Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Baki Wang Tabung Derma Surau

Soalan: Dengan hormat kaola mohon pandangan dan fatwa Pehin mengenai dengan baki wang tabung derma surau yang masih tersimpan di bank yang belum sempat digunakan lagi. Ini kerana telah terdapat masjid baru dibuka bagi menggantikan surau berkenaan yang mana surau itu tidak lagi berfungsi untuk sembahyang berjemaah dan kegiatan-kegiatan acara keagamaan sejak masjid baru itu dibuka di kampung yang sama.

Oleh itu mohon penjelasan untuk cara menyelesaikan baki wang tabung surau tersebut. Adakah boleh juga dicantumkan dengan tabung derma masjid baru di kampung yang sama itu?

Jawapan: Tabung derma kerana sesuatu tujuan seperti tabung derma di masjid-masjid adalah wajib disempurnakan dan ditunaikan derma itu menurut tujuannya, kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ada bersabda yang diriwayatkan oleh ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: Sesungguhnya (sahnya) amal perbuatan itu adalah dengan niat dan sesungguhnya tiap-tiap seseorang itu mendapat apa yang telah diniatkan. (Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi, an-Nasa’i, Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad)

Oleh itu, setiap derma yang hendak digunakan atau dibelanjakan oleh pemegang amanah derma hendaklah mengikut niat orang yang menderma atau mengikut tujuan derma itu dilakukan. Seperti, jika derma diniatkan atau ditujukan untuk sesuatu perkara yang tertentu seperti majlis tahlîl, membaiki masjid, dana biasiswa pelajaran anak-anak yatim atau pembinaan sekolah, maka hendaklah pemegang amanah derma itu menyalurkan derma itu menurut niat orang yang berderma itu.

Abu Musa Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya seorang penyimpan harta yang Muslim lagi amanah yang melaksanakan (tanggungjawabnya) - dan kemungkinan juga baginda bersabda; memberikan - apa yang diperintahkan kepadanya, maka dia (penyimpan harta) itu melaksanakan dengan sempurna lagi cukup dengan senang hati dan seterusnya menyerahkannya kepada orang yang diperintahkan untuk diberi, (maka) dia (penyimpan harta) itu adalah termasuk juga salah seorang daripada orang-orang yang bersedekah. (Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ahmad)

Tetapi jika wang sesuatu derma itu ada berbaki, maka baki wang itu hendaklah disimpan dan dianjakkan wang derma tersebut kepada majlis yang serupa di masa akan datang bagi memelihara niat para penderma atau tujuan derma itu dilakukan.

Adapun baki wang tabung derma surau yang tidak berfungsi lagi bagi menunaikan sembahyang berjemaah dan kegiatan-kegiatan acara keagamaan kerana terdapat masjid baru dibuka bagi menggantikan surau berkenaan, maka baki wang tabung derma surau tersebut adalah boleh dicantumkan dengan tabung derma masjid yang baru itu. Tetapi dengan syarat kedua tabung tersebut hendaklah mempunyai tujuan yang sama, kerana itulah saja yang lebih mendekati kepada tujuan dan niat para penderma.

Ini adalah berdasarkan pendapat ulama mengenai waqaf yang mana di atas sebab dharurat dan menjaga kepentingan orang yang berwaqaf agar waqafnya tidak terbengkalai atau waqafnya itu tidak menjadi sia-sia, adalah harus tidak dipatuhi syarat-syarat yang ditentukan oleh orang yang berwaqaf demi kemashlahatan orang yang berwaqaf itu sendiri.

Al-Qalyubi Rahimahullah berkata:

Ertinya: Dan situasi di mana dipatuhi syarat orang yang berwaqaf itu juga ialah selama mana bukan di dalam keadaan dharurat sekalipun mengambil masa yang panjang. Jika tidak, (jika di dalam situasi dharurat) seumpama bangunan waqaf yang roboh, maka tidak dipatuhi syarat orang yang berwaqaf itu, seperti juga jika sekiranya dia mensyaratkan supaya tidak disewakan (bangunan) itu melebihi tiga tahun umpamanya, (tetapi) dharurat menghendaki untuk membangunnya (semula) sekalipun mengambil masa yang panjang, dan tidak ada orang yang hendak menyewanya kecuali dengan sewaan yang melebihi syarat tiga tahun, maka adalah harus (jangka masa sewaan yang) lebih itu sekira-kira cukup untuk pembangunan semula kerana disebabkan oleh dharurat. (Hâsyiyatân Qalyubi ‘Umairah: 3/104).

Imam Syihabuddin ar-Ramli Rahimahullah pula berkata:

Ertinya: Dan perkataan ‘bukan di dalam keadaan dharurat’ mengeluarkan (tidak memasukkan keadaan di mana) jika sekiranya tidak didapati sesiapa pun yang berminat pada waqaf itu kecuali dengan cara yang berlainan dengan demikian (apa yang telah disyaratkan oleh orang yang berwaqaf), maka adalah harus (ditinggalkan syarat orang yang berwaqaf itu), kerana pada zahirnya bahawa orang yang berwaqaf tidak ingin waqafnya itu terbengkalai. Dan jika sekiranya rumah yang disyaratkan agar tidak disewakan kecuali dengan kadar sebegini (tertentu)itu roboh dan rumah itu tidak mungkin dapat dibanguni (semula) kecuali dengan sewaan yang melebihi kadar yang sedemikian (yang telah ditentukan), (maka harus waqaf itu) disewakan dengan kadar sekira-kira mencukupi untuk pembangunannya sahaja sebagai memelihara kepentingan orang yang berwaqaf bukannya kepentingan orang yang berhak (kepada waqaf itu). (Nihâyah al- Muhtâj ilâ Syarh al-Minhâj: 5/376).

Oleh itu, Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah ada berkata di dalam fatwanya:

Ertinya: Sesungguhnya bab wasiat, waqaf dan sedekah adalah dari lubuk yang satu. (Al- Fatâwâ al-Kubrâ al-Fiqhiyyah: 3/366).

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9320