Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Kuiz Dan Lelong Melalui SMS

Soalan: Dengan hormat sukacita abis kaola ingin mendapatkan fatwa mengenai hukum peraduan kuiz dan lelong melalui perkhidmatan pesanan ringkas atau short messaging service (SMS).

Sebagaimana yang diketahui pada masa ini, Negara Brunei Darussalam turut dihujani dengan peraduan kuiz atau lelong melalui SMS yang dipromosikan di akhbar-akhbar, radio dan televisyen tempatan. Sebagai contoh ialah 3G quizzes, 3G bid/time to bid dan permainan teka-teki.

Apabila dilihat sepintas lalu, peraduan tadi cumalah sebagai permainan untuk menguji minda pelanggan bagi mendapatkan hadiah. Akan tetapi, apabila dilihat kepada bayaran yang dikenakan bagi setiap penyertaan dan ada kemenangan bagi satu pihak ke atas pihak yang lain, maka terdapat keraguan dalam teknik peraduan ini.

Selain daripada itu, kuiz-kuiz tersebut dikhuatiri mengandungi unsur-unsur judi. Ini disebabkan, syarikat yang mengadakan kuiz-kuiz tersebut menyediakan hadiah-hadiah lumayan dengan mengambil keuntungan melalui SMS tersebut (mengenakan kadar bayaran empat puluh sen atau lima puluh sen setiap SMS). Bagi setiap SMS, keuntungan diambil sebanyak sepuluh sen (prima) dan dua puluh sen (easi) setelah ditolak pembayaran kepada DST. Sebaliknya, para pengguna pula menghantar SMS dengan harapan mendapat hadiah lumayan dengan harga SMS yang lebih tinggi daripada biasa.

Sehubungan dengan itu, sukacita abis kaola menghadapkan isu mengenai perkara tersebut kepada Pehin bagi mendapatkan fatwa tentang kedudukan hukum peraduan tersebut untuk dijadikan pegangan dan menghindari keraguan di kalangan masyarakat di Negara Brunei Darussalam.

Jawapan: Kuiz Melalui SMS

Judi Pada Pandangan Syara‘

Judi yang disebut dalam bahasa Arab sebagai al-maisir dan al-qimâr menurut al-Jurjani Rahimahullah ialah:

Ertinya: Judi ialah seseorang mengambil sesuatu daripada sahabatnya (yang diajak bermain) di dalam suatu permainan. Di zaman kita (740H-816H) permainan itu ialah: Setiap permainan yang disyaratkan di dalamnya (bahawa) yang menang daripada dua pihak yang bertanding, (untuk mendapat) sesuatu (habuan) daripada yang kalah. (At- Ta‘rîfât: 229)

Judi juga diertikan sebagai:

Ertinya: Setiap sesuatu (permainan) yang di dalamnya ada pertaruhan maka ia adalah sebahagian daripada judi. (At-Tafsîr al-Kabîr wa Mafâtîh al-Ghaib: 3/50)

Tersebut dalam kitab Rawâ’i‘ al-Bayân, as-Sabuni mengatakan:

Ertinya: Setiap permainan yang di dalamnya (memberi) keuntungan kepada satu pihak dan kerugian kepada satu pihak yang lain, ia adalah judi yang diharamkan. (Rawâ’i‘ al-Bayân Tafsîr Âyât al-Ahkâm: 1/279)

Al-Mahalli Rahimahullah pula berkata bahawa di antara bentuk judi yang diharamkan itu ialah:

Ertinya: Bahawa setiap kedua belah pihak (di dalam suatu permainan) ragu-ragu (tidak pasti) di antara (sama ada) dia akan mendapat habuan dan (atau) dia akan menanggung kerugian. (Hâsyiyatân Qalyubi ‘Umairah: 4/268)

Judi adalah perkara yang diharamkan oleh syara‘ sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya”. Dan mereka bertanya pula kepadamu: “Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)?” Katakanlah:

“(Dermakanlah apa-apa) yang berlebih daripada keperluan (kamu)”. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir. (Surah al-Baqarah: 219)

Berdasarkan ayat di atas, Allah Subhanahu wa Ta‘ala menjelaskan bahawa judi itu adalah dosa besar di samping ia juga mempunyai beberapa manfaat, tetapi dosanya lebih besar daripada manfaatnya.

Ulama fiqh bersependapat menetapkan hukum bahawa judi adalah salah satu daripada dosa besar yang merupakan daripada perbuatan syaitan yang wajib dijauhi. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Surah al-Mâ’idah: 90)

Di samping itu, judi juga dipergunakan oleh syaitan sebagai alat untuk mencetuskan permusuhan dan kebencian di antara sesama manusia serta melalaikan mereka daripada mengingati Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan mengerjakan sembahyang. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil?). (Surah al-Mâ’idah: 91)

Unsur utama yang menyebabkan suatu permainan itu menjadi judi ialah disyaratkan kepada dua belah pihak mempertaruhkan harta sama ada dalam bentuk wang ringgit atau selainnya. Pihak yang menang akan mendapat taruhan tersebut. Al-Mahalli Rahimahullah menyebutkan:

Ertinya: (Maka jika disyaratkan di dalamnya (suatu permainan) ada harta (untuk dipertaruhkan) daripada kedua belah pihak) iaitu bahawa barang siapa yang menang daripada kedua belah pihak, (harta pihak lain yang dipertaruhkan) menjadi miliknya (orang yang menang), maka itulah judi yang diharamkan. (Hâsyiyatân Qalyubi ‘Umairah: 4/320)

Perbezaan antara wang pertaruhan (kerana judi) dan jual beli ialah, pertaruhan judi tidak ada tukar gantinya yang hakiki sama ada benda ataupun manfaat. Jika ada seakan-akan tukar gantinya sekalipun seperti nasibnya dia menang, namun tukar ganti tersebut menurut hukum syara‘ adalah daripada jalan yang bâthil kerana hasil daripada taruhan judi. Adapun dalam jual beli, penjual menjual barang kepada pembeli dengan mendapat imbalan sebagai tukar ganti yang sah.

Umpamanya dalam perlumbaan kuda, para penonton akan diberi peluang untuk mendapatkan hadiah yang lumayan hasil daripada tekaan mereka terhadap pelumba mana yang akan berjaya dengan mempertaruhkan duit mereka. Contoh yang lain lagi, seperti bermain daun terup dengan mempertaruhkan duit atau sebagainya.

Contoh-contoh di atas memang jelas ia adalah judi. Bagaimana pula permainan yang mungkin tidak nampak atau samar-samar sama ada ia judi ataupun tidak? Kadang-kadang bentuk permainan itu ditutupi dengan slogan-slogan ‘amal’ untuk kebajikan agar ia tidak nampak berunsur perjudian.

Judi Dalam Bentuk Terkini

Dalam kitab Tafsîr al-Manâr ada menyebutkan, bahawa terdapat di zaman sekarang jenis-jenis pertaruhan yang dipanggil sebagai al-yânashîb.

Al-Yânashîb ialah loteri. Penganjur akan menyediakan kupon yang mengandungi nombor dengan meletakkan harga tertentu pada kupon tersebut. Setelah cabutan nombor dilakukan, pelanggan yang memiliki nombor tertentu (bertuah) sahaja akan memperoleh hadiah yang disediakan. Ini menunjukkan ada unsur-unsur mengambil harta orang dengan cara yang bâthil sehingga menyebabkan sebahagian pihak lain mendapat kerugian. (Tafsîr al-Manâr: 2/329-330)

Memakan harta orang lain dengan cara yang salah adalah haram, sebagaimana dalam firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya). (Surah al-Baqarah: 188)

Apa yang popular dan laris masa kini, sebagaimana yang terpapar di akhbar-akhbar, iklan-iklan, kaca televisyen, radio dan sebagainya ialah tentang peraduan atau teka-teki dengan menggunakan perkhidmatan pesanan ringkas atau short messaging service (SMS). Persoalannya, adakah peraduan-peraduan seperti ini mengandungi unsur-unsur judi? Contohnya:

1. 3G Quizzes:

Pelanggan diminta menjawab soalan kuiz yang disediakan melalui pesanan SMS dengan kadar bayaran 50 sen atau lebih. Sesiapa yang banyak menghantar jawapan dengan tepat dan cepat akan mendapat hadiah.

2. Permainan teka-teki:

Umpamanya pelanggan diminta meneka gambar wajah seseorang yang terkenal seperti artis-artis atau sebagainya. Kemudian tekaan itu dihantar melalui SMS dengan kadar bayaran umpamanya 80 sen. Sesiapa yang banyak menghantar jawapan dengan tepat akan mendapat hadiah.

Inilah antara contoh-contoh peraduan melalui SMS. Ia cukup mudah dan cepat dilakukan. Apabila kita lihat sepintas lalu, peraduan di atas cumalah sebagai permainan, untuk menguji minda pelanggan bagi mendapatkan hadiah. Akan tetapi, adakah terselindung di dalam peraduan itu sebarang unsur judi ataupun tidak?

Apa yang difahamkan bahawa pihak penganjur peraduan melalui SMS ini akan membuat perjanjian dengan penyedia khidmat SMS sebagai pengantara mereka. Dalam perjanjian itu, hasil pembayaran daripada setiap hantaran SMS akan dibahagi. Ini bererti selain daripada bayaran untuk penghantaran SMS, penyertaan bagi mengikuti peraduan tersebut juga dikenakan bayaran.

Mari kita bezakan contoh peraduan melalui SMS di atas dengan permainan-permainan yang memang terang ada unsur judi seperti berikut:

1. Tikam-tikaman:

Pelanggan akan membeli kertas seperti tikam-tikaman yang mengandungi nombor atau gambar hadiah yang bakal dimenangi. Ini tertakluk pada nasib pelanggan itu, kadang-kadang kertas yang dibeli itu kosong sekali gus tidak memperoleh sebarang hadiah.

2. Cabutan nombor bertuah:

Pelanggan terlebih dahulu membeli sesuatu seperti tiket, dalam tiket itu tertulis nombor bersiri. Kemudian pelanggan yang nombornya kebetulan dicabut - dalam perkara nombor bertuah hanya beberapa nombor sahaja yang akan dicabut - akan mendapat hadiah. Sementara nombor yang tidak dicabut tidak akan mendapat sebarang hadiah.

3. Soalan kuiz berbayar:

Penganjur akan menyediakan soalan-soalan kuiz dengan mengenakan bayaran tertentu. Pelanggan yang menjawab kuiz dengan tepat sahaja boleh menyertai cabutan undi bagi memenangi hadiah yang disediakan.

Perbezaan yang kita nampak daripada ketiga-tiga contoh di atas dengan contoh peraduan melalui SMS, hanyalah pada tekniknya sahaja. Peraduan melalui SMS lebih mudah bagi pelanggan untuk menyertainya, tidak perlu susah payah membeli kertas kuiz atau nombor di kedai-kedai atau di tempat-tempat yang dikhaskan. Pelanggan hanya perlu mendail nombor telefon yang ditentukan bagi menghantar jawapan atau penyertaan melalui SMS kepada penganjur. Namun pada hakikatnya contoh peraduan melalui SMS tersebut adalah serupa sahaja dengan ketiga-tiga contoh yang bukan SMS di atas. Iaitu setiap penyertaan peraduan adalah dikenakan bayaran bagi membolehkan untuk mendapat hadiah yang juga tertakluk pada untung nasib. Maka jelaslah di sini, kesemua contoh-contoh yang disebutkan di atas ada persamaan dengan al-yânashîb (loteri).

Jualan Lelong Melalui SMS

Sebutannya adalah ‘jualan lelong’ seperti contoh berikut:

1. 3G Bid/Time To Bid:

Penganjur menawarkan beberapa barang untuk dilelong. Setiap kali pelanggan menawarkan harga akan dikenakan bayaran 3 ringgit atau lebih. Pelanggan yang paling banyak menghantarkan taruhan harga, dialah yang akan menerima barang tersebut.

2. Contoh yang hampir serupa dengan di atas: Penganjur menyediakan beberapa barang lelong dengan menawarkan harga permulaan umpamanya 50 ringgit. Penganjur juga menetapkan bayaran umpamanya 3 ringgit bagi sekali tawaran dibuat oleh pelanggan. Ini bererti harga barang lelong itu akan meningkat setiap kali tawaran dibuat sehingga sampai harga yang ditetapkan oleh penganjur atau setelah sampai tarikh tutupnya, ditambah lagi dengan bayaran 3 ringgit yang juga sentiasa bertambah pada setiap kali tawaran harga dibuat oleh pelanggan. Syarat bagi pemenang barang lelong tersebut ialah siapa yang paling banyak kali membuat tawaran harga yang sekali gus paling banyak pula membayar tiga-tiga ringgit setiap kali menyebut tawaran harga.

Mari kita bezakan antara contoh jualan lelong melalui SMS dengan jualan lelong yang diharuskan oleh syara‘. Ia dipanggil bay‘ al-muzâyadah (بيع املزايدة), bay‘ bi al-munâdâh ( بيع ِبملناداة ), bay‘ ad-dalâlah (بيع الداللة) atau bay‘ man yazîd (بيع من يزيد) iaitu penjual menyebut harga bagi barang yang hendak dilelong, kemudian pembeli-pembeli yang berminat menambah-nambah harga sehingga berhenti pada harga yang terakhir yang akan dibeli oleh penyebutnya (peserta lelong).

Jual beli yang tersebut di atas itu adalah harus dengan ijmâ‘ sebagaimana disebut oleh ulama al-Hanabilah. Mereka menghukumkannya sah dan tidak menghukumkannya makruh. Walau bagaimanapun ulama asy-Syafi‘iyyah meletakkan dua syarat dalam jualan lelong ini iaitu:

1. Jangan ada niat untuk memberi kemudharatan kepada seseorang.

2. Jangan ada niat untuk menaikkan harga pembelian.

Jika dua perkara tersebut ada di dalam niat orang yang membeli, maka tambahan harga itu adalah diharamkan, kerana ia termasuk dalam kategori bay‘ an-najsy (بيع النجش) (seorang yang menambah harga barang yang dilelong tetapi dia tidak ada niat untuk membelinya kerana tujuannya adalah bagi menimbulkan minat orang lain untuk membeli atau seorang yang memuji (keelokan) yang dibuat-buat pada suatu barang yang dijual bagi tujuan melariskannya). (Al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah: 9/219-220)

Tetapi apa yang hendak ditekankan di sini ialah di dalam jualan lelong yang diharuskan syara‘ tersebut, ianya tidak mengenakan sebarang bayaran kepada mereka yang berminat untuk membeli, kecuali kepada siapa yang membuat tawaran harga paling akhir yang disanggupi olehnya (si pembeli).

Di sini jelas menunjukkan jualan lelong melalui SMS itu berbeza dengan jualan lelong yang diharuskan oleh syara‘, kerana penganjur jualan lelong melalui SMS mengenakan bayaran kepada semua pelanggan setiap kali mereka menyebut harga dengan menghantarnya melalui SMS, sedangkan tidak kesemua pelanggan itu akan memperoleh barang lelong tersebut, bahkan mereka cuma-cuma (semata-mata) rugi kerana turut membayar kepada penganjur setiap kali mereka menaruh harga.

Apabila kita lihat jualan lelong yang diharuskan oleh syara‘ pula, tidak semua orang yang menaruh harga tawaran dikenakan bayaran. Hanya pembeli yang berjaya mendapat barang lelong itu sahaja yang kena membayar.

Contoh-contoh jualan lelong melalui SMS yang disebutkan di atas, jelas mengandungi unsur memakan harta orang lain dengan jalan yang salah. Pelanggan yang tidak berjaya mendapatkan barang lelongan akan menanggung kerugian disebabkan mereka dipaksa membayar kerana membuat taruhan harga.

Oleh itu, hendaklah setiap orang Islam khasnya penganjur mengambil langkah berhati-hati dalam apa pun perkara yang hendak dilakukan. Mereka perlu menilai halal haram dan baik buruknya perkara tersebut. Termasuk jika sesuatu itu ada kesamaran (syubhah), maka sayugia juga ia hendaklah ditinggalkan sebagaimana tersebut dalam sebuah hadits riwayat an-Nu‘man bin Basyir Radhiallahu ‘anhu katanya:

Maksudnya: Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam bersabda: “Sesungguhnya perkara halal itu jelas dan perkara haram itu pun jelas. Manakala di antara keduanya terdapat perkara-perkara syubhah yang tidak diketahui oleh orang ramai. Oleh itu, sesiapa menjaga diri daripada perkara syubhah, dia telah bebas (daripada kecaman) demi untuk agama dan kehormatannya. Sesiapa yang terjerumus ke dalam syubhah, bererti dia telah terjerumus ke dalam perkara haram umpama penggembala yang menggembala di sekitar kawasan larangan, besar kemungkinan binatangnya akan masuk ke kawasan tersebut. Ingatlah! Setiap penguasa (kerajaan), memiliki daerah terlarang. Ingatlah! Sesungguhnya daerah terlarang milik Allah adalah apa sahaja yang diharamkanNya. Ingatlah! Sesungguhnya dalam jasad manusia ada segumpal daging, apabila ia baik, maka baiklah seluruh jasad dan jika ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad, tidak lain dan tidak bukan ia adalah hati.” (Hadits muttafaq ‘alaih)

Apa-apa jua jenis peraduan atau permainan yang ada pertaruhan harta daripada pihak-pihak yang menyertainya dan mereka semuanya sama-sama mempunyai peluang untuk mendapat habuan dan sama-sama juga mempunyai risiko menanggung kerugian serta pihak yang menang mengambil habuan daripada pihak yang kalah, maka peraduan atau permainan itu adalah dikategorikan sebagai judi.

Berdasarkan kriteria ini, maka peraduan melalui SMS sebagaimana contoh-contohnya di atas, adalah jelas mengandungi unsur-unsur perjudian, kerana setiap mereka yang menyertai peraduan itu dikenakan bayaran dan terdedah kepada risiko sama ada memperolehi keuntungan atau menanggung kerugian daripada peraduan atau permainan itu. Demikian jua dalam perkara lelong yang tidak diharuskan oleh syara‘.

Oleh kerana liciknya peraduan-peraduan yang dianjurkan pada masa ini, maka bagi orang-orang Islam hendaklah berhati-hati supaya tidak terjebak kepada suatu muamalat yang diharamkan oleh syara‘.

Para penganjur pula, lebih-lebih lagi mereka yang terdiri daripada orang Islam hendaklah sentiasa peka terhadap ketetapan hukum syara‘ yang mereka itu sama-sama dipertanggungjawabkan supaya mematuhinya dan bersifat amanah dalam menganjurkan peraduan-peraduan seumpama ini.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9522