Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Mengadakan Pertandingan Nasyid Dalam Masjid

Soalan: Memandangkan usaha-usaha ke arah ta‘mîr masjid yang berjalan pada masa kini termasuk mengadakan pertandingan nasyid di masjid, maka adalah elok jika hukum atau fatwa mengenainya diperjelaskan supaya tidak timbul perkara-perkara yang tidak diingini. Di atas jawapan yang segera ke arah ini sangat-sangat dihargai.

Jawapan: Masjid adalah sebuah bangunan, tempat ibadat umat Islam, terutama sebagai tempat untuk menunaikan sembahyang jemaah dan lain-lain kegiatan yang tidak bertentangan dengan syara‘.

Masjid mempunyai kehormatannya yang tersendiri sesuai dengan sifatnya sebagai tempat yang terbaik di muka bumi. Masjid mempunyai peraturan-peraturannya yang tidak boleh diabaikan umpamanya adalah haram bagi perempuan yang haidh atau nifas menetap dalam masjid.

Sebagai misalnya lagi, adalah makruh masuk ke masjid dalam keadaan mulut berbau dengan sebab makan makanan yang boleh mendatangkan bau seperti mulut berbau rokok atau yang seumpamanya.

Antara perkara-perkara yang disentuh oleh ulama fiqh mengenai peraturan-peraturan di dalam masjid ialah hukum meninggikan suara dalam masjid. Adalah makruh meninggikan suara dalam masjid begitu juga dengan bersuara mencari benda yang hilang di dalam masjid. (Al-Majmû‘: 2/200-201)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang mendengar seseorang bersuara mencari benda yang hilang di dalam masjid, maka katakanlah kepadanya: “Allah tidak akan mengembalikannya kepadamu”, (kerana) sesungguhnya masjid-masjid tidak dibina untuk (tujuan) ini. (Hadits riwayat Muslim)

Mengangkat suara di dalam masjid kerana berzikir atau membaca al-Qur’an tidaklah makruh, asalkan saja ianya tidak mengganggu orang lain yang juga sama-sama beribadat atau lebih-lebih lagi yang sedang bersembahyang.

Menurut sebahagian ulama, meninggikan suara di dalam masjid, baik kerana membaca al- Qur’an, berzikir mahupun dalam percakapan, yang boleh mengganggu orang yang sedang menunaikan sembahyang, hukumnya adalah haram. Namun, mereka berpendapat, apabila sesuatu suara terjadi misalnya oleh penceramah, yang tidak mengganggu kekhusyukan orang yang sedang sembahyang, maka hukumnya adalah harus.

Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pada suatu ketika pergi ke masjid. Didapatinya ramai orang sedang menunaikan sembahyang dan ramai pula yang membaca al-Qur’an dengan suara yang tinggi. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pun bersabda:

Maksudnya: Sesunggguhnya orang yang bersembahyang, apabila dia menunaikan sembahyang, sesungguhnya dia itu sedang bermunâjât (bercakap-cakap) dengan Tuhannya yang Maha Suci dan Maha Tinggi, maka semestinya dia mengetahui apa yang dicakapkannya itu dan janganlah pula sebahagian daripada kamu meninggikan suaranya melebihi yang lain. (Hadits riwayat Ahmad)

Imam an-Nawawi menyebutkan dalam fatwanya bahawa sekiranya ada sekumpulan orang membaca al-Qur’an di dalam masjid dengan suara yang tinggi, dan orang lain dapat mengambil manfaat daripada bacaan mereka ini, sementara yang lain ada yang merasa terganggu, maka dalam hal ini, jika kebaikan atau mashlahat daripada bacaan itu lebih banyak daripada keburukannya, maka bacaan dengan suara yang tinggi itu adalah lebih afdhal.

Pengarang kitab Bughyah al-Mustarsyidîn menghuraikan masalah ini dengan menyebutkan bahawa tidak makruh meninggikan suara kerana berzikir atau yang seumpamanya di dalam masjid, dan ini termasuklah membaca al-Qur’an, melainkan jika perbuatan itu boleh mengganggu orang yang sedang bersembahyang atau orang yang sedang tidur. Bahkan jika gangguan itu bersangatan, maka hukumnya adalah haram dan dilarang melakukannya, sebagaimana jika seseorang itu berzikir selepas dilaungkan azan, lalu orang-orang yang datang hendak menunaikan sembahyang pun ikut duduk bersama-samanya berzikir, dan perbuatan mereka itu mengganggu orang-orang yang sedang bersembahyang, maka ini adalah dilarang. Tetapi jika tidak ada gangguan, maka harus mereka lakukan, bahkan sunat hukumnya. (Bughyah al-Mustarsyidîn: 66)

Di dalam hadits ada juga disebut tentang membaca syair di dalam masjid jika syair itu mengandungi pujian kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan pujian kepada Islam. Hadits berkenaan ialah:

Maksudnya: ‘Umar bin al-Khaththab melintas di dalam masjid sedang Hassan mengucapkan sebuah syair, lalu dia (Hassan) memandangnya (‘Umar) dan berkata: “Aku pernah mengucapkan di dalamnya (masjid), dan di dalamnya (syair) menyebutkan orang yang lebih baik daripada engkau (‘Umar)”, kemudian dia berpaling kepada Abu Hurairah dan berkata: “Saya minta kepadamu dengan nama Allah, apakah kamu mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “(Wahai Hassan) jawablah daripadaku, wahai Allah kuatkanlah dia dengan roh suci (Jibril)?” (Abu Hurairah) berkata: “Ya.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadits ini disebutkan bahawa syair yang mengandungi kebenaran adalah diterima, dengan bukti bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mendoakan Hassan kerana syairnya. Jika keadaannya demikian, maka tidaklah dilarang mengucapkan syair di dalam masjid sebagaimana tiada larangan ke atas percakapan-percakapan yang lain yang boleh diterima.

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha juga ada menyebutkan:

Maksudnya: Pernah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam meletakkan mimbar di masjid untuk Hassan, maka berdirilah dia di atasnya menyindir orang-orang yang membicarakan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bahawa Roh al-Qudus (Malaikat Jibril) bersama Hassan, dia membela Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.” (Hadits riwayat Abu Daud)

Adapun larangan mengucapkan syair di dalam masjid berdasarkan hadits berikut:

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menegah daripada mengucapkan syair-syair di dalam masjid. (Hadits riwayat an-Nasa’i)

Dita’wîlkan: Sebenarnya kedua-dua hadits ini tidak bertentangan di antara satu sama lain, kerana maksud harus bersyair di dalam masjid itu adalah jika syair itu dalam memuji agama dan menegakkan syara‘. Sementara maksud dilarang bersyair di dalam masjid pula jika syair itu dalam perkara yang bâthil yang tidak layak disyairkan di dalam masjid.

Imam at-Tirmidzi berkata: “Sesungguhnya diriwayatkan daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bukan hanya satu hadits tentang keringanan (rukhshah) pada membaca syair di dalam masjid.”

Berdasarkan penjelasan mengenai hukum meninggikan suara dalam masjid, maka keharusan mengadakan pertandingan nasyid dalam masjid itu akan bergantung kepada sama ada ia mendatangkan gangguan kepada orang yang sedang bersembahyang atau orang yang sedang tidur, atau pun tidak. Maka jika pertandingan itu boleh mendatangkan gangguan kepada orang yang sedang sembahyang, tidak harus diadakan.

Para ulama membawakan dalil bagi larangan mengganggu orang yang sedang sembahyang ini dengan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan janganlah engkau nyaringkan sembahyangmu, juga janganlah engkau perlahankannya, dan gunakanlah sahaja satu cara yang sederhana antara itu. (Surah al-Isrâ’: 110)

Ulama mengatakan bahawa apa yang dimaksudkan dengan sembahyang di dalam ayat tersebut ialah doa.

Di dalam kitab-kitab fiqh juga ada menyebutkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Janganlah sebahagian kamu dengan sebahagian yang lain meninggikan suara dengan membaca al-Qur’an. (Hadits riwayat Ahmad)

Meninggikan suara ketika membaca al-Qur’an yang mendatangkan gangguan itu telah dilarang, bagaimana pula dengan baca-bacaan tasbîh yang dinyaringkan di dalam masjid?

Diriwayatkan daripada Sa‘id bin al-Musayyab bahawa dia telah bersembahyang Tahajjud di dalam sebuah masjid, lalu khalifah ‘Umar bin Abdul Aziz masuk dan dia telah menyaringkan bacaannya dengan suaranya yang lemak merdu, maka Sa‘id pun berkata kepada pengikutnya: “Pergilah engkau kepada orang yang bersembahyang itu dan katakanlah kepadanya sama ada dia merendahkan suaranya atau dia keluar dari masjid”.

Apabila pengikut itu memberitahu Sa‘id bahawa orang yang meninggikan suaranya itu adalah khalifah, maka Sa‘id pun mengambil keputusan untuk pergi sendiri kepadanya dan memohon supaya dia merendahkan suaranya. Lalu khalifah pun menerima anjuran itu dengan sepenuh hati.

Berdasarkan riwayat-riwayat dan pendapat-pendapat ulama yang dinukilkan di atas, maka saya lebih melihat supaya pertandingan nasyid itu tidaklah dibuat di dalam masjid, sekalipun liriknya mengandungi puji-pujian yang diharuskan, kerana mengambil kira memang terdapat nash sharîh yang melarang meninggikan suara di dalam masjid, walaupun sekadar mencari barang hilang di dalamnya. Lebih-lebih lagi turut diambil kira corak-corak pertandingan termasuk pertandingan-pertandingan nasyid pada masa ini adalah lebih memberatkan kepada hiburan dan bersedap-sedap dengan muzik dan gendang, atau paling kurang mengasyiki suara-suara lemak merdu yang mempesonakan, iaitu satu daripada ciri penting di dalam penghakiman nasyid. Ini, sudah tentulah tidak boleh disamakan dengan syair oleh al-Hassan.

Masjid adalah rumah Allah pada sepanjang masa: Tempat orang sembahyang, tempat orang beri‘tikâf, tempat orang membaca al-Qur’an, tempat berzikir mengingati Allah dengan berbagai-bagai caranya, tempat belajar dan mengaji dan muthâla‘ah ilmu, tempat berselawat kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, tempat berdoa, tempat membaca wirid-wirid, râtib-râtib dan hizib-hizib, yang dilakukan tanpa mengikut jadual atau dijadualkan, bahkan -yang banyak atau lazimnya - ialah secara bersendirian tanpa tentu masa-masanya.

Jika pertandingan nasyid itu diadakan, bukan sahaja masalah “suara tinggi” yang berbangkit, malahan juga dari segi ia mungkin mengambil masa yang panjang sehingga boleh sahaja satu atau dua jam atau lebih. Jika ini terjadi, di manakah kedudukan orang ramai yang mungkin sahaja mahu menggunakan masjid bagi beribadat dan melakukan perkara-perkara yang disebutkan di atas? Mereka ini inginkan ketenangan kerana sifat masjid memang tenang serta mampu memberikan ketenangan. Mereka inginkan lebih khusyû‘, kerana sifat dan keadaan masjid memang memberikan kelebihkhusyû‘an. Jadi bagaimana jika dalam masa yang sama nasyid-nasyid juga sedang berkumandang? Apakah ini tidak boleh mengganggu pengguna-pengguna masjid tersebut? (Sila lihat semula riwayat Khalifah ‘Umar bin Abdul Aziz ditegur kerana menyaringkan suaranya ketika sembahyang Tahajjud). Betapa kalau bernasyid?

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9607