Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الحج والعمرة

Jama‘ Dan Qashar Sebelum Pulang Ke Tanah Air

Soalan: Jemaah yang mengamalkan haji Tamattu‘ telahpun sempurna umrahnya sebelum haji lagi dan tarikh berangkat balik ke Brunei pun telah dimakluminya. Sewaktu bertolak ke ‘Arafah bolehkah dia berniat musafir bagi satu perjalanan terus balik ke Brunei dan melakukan sembahyang qashar dan jama‘ kerana dia berada di setiap tempat di ‘Arafah dan Mina tidak melebihi 4 hari 4 malam tidak masuk hari masuk dan hari keluar, dan dia tidak berniat mukim di tempat-tempat tersebut sehinggalah dia tiba di kampungnya di Brunei?

Jawapan: Harus bagi jemaah haji yang keluar dari Makkah pada hari Tarwiyah (8 Zulhijjah) mengambil rukhshah mengqashar dan menjama‘ sembahyang apabila sewaktu mereka keluar itu berniat untuk kembali ke tanah air mereka setelah selesai ibadat haji. Ini bererti mereka tidak akan kembali bermukim di Makkah. Maka dari saat itulah mereka boleh melakukan sembahyang secara qashar ataupun jama‘ kerana mereka telah memulakan suatu perjalanan yang mengharuskan sembahyang itu dilakukan secara qashar dan juga jama‘. Walau bagaimanapun rukhshah berkenaaan itu akan terputus apabila mereka bermukim melebihi daripada empat hari di mana-mana tempat persinggahan mereka.

Dalam hal ini Imam an-Nawawi memetik pendapat al-Imam asy-Syafi‘e dan al-Ashhâb (ulama-ulama terdahulu mazhab asy-Syafi‘e yang masyhur), katanya:

Ertinya: Berkata Imam asy-Syafi‘e dan al-Ashhâb: “Apabila jemaah haji memasuki Makkah dan berniat untuk bermukim di sana selama empat hari, maka wajib mereka mentamâmkan sembahyang mereka (tidak mengqasharkannya). Apabila mereka keluar (dari Makkah) menuju Mina pada hari Tarwiyah dan berniat untuk kembali ke tanah air mereka apabila telah selesai mengerjakan amalan-amalan ibadat haji mereka, maka harus bagi mereka mengqashar sembahyang mulai dari waktu mereka keluar kerana mereka telah melakukan suatu perjalanan (pelayaran) yang harus mengqasharkan sembahyang.” (Al- Majmû‘: 8/92).

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9490