawan itu. Imam asy-Syarbini berkata bahawa keadaan ini berlaku sama ada yang menawan itu sudah bâligh lagi berakal ataupun tidak. (Mughni al-Muhtâj: 2/575)

Apabila hal ini dikaitkan dengan proses pengangkatan kanak-kanak pada masa ini sebagaimana yang saya sebutkan di awal-awal tadi, di sini akan kita temui suatu perkara yang ada persamaan, iaitu soal “penguasaan” atau istîlâ’ (استيلء). Dalam soal tawanan, orang

yang menawan memiliki atau menguasai kanak-kanak yang ditawannya itu, kerana dialah yang menawan. Jadi penguasaan terhadap kanak-kanak itu telah berpindah ke tangan orang Islam yang menawannya. Dalam soal anak angkat pula, bapa angkat telah mengambil alih penguasaan terhadap anak angkat, kecuali dalam perkara-perkara tertentu, seperti kewalian, di mana bapa angkat tidak boleh menjadi wali nikah jika anak angkatnya itu perempuan dan dalam perkara warisan di mana anak angkat tidak mewarisi dan diwarisi daripada atau oleh bapa angkatnya.

Dalam konsep tawanan, tidak ada unsur kerelaan, yakni bapa kandung kanak-kanak itu tidak akan rela anaknya ditawan oleh orang Islam. Walaupun begitu, hukum telah menetapkan bahawa kanak-kanak berkenaan tetap dihukumkan Islam. Adapun dalam konteks pengendalian anak angkat adalah sebaliknya, iaitu ia berlaku di atas dasar suka sama suka dan bahkan dapat pula dianggap indung (ibu bapa) kandung kepada anak itu memang telah bersedia dan redha anaknya menjadi Islam, atau menjadi ‘orang Melayu’ yang beragama Islam.

Setelah melihat perbandingan di antara kanak-kanak yang ditawan dan kanak-kanak yang dijadikan anak angkat, maka apabila kanak-kanak yang ditawan yang sudah barang tentu ditawan tanpa kerelaan kedua atau salah seorang daripada ibu bapanya yang tidak turut ditawan telah dihukumkan sebagai Islam, betapa kanak-kanak yang diangkat dengan penuh kerelaan daripada ibu bapa bukan Islam itu, saya berpendapat adalah lebih munasabah dan lebih awlâ anak angkat itu menjadi kanak-kanak Islam.

Dengan adanya unsur dan tanda kerelaan ibu bapa bukan Islam mengangkat atau menyerahkan anaknya kepada keluarga Islam itu, dengan sendirinya bolehlah dianggap mereka (ibu bapa kandung bukan Islam itu) adalah merelai anak mereka menjadi orang Islam.

Perkara istîlâ’ atau penguasaan ini telah disentuh oleh pengarang Bughyah al-Mustarsyidîn ketika membicarakan pembelian kanak-kanak yang kafir oleh orang Islam, di mana kanak-kanak itu mengikutinya sebagai orang Islam, walaupun hukum jual beli manusia tidak sah, tetapi dianggap sebagai penguasaan atau istîlâ’. Pengarang berkata:

Ertinya: Adapun pembelian kanak-kanak orang kafir daripada usul (bapa, datuk, nenek) mereka tidak sah sebagai satu pembelian, tetapi ia hanyalah satu penguasaan (istîlâ’) jua. Jika pembeli itu seorang Islam, maka kanak-kanak itu mengikutnya menjadi Islam, dan dia berhak mendapat bahagian harta ghanîmah. Jika pembeli itu seorang kafir, sekalipun kafir dzimmi, kanak-kanak itu adalah kekal di dalam kekufurannya mengikut pendapat yang ashah. Pembeli (orang Islam itu) telah memiliki sepenuhnya kanak-kanak itu. Namun ketika itu, pembelinya tidak halal mewath’inya (jika anak perempuan) sehinggalah dia bâligh dan Islam sebagaimana zahir pendapat jumhûr ulama, tetapi al-Bulqaini berpendapat sah Islamnya dan pendapat ini yang dii‘timâdkan oleh as-Suyuthi dan dicenderungi oleh as- Subki. Walau bagaimanapun, tidak sah keislaman anak itu jika dia anak kafir mu‘âhad, tetapi dinukilkan daripada pendapat al-Mawardi adalah sah kerana dia sama dengan anak kafir harbi. (Bughyah al-Mustarsyidîn: 179)

Ertinya kanak-kanak kafir mu‘âhad tidak sah Islamnya menerusi penguasaan dalam apa jua keadaan. Walau bagaimanapun menurut apa yang dinukil daripada pendapat al-Mawardi sah Islamnya berdasarkan bahawa dia adalah sama seperti anak kafir harbi.

Adakah Sah Islam Kanak-Kanak Bukan Islam Yang Belum Bâligh Jika Dia Memeluk Islam?

Kanak-kanak bukan Islam yang diangkat oleh orang Islam itu, dengan sebab persekitaran, pendidikan dan asuhan ibu bapa angkatnya, telah memeluk Islam sedangkan dia belum bâligh, adakah sah Islamnya atau adakah dia dianggap seorang Islam?

Mengikut ulama mazhab Syafi‘e tidak sah Islam kanak-kanak yang belum bâligh berdasarkan hadits:

Maksudnya: Daripada ‘Aisyah, daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Tidak diambil kira sebagai kesalahan daripada perbuatan tiga orang iaitu orang tidur sehingga dia terjaga, kanak-kanak sehingga dia dewasa (sampai umur bâligh) dan orang gila sehingga dia pulih akalnya atau kembali siuman.” (Hadits riwayat an-Nasa’i)

Menurut mazhab Syafi‘e lagi tentang tidak sah Islam kanak-kanak bukan Islam: “Kerana Islam itu ialah ucapan yang mensabitkan hukum sedangkan ianya tidak sah daripada kanak-kanak seperti hibah, jual beli, memerdekakan dan iqrâr. Selain itu, kanak-kanak termasuk dalam kategori yang tidak mendapat risiko hukuman. Oleh itu Islam mereka tidak sah dan ini sama halnya dengan orang gila dan orang yang tidur, di mana orang-orang seperti ini tidak diberati hukum (yakni belum ada taklîf ke atasnya). (Ahkâm Ahl adz-Dzimmah: 2/902-903)

Namun ada juga ulama Syafi‘iyyah seperti al-Bulqaini dan as-Suyuthi yang berpendapat bahawa sah Islam kanak-kanak yang bukan Islam apabila dia mengucap dua kalimat syahadat. Di antara alasan mereka yang menyatakan sah Islamnya ialah sebagaimana sah puasa kanak-kanak, sembahyang dan hajinya.

Berdasarkan al-Imam as-Suyuthi bahawa dalil menunjukkan sah Islam kanak-kanak yang bukan Islam itu di antaranya hadits yang diriwayatkan oleh Abu Daud dalam Sunannya daripada Muslim at-Tamimi katanya:

Maksudnya: Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengutus kami dalam suatu peperangan. Ketika kami menyerang musuh, aku dapat mendahului sahabat-sahabatku dengan cara menunggang kuda. Lalu kami menemui perempuan-perempuan dan kanak-kanak berteriak ketakutan, aku berkata kepada mereka: “Sukakah kamu menyelamatkan diri kamu?” Mereka menjawab, “Ya”. Aku berkata: “Ucapkan ورسوله (Ertinya: “Kami bersaksi tiada tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad hamba dan PesuruhNya.”) Maka mereka pun mengucapkannya (syahadat itu). Lalu sahabat-sahabatku mengatakan kepadaku, kata mereka: “Hampir sahaja kita memperolehi ghanîmah (harta rampasan), akan tetapi engkaulah yang telah menghalang kami. Kemudian kamipun berangkat menuju Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu Baginda bersabda: “Tahukah kamu apa yang dibuat olehnya (Muslim at-Tamimi)? Sesungguhnya Allah telah menulis baginya setiap manusia begini, begini.” Kemudian Baginda mendekatiku. (Al-Asybâh wa an-Nazhâ’ir: 221) (Hadits riwayat Abu Daud)

Adapun maksud hadits....احلديث) القلم (رفع yang dijadikan sandaran, secara tepat ia menghalang kesahihan Islam kanak-kanak yang belum bâligh, sebab perkataan ‘رفع القلم’ itu sendiri disyarahkan oleh para ulama sebagai tidak menjadi dosa (kepada beberapa golongan yang tidak diberati hukum yakni yang belum atau tidak ada taklîf padanya). Hakikat hadits ini juga tidak jelas menunjukkan tertolak amal kebajikan yang mereka lakukan termasuklah memeluk agama Islam sebelum bâligh.

Pendapat seumpama ini juga disebut oleh Ibnu Qayyim dalam kitabnya Ahkâm Ahl adz- Dzimmah, dengan katanya:

Ertinya: Adapun hadits Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam “ ة ” bukanlah dimaksudkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa tidak sah Islam kanak-kanak itu, tidak sah zikirnya, tidak sah bacaan al-Qur’annya, tidak sah sembahyangnya dan tidak sah puasanya. Sesungguhnya Nabi tidak pula memberitahu yang pahalanya diangkat (tidak dicatat atau ditulis) daripada kanak-kanak itu, akan tetapi yang sebenarnya hadits ini dimaksudkan tidak ditulis sebagai kesalahan dan tidak menjadi dosa ke atasnya. Padahal Islam (masuk Islam) itu sebesar-besar amal kebajikan, dan ini sangat baik bagi kanak-kanak itu, bukan pula sebaliknya. Bagaimana boleh difahami: “Diangkat qalam (tidak menjadi kesalahan) daripada kanak-kanak” dengan maksud: “Tidak sah keislaman kanak-kanak itu, dan tidak diambil kira keislamannya, padahal masuk Islam itu adalah pahala baginya bukan sebaliknya (iaitu dengan menjadikan alasan bagi orang-orang yang tidak setuju dengan keislamannya) di mana dengan Islam dia akan bahagia di dunia dan akhirat?” (Ahkâm Ahl adz-Dzimmah, Ibn Qayyim az-Zaujiyyah: 2/907).

Menurutnya lagi:

Ertinya: Islam itu suatu ibadat yang murni, suatu ketaatan kepada Allah dan jalan mendekatkan diri kepadaNya. Oleh sebab itu bâligh itu bukanlah menjadi syarat sah amal ibadat kepada Allah, seperti sah haji, puasa, sembahyang dan bacaan al-Qur’an yang dilakukan oleh kanak-kanak. Sesungguhnya Allah Ta‘ala menyeru hamba-hambaNya melakukan ibadat supaya memperolehi syurga as-Salam dan menjadikan Islam jalan untuk sampai kepadanya, sebaliknya Allah menjanjikan sesiapa yang tidak menyahut seruan masuk Islam akan ditempatkan dalam neraka al-Jahim dan seksa yang amat pedih. Oleh kerana itu bagaimana boleh dihalang kanak-kanak untuk menyahut seruan Allah (untuk masuk Islam) di samping kanak-kanak itu telah bersegera menyahut seruan itu dan melalui jalan ke arah seruan itu, dan bagaimana boleh dia dipaksa dengan mengikuti jalan ahli neraka, hidup bersama mereka sehingga dia dihukum dengan api neraka, serta bagaimana boleh menutup jalan selamat baginya? Ini suatu perkara yang mustahil (tidak boleh berlaku) kerana telah ijmâ‘ para sahabat bahawa ‘Ali bin Abu Thalib Radiallahu ‘anhu memeluk Islam semasa kanak-kanak dan dia berbangga dengan hal demikian itu menerusi syairnya: “Aku mendahului kamu menyahut seruan Islam lebih awal sedang aku kanak-kanak belum sampai umur bâligh.” Bagaimana pula boleh dikatakan: “Keislaman Ali itu batal dan tidak sah?” Oleh kerana itulah berkata bukan sedikit daripada tâbi‘în dan orang-orang selepas mereka bahawa orang yang mula-mula masuk Islam daripada kalangan lelaki (dewasa) ialah Abu Bakar, daripada kalangan kanak-kanak ialah ‘Ali, daripada kalangan perempuan ialah Khadijah, daripada kalangan hamba ialah Bilal dan daripada mawâli (bekas-bekas hamba) ialah Zaid. (Ahkâm Ahl adz-Dzimmah: 2/906)

Sebahagian ulama yang berpendapat bahawa sah Islam kanak-kanak bukan Islam itu adalah dengan hujjah:

1. Kanak-kanak juga termasuk orang yang layak mengucapkan الإله إال هللا. Allah mengharamkan masuk neraka sesiapa yang mengucapkan ال إله إال هللا dan sesiapa yang mengucapkan ال إله إال هللا akan masuk syurga. Ini jelas melalui hadits-hadits berikut:

Maksudnya: Daripada ‘Itban bin Malik al-Anshari, kemudian seorang Bani Salim, dia berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam datang kepadaku pada waktu pagi lalu bersabda: “Tidak disempurnakan (balasan) seseorang hamba pada Hari Kiamat yang mengucapkan “ إله اال هللا ” (tiada tuhan melainkan Allah), seraya dengan kalimat itu dia mengharapkan keredhaan Allah, melainkan Allah mengharamkan api neraka atas dirinya.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Maksudnya: Daripada ‘Ubadah bin ash-Shamit Radhiallahu ‘anhu dia berkata: “Barangsiapa bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad adalah utusan Allah, maka Allah mengharamkan neraka atasnya.” (Hadits riwayat Muslim)

Maksudnya: Daripada Abu Dzar Radhiallahu ‘anhu dia berkata: “Aku menemui Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Saat itu Baginda memakai pakaian berwarna putih. Oleh kerana Baginda sedang tidur, aku pun pulang. Ketika aku datang lagi rupanya Baginda sudah bangun. Baginda bersabda: “Setiap hamba yang mahu mengucapkan “ ُ kemudian dia mati dalam keadaan seperti itu, maka dia akan masuk syurga.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

2. Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma pernah berkata:

Maksudnya: Aku dan ibuku tergolong daripada kalangan (orang-orang Islam) yang lemah dan ditindas. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Setelah menukil perkataan Ibnu ‘Abbas ini, Imam Ibnu Qayyim memberi huraian bahawa pada masa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam wafat, dia (Abdullah bin ‘Abbas) belum lagi bâligh. Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak sekali-kali pernah menolak keislaman seseorang yang masuk Islam daripada kalangan kanak-kanak, bahkan Baginda menerima keislaman kanak-kanak yang kecil, yang besar (dewasa), orang merdeka, hamba, lelaki dan perempuan, Nabi sendiri tidak pernah memerintahkan, begitu juga mana-mana salah seorang daripada khalifah-khalifah Baginda, dan mana-mana sahabat Baginda yang lain supaya kanak-kanak yang masuk Islam sebelum bâligh membaharui (mengulang semula) Islamnya. Perkara memerintahkan membaharui keislaman seperti ini tidak pernah diketahui terjadi dalam sejarah Islam (Ahkâm Ahl adz-Dzimmah: 2/906).

Perkara kanak-kanak masuk Islam ini disokong oleh beberapa peristiwa, di antaranya:

Maksudnya: Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma bahawasanya: “‘Umar Radhiallahu ‘anhu pergi bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam satu rombongan menuju ke arah Ibnu Shayyad sehingga mereka menjumpainya sedang bermain-main bersama kanak-kanak di rumah Bani Maghalah. Usia Ibnu Shayyad hampir dewasa, dia tidak terasa sehingga Nabi memukulnya dengan tangan, kemudian bersabda kepada Ibnu Shayyad: “Bersaksilah kamu bahawa aku utusan Allah.” Ibnu Shayyad memandangnya lalu berkata: “Saya bersaksi bahawa Tuan adalah Rasul al-Umiyyîn ….” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Maksudnya: Daripada Anas Radhiallahu ‘anhu, dia berkata: “Ada seorang kanak-kanak Yahudi bekerja (berkhidmat) dengan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, kemudian dia jatuh sakit. Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam datang menziarahinya, Baginda duduk di sisi kepalanya seraya bersabda kepadanya: “Islamlah kamu”, lalu dia memandang ayahnya yang ada di sisinya. Ayahnya berkata kepadanya: “Taatilah Abu al-Qasim (gelaran kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam). Lalu dia masuk Islam, dan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pun keluar seraya bersabda: “Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan dia dari neraka.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Daripada beberapa penjelasan dan dalil-dalil yang dikemukakan ini dapatlah diambil kesimpulan bahawa keislaman seorang kanak-kanak itu adalah diterima walaupun dia belum mencapai umur bâligh.

Syarat-Syarat Masuk Islam Bagi Kanak-Kanak

Berkata al-Khiraqi: “Kanak-kanak yang bukan Islam jika telah berumur sepuluh tahun, dan dia berakal ketika masuk Islam, maka dia menjadi seorang Islam. Oleh kerana itu sah Islamnya dengan dua syarat:

1. Hendaklah dia berumur sepuluh tahun. 2. Berakal ketika masuk Islam itu.

Mengenai dengan syarat yang kedua, tiada khilâf (tidak berbeza pendapat) ulama tentang persyaratan ini. Kanak-kanak yang tidak berakal tidak akan sabit i‘tiqâd Islamnya, kata-katanya tidak diambil kira dan apa yang diucapkannya bukan menunjukkan kehendak niatnya.

Mengenai syarat yang pertama, berkata asy-Syeikh (Ibnu Qudamah) dalam kitabnya al- Mughnî: “Kebanyakkan ulama yang mensahkan keislaman kanak-kanak tidak pun mensyaratkan yang demikian itu, mereka tidak juga menetapkan had umur. Pendapat sedemikian ini juga telah diriwayatkan oleh Ibnu al-Munzir daripada Ahmad bin Hanbal: “Yakni sebenarnya sah Islam kanak-kanak tanpa penetapan had umur”. Tetapi dalam satu riwayat lain daripada Ahmad: “Jika kanak-kanak itu masuk Islam ketika berumur tujuh tahun, jadilah dia seorang Islam kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Perintahkanlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika umurnya tujuh tahun. (Hadits riwayat Ahmad)

Ini menunjukkan yang demikian itu terdapat had (umur) ketika memerintahkan mereka dan sah ibadat mereka, maka had umur 7 tahun itu pulalah yang menjadikan sahnya Islam mereka. (Ahkâm Ahl adz-Dzimmah: 2/910).

Yang masyhur dalam mazhab (Ahmad bin Hanbal): “Kanak-kanak (yang bukan Islam) apabila berakal ketika masuk Islam, sah Islamnya tanpa mengambil kira had umurnya.

Sedangkan al-Khiraqi menetapkan sepuluh tahun dan yang lainnya menetapkan sembilan tahun, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Abdullah bin Hamdan, dan mengikut nash Ahmad dalam satu riwayat tujuh tahun. Berkata Ibnu Abu Syaibah: “Jika masuk Islam, dan ketika itu umurnya lima tahun, jadilah Islamnya itu sebagai (orang) Islam. (Ahkâm Ahl adz- Dzimmah: 2/ 910).

Bilakah Kanak-Kanak Dihukumkan Sebagai Seorang Islam?

Menurut jumhûr iaitu bagi mazhab Abu Hanifah, Malik, dan Ahmad serta sahabat-sahabat mereka, kanak-kanak jika dia berakal ketika masuk Islam secara bersendirian, sah Islamnya. (Ahkâm Ahl adz-Dzimmah: 2/ 901).

Setelah meneliti hujah-hujah jumhûr ulama, iaitu mazhab Abu Hanifah, Malik dan Ahmad serta sahabat-sahabat mereka, kita juga cenderung untuk memfatwakan bahawa kanak-kanak bukan Islam apabila dia mengucapkan dua kalimat syahadat dalam keadaan dia berakal, maka jadilah dia seorang Islam.

Analisis Persoalan Mengangkat Anak Bukan Islam

Elok kita balik semula tentang orang Islam mengangkat anak orang bukan Islam dalam kedudukan kes seperti berikut:

“Jika ibu bapanya yang kafir itu tidak mahu mengasuh atau menjaga anaknya sama ada kerana kesempitan hidup atau menganggap anak itu tidak mendatangkan tuah, atau ada sebab-sebab lain lalu menyerahkannya kepada orang Islam secara sukarela dan sepenuh hati, tanpa paksaan untuk diasuh atau diangkat. Di samping itu, pada bila-bila masa ibu bapa asal itu tidak berhasrat lagi mengambilnya semula dan penyerahan itu dianggap sebagai isyarat yang mereka rela anak itu diasuh dan dididik dengan Islam, bahkan menjadi anak Islam. Jika demikian hal keadaannya dan kedudukan perkara, mengapa anak orang bukan Islam seperti ini tidak patut dianggap sebagai anak Islam?”

Selain hujah-hujah di atas, pendapat ini ada relevannya dengan hadits yang menyebutkan bahawa setiap anak yang lahir adalah dalam keadaan fitrah. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, dia berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tidak ada anak yang dilahirkan, kecuali dilahirkan dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nashrani atau Majusi sebagaimana binatang itu dilahirkan dengan lengkap. Apakah kamu melihat binatang lahir dengan terputus (hidung, telinga dan lain-lain)?” Kemudian Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata: “kamu bacalah: (tafsirnya: “Iaitu agama yang Allah ciptakan manusia untuk menerimanya (dengan keadaan bersedia dari semula jadinya); tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu. – surah ar-Rûm: 30).”

Sebagaimana yang disebutkan oleh Ibnu Hajar, fitrah anak itu bermaksud bahawa fitrahnya bersedia untuk mengenali agama Islam dan untuk menyukainya. (Syarh Shahîh al-Bukhari: 3/349)

Pengecualian dalam hal ini ialah jika ibu bapanya menjadikannya Yahudi atau Nashrani atau penyembah api. Bagaimana jika keduanya menjadikannya Islam, adakah dia Islam? Jika ditilik di sebalik perkataan ini dengan mengambil kira yang sebaliknya, yakni jika ibu bapanya tidak menjadikannya Yahudi atau Nashrani, tetapi menjadikannya Islam, bermakna dia adalah Islam, Islam mengikut fitrah, dan ibu bapanya telah berfungsi menjadikan atau mengembalikannya ke fitrahnya yang asal.

Pokok persoalan di sini ialah “jika ibu bapa ingin atau rela menjadikan anaknya Islam” -maka mengikut proses yang disebutkan di atas, maka selain hadits dan pengertiannya ini, ulama-ulama dari mazhab lain adalah menghukumkan kanak-kanak berkenaan sebagai Islam sebagaimana yang dicatatkan di bawah ini.

Kafir Dzimmi Menjadikan Anaknya Seorang Islam

Ada ulama berpendapat bahawa orang kafir yang berusaha menjadikan anaknya yang kecil sebagai seorang Islam adalah diperakui bahawa anak itu dihukumkan Islam.

Dalam persoalan ini, jika orang kafir penyembah api misalnya berkata tentang anaknya: “Anak ini adalah seorang Islam.”

Kemudian selepas lima tahun, kanak-kanak itu mati, maka kanak-kanak itu harus dikuburkan di perkuburan orang-orang Islam.

Pendapat ini ialah pendapat yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Muhammad al- Khallal daripada pendapat mazhab Hanbali. (Kitab al-Jâmi‘: 1/90-91)

Setelah menukilkan pendapat yang disebutkan oleh al-Khallal itu, Ibnu Qayyim berkata: “Ertinya, kanak-kanak itu hanya dihukumkan kufur, kerana kedua orang tuanya menjadikannya Yahudi atau Nashrani. Oleh itu apabila keduanya menjadikannya Islam, maka jadilah dia Islam.” (Ahkâm Ahl adz-Dzimmah: 2/941)

Dr. Ibrahim bin Hamdas Sultan ketika mentahqîq kitab al-Jâmi‘ karangan al-Khallal di dalam memberi ulasan tentang “ يهودانه وينصرانه ” (kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi dan Nashrani) bahawa dari satu segi hadits ini sebagai dalil bahawa jika kedua ibu bapa mereka menjadikan anak mereka seorang Islam, maka jadilah dia seorang Islam, di mana kedua ibu bapa, menurut perhitungan nash hadits ( ٍم َام ن ْ م َوْلُوْدَّ إاليـُوْلَد ُ ع َلَى الفطْرَة menjadikan anak mereka sama ada sebagai Yahudi, Nashrani atau Majusi, demikian juga jika keduanya menjadikannya seorang Islam (jadilah dia seorang Islam). (Kitab al-Jâmi‘: 1/91)

Asuhan Orang Islam

Mengikut sebahagian ulama, asuhan atau belaan orang Islam terhadap kanak-kanak kafir dzimmi adalah memberi kesan hukum terhadap agama anak itu.

Misalnya seorang Islam mempunyai hamba sahaya suami isteri Nashrani yang mempunyai anak, lalu anak itu meninggal dan semasa meninggal dia berada di dalam asuhan atau belaan orang Islam, maka dia dianggap Islam.

Mengikut pendapat ini, asuhan atau belaan orang-orang Islam terhadap anak orang kafir boleh menjadikannya sebagai seorang Islam. (Ahkâm Ahl adz-Dzimmah: 2/942-943).

Ketika membahas soal kemerdekaan dan warisan, Ibnu Qayyim berkata:

Ertinya: “Apa yang disebutkan guru kita itu hanyalah menunjukkan bahawa kanak-kanak kecil apabila diasuh oleh keluarganya yang kafir dzimmi, maka dia mengikut agama mereka, dan tidak menunjukkan bahawa kita tidak menghukumkan keislamannya apabila dia diasuh oleh orang-orang Islam.” (Ahkâm Ahl adz-Dzimmah: 2/1057) Apa yang disebutkan Ibnu Qayyim itu bererti boleh menghukumkan anak orang kafir itu sebagai Islam apabila dia diasuh atau dibela oleh orang Islam.

Ibnu al-Qayyim membawakan contoh permasalahan bahawa seorang kanak-kanak itu akan mengikut agama kedua-dua ibu bapanya (sama ada) dalam Islam atau kafir. Oleh kerana itu apabila kedua ibu bapanya yang bukan Islam meninggal, maka dengan sendiri hilanglah sebab ikutan (ikutan kedua ibu bapa dalam agama kafir itu). Ketiadaan sebab tersebut menjadikan kanak-kanak itu kembali kepada agamanya yang fitrah yang mula-mula (Islam). Inilah yang lebih utama dengan kanak-kanak itu.

Katanya:

Ertinya: Kanak-kanak yang bukan Islam apabila mati semua kaum keluarganya (termasuk kedua ibu bapanya), lalu kanak-kanak ini dipelihara oleh orang asing daripada kalangan orang-orang kafir, maka tidak boleh menjadikan kanak-kanak itu sebagai orang kafir, kerana ia mengeluarkannya daripada fitrah (Islam) yang mana fitrah itu (Islam) Allah jadikan bagi kanak-kanak itu sebagai asal kejadiannya, maka mengeluarkan daripada asal kejadiannya, tidak wajar. Pemeliharaan mereka ini ditolak, sebab akan memasukkannya daripada kejadiannya yang fitrah (tauhid) ke dalam kekufuran tanpa ada bersama-samanya ikutan salah seorang daripada kaum keluarganya. Cara ini (menjadikan kanak-kanak itu kafir) sangat buruk sekali kerana apabila kedua-dua ibu bapanya meninggal, penguasaan terhadap kanak-kanak bukan Islam tidak boleh berpindah kepada kaum kerabatnya, sebagaimana juga tidak boleh diperlakukan terhadap kanak-kanak orang Islam (penguasan mereka berpindah kepada kaum kerabatnya), bahkan penguasan kanak-kanak bukan Islam itu tanggungjawab bagi orang-orang Islam seluruhnya. Pada saat itu kanak-kanak yang kematian keluarga dihukumkan sebagai orang Islam sama seperti kanak-kanak bukan Islam yang ditawan tanpa kedua ibu bapanya, bahkan Islamnya kanak-kanak ini lebih utama berbanding daripada kanak-kanak tawanan tadi. (Ahkâm Ahl adz-Dzimmah: 2/898).

Jika pengangkatan kanak-kanak bukan Islam kepada orang Islam berdasarkan penguasaaan atau istîlâ’, maka kanak-kanak itu menjadi orang Islam, sebab orang yang mengangkatnya ialah orang Islam. Dasar istîlâ’ ini juga menjadi pegangan kepada pengarang Bughyah al- Mustarsyidîn yang menjadi pilihan kepada al-Imam al-Bulqaini. Pendapat ini (tentang sah Islam kanak-kanak yang dibeli oleh orang Islam, berdasarkan istîlâ’ itu) dii‘timâdkan oleh al-Imam as-Sayuthi, sementara al-Imam as-Subki pula cenderung kepada pendapat tersebut.

Adapun kanak-kanak bukan Islam yang belum bâligh apabila mengucap dua kalimat syahadat sah Islamnya. Inilah pendapat jumhûr ulama yang terdiri daripada Imam Hanafi, Maliki dan Hanbali serta ulama-ulama kepada mazhab-mazhab tersebut.

Jawapan-jawapan lain mengenai persoalan yang ditanyakan seperti berikut:

Soalan 1 dan 2:

Oleh kerana kanak-kanak bukan Islam apabila diangkat oleh orang Islam menjadi Islam, maka dengan sendirinya semua urusan pengendalian jenazah, pengebumiannya hendaklah menurut sebagaimana pengurusan mayat orang Islam. Soalan 3:

Adalah harus membaca surah Yâsîn dan tahlîl di sisi jenazah kanak-kanak tersebut.

Memang terdapat perselisihan ulama mengenai dengan pahala bacaan al-Qur’an itu sampai atau tidak kepada si mati. Kebanyakan ulama termasuk ulama-ulama mazhab Syafi‘e yang terbilang seperti Imam as-Subki berpendapat pahala bacaan al-Qur’an itu boleh sampai kepada si mati.

Kesimpulan perbincangan ulama mengenainya bahawa pendapat yang terpilih (al-mukhtâr) ialah pendapat yang mengatakan pahala berkenaan sampai kepada si mati apabila pembacanya meniatkan pahala bacaannya itu kepada si mati atau berdoa setelah membaca al-Qur’an dengan menghadiahkan pahalanya kepada si mati ataupun membaca al-Qur’an di sisinya atau di atas kuburnya berdasarkan dalil-dalil yang kukuh. Pendapat ini adalah pendapat imam-imam mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali dan dipilih oleh kebanyakan ulama-ulama mazhab Syafi‘e.

Adapun pendapat Imam an-Nawawi yang mengatakan bahawa pahala bacaan al-Qur’an tidak sampai kepada si mati telah dihuraikan oleh kebanyakan ulama bahawa maksud pahala tidak sampai itu ialah jika ia tidak dibaca di sisi si mati atau tidak berniat supaya pahala bacaan itu untuk si mati atau dia berniat tetapi tidak berdoa. Adapun jika dibaca di sisinya atau diniatkan bacaan itu untuknya dan berdoa setelah membaca al-Qur’an itu maka akan sampai pahalanya. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/354-355)

Imam an-Nawawi di dalam al-Adzkâr berkata setelah mengetengahkan perselisihan pendapat ulama mengenai hal ini:

Ertinya: Maka (pendapat) yang terpilih hendaklah orang yang membaca al-Qur’an itu membaca (doa) setelah selesai membaca al-Qur’an iaitu: “Ya Allah! Mohon sampaikan pahala daripada ayat-ayat al-Qur’an yang telah aku baca kepada si polan.” (Al-Adzkâr: 336)

Kita tegaskan bahawa menghadiahkan pahala tahlîl dan pahala bacaan Yâsîn kepada kaum keluarga dan kepada orang lain yang sudah meninggal adalah harus dan mereka mendapat manfaat daripada hadiah itu. Adapun dalil bahawa orang lain boleh mendapat pahala daripada amal orang lain, antaranya (dengan rIngkas) bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pada ketika akan berkorban dua ekor kibasy, Baginda berdoa supaya diterima oleh Allah korban Baginda itu untuk diri Baginda sendiri, keluarga dan umat Baginda.

Peristiwa ini jelas menunjukkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam memberikan pahalanya untuk keluarga dan umat Baginda. Ini membawa erti bahawa amalan seseorang itu boleh memberi manfaat kepada orang lain.

Contoh lain bahawa adalah sunat bagi (ahli waris atau selainnya) untuk membayar hutang puasa bagi pihak orang yang telah meninggal. Perkara ini disebut dalam hadits shahîh.

Demikian juga sembahyang dan doa ke atas mayat memberi manfaat kepada mayat itu. Sembahyang dan doa itu adalah perbuatan atau amalan seseorang yang lain.

Bekas Mufti Mesir Fadhilat Dr. Nasr Farid Muhammad Wasil, telah ditanya: “Bahawa seorang khatib di sebuah kampung ketika menyampaikan khutbah pada hari Jumaat mengatakan membaca al-Qur’an dan membaca al-Fâtihah untuk orang-orang yang telah meninggal itu adalah bid‘ah, dan setiap bid‘ah itu adalah sesat.” Penyoal memohon penjelasan hukum syara‘ dalam perkara membaca al-Qur’an untuk orang yang telah meninggal.

Jawab Mufti tersebut: “Sesungguhnya membaca al-Qur’an itu adalah di antara yang seafdhal-afdhal ibadat. Dengannya akan mendekatkan seorang Muslim kepada Tuhannya. Adapun membaca al-Qur’an untuk seseorang selepas meninggalnya, sama ada bacaan itu di rumahnya, di masjid, selepas menyembahyangkan si mati atau sebelumnya atau di sisi kuburnya, semuanya ini adalah harus menurut syara‘. Bacaan al-Qur’an itu dengan kemurahan Allah akan memudahkan mayat dalam kuburnya sebagaimana perkara ini dikhabarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri dalam sabdanya:

Maksudnya: Tiada mayat dibacakan kepadanya surah Yâsîn melainkan dipermudahkan ke atasnya. (Al-Fatwâ al-Islâmiyyah: 110)

Al-Imam Abdul Halim Mahmud (bekas Syeikh al-Azhar) menulis dalam fatwanya mengenai perkara membaca al-Qur’an untuk seseorang selepas kematiannya, al-Imam itu berkata:

“Membaca al-Qur’an ke atas seseorang setelah dia meninggal dunia hukumnya adalah harus. Perbuatan tersebut tidak diragukan boleh menolong mempermudahkan urusan si mati di alam kuburnya sebagaimana yang dikhabarkan oleh Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada kita. Baginda menggalakkan agar kita membaca al-Qur’an untuk si mati selepas kematiannya sebagaimana sabda Baginda:

Maksudnya: Tiada seorang pun yang meninggal dunia yang dibacakan ke atasnya surah Yâsîn kecuali (surah berkenaan) akan mempermudahkan ke atasnya. (Hadits riwayat al-Qurthubi)

Sabda Baginda lagi:

Maksudnya: Sesiapa yang masuk (ziarah) kubur lalu membaca surah Yâsîn maka Allah meringankan ke atas mereka (penghuni kubur) azab pada hari itu. Dan dia pula mendapat kebajikan sebanyak bilangan mereka yang bersemadi di dalam kubur berkenaan. (Hadits ini disebut oleh ats-Tsa‘labi daripada Abu Hurairah)

Perkara di atas adalah mengenai dengan kesahihan amalan membaca al-Qur’an ke atas si mati setelah matinya dan juga dengan ini melemahkan sebarang alasan untuk ia tidak dibaca ke atas si mati.

Untuk mengukuhkan lagi apa yang sedang kita bincangkan ini Rasulullah Shallalahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Apabila seseorang manusia itu meninggal dunia maka terputuslah amalannya melainkan tiga perkara: Sedekah jâriah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak salih yang berdoa (untuk kebaikannya). (Hadits riwayat Muslim)

Dalam hal ini al-Qur’an adalah antara bentuk doa yang terpenting di mana orang yang berdoa menghadap Allah dengan berperantarakannya. Di dalam sebuah hadits Qudsi ada menyatakan bahawa Allah berfirman yang maksudnya: Sesiapa yang sibuk membaca al- Qur’an daripada berzikir dan berdoa nescaya Aku akan memberi apa yang dikehendakinya dengan sebanyak-banyak dan sebaik-baik daripada apa yang Aku berikan kepada orang-orang yang berdoa kepadaKu.

Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz, Mufti Kerajaan Brunei Darussalam apabila diminta fatwanya mengenai: Bertahlîl orang mati 3, 7 dan 40 hari, beliau memfatwakan:

“Tahlîl kepada orang mati itu ertinya membaca ayat-ayat al-Qur’an dan membaca zikir dan berdoa kerana si mati, ini dituntut di dalam Islam bukan sahaja pada 3 hari atau 7 hari atau 40 hari atau 100 hari atau setahun sekali, tetapi tiap-tiap orang Islam sembahyang dia doakan orang Islam sama ada orang itu mati atau hidup seperti ia kata dalam sembahyang:

Lepas orang azan sunat berdoa afiyat kepada diri sendiri dan ibu bapa dan lain orang. Lepas sembahyang sunat berdoa:

Siapa orang tiada apa hendak berbuat sedekah maka ia kata:

atau seperti kata itu maka dia dapat pahala bersedekah kepada orang-orang mukmin dan mukminat.

Tiada mesti waris membuat tahlîl dan orang lain boleh buat tahlîl dan doa sebagaimana ayat di atas ini.”

Cukup secara ringkas menunjukkan bahawa amalan seseorang seperti membaca tahlîl dan Yâsîn itu, boleh mendatangkan faedah kepada orang lain. Dengan itu bacaan tahlîl dan membaca Yâsîn itu bukanlah perkara bid‘ah.

Soalan 4:

Apakah erti syafaat itu? Di antara lain maknanya pertolongan dan bantuan. Pertolongan daripada seseorang dalam menyampaikan kebaikan dan menolak kejahatan.

Ulama fiqh dan ulama ilmu kalâm sepakat tentang adanya syafaat dalam syariat Islam. Di antara ayat-ayat al-Qur’an menyebutkan adanya syafaat itu ialah:

Tafsirnya: Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. (Surah al-Baqarah: 255)

Dalam hadits pula menyebutkan:

Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda: “Ada tiga kelompok yang dapat memberi syafaat di Hari Kiamat, iaitu para Nabi, kemudian para ulama kemudian para syuhadâ’.” (Hadits riwayat Ibnu Majah, al-Baihaqi dan al-Bazzar)

Di dalam beberapa hadits dijelaskan bahawa seseorang boleh mendapat manfaat daripada doa orang lain, seperti disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah:

Maksudnya: Saya mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Di kalangan umatku ada sekelompok orang yang berjumlah tujuh puluh ribu orang, wajah mereka bersinar laksana purnama.” Dan berkata Abu Hurairah: “Tiba-tiba ‘Ukkasyah bin Mihshan al-Asadi (salah seorang sahabat yang hadir) mengangkat kain berwarna, sambil berkata: “Ya Rasulullah, doakanlah saya agar termasuk dalam kelompok itu.” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berdoa: “Ya Allah, jadikanlah dia sebahagian daripada mereka.” Kemudian seorang Anshar berkata pula: “Ya Rasulullah, doakan pula saya agar termasuk dalam kelompok itu.” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Anda telah didahului oleh ‘Ukkasyah.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan kepada pandangan umum mengenai syafaat di atas, maka anak angkat yang dengan sebab didikan dan asuhan ibu bapa angkatnya menjadi anak angkat yang salih – insyâ’ Allah - dapat memberi syafaat kepada kedua ibu bapa angkatnya itu, akan tetapi tidaklah seperti anak kandung sebenar kepada ibu bapa kandungnya. Walau bagaimanapun semua ini dengan izin Allah jua.

Soalan 5:

Wasiat itu hukumnya sunat mu’akkadah, bahkan sewajarnya jangan sampai dilupakan kerana manusia tidak dapat mengetahui bilakah kematiannya akan berkunjung dan seperti yang dimaklumi kematian itu akan datang dengan tiba-tiba. Perkara wasiat ini telah dijelaskan dalam hadits shahîh:

Maksudnya: Daripada Abdullah bin Umar Radhiallahu ‘anhuma bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tidak ada hak seorang Muslim yang mempunyai suatu barang yang diwasiatkan, sehingga bermalam dua malam kecuali wasiatnya tertulis di sisinya.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Walau bagaimanapun wasiat yang dibenarkan tidak melebihi 1/3 (satu pertiga) daripada jumlah harta seseorang itu dengan syarat jika hal itu bukan dimaksudkan untuk menghalangi hak ahli warisnya. Kalau bermaksud seperti itu, maka hukumnya adalah haram.

Sebenarnya sesuatu wasiat itu boleh dibuat dengan lisan atau tulisan. Jika wâshi (seseorang yang membuat wasiat) tidak dapat melakukan dengan lisan atau tulisan, wasiatnya bolehlah dibuat dengan cara isyarat yang boleh difahami.

Soalan 6:

Apa yang difahami daripada soalan ini ialah anak angkat dibin atau dibintikan dengan nama bapa angkat. Kalau beginilah kedudukannya tidakkah dengan begini akan meragukan bahawa orang boleh beranggapan atau menyangka bahawa nama yang digandingkan dengan seseorang anak angkat itu sebagai bapanya, padahal bukan bapa kandungnya, bahkan bapa angkatnya.

Hakikatnya anak angkat tidak boleh, bahkan haram, dibin atau dibintikan kepada bapa angkat. Adapun dasar larangan perkara ini sebagaimana firman Allah:

Tafsirnya: Panggillah anak-anak angkat itu dengan ber‘bin’kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggillah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seagama dan sebagai ‘maulâ-maulâ’ kamu. Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Ahzâb: 5)

Adapun sebab turun ayat ini ialah mengenai Zaid bin Haritsah. Berkata Ibnu Umar: “Kami pada masa dahulu tidaklah memanggil Zaid bin Haritsah melainkan Zaid bin Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.” Ini menunjukkan bahawa mengangkat anak telah berlaku pada masa jahiliah dan semasa Islam. Dengan mengangkat anak itu berlakulah waris mewarisi (di antara bapa angkat dan anak angkat) sehingga Allah memansukhkan hukum pengangkatan anak yang membawa kepada waris mewarisi itu. Firman Allah:

Tafsirnya: Panggillah anak-anak angkat itu dengan ber‘bin’kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. (Surah Al-Ahzâb: 5)

Dengan ayat ini Allah memerintahkan supaya dipanggil anak angkat itu dengan bapa kandungnya yang sebenar yang diketahui. Jika anak angkat itu tidak mempunyai bapa yang diketahui, maka hendaklah dinasabkan kepada bekas tuannya (jika dia bekas seorang hamba yang telah dimerdekakan). Jika dia tidak mempunyai bekas tuan yang diketahui, maka dipanggil kepada َي أخى (wahai saudara) dalam Islam. (Al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân: 15/119)

Zahir ayat di atas menunjukkan adalah haram bagi seseorang dengan sengaja memanggil seseorang bukan dengan nama bapa kandungnya, sebagaimana perkara ini dilakukan pada masa jahiliah.

Membin atau membintikan anak angkat kepada bapa angkat mendapat ancaman keras daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan sabdanya:

Maksudnya: Barang siapa mengaku bernasabkan seseorang sebagai bapa kepada orang yang bukan bapanya, padahal dia mengetahui bahawa orang itu bukan bapanya, maka syurga diharamkan ke atasnya. (Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

Apabila seseorang anak angkat tidak diketahui bapa kandungnya yang sebenar, maka harus bagi seorang anak angkat itu dibin atau dibintikan dengan Abdullah (hamba Allah) atau nama-nama lain daripada nama-nama Allah seperti Abdul Rahman (hamba yang mempunyai rahmat yang sangat luas). Abdullah atau Abdul Rahman itu hendaklah pula bukan nama bapa angkat.

Adalah tidak harus, bahkan haram seseorang dibinkan dengan Abdul Rahman, padahal dia tahu dan pasti bahawa nama bapa angkatnya itu ialah Abdul Rahman, walaupun “ar- Rahman” itu salah satu daripada Asmâ’ al-Husnâ (nama-nama Allah) kerana dengan membinkan kepada Abdul Rahman itu boleh mendatangkan kekeliruan, lebih-lebih lagi Abdul Rahman sekarang sudah bernama Haji Abdul Rahman, yang menjadikan nama itu benar-benar merujuk kepada Abdul Rahman bapa angkatnya, bukan lagi semata-mata bertujuan sekadar memakai atau memilih nama Abdul Rahman itu kerana ia dari Asmâ’ al- Husnâ.

Yang lebih selamat ialah menghilangkan atau tidak meletakkan nama bapa angkat yang digandingkan dengan nama bapa kandung supaya tidak mendatangkan kekeliruan atau keraguan seperti:

Polan bin Abdul Rahman (Abdul Rahman itu ialah bapa kandung) digandingkan dengan nama Kasim (nama bapa angkat) sama ada nama-nama tersebut didahulukan atau dikemudiankan. Dengan cara ini menjadi:

Polan bin Abdul Rahman Kasim atau Polan bin Kasim Abdul Rahman.

Contoh seperti ini atau apa jua yang seumpamanya masih boleh mendatangkan kekeliruan, kerana boleh saja diertikan bahawa Abdul Rahman dan Kasim itu adalah orang yang sama.

Soalan 7: Adalah harus bagi anak angkat memanggil bapa angkatnya dengan panggilan bapa sebagai suatu penghormatan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9295