Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الجنائز

Menambak Kubur

Soalan: Dengan hormat sukacita kaola ingin mendapatkan fatwa bagi membuat binaan konkrit (tambak batu) di tanah perkuburan (tanah yang sudah digazetkan), yang mana dalam perkara ini ada setengah-setengah pihak yang bertanya ke tempat abiskaola akan perkara tersebut.

Apa yang abiskaola dapati pada masa ini, binaan konkrit yang dibuat itu terlalu besar, di samping itu pula dibuat lagi lantai simen di sekeliling tambak dan bangku batu konkrit.

Jika orang ramai yang berhajat benar akan membina tambak konkrit itu, dengan alasan takut kubur ahli warisnya itu tergali ataupun satu masa nanti akan hilang nisan tandanya disebabkan orang mengubur baru dan membina tambak konkrit, maka persoalan kaola ialah:

1. Apakah pembinaan tambak dibenarkan dalam hukum syara‘?

2. Jika dibenarkan apakah syarat-syarat atau garis pandu pembinaan tambak tersebut?

3. Jika pembinaan tambak itu tidak dibenarkan oleh hukum syara‘, apakah yang patut dibuat terhadap tambak-tambak yang sudah dibina?

Dengan adanya fatwa Pehin itu nanti, dapatlah abiskaola memberi penerangan, menjawab sebarang permohonan atau pertanyaan yang abiskaola terima bagi membina tambak konkrit tersebut.

Jawapan: Perlu diketahui bahawa tanah perkuburan orang Islam itu ada tiga jenis:

1. Tanah perkuburan yang diwaqafkan bagi tujuan perkuburan orang Islam. Hukumnya tidak boleh digunakan bagi tujuan-tujuan lain selain daripada mengebumikan mayat orang Islam, sama ada telah hancur luluh tulang dan anggota-anggota mayat atau sebaliknya.

2. Tanah perkuburan yang dinamakan musabbalah iaitu tanah yang biasa digunakan untuk mengebumikan mayat di tempat tersebut oleh penduduk-penduduk di kawasan itu, sekalipun tidak diketahui asal puncanya dan tidak diketahui orang yang mensabilkannya. Maka tanah tersebut tidak boleh digunakan selain untuk mengebumikan mayat orang Islam. Walau bagaimanapun menurut pengarang Hâsyiyah at-Tuhfah, boleh digunakan tanah tersebut selain mengebumikan mayat jika tulang-tulang dan suku-suku anggota mayat yang dikubur di situ telah hancur luluh, dan tanah itu tidak digunakan lagi untuk mengebumikan mayat oleh penduduk-penduduk di kawasan itu pada masa sekarang dan berazam tidak akan mengebumikan mayat di tanah itu pada masa akan datang.

3. Tanah mawât, iaitu tanah yang bukan kebiasaannya digunakan untuk mengebumikan mayat di tanah tersebut, tanah yang dimiliki oleh seseorang atau tanah yang dipinjam untuk mengebumikan mayat di tempat tersebut. Apabila ditanam mayat pada salah satu daripada tempat-tempat yang disebutkan itu, maka harus digali kubur itu apabila telah hancur luluh segala tulang dan suku-sukunya, serta harus digunakan semula tanah itu kerana tujuan-tujuan yang lain seperti bertani, dibuat jalan atau didirikan rumah, dalam makna yang lain tanah itu tidak lagi dinamakan tanah perkuburan.

Di Negara Brunei Darussalam tanah-tanah perkuburan orang-orang Islam disediakan oleh pihak Kerajaan. Tanah-tanah perkuburan seperti ini dipanggil tanah perkuburan awam atau disebut juga kubur musabbalah.

Adalah dimaklumi keprihatinan ahli-ahli waris si mati membisai dan memperelokkan kubur-kubur keluarga masing-masing dengan menambak kubur-kubur dengan batu atau simen sama ada berbentuk kekal atau sementara (tambak itu boleh dibuka pada bila-bila masa dikehendaki). Selain menambak kubur, ada juga ahli waris membuat tembok kecil daripada batu mengelilingi kubur bagi kemudahan ahli keluarga dan waris si mati untuk duduk ketika menziarahi kubur.

Hukum Mendirikan Sebarang Binaan Di Atas Tanah Perkuburan Seperti Tambak Menurut Mazhab Syafi‘e

Dalam hal ini Imam an-Nawawi Rahimahullah dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn ada berkata:

Ertinya: Makruh memplaster (campuran kapur, pasir dan air yang menjadi keras apabila kering untuk melapis dinding) kubur, membina (sesuatu binaan di tanah milik persendirian bukan di tanah perkuburan awam) dan membuat tulisan (selain nama bagi tujuan pengenalan) di atas kubur. Jika dibina (sesuatu binaan) di perkuburan orang awam (musabbalah) hendaklah dirobohkan. (Minhâj ath-Thâlibîn: 1/360)

Dalam kitab al-Majmû‘, an-Nawawi Rahimahullah dengan jelas mengatakan:

Ertinya: Sahabat-sahabat kami Rahimahumullah berkata: “Tidak ada beza dalam membina binaan itu di antara membina kubah atau rumah atau selain keduanya. Kemudian hendaklah diperhatikan, jika tanah perkuburan itu adalah perkuburan musabbalah (tanah perkuburan orang awam) adalah haram ke atasnya berbuat sedemikian: Sahabat-sahabat kami berkata (lagi): “Dan hendaklah dirobohkan binaan tersebut tanpa ada pertikaian (para sahabat-sahabat kami)… (Tetapi) jika sekiranya tanah perkuburan itu miliknya sendiri (maka) adalah harus dia membina apa-apa binaan dengan dihukumkan makruh dan tidak dirobohkan (binaan itu).” (Al-Majmû‘: 5/260)

Al-‘Allâmah asy-Syeikh Ibrahim al-Baijuri Rahimahullah pula berkata:

Ertinya: Maka adalah dimakruhkan (membina) binaan di atas kubur jika (binaan itu) bukan di seumpama tanah perkuburan orang awam mengebumikan mayat. Jika tidak, (jika binaan itu di seumpama tanah perkuburan orang awam) adalah haram (hukumnya) sama ada (binaan itu) di atas tanah atau di dalam tanah. (Oleh itu) adalah wajib ke atas pemerintah meroboh segala binaan-binaan yang terdapat di tanah perkuburan musabbalah bagi tujuan pengebumian mayat iaitu tanah perkuburan yang telah menjadi kebiasaan penduduk suatu negeri mengebumikan mayat, kerana ianya menyempitkan ke atas manusia (yang lain); dan (pengharaman itu) tidak ada beza di antara binaan yang berbentuk kubah atau rumah atau masjid atau selainnya yang di antaranya ialah susunan batu-batu yang biasa diketahui (tambak daripada batu atau simen yang membentengi atau yang melingkungi kubur); (kecuali) apa yang dikecualikan oleh sebahagian ulama seperti kubur para nabi, syuhadâ’, orang-orang salih dan seumpama mereka. (Hâsyiyah al-Baijuri ‘alâ Ibn Qasim: 1/381)

Al-Malibari Rahimahullah juga berkata:

Ertinya: Dan dimakruhkan membina binaan baginya iaitu bagi (di dalam) kubur atau di atas kubur tanpa sesuatu hajat keperluan seperti takut digali (oleh pencuri) atau digali oleh binatang atau runtuh kerana banjir, kerana ada hadits shahîh yang melarangnya. Dan hukum makruh membina yang sedemikian itu ialah jika tanah perkuburan itu adalah miliknya sendiri. Jika binaan di tanah perkuburan itu (dibina) tanpa hajat keperluan seperti mana yang telah lepas (disebutkan) atau binaan seumpama kubah di atas kubur itu (dibina) di tanah perkuburan musabbalah iaitu tanah perkuburan yang sudah biasa penduduk suatu negeri itu mengebumikan mayat atau di tanah perkuburan waqaf (sama ada) diketahui asalnya (kedudukan tanah itu di mana sebelumnya ianya adalah tanah persendirian kemudian orang yang memilikinya menjadikannya sebagai tanah perkuburan awam atau sebelumnya ia adalah tanah mawât kemudian dijadikan sebagai tanah perkuburan awam) dan diketahui orang yang mewaqafkannya atau pun tidak diketahui, (maka) ia adalah haram dan wajib dirobohkan, kerana binaan itu akan kekal setelah mayat hancur luluh. Binaan itu juga akan menyempitkan tanah perkuburan orang Islam dengan tiada sebarang keperluan di sisi syara‘. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/188-189)

Untuk lebih jelas, huraiannya adalah seperti berikut:

1. Jika tanah perkuburan itu adalah tanah perkuburan orang awam (musabbalah) atau tanah perkuburan waqaf, maka adalah haram didirikan sebarang binaan di atas tanahnya dan juga di dalam tanahnya, sama ada berupa atap, kubah, rumah, masjid atau lainnya seperti tambak (dibentengi atau dilingkungi dengan batu atau simen di sekeliling kubur berkenaan).

2. Jika tanah perkuburan itu adalah tanah milik khas persendirian, maka adalah makruh sahaja didirikan sebarang binaan di atas atau di dalam kubur berkenaan.

Hukum haram mendirikan sebarang binaan yang tersebut di atas adalah berdasarkan kepada hadits Jabir Radhiallahu ‘anhu katanya:

Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menegah daripada diplaster kubur dan diduduki di atasnya serta dibina binaan di atasnya. (Hadits riwayat Muslim)

Tetapi jika tanah perkuburan itu berada di kaki bukit atau di tanah curam yang ditakuti tanah-tanahnya itu runtuh, maka boleh didirikan binaan seperti sekatan tembok umpamanya bagi menghalang daripada terjadinya tanah susur atau runtuh. Perbuatan seumpama ini adalah dibolehkan bagi menjaga mashlahat tanah-tanah kubur itu.

Tujuan Larangan

Larangan atau tegahan menambak kubur ini ialah kerana ia akan menyempitkan tanah perkuburan tanpa ada sebarang mashlahat dan tujuan yang syar‘i, sedangkan orang-orang Islam yang lain juga adalah berhak menggunakan kubur berkenaan. Hal ini diperkuatkan lagi dengan perbuatan Sayyidina ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallahu ‘anhu iaitu selepas baginda melihat satu kubur yang dibina kubah di atasnya. Maka baginda merobohkannya lalu berkata: “Kamu biarkanlah mayat itu dilindungi oleh amal ibadatnya sendiri.” (Bujairimi ‘ala al-Khathib: 2/371-372).

Kedudukan Binaan-binaan Yang Terdapat Di Tanah Perkuburan Awam

Menurut Imam an-Nawawi, al-Malibari, al-Baijuri Rahimahumullah berhubung dengan binaan-binaan yang terdapat di tanah perkuburan awam, pihak pemerintah mempunyai hak untuk merobohkannya, malah wajib ke atas pemerintah untuk merobohkannya sebagaimana yang terkandung di dalam nash-nash yang telah disebutkan.

Walau bagaimanapun sebagai irsyâd, perkara ini memerlukan kepada kebijaksanaan pihak-pihak yang berkenaan dalam mengambil tindakan seperti:

1. Langkah-langkah awal untuk memberi kefahaman kepada orang ramai mengenainya hendaklah dibuat dan dijadikan keutamaan seperti pemberitahuan melalui papan-papan tanda di tanah perkuburan, pemberitahuan melalui khutbah Jumaat dan media massa akan keharaman membina sebarang binaan di tanah perkuburan awam sebelum apa-apa tindakan.

2. Mewartakan fatwa-fatwa mengenai pembinaan sebarang binaan di tanah perkuburan awam dan seterusnya mengadakan peruntukan undang-undang bagi tujuan penguatkuasaan.

3. Menguatkan dari segi pentadbiran dan pengawasan oleh pihak berwajib di semua perkuburan orang Islam di negara ini secara waktu pejabat atau apa-apa jua cara munasabah, di mana jika ini dibuat, tidak akan mungkin binaan-binaan yang berupa rumah atau tambak dan lain-lain itu akan tumbuh, padahal fatwa mengenai hukum membina bangunan atau rumah atau tambak seperti itu sudah pun lama ada - sebelum ini - dapat menolong menjadi garis pandu.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9595