Maksud Mabît Di Muzdalifah
Soalan: Apakah ta‘rîf dan maksud mabît di Muzdalifah, apakah syarat-syaratnya, dan siapakah yang diberi kelonggaran tidak bermabît dan bagaimana pula tentang denda atau damnya?
Jawapan: Bermalam atau mabît di Muzdalifah adalah termasuk antara perkara-perkara wajib dalam ibadat haji menurut pendapat jumhûr fuqahâ’ dan merupakan pendapat yang mu‘tamad dalam mazhab asy-Syafi‘e.
Mabît atau bermalam di Muzdalifah memadai dengan hanya jemaah haji berada atau menghadirkan diri di Muzdalifah atau di mana-mana dalam kawasan Muzdalifah. (Lihat Hâsyiyah Ibn Hajar ‘ala al-Îdhâh: 156) Dari itu sah mabît itu jika hanya melalui atau melintasi Muzdalifah pada masa yang telah ditentukan iaitu setelah berlalu setengah malam sekalipun hanya selahzhah atau seketika. Tidak disyaratkan pula dalam pengetahuan jemaah bahawa kawasan tempat mereka berhenti itu adalah Muzdalifah. Berkata pengarang Fath al-‘Allâm:
Ertinya: Dan tidak disyaratkan (jemaah) mengetahui bahawa (tempat dia mabît) itu ialah Muzdalifah hingga sekalipun dia hanya melintasinya umpamanya untuk mencari hambanya yang lari dan dia tidak mengetahui yang dia sebenarnya berada di Muzdalifah atau dia dalam keadaan tidur atau gila atau pengsan ataupun mabuk, (semua itu adalah) memadai. (Fath al-‘Allâm: 4/351)
Adapun jemaah-jemaah haji yang gugur kewajipan mereka bermalam di Muzdalifah itu ialah sebagaimana yang telah dinyatakan oleh pengarang I‘ânah ath-Thâlibîn, katanya:
Ertinya: Dan juga gugur mabît (bermalam) secara mutlak (sama ada di Muzdalifah atau di Mina) ke atas orang yang takut terancam keselamatan dirinya atau anggotanya atau kemaluannya atau harta bendanya sekalipun sedikit, dan gugur kewajipan bermalam di Muzdalifah itu bagi sesiapa yang bertolak dari ‘Arafah ke Makkah untuk terus mengerjakan tawaf rukun dan selepas itu dia tidak dapat kembali lagi ke Muzdalifah. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/477)
Dalam masalah ini apa jua perkara yang menghalang jemaah haji daripada bermalam di Muzdalifah ataupun di Mina maka gugurlah kewajipan mereka bermalam di kedua-dua tempat tersebut kerana mereka itu adalah termasuk dalam golongan yang uzur. Sebagai contoh mereka itu ialah seperti orang yang diperlukan menjaga atau menemani orang yang sakit dan juga orang yang mengidap penyakit yang susah baginya untuk bermalam di Muzdalifah dan di Mina.
Dalam keadaan-keadaan begini tidaklah berdosa dan tidak pula diwajibkan membayar dam, seperti kata pengarang I‘ânah ath-Thâlibîn menjelaskan:
Ertinya: Dan ketahuilah bahawasanya uzur bermalam di Muzdalifah itu adalah menggugurkan dam dan dosa (tidak wajib membayar dam dan tidak juga berdosa). (I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/477)
Adapun dam yang wajib dibayar kerana tidak bermalam di Muzdalifah tanpa uzur itu ialah kambing yang sah dibuat udhhiyah. Berkata pengarang Fath al-‘Allâm:
Ertinya: Maka sesiapa yang tidak berada di Muzdalifah pada waktu selepas tengah malam iaitu sama ada sekali-kali tidak hadir di sana atau hadir kemudian meninggalkannya sebelum tengah malam dan tidak kembali lagi ke Muzdalifah pada waktu selepas tengah malam itu, dia hendaklah menumpahkan darah (menyembelih binatang). (Fath al-‘Allâm: 4/351-352)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9550
