Memindah Daging Aqiqah Dan Memberi Makan Daging Aqiqah Itu Kepada Orang Kaya
Soalan: 1. Bolehkah daging aqiqah dipindahkan ke tempat lain seperti seseorang itu menyembelih aqiqah di Malaysia, kemudian membuat jamuan daripada daging tersebut di Singapura?
2. Benarkah pendapat yang mengatakan bahawa aqiqah hanya boleh dibuat jamuan untuk orang yang fakir/miskin sahaja, tetapi tidak boleh diberikan kepada orang kaya? Mohon penjelasan.
Jawapan: 1. Memindahkan daging aqiqah ke tempat lain dan membuatnya untuk kenduri di tempat itu.
Kebanyakan hukum-hukum yang berkaitan dengan aqiqah adalah sama seperti hukum-hukum yang berkaitan dengan korban, kecuali di dalam beberapa perkara. Berkata Sayyid al-Bakri Rahimahullah:
Ertinya: Dan ia iaitu aqiqah adalah seperti korban iaitu di kebanyakan hukum-hukum. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/526)
Beliau menambah lagi:
Ertinya: Aqiqah itu berbeza (dengan) korban di dalam sesetengah hukum iaitu bahawa (dalam aqiqah) tidak wajib memberi (daging aqiqah) sekadar yang mempunyai nilai kepada fakir miskin dalam keadaan mentah; dan dalam perkara bahawa jika sesuatu daripadanya (daging) itu dihadiahkannya kepada orang kaya (maka) dia (orang kaya itu) memilikinya (boleh menjualnya dan memberinya kepada orang lain yang bukan fakir miskin); dan dalam perkara bahawa aqiqah itu tidak terikat dengan waktu yang mana semua sedemikian itu berbeza dengan korban. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/526)
Oleh itu, hukum dalam perkara memindah daging aqiqah, seperti menyembelih aqiqah di Malaysia dan kemudian dibuat jamuan daripada daging tersebut di Singapura adalah seperti juga halnya hukum memindah daging korban. Hukum memindahkan daging korban itu adalah seperti berikut:
i. Jika korban itu adalah korban wajib seperti korban nazar yang mana kesemua dagingnya wajib disedekahkan kepada fakir miskin dalam keadaan mentah, maka haram hukumnya memindahkan daging korban berkenaan daripada tempat sembelihan seperti disembelih di Malaysia dan dipindahkan dagingnya itu ke Singapura.
ii. Jika korban itu korban sunat, maka bahagian yang tidak boleh dipindahkan itu ialah kadar yang wajib disedekahkan kepada orang fakir miskin sahaja. (I‘ânah ath- Thâlibîn: 2/523-524)
2. Memberikan daging aqiqah kepada orang kaya.
Adalah harus membuat jamuan daging aqiqah untuk orang fakir miskin dan kaya dengan syarat mereka itu adalah orang Islam sebagaimana kata Sayyid al-Bakri Rahimahullah dalam membicarakan daging korban:
Ertinya: Dan baginya (orang yang berkorban itu) boleh memberi makan orang-orang kaya iaitu memberi sesuatu daripada daging korban kepada mereka sama ada dalam keadaan mentah ataupun sudah dimasak sebagaimana (tersebut) di dalam kitab at-Tuhfah dan an- Nihâyah; dan disyaratkan mereka itu hendaklah terdiri daripada orang-orang Islam. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/522)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9590
