Jemaah Haji Membuka Ihram Dan Bergunting Sebelum Mengerjakan Sa‘i
Soalan: Berapakah dam yang dikenakan bagi jemaah yang melakukan kesalahan iaitu belum selesai sa‘i dia didapati telah membuka ihram dan bergunting?
Jawapan: Membuka pakaian ihram dengan erti kata menanggalkannya kemudian memakai pakaian biasa dan seterusnya bergunting bererti jemaah telah melanggar pantang larang yang berupa perkara-perkara yang diharamkan ketika ihram. Dalam hal ini ada dua pantang larang yang dilanggarnya; pertama kerana memakai pakaian yang berjahit dan yang kedua ialah menggunting yang bererti menanggalkan rambut dengan sengaja. Dengan berbuat demikian diwajibkan ke atas pelakunya untuk membayar dam kerana memakai pakaian yang berjahit dan meliputi badan dan dam kerana menanggalkan bulu-bulu atau rambut pada badan.
Dalam kes ini dia wajib menyempurnakan sa‘inya dengan memakai kain ihram kerana dia masih dalam pantang orang yang berihram seterusnya bergunting atau bercukur dengan niat tahallul untuk melepaskannya daripada ihram haji atau umrahnya.
Sementara itu bentuk dam yang wajib dibayarnya ialah menyembelih dua ekor kambing yang sah dibuat udhhiyah (korban) dan dibahagi-bahagikan sembelihan itu kepada fakir miskin yang ada di Haram Makkah atau di Makkah bagi kesalahan memakai pakaian yang berjahit atau bersarung dan juga kesalahan menggunting lebih daripada tiga helai rambut. Dia boleh memilih sama ada untuk menyembelih kambing atau memberi makanan sebanyak tiga shâ‘ (gantang) kepada enam orang fakir miskin setiap seorang dua mudd atau setengah gantang ataupun berpuasa selama tiga hari kerana dam bagi kesalahan-kesalahan tersebut adalah dam takhyîr taqdîr. (Al-Majmû‘: 7/222 dan Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi: 5/3240-3242)
Adapun jika yang dimaksudkan membuka kain ihram itu hanya untuk seketika kerana mandi untuk membersihkan badan dan sebagainya, maka itu tidaklah mengapa selagi tidak membawa kepada melakukan perbuatan yang dilarang seperti berharum-haruman dan sebagainya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9494
