Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Hukum Berdikir Di Rumah Orang Yang Bukan Islam

Soalan: Baru-baru ini kaola dan kawan-kawan telah diundang berdikir oleh orang bukan beragama Islam. Untuk tidak menghampakan undangan tersebut kaola dan kawan-kawan telah menghadiri undangan tersebut, walaupun kebanyakan daripada ahli-ahli dikir abis kaola masih merasa ragu-ragu untuk menghadirinya. Untuk tidak menghampakan, abis kaola hadir dan mempersembahkan beberapa buah dikir di majlis tersebut.

Oleh itu sehingga pada masa ini masih menjadi persoalan dari mulut ke mulut oleh para jemaah di beberapa buah Masjid Mukim Berakas ‘B’, apakah hukumnya berdikir di rumah orang bukan Islam? Mudah-mudahan kemusykilan abis kaola ini akan terjawab oleh Pehin.

Dengan adanya jawapan itu nanti akan dapat menjadi garis pandu abis kaola di masa yang akan datang.

Jawapan: Persoalan ini mengandungi dua perkara. Pertama, sekumpulan orang Islam menghadiri majlis yang diundang oleh orang yang bukan Islam. Kedua, sebahagian daripada ahli kumpulan itu mempersembahkan dikir di majlis tersebut.

Perkara pertama, hadir ke majlis orang yang bukan Islam kerana diundang tidaklah mengapa selama majlis itu tidak mengandungi perkara-perkara mungkar atau perkara-perkara maksiat.

Adapun perkara kedua adalah yang menjadi inti persoalan, iaitu hukum berdikir di majlis orang yang bukan Islam.

Pengertian Dikir dan Zikir

Dikir sama maksudnya dengan zikir. Zikir mengikut syara‘ ialah ingat kepada Allah Ta‘ala menerusi ucapan lidah atau hati dengan tujuan memujiNya atau berdoa kepadaNya, atau setiap ucapan yang membawa kepada ganjaran pahala bagi pelakunya. (Mughni al-Muhtâj: 1/56 dan I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/184).

Ucapan-ucapan atau lafaz-lafaz zikir itu seperti mengesakan Allah (الالـهإال هللا), mensucikan Allah (سـبحان هللا), pujian kepada Allah (احلمـدهلل), membesarkan Allah (هللا أكـرب), hauqalah (ال berdoa, sama ada doa itu doa ma‘tsûr yang diterima daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, selawat kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan para nabi dan rasul-rasul dan lain-lain ucapan yang menunjukkan ingatan kepada Allah Ta‘ala.

Zikir ada dalam pelbagai bentuk, ada yang telah dihimpunkan oleh ulama dalam satu kumpulan kitab atau risalah. Di alam Melayu sendiri terdapat banyak kitab-kitab seperti ini. Antara kitab-kitab yang mengandungi zikir dalam bentuk memuji dan menghormati Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam serta doa-doa ialah kitab Maulid ad-Dibâ‘i, Terjemahan al- Barzanji, Syarf al-Anâm dan lain-lain.

Dikir

Berdikir dalam konteks Brunei hanya ditujukan kepada membaca kandungan risalah (kitab) yang diberi nama ْي مولد شرف ا كتاب ديكألَنم (Kitab Dikir Maulid Syarf al-Anâm) saja.

Kandungan asal dan cetakan awal kitab ini adalah dalam bahasa Arab yang dinukilkan sepenuhnya daripada teks natsar (prosa) dan nazm (syair) Maulid Ja‘far al-Barzanji yang dikarang sekitar abad ke-12H/18M di kota Madinah. Natsar dan nazm ini terdapat dalam kitab-kitab Arab, seperti di dalam Majmû‘ah Maulid Syarf al-Anâm yang dihimpun oleh Muhammad bin Haji Muhammad Said bin Haji Arsyad pada tahun 1340H/1922M.

Pada akhir-akhir ini sesetengah cetakannya telah disertakan bersama dengan terjemahannya, serta beberapa zikir dan doa lain, seperti cetakan kedua Muharram 1423H/2002M oleh Jabatan Percetakan Kerajaan.

Secara umumnya dikir Brunei ini (kitab Syarf al-Anâm) mengandungi ayat-ayat al-Qur’an, pujian kepada Allah Ta‘ala, sejarah asal usul dan kelahiran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, selawat, salam serta pujian kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan doa.

Berdasarkan terbitan Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan, kitab Syarf al-Anâm itu antara lain mengandungi:

Ertinya: Limpahkan kepada kami dengan berkatnya (Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam) pakaian ketinggian dan kemuliaan. Tempatkan kami berhampiran dengannya (Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam) di dalam syurga an-Na‘im. Limpahkan kepada kami kurnia di dalam syurga dengan kurnia berkekalan…. Sediakanlah untuk kami bilik-bilik syurga…. Rahmatilah kami dengan rahmatMu dan ampunkanlah kami….

Dikir biasanya diakhiri dengan membaca doa:

Ertinya: Tuhanku, mohon rahmati kami semua dan mohon hapuskan daripada kami kejahatan….

Dalam doa ini terdapat permintaan yang berkaitan akhirat, iaitu supaya dengan berkat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam semua orang yang ada dalam majlis beroleh kemuliaan, masuk dan tinggal di syurga berjiran dengan Baginda, beroleh limpah kurnia abadi di dalam syurga, disediakan bilik-bilik di syurga, beroleh rahmat dan keampunan, serta dihapuskan segala kejahatan. Mengikut ulama, doa seperti ini hanya layak dan boleh ditujukan untuk orang-orang yang beriman sahaja.

Itulah antara lain kandungan kitab Syarf al-Anâm termasuk doanya yang biasa dibaca beramai-ramai atau dalam majlis perhimpunan orang-orang Islam yang diadakan oleh orang-orang Islam ketika menzahirkan rasa kegembiraan, seperti ketika memperingati hari keputeraan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, majlis perkahwinan, aqiqah (mencukur rambut) anak, pengislaman dan majlis-majlis adat yang lain yang ada kaitan dengan orang Islam.

Dengan pengertian di atas kita mendapati istilah dikir Brunei yang ditujukan kepada membaca Maulid Syarf al-Anâm, adalah sama pengertian atau maksudnya dengan istilah zikir kerana antara kandungannya jelas berkait dengan pergantungan pembaca dikir kepada Allah Ta‘ala.

Dikir Brunei Dibaca Dengan Nyaring dan Berkumpulan

Dikir Brunei pada ghâlibnya dibaca secara berkumpulan dengan suara nyaring dalam majlis yang ada kaitan dengan syiar agama Islam, seperti majlis memperingati Maulud Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, majlis perkahwinan, majlis-majlis kesyukuran kerana pulang daripada menunaikan ibadat haji, kerana memperolehi nikmat seperti nikmat dikurniakan anak atau keselamatan daripada bahaya.

Dikir Brunei itu dibaca dengan menyaringkan suara sehingga dapat didengar keluar dari sempadan tempat berdikir. Tujuannya supaya dapat menyerikan suasana majlis berkenaan.

Zikir Itu Ibadat

Berzikir kepada Allah Ta‘ala sama ada menerusi lidah (ucapan) atau hati, adalah satu ibadat.

Perintah berzikir antara lain disebut oleh Allah dengan firmanNya:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman, berzikirlah dengan menyebut nama Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang.

(Surah al-Ahzâb: 41-42)

Zikir hendaklah dilakukan selama hayat masih ada, dilakukan sama ada ketika berdiri, duduk atau baring. Firman Allah:

Tafsirnya: Iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah, ketika berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring. (Surah Âli ‘Imran: 191)

Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang duduk pada suatu tempat duduk dia tidak berzikir kepada Allah Ta‘ala di situ, adalah baginya dalam pandangan Allah Ta‘ala satu kerugian, dan sesiapa yang berbaring pada sesuatu tempat pembaringan dia tidak berzikir kepada Allah Ta‘ala di situ, adalah baginya dalam pandangan Allah Ta‘ala satu kerugian. (Hadits riwayat Abu Daud)

Berdikir dengan menggunakan dikir Syarf al-Anâm itu masih sama dengan konteks berzikir, kerana ia mengandungi bacaan al-Fâtihah, ucapan-ucapan pujian kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam akhirnya disudahi dengan doa. Tidak syak lagi ini semua itu adalah ibadat. Setiap ibadat itu mestilah dihormati, ada kehormatan baginya, dilakukan dengan beradab, dilakukan di tempat-tempat yang ada kehormatan, bersih, tidak bercampur-baur dengan perkara-perkara yang bertentangan dengan agama.

Pembahagian Dan Cara Berzikir

Berdasarkan nash-nash syara‘, ulama membahagikan zikir kepada pelbagai jenis, bahagian dan cara-cara melakukannya.

Mereka membahagikannya kepada dua jenis iaitu zikir mutlak (umum) dan zikir muqayyad (terikat dengan keadaan, masa atau tempat). Zikir ada yang dilakukan secara bersendirian dan ada pula secara berkumpulan. Selain itu ada zikir hati dan zikir lisan.

Imam an-Nawawi Rahimahullah berkata: “Zikir itu boleh dilakukan dengan hati dan boleh juga dengan ucapan lisan. Zikir yang lebih utama adalah yang dilakukan dengan ucapan lisan dan hati. Jika hendak dilaksanakan dengan salah satu saja maka zikir dalam hati adalah lebih afdhal.” (Al-Adzkâr: 39)

Zikir hati dilakukan secara sendirian dan dapat dilakukan pada bila-bila masa dan di mana saja. Zikir cara seperti ini disukai ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha.

‘Aisyah Radhiallahu ‘anha pernah berkata:

Ertinya: Aku mengingati Allah (berzikir) dengan hatiku, lebih aku sukai berbanding aku menyebutnya dengan lidahku.

Tafsiran ulama mengapa ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha lebih menyukai berzikir dengan hati, kerana zikir seperti ini tidak didengar oleh manusia (ad-Du‘â’ al-Ma’tsûr: 287) dan zikir seperti ini diandaikan ialah zikir yang berbentuk umum, bukan muqayyad.

Antara zikir itu ada pula yang mesti dilakukan dengan sebutan lidah, yakni tidak cukup dengan hati saja, sama ada ianya dalam bentuk wajib, seperti bacaan-bacaan yang wajib dalam sembahyang, yang dinazarkan, ataupun ia dalam bentuk sunat, seperti membaca wirid-wirid yang dianjurkan selepas sembahyang, ketika menaiki kenderaan, semasa mendengar guruh dan sebagainya.

Zikir ini boleh saja dilakukan dengan sirr (secara senyap tanpa didengar) atau jahr (nyaring, dapat didengar). Namun para ulama masih berselisih pendapat mengenainya. Ada yang berpendapat ia boleh dilakukan dengan jahr dan ada pula yang berpendapat ia hendaklah dilakukan dengan cara sirr. (Sabahât adz-Dzikr: 22) Ada juga para sahabat mengikut satu riwayat yang disebutkan oleh al-Qurthubi, tidak menyukai (makruh) menyaringkan suara ketika berzikir. (Tafsîr al-Qurthubi:1/10)

Untuk menyelaraskan pendapat-pendapat itu, maka Imam as-Suyuthi berkata: “… sesungguhnya (mengadakan majlis zikir dan menyaringkannya di masjid-masjid, serta mengangkat suara ketika bertahlîl) tidaklah makruh, kerana telah wârid hadits-hadits yang menghukumkan sunat dinyaringkan dan juga hadits-hadits yang menghukumkan sunat disenyapkan. Perbezaan kedua-dua cara ini dapat diselaraskan dengan merujuk kepada perbezaan keadaan di mana zikir itu berlaku dan siapa pelakunya.” (Al-Hâwi li al-Fatâwâ: 2/23-24).

Tahap jahr ialah sekadar ianya boleh didengar sendiri dan oleh orang yang di samping kita, sementara sirr pula ialah sekadar kita sendiri yang mendengarnya tanpa di dengar oleh orang lain. (Mu‘jam Lughât al-Fuqahâ’: 243 dan 168).

Walau bagaimana pun, ulama tetap sepakat berpendapat, bahawa di antara zikir lisan itu memang ada yang sunat dijahrkan kerana ada nash yang menyebutkan begitu, seperti azan, talbiah, membaca al-Qur’an, takbîr imam ketika sembahyang berjemaah, takbîr Hari Raya, khutbah, ucapan salam dan lain-lain. (Sabahât adz-Dzikr: 72-94)

Kemuliaan Zikir Mesti Dipelihara Oleh kerana berdikir itu ibadat, bahkan selepas berdikir seorang itu bermunajat kepada Allah ‘Azza wa Jalla, ini bererti, sebagai ibadat, maka perlulah dipelihara dan diambil perhatian dengan bersungguh-sungguh segala adab-adabnya demi memelihara kemuliaan, kehormatan zikir dan doa itu supaya mudah diterima dan dimakbulkan.

Salah satu adab yang perlu diberi perhatian dengan sungguh-sungguh ialah tempat serta suasana berzikir dan berdoa itu sendiri hendaklah dipilih pada tempat dan suasana yang elok dan sesuai dengan kemuliaannya.

Dalam hal ini, al-Imam an-Nawawi Rahimahullah Ta‘ala ada menjelaskan, semestinya tempat berzikir itu bersih, tenang daripada sebarang gangguan, kerana yang demikian itu lebih diberi perhatian demi menjaga kemuliaan zikir dan yang diingati iaitu Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Oleh itu, berzikir di masjid dan di tempat-tempat yang mulia adalah suatu yang terpuji. Al-Imam al-Jalil Abu Maisarah Radhiallahu ‘anhu berkata:

Ertinya: Tidak dizikirkan (disebut) nama Allah Ta‘ala kecuali pada tempat yang baik.

Menurut Ibnu ‘Allan Rahimahullah, apa yang dimaksudkan dengan ‘tempat yang baik’ itu ialah tempat yang bebas daripada perkara syubhah (yang tidak jelas halal dan haramnya), apatah lagi yang diharamkan dan bersih daripada kekotoran yang boleh mengganggu gugat hati orang yang berzikir, apatah lagi perkara-perkara yang mendatangkan dosa. (Al-Futûhât ar-Rabbâniyyah ‘ala al-Adzkâr an-Nawawiyyah: 1/142)

Zikir Dan Perkara Mungkar Jangan Dicampuradukkan

Kedudukan doa dan zikir itu sangatlah mulia. Oleh kerana itu janganlah dilakukan hanya sekadar adat kebiasaan, tradisi atau memenuhi acara sesuatu majlis. Ia adalah sebagai ibadat untuk meraih pahala dan menzahirkan kesyukuran kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Sebab itu adalah salah bagi sebilangan orang yang tidak merasa janggal, tidak merasa bersalah apabila mencampuradukkan sesuatu yang mungkar dengan majlis doa atau zikir.

Bagaimanakah akan mendapat keberkatan sedang majlis itu berisi dengan perkara mungkar? Ada permainan judi atau nyanyi-nyanyian asmara atau bunyi-bunyian muzik yang dilarang oleh syara‘ atau makan minum yang haram atau di dalamnya ada patung-patung untuk disembah atau dipuja dan sebagainya. Semuanya ini menyebabkan malaikat rahmat tidak akan hampir kepada perkumpulan atau majlis yang terdapat di dalamnya kemungkaran itu.

Tersebut dalam suatu riwayat bahawa pada suatu ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berada di dalam suatu majlis. Baginda menghalakan pandangan Baginda ke langit, lalu Baginda menundukkan pandangannya, kemudian mengalihkannya kembali ke atas. Maka Baginda ditanya oleh para sahabat mengapa Baginda berbuat begitu. Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Baru saja tadi, kaum itu berzikir mengingati Allah (di satu majlis di hadapan Baginda) sehingga para malaikat rahmat turun membawa sakînah (ketenteraman) bagaikan sebuah kubah untuk mereka. Ketika malaikat itu sudah dekat kepada mereka, seseorang daripada mereka pula mengucapkan kata-kata bâthil (sia-sia), maka malaikat itu lari menjauhi mereka.” (Al-Futûhât ar-Rabbaniyyah ‘ala al-Adzkâr an- Nawawiyyah: 1/105)

Riwayat ini menceritakan bahawa majlis yang terdapat di dalamnya zikir dan pada masa yang sama terdapat perkara yang bâthil tidak akan dihampiri oleh malaikat rahmat. Ini memberi petunjuk yang jelas bahawa sesuatu yang baik itu jika dicampuradukkan dengan perkara-perkara yang tidak baik, maka perkara yang baik itu pun turut tidak bernilai dan menjadi sia-sia.

Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullahu Ta‘ala di dalam kitabnya al-Fatâwâ al-Hadîtsiyyah pernah ditanya tentang kedudukan hukum mengadakan perkumpulan majlis maulid, zikir dan sembahyang Tarawih, di mana dengan adanya perkumpulan tersebut terjadi perkara yang tidak disukai pada pandangan syara‘ seperti percampuran di antara lelaki dan perempuan di luar batasan yang dibenarkan oleh syara‘.

Beliau menjawab: “Apabila terdapat sesuatu yang diharamkan pada perkumpulan majlis zikir, sembahyang Tarawih atau sebagainya, maka wajib bagi orang yang mempunyai kuasa menegah perkara itu dan bagi yang tidak mempunyai kuasa wajib ke atasnya menegah dirinya daripada hadir ke majlis berkenaan. Jika tidak, maka dia dianggap bersubahat dengan mereka. Al-Imam an-Nawawi dan al-Imam ar-Rafi‘e Rahimahumallahu Ta‘ala dengan jelas menyatakan bahawa duduk bersama dengan orang-orang fâsiq kerana untuk mengambil hati mereka adalah dianggap perbuatan maksiat.”

Ibnu Hajar juga menjelaskan, sesuatu yang dilarang oleh syara‘ itu sungguhpun kecil atau sedikit tidak ada kelonggaran untuk meringan-ringankannya, sebagaimana jelas dalam sabda Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Maka apabila aku menegah kamu daripada melakukan sesuatu maka hindarilah ia, dan apabila aku memerintahkan kamu membuat sesuatu perkara maka lakukanlah ia sekadar yang kamu mampu. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Oleh yang demikian, berdasarkan apa yang difatwakan oleh Ibnu Hajar di atas, jelas bahawa sungguhpun majlis zikir atau doa itu suatu perkara yang baik dan digalakkan pada pandangan syara‘, akan tetapi ianya tidak boleh bercampur-aduk dengan apa juga perkara yang ditegah oleh syara‘. Menghadirkan diri dalam majlis seperti itu dianggap berdosa kerana bersubahat dengan orang-orang fâsiq. Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak bertolak ansur dan melarang secara tegas daripada melakukan perbuatan haram dalam apa pun bentuknya. Dalam kaedah fiqh juga ada menyebutkan:

Ertinya: Menolak kerosakan itu adalah lebih diutamakan daripada mendatangkan mashlahat.

Penebus Dosa Sesuatu Majlis

Sebagai bekalan dan ingatan bersama, sebelum meninggalkan majlis adalah elok mengamalkan apa yang diajarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai penebus apa-apa kesalahan yang mungkin terjadi pada majlis itu. Tentulah majlis yang dimaksudkan di sini ialah majlis zikir, majlis berkebajikan dan seumpamanya.

Diriwayatkan daripada Abu Barzah al-Aslami Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di saat akhir apabila Baginda hendak berdiri meninggalkan majlis, Baginda mengucapkan:

Maksudnya: Maha suci Engkau ya Allah dan dengan segala pujian bagiMu, aku naik saksi bahawa tiada tuhan melainkan Engkau. Aku memohon ampun kepadaMu dan aku bertaubat kepadaMu. (Hadits riwayat Abu Daud)

Lalu seorang lelaki berkata: “Wahai Rasulullah, tuan mengucapkan kata-kata yang belum pernah tuan ucapkan sebelum ini”. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ucapan yang demikian ialah penghapus kesalahan yang terjadi dalam majlis.”

Kandungan kitab Dikir Maulid Syarf al-Anâm jika dibaca dengan niat yang baik adalah ibadat. Ia tidak layak dan tidak sesuai dibaca dengan nyaring dalam mana-mana majlis atau tempat yang boleh mencemar kesucian ibadat. Senghaja mendedahkan mana-mana ibadat kepada penghinaan atau istihza’ boleh mengundang dosa.

Dari itu berdikir di rumah orang bukan Islam adalah tidak sesuai dan kurang adab membacanya, kerana orang bukan Islam tidak tahu menghormatinya dalam makna yang sebenar sebagai ibadat, bahkan jika timbul anggapan bahawa dikir itu hanyalah adat yang tidak ada kena mengena dengan ‘ibadat’, maka ini merupakan istihza’ (mempersenda atau memperolok) kepada dikir itu.

Satu perkara yang sudah jelas, bahawa berdikir itu tidak sesuai dilakukan di tempat atau di rumah orang bukan Islam kerana di akhir majlis dikir itu nanti akan disudahi dengan doa. Adapun isi doa dikir itu antara lain mengandungi doa memohon keampunan kepada Allah, rahmatNya, memohon masuk syurga. Tidakkah dengan doa itu merangkumi juga untuk orang bukan Islam itu kerana majlis itu adalah majlis mereka, mereka pula yang menyuruh berdikir?

Adalah haram bagi orang Islam berdoa memohon keampunan atau mendoakan supaya orang bukan Islam dirahmati dan dihapuskan dosa-dosa dan kesalahan mereka. Imam an-Nawawi Rahimahullah berkata:

Ertinya: Ketahuilah bahawa tidak boleh mendoakan keampunan untuk orang kafir, begitu juga mendoakan yang sepertinya yang tidak layak diperkatakan kepada orang kafir. (Al- Adzkâr: 406)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9478