Bermalam (Mabît) Di Mina Tetapi Sering Kali Keluar Kerana Urusan
Soalan: Apakah hukum mabît yang tidak sempurna bagi pegawai dan petugas haji yang keluar masuk ke Mina dan Makkah kerana urusan jemaah seperti transport, makan, minum dan lain-lain urusan yang mesti diselesaikan?
Jawapan: Bermalam di Mina pada hari-hari tasyrîq 11, 12 dan 13 adalah antara perkara-perkara wajib haji. Sesiapa yang tidak bermalam di Mina diwajibkan membayar dam. Akan tetapi kewajipan bermalam di Mina dan Muzdalifah itu boleh gugur ke atas jemaah di dalam keadaan-keadaan tertentu. Dalam hal ini berkata pengarang I‘ânah ath-Thâlibîn:
Maksudnya: Dan gugur bermalam (di Mina) secara mutlak ke atas orang yang takut terancam keselamatan dirinya atau anggotanya atau kemaluannya atau harta bendanya sekalipun sedikit. Dan gugur kewajipan bermalam di Muzdalifah pula bagi mereka yang bertolak dari ‘Arafah ke Makkah dan mengerjakan tawaf rukun dan selepas itu dia tidak dapat kembali lagi ke Muzdalifah. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/476)
Berkata Imam an-Nawawi di dalam kitab al-Îdhâh fî Manâsik al-Hajj wa al-Umrah bahawa orang-orang yang diharuskan meninggalkan bermalam di Muzdalifah atau Mina tanpa dikenakan dam yang disebabkan oleh keuzuran ialah:
Ertinya: Yang ketiga (mereka yang dibolehkan meninggalkan bermalam di Mina tanpa membayar dam): Orang yang ada baginya keuzuran dengan sebab yang lain, seperti orang yang ada harta takut kehilangan hartanya itu kalau dia bermalam atau dia takut ke atas dirinya atau harta yang bersamanya atau baginya orang sakit yang memerlukan kepada penjagaannya atau dia mencari hamba yang lari atau keadaan dirinya yang sakit yang menyusahkan untuknya bermalam atau yang seumpama sedemikian itu, maka (mengikut pendapat yang shahîh) bahawa harus bagi mereka ini meninggalkan bermalam dan hendaklah mereka meninggalkan Mina selepas terbenam (matahari) dan tidak dikenakan sesuatu (dam) ke atas mereka.
Oleh itu berhubung dengan masalah pegawai haji daripada syarikat pakej haji atau umrah yang sibuk dengan urusan di Makkah, jika dia telah berusaha untuk turun ke Mina tetapi terhalang kerana kesesakan dan sebagainya sehingga dia tidak sempat masuk ke Mina sehingga terbenam matahari maka dia adalah termasuk sebagai orang yang dikategorikan sebagai uzur. Namun demikian hendaklah keuzuran itu tidak ada niat sengaja melengah-lengahkan kerjanya sehingga dia luput bermalam. Jika ia disengajakan dia wajib membayar dam kerana tidak bermalam di Mina.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9344
