Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Lelaki Memakai Cincin Emas Dan Adakah Ia Wajib Dizakat?

Soalan: Adakah cincin emas 18 karat boleh dipakai oleh lelaki? Adakah ia perlu dibayar zakat?

Jawapan: Cincin emas 18 karat itu adalah barang perhiasan emas. Maka haram lelaki memakai cincin emas tersebut. Ini berdasarkan hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Diharamkan memakai sutera dan emas ke atas golongan lelaki umatku dan halal ke atas golongan perempuan mereka. (Hadits riwayat at-Tirmidzi) Dalam hadits yang lain ada menyebutkan tentang larangan ini:

Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang memakai cincin emas. (Hadits riwayat at-Tirmidzi) Begitu juga sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma menyebutkan bahawa Rasulullah Shallalahu ‘aliahi wasallam telah melihat sebentuk cincin emas di tangan seorang lelaki, lalu Baginda mencabut dan melontarkannya serta bersabda:

Maksudnya: Senghaja seseorang kamu mengambil bara api daripada neraka lalu dia meletakkannya (api itu) di tangannya. (Hadits riwayat Muslim) Berdasarkan keterangan hadits-hadits di atas, jelaslah menunjukkan bahawa memakai cincin emas itu adalah haram ke atas lelaki.

Adapun barang-barang perhiasan emas harus dipakai oleh kaum perempuan. Perhiasan yang diharuskan ini tidaklah dikenakan zakat sekalipun sampai nishâb dan haulnya sebagaimana âtsâr daripada ‘Aisyah, Ibnu ‘Umar, Asma dan Jabir Radhiallahu ‘anhum iaitu:

Ertinya: Tidak ada zakat ke atas barang-barang perhiasan.

Adapun perhiasan emas yang diharamkan memakainya oleh lelaki, maka perhiasan itu wajib dizakat jika memenuhi syarat-syarat zakat iaitu sampai nishâb (85 gram) dan haulnya (cukup setahun Qamariyah).

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9535