Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Mengajar Murid Bukan Islam Menggunakan Tafsir Al-Qur’an

Soalan: Bagaimana caranya mengajar murid yang bukan Islam menggunakan tafsir, adakah mereka boleh memegang tafsir tersebut atau sebaliknya?

Jawapan: Menghormati Al-Qur’an Adalah Wajib Sesungguhnya al-Qur’an itu kalâmullah, ia wajib dihormati, dimuliakan dan dijaga agar tidak terdedah kepada sebarang perkara yang boleh mendatangkan kehinaan ke atasnya. Menghina al-Qur’an bukan hanya berdosa bahkan boleh menjadikan seseorang Islam itu kafir seperti seorang Islam mencampakkan al-Qur’an ke tempat yang kotor. Antara cara menghormati al-Qur’an itu ialah tidak menyentuh, memegang atau membawanya melainkan dalam keadaan suci daripada hadas yakni berwudhu. Haram menyentuh al-Qur’an tanpa wudhu berdasarkan firman Allah:

Tafsirnya: Tidak boleh menyentuhnya (al-Qur’an) kecuali orang-orang yang suci. (Surah al-Wâqi‘ah: 79) Sementara dalil daripada hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pula ialah:

Maksudnya: Tidak boleh menyentuh al-Qur’an kecuali orang yang suci. (Hadits riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi) Ketika hendak membaca al-Qur’an adalah sangat elok terlebih dahulu membersihkan mulut dan menghias diri. Al-Qur’an yang wajib disentuh dengan berwudhu itu sama ada Mushhaf yang lengkap sepenuhnya atau hanya beberapa ayat yang ditulis di atas kertas, papan, besi, kain dan sebagainya.

Beberapa Hukum Berkaitan Dengan Mushhaf Bagi Orang Yang Tidak Berwudhu

Berikut ini beberapa hukum tentang membawa, menyentuh Mushhaf ayat al-Qur’an, peti atau rehal dan seumpamanya sebagaimana perkara ini disebutkan oleh Syeikh al-Malibari dan as-Sayyid al-Bakri. Perkara ini penting dihuraikan supaya menjadi ingatan kepada orang-orang Islam tentang kepentingan menghormati al-Qur’an:

(i) Tidak haram membawa Mushhaf bersama barang lain jika tujuan sebenarnya bukan untuk membawa Mushhaf sahaja. Mengikut kitab Tuhfah, sekiranya tujuannya hanya untuk:

a. Membawa Mushhaf atau b. Membawa Mushhaf bersama barang atau c. Membawanya secara mutlak.

Maka ketiga-tiga cara ini adalah haram, dan yang tidak haram hanyalah satu cara, iaitu jika niatnya hanya membawa barang.

Ulama lain ada yang berpendapat bahawa cara yang diharamkan itu hanya satu, iaitu sekiranya niatnya membawa Mushhaf sahaja. Adapun sekiranya niatnya membawa barang bersama-sama Mushhaf atau membawa barang sahaja atau membawanya secara mutlak (tanpa ada niat membawa sama ada barang atau Mushhaf), adalah tidak haram.

(ii) Haram menyentuh kertasnya, sama ada di tepi atau di tengah, sama ada masih bersambung, sudah putus atau sudah hapus tulisannya.

(iii) Haram menyentuh sampul, sarung atau petinya, tetapi dengan syarat bahawa sampul, sarung dan petinya itu disediakan khas hanya untuk Mushhaf sahaja dan ketika itu Mushhaf memang ada di dalamnya. Jika tidak demikian, adalah halal membawanya.

Tersebut dalam kitab Tuhfah: “Zahir pendapat ulama, adalah tidak ada perbezaan di antara sampul, sarung dan peti yang memang disediakan khas untuk Mushhaf sahaja, sama ada ukurannya sama dengan Mushhaf atau tidak, dan yang memang tidak disediakan untuk Mushhaf pada kebiasaannya.”

Berkata al-Halabi dalam Hawâsyi al-Manhaj: “Adalah haram menyentuh almari yang disediakan untuk meletakkan Mushhaf, walaupun almari itu dalam ukuran yang sangat besar. Inilah pendapat al-‘Alqami dan ar-Ramli.”

Dalam kitab Tuhfah disebutkan juga bahawa yang sama kedudukannya dengan peti ini termasuklah kerusi (rehal) yang diletakkan Mushhaf di atasnya. Dalam kitab al-Bujairimi disebutkan: “Yang muktamadnya, bahawa adalah haram menyentuh semua kerusi (rehal) kecil itu, dan tidak haram menyentuh rehal besar, kecuali tempat Mushhaf.”

Adapun kulit Mushhaf adalah haram menyentuhnya sekiranya masih bersambung dengannya. Demikian pendapat Ibnu Hajar dan ar-Ramli. Pendapat lain mengatakan, sama ada bersambung dengannya atau ianya sudah terpisah, adalah tetap haram menyentuhnya tetapi dengan syarat sekiranya kulitnya itu masih tetap dibangsakan kepada Mushhaf. Pendapat lain menyebutkan lagi bahawa sekiranya kulitnya diganti dengan yang baru, maka kulit lama itu tetap juga haram disentuh dan sekiranya kertas Mushhaf hilang atau terbakar, yang tinggal hanyalah kulitnya, maka tidak haram menyentuh kulit itu.

(iv) Tidak haram membalikkan kertas dengan menggunakan benda lain seperti kayu kerana cara itu tidak dikira sebagai membawa.

(v) Guru atau penjaga, tidak mengapa membiarkan kanak-kanak mumayyiz, walaupun dia berjunub membawa dan menyentuh Mushhaf kerana keperluan mempelajarinya, seperti membawanya ke sekolah dan membawanya ke tempat guru untuk mempelajarinya. Selain Mushhaf lengkap, termasuklah seperti papan tulis dan buku tulis yang mengandungi ayat-ayat al-Qur’an.

Dibenarkan perkara ini adalah kerana ia akan membebani kanak-kanak itu supaya terus berwudhu, ini suatu perkara yang amat berat bagi mereka, kerana pada lazimnya masa mempelajari al-Qur’an itu memakan masa yang lama.

Walaupun kanak-kanak berkenaan dibenarkan menyentuh dan membawa Mushhaf, mengikut fatwa Ibnu Hajar, adalah dimaafkan bagi guru kanak-kanak yang tidak berupaya terus-menerus dalam keadaan suci (berwudhu) untuk menyentuh papan tulis yang ada padanya ayat-ayat al-Qur’an, kerana berwudhu itu mungkin susah dilakukan, akan tetapi hendaklah dia bertayammum kerana tayammum itu lebih mudah.

(vi) Haram ke atas penjaga atau guru membiarkan kanak-kanak yang belum mumayyiz memegang Mushhaf bukan kerana hajat belajar dan sebagainya, walaupun setengah ayat kerana ditakuti ianya akan tercemar. (Al-Malibari, Fath al-Mu‘în: 10, dan as-Sayyid al- Bakri: I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/65-69).

Membawa Dan Menyentuh Mushhaf Bersama Tafsirnya

Tidak haram membawa Mushhaf bersama tafsirnya, iaitu sekiranya tafsirnya lebih banyak. Sekiranya sama banyaknya, atau tafsirnya sedikit atau diragukan mana yang lebih banyak, maka tidak boleh menyentuhnya.

Yang menjadi panduan dalam ukuran banyak sedikitnya antara Mushhaf dan tafsir ialah tulisan ‘Utsmani dalam Mushhaf dan kaedah tulisan dalam tafsir. Jadi ketika membawanya yang diambil kira ialah jumlah al-Qur’an dan tafsir. Manakala dalam perkara menyentuh, yang diambil kira ialah tempat di mana dia meletakkan tangannya, jika pada lembaran itu tafsir lebih banyak, maka hukumnya boleh, tetapi jika al-Qur’an lebih banyak, maka hukumnya haram.

Kita bawakan perkara ini untuk memberi ingatan kepada orang-orang Islam tentang kepentingan al-Qur’an itu sendiri, akan tetapi perkara ini tidak kena mengena dengan orang bukan Islam, bahkan kita tidak banyak mengharapkan orang bukan Islam akan menghormati dan memuliakan al-Qur’an sebagaimana yang dikehendaki oleh syara‘, lebih-lebih lagi di antara syarat-syarat wudhu itu hendaklah dia orang Islam, yakni tidak sah wudhu orang kafir. Ini bererti jika orang bukan Islam, walaupun dia berwudhu, namun wudhunya itu tidaklah sah.

Sekarang kita hendak menumpukan pertanyaan di atas iaitu bagaimana cara mengajar murid-murid yang bukan Islam dengan menggunakan tafsir al-Qur’an. Persoalan yang perlu mendapat penjelasan di sini ialah apakah yang dimaksudkan dengan mengajar murid yang bukan Islam menggunakan tafsir? Jika tujuan mengajar itu ialah untuk mengetahui dan memahami kandungan al-Qur’an, maka murid-murid itu boleh mempelajarinya dengan memegang kitab tafsir itu tanpa menyentuh huruf-huruf al-Qur’an, dengan syarat kitab tafsir itu hendaklah lebih banyak tafsirnya daripada jumlah ayat-ayat al-Qur’an di dalamnya seperti yang dijelaskan di atas.

Jika tujuan mengajar murid bukan Islam itu semata-mata untuk pandai membaca al-Qur’an dengan menggunakan al-Qur’an dengan tafsirnya, maka perlu juga kita nilai, apakah keperluannya murid bukan Islam itu belajar membaca al-Qur’an sedang mereka tidak beriman dengannya. Lebih-lebih lagi membaca al-Qur’an itu berkait rapat hukumnya dengan thahârah terutama murid-murid perempuan yang sudah bâligh. Mengajarkan al- Qur’an kepada orang bukan Islam itu semata-mata untuk mereka pandai membaca al-Qur’an sama sahaja seperti mengajar gerak-geri sembahyang tanpa disertai dengan memberi kefahaman apa-apa tujuan sembahyang itu. Dalam Islam membaca al-Qur’an itu ibadat, yang mendapat ganjaran pahala sesiapa sahaja orang Islam yang membacanya.

Lebih menguntungkan sekiranya murid-murid bukan Islam itu diajarkan kandungan al- Qur’an yang membolehkan mereka memahami ajaran Islam terutama ayat yang berkaitan dengan aqidah Islam supaya mereka dapat membezakan mana yang hak, mana yang benar dan mana yang bâthil atau mana yang salah dalam hidup ini. Jadikan masa kanak-kanak bukan Islam yang belajar di sekolah-sekolah agama suatu kesempatan untuk menerangkan kebaikan dan keindahan Islam secara terancang dan berhikmah.

Sebagai alternatif atau pilihan lain, kanak-kanak bukan Islam bolehlah diajar membaca bahasa Arab, kerana belajar membaca bahasa Arab tidak akan berbangkit soal hukum thahârah. Bahasa Arab ialah bahasa al-Qur’an.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9615