Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Menggunakan Anjing Sebagai Pengesan Dadah

Soalan: Dengan penuh hormat sukacita dipohonkan fatwa dan nasihat mengenai penggunaan anjing sebagai pengesan dadah.

Seperti yang dimaklumi bahawa dunia sekarang ini sedang berhadapan dengan gejala dadah dan tidak terkecuali Brunei Darussalam. Pengesanan dadah telahpun dibuat dengan menggunakan berbagai cara, namun ianya kurang berkesan.

Sehubungan itu, tidakkah ada keringanan dan pengecualian menggunakan anjing terlatih untuk mencapai maksud tersebut?

Sebelum melaksanakan cadangan untuk menggunakan Anjing Pengesan Dadah Terlatih, terlebih dahulu sukacita dipohonkan fatwa dan nasihat Pehin yang berhubungkait dengan masalah di atas seperti kesan sentuhannya kepada pakaian, almari, lantai yang dilalui dan sebagainya. Apakah perlu disucikan atau disertu bahagian yang terkena anjing berkenaan?

Jawapan: Sebagaimana ketetapan syara‘ adalah harus memiliki anjing-anjing untuk dilatih bagi tujuan perburuan, pengawalan, penjagaan atau untuk mengejar penjenayah-penjenayah serta lain-lain tujuan yang seumpamanya kerana suatu hajat sama ada faedahnya kepada individu atau masyarakat. Ini bersandarkan kepada firman Allah:

Tafsirnya: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): “Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?” Bagi menjawabnya katakanlah: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik-baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan kepada kamu. Oleh itu makanlah daripada apa yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan bertaqwalah kepada Allah (dengan memelihara diri daripada memakan yang diharamkan Allah); sesungguhnya Allah Maha Cepat hitungan hisabNya.” (Surah al-Mâ’idah: 4)

Selain anjing-anjing untuk tujuan perburuan termasuk juga keharusan memiliki lain-lain binatang dan burung-burung yang dilatih untuk tujuan yang sama (perburuan atau seumpamanya).

Oleh kerana itu setiap yang memberi manfaat atau faedah yang harus seperti anjing, maka harus seseorang Islam memilikinya bagi tujuan perburuan, mengawal binatang ternakan atau menjaga tanaman sebagaimana hadits riwayat Salim daripada bapanya bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa memiliki anjing melainkan anjing untuk perburuan atau mengawal binatang (ternakan), kuranglah daripada pahalanya tiap-tiap hari dua qîrâth. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sementara hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah menyebutkan:

Maksudnya: …melainkan anjing untuk perburuan atau mengawal binatang ternakan atau menjaga tanaman. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Oleh kerana ada hajat kepada anjing dalam perkara-perkara yang disebutkan di atas, maka haruslah seseorang itu memilikinya. Demikian pendapat asy-Syirazi, seorang ulama asy- Syafi‘e dalam kitabnya al-Muhadzdzab (3/24).

Keharusan memiliki anjing kerana ada hajat seperti yang disebut oleh hadits di atas tiadalah khilâf ulama mengenainya. Bahkan ada ulama dalam mazhab Syafi‘e mengharuskan memiliki anjing kerana tujuan menjaga rumah, pintu atau gerbang.

Oleh kerana hajat itu menjadi asas atau dasar keharusan memiliki anjing maka pada masa ini salah satu cara yang lebih berkesan untuk mengesan pengedaran dadah ialah dengan menggunakan anjing yang terlatih, maka memiliki bagi tujuan pengesanan dadah itu adalah harus, lebih-lebih lagi yang memilikinya itu adalah pihak yang berkuasa (pemerintah), maka mashlahatnya adalah jelas, di samping hajat itu boleh mengambil tempat kepada darurat.

Dengan ini jelaslah bahawa adalah harus menggunakan anjing terlatih bagi tujuan pengesanan dadah.

Adapun mengenai sentuhan anjing kepada pakaian, almari, lantai dan lain-lain, jika kedua-duanya (anjing dan tempat-tempat sentuhan anjing itu) sama-sama kering, maka tidaklah perlu dibasuh, disuci atau disertu dengan air sebanyak 7 (tujuh) kali dan salah satunya dengan (air) tanah, sebagaimana dikehendaki ketika membersihkan jilatan anjing. Namun jika anjing pengesan dadah itu menjilat tempat-tempat yang dikesan itu, maka wajiblah disuci atau dibersihkan sebagaimana menyertu jilatan anjing.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9633