Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Luput Bermalam di Mina pada 11 Zulhijjah Dan Berniat Melakukan Nafar Awwal

Soalan: Jemaah berniat nafar awwal tapi pada 11 Zulhijjah dia bermalam di Makkah, pada 12 Zulhijjah baharu dia bermalam di Mina, adakah jemaah ini dibolehkan melakukan nafar awwal padahal dia tidak bermalam 2 malam. Bolehkah dia membayar dam bagi malam yang dia terluput (11 Zulhijjah) itu dan seterusnya melakukan nafar awwal? Jika dikenakan dam apakah jenis damnya, adakah bayaran dam penuh atau mud sahaja?

Jawapan: Bermalam di Mina selama tiga malam pada hari-hari tasyrîq 11,12 dan 13 Zulhijjah adalah merupakan antara perkara-perkara yang wajib di dalam ibadat haji. Bagi jemaah haji yang melakukan nafar awwal tidaklah wajib ke atasnya bermalam pada hari ketiga tasyrîq.

Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Nafar Awwal Itu?

Nafar awwal ialah jemaah haji meninggalkan Mina sebelum Maghrib 12 Zulhijjah apabila mereka telah bermalam dan melontar ketiga-tiga jamrah shugrâ, wusthâ dan kubrâ atau ‘Aqabah pada hari tasyrîq pertama dan kedua (11 dan 12 Zulhijjah) dan tidak lagi berhasrat untuk kembali ke Mina bagi tujuan bermalam dan melontar pada hari ketiga tasyrîq. Syarat-Syarat Sah Nafar Awwal

Untuk melakukan nafar awwal ada syarat-syaratnya yang mana jika salah satu syarat itu tidak dipenuhi, maka tidak harus dan tidak sah melakukan nafar awwal, sebagaimana yang dijelaskan oleh pengarang Fath al-‘Allâm syarat-syarat tersebut ialah:

1. Hendaklah dia bertolak selepas waktu zawâl iaitu setelah gelincir matahari (masuk waktu Zuhur) dan sebelum terbenam matahari (masuk waktu Maghrib) sekalipun dia belum terpisah (keluar) daripada Mina melainkan sesudahnya (terbenamnya matahari). 2. Telah bermalam (di Mina) pada dua malam sebelumnya ataupun dia luput bermalam kerana disebabkan uzur. 3. Hendaklah dia berazam untuk tidak lagi kembali ke Mina. 4. Hendaklah sesudah selesai melontar untuk hari ke 11 dan 12 Zulhijjah. 5. Hendaklah berniat nafar awwal.

6. Hendaklah niat melakukan nafar awwal itu beriringan ketika hendak keluar dari Mina. Maksud beriringan itu ialah wujudnya niat itu sebelum dia berpisah dari Mina walaupun pada sedikit kawasan Mina. (Lihat Fath al-‘Allâm: 4/357-358)

Berdasarkan syarat-syarat di atas, maka tidak diharuskan bagi jemaah yang tidak bermalam di Mina pada malam ke 11 Zulhijjah untuk melakukan nafar awwal bahkan mereka diwajibkan untuk menyempurnakan mabît atau bermalam di Mina pada malam ke 13 dan membayar dam kerana tidak bermalam. Meninggalkan bermalam atau mabît di Mina pada ketiga-tiga hari tasyrîq diwajibkan membayar dam penuh iaitu menyembelih kambing. Adapun meninggalkan bermalam satu malam diwajibkan membayar fidyah sebanyak satu mudd dan jika dua malam diwajibkan membayar dua mudd.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9547