Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Menggunakan Perkakas Dapur Dan Mesin Pembasuh Di Apartmen Yang Telah Digunakan Oleh Orang Bukan Islam

Soalan: Saya adalah seorang pelajar yang menuntut di universiti di luar negara iaitu New Zealand. Saya tinggal di sebuah apartmen (rumah) yang mempunyai enam orang penghuni. Empat orang Melayu Islam dan dua orang bukan Islam yang kesemuanya adalah perempuan. Kami berkongsi satu dapur untuk memasak dan peralatan dapur ada disediakan seperti periuk, kuali, pinggan mangkuk, cawan, pisau, sudu dan sebagainya. Oleh sebab apartmen tersebut pernah diduduki oleh orang-orang bukan Islam maka saya percaya bahawa alat-alat memasak dan pinggan mangkuk yang disediakan telahpun digunakan untuk memasak dan menghidangkan makanan yang haram seperti babi/khinzîr. Di blok saya tinggal itu ada empat buah apartmen yang mana disediakan dua buah mesin pembasuh untuk keempat-empat apartmen di blok itu. Pertanyaan saya ialah:

1. Apakah saya perlu samak pinggan mangkuk dan alat-alat memasak yang disediakan di apartmen itu?

2. Jika sekarang ini saya menggunakan pinggan mangkuk dan alat-alat memasak yang telah disediakan di apartmen itu, apakah saya perlu samak tangan saya setelah menyamak pinggan mangkuk yang disediakan di apartmen itu?

3. Bolehkah saya menggunakan mesin pembasuh yang disediakan? Saya khuatir orang-orang bukan Islam menggunakan mesin pembasuh itu mencuci pakaian mereka yang mungkin ada najis babi/khinzîr atau binatang-binatang haram yang lain seperti anjing.

4. Jika saya mencuci pinggan mangkuk yang disediakan itu dengan sponge (span/kain), apakah saya perlu menukar span pembasuh itu setelah menyamak pinggan mangkuk di dapur itu?

5. Perlukah juga saya samak gelas-gelas, cawan-cawan, rice cooker (alat memasak nasi elektrik) dan alat-alat lain yang ada di dapur apartmen itu?

Jawapan: Pada dasarnya menyamak (membasuh dengan air bersih sebanyak tujuh kali yang salah satunya dengan air bercampur tanah) peralatan seperti periuk, pinggan mangkuk, sudu, kuali, mesin pembasuh, lantai rumah dan lain-lain yang disediakan dalam apartmen yang pernah didiami oleh orang bukan Islam tidaklah wajib, selama tidak ada bukti yang meyakinkan bahawa peralatan itu pernah terkena najis mughallazhah (khinzîr dan anjing).

Peralatan itu juga tidak wajib dibersihkan mengikut cara biasa penyucian hukum Islam selama tidak ada keyakinan ia pernah terkena najis mutawassithah (najis selain khinzîr dan anjing) atau mukhaffafah (seperti air kencing anak lelaki yang hanya minum air susu ibunya sahaja).

Walaupun pada ghâlibnya pengguna asal (orang bukan Islam) menggunakan peralatan-peralatan itu dengan bahan-bahan najis, tetapi ini sahaja tidaklah dapat dijadikan bukti atau keyakinan. Bukti dan keyakinan itu hendaklah berdasarkan penglihatan atau pengetahuan sendiri atau perkhabaran orang yang ‘âdil lagi dipercayai bahawa peralatan itu pernah terkena najis.

As-Sayyid al-‘Allâmah Abdullah bin ‘Umar bin Abu Bakar bin Yahya Rahimahullah ada menyebutkan:

Ertinya: Setiap benda (suci) yang tidak diyakini mengandungi najis, tetapi benda itu pada ghâlibnya dalam jenisnya memang mengandungi najis, seperti pakaian anak-anak kecil, kejahilan tukang-tukang sembelih binatang dan orang-orang kafir tentang perkara najis seperti memakan khinzîr, (maka) menurut pendapat yang arjah daripada dua pendapat ialah beramal dengan hukum asal iaitu (dihukumkan) suci. (Imam Ba ‘Alawi, Bughyah al-Mustarsyidîn: 15)

Walau bagaimanapun, peralatan atau barang-barang orang bukan Islam itu adalah termasuk dalam hukum yang diragukan kesuciannya. Setiap yang meragukan seeloknyalah ia dijauhi berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Hasan bin Ali Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: Tinggalkan apa-apa yang meragukanmu kepada apa-apa yang tidak meragukannmu. (Hadits riwayat at-Tirmidzi, an-Nasa’i, Ahmad dan ad-Darimi)

Meninggalkan perkara yang diragukan dan mengambil yang tidak diragukan adalah jalan paling selamat, selama mana ada jalan untuk mendapatkan yang tidak diragukan itu. Jika tidak, dalam makna, seseorang itu terpaksa memakai yang diragukan, maka hukumnya tidaklah haram.

Bertolak dari keadaan yang meragukan inilah para ulama fiqh menetapkan hukum, bahawa minum atau makan pada bejana orang yang bukan Islam yang sudah pernah digunakan oleh mereka, secara umumnya adalah makruh.

As-Sayyid al-‘Allâmah Abdullah bin ‘Umar bin Abu Bakar bin Yahya Rahimahullah ada menyebutkan lagi:

Ertinya: Ya, adalah makruh menggunakan setiap apa yang berkemungkinan besar terkena najis dan setiap benda yang kita telah yakini terkena najis sekalipun najis mughallazah (khinzîr dan anjing), kemudian benda itu berkemungkinan telah suci, sekalipun kemungkinan itu jauh. (Bughyah al-Mustarsyidîn: 15)

Dalam kitab al-Hawâsyi al-Madaniyyah disebutkan:

Ertinya: Makruh menggunakan bejana-bejana orang-orang kafir; dan (manakala) apa yang terdiri daripada asâfil (bekas air yang diperbuat daripada kulit) mereka adalah lebih-lebih lagi dan (manakala) bejana-bejana air mereka itu adalah lebih ringan. (Al-Hawâsyi al-Madaniyyah: 1/53)

Hukum yang tersebut di atas adalah bertitik tolak daripada hadits yang diriwayatkan oleh Abu Tsa‘labah al-Khusyani Radhiallahu ‘anhu katanya:

Maksudnya: Aku telah menemui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam lalu berkata: “Wahai Rasulullah! Kami berada di bumi kaum ahli kitab (dan) kami makan (menggunakan) bejana-bejana mereka, dan (berada) di bumi (tempat) perburuan di mana aku memburu (menggunakan) panahku dan dengan anjingku yang terlatih serta yang tidak terlatih; beritahulah kepadaku apa yang halal bagi kami daripada sedemikian itu?” Baginda bersabda: “Adapun apa yang engkau sebut mengenai engkau berada di bumi ahli kitab, di mana engkau makan menggunakan bejana-bejana mereka, jika engkau mendapati (bejana) selain daripada bejana-bejana mereka, maka jangan kamu makan dengannya (menggunakannya). Jika kamu tidak mendapati (selainnya), maka kamu basuhlah (terlebih dahulu) kemudian makanlah padanya. Adapun apa yang engkau sebut mengenai engkau berada di bumi tempat perburuan, maka apa yang engkau buru dengan menggunakan panahmu, sebutlah nama Allah (sebelum memanah) kemudian makanlah, dan apa yang engkau buru dengan menggunakan anjing yang terlatih, sebutlah nama Allah (sebelum melepaskannya), kemudian makanlah; dan apa yang engkau buru dengan menggunakan anjingmu yang tidak terlatih, (jika) engkau sempat menyembelihnya, maka makanlah.” (Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi, Abu Daud, Ibnu Majah, Ahmad dan ad-Darami)

Jika diketahui dengan yakin bahawa peralatan seperti periuk, pinggan, mangkuk, sudu, kuali, mesin pembasuh, lantai rumah dan lain-lain yang disediakan dalam apartmen yang pernah didiami oleh orang bukan Islam itu pernah terkena najis terutama najis mughallazhah (khinzîr dan anjing), maka peralatan tersebut hendaklah dibersihkan dengan menyamaknya.

Adapun sponge atau apa sahaja peralatan yang digunakan untuk mencuci najis mughallazhah, jika ia tidak terkena dengan ‘ain najis mughallazhah itu seperti darah, peluh, air liur anjing dan babi, kerana benda yang hendak disamak itu sudah dihukumkan sebagai najis hukmi (najis yang tidak dapat dilihat dengan mata dan tidak lagi mempunyai sifat najis itu iaitu rasa, warna dan bau seperti air kencing yang telah kering), maka peralatan itu tidak perlu disamak dan boleh digunakan semula kerana ia tidak terkena ‘ain najis. (I‘ânah ath- Thâlibîn: 1/156-157, Tarsyîh al-Mustifidin: 40)

Cara Membersihkan Najis

Perlu diingat bahawa apa pun jua jenis najis sama ada najis mukhaffafah, mutawassithah atau mughallazhah, sebelum membersihkannya sebagaimana cara yang telah ditetapkan oleh syara‘, segala ‘ain (jirim najis) dan sifat najis yang terdiri daripada rasa, warna dan bau najis itu hendaklah dihilangkan terlebih dahulu. Jika ia tidak dihilangkan terlebih dahulu, maka apa sahaja benda yang terkena dengan benda yang bernajis itu adalah dikira bernajis juga. Walau bagaimanapun, jika hilang dua daripada tiga sifat tersebut, maka ia adalah memadai, seperti hilang rasa dan bau sahaja atau rasa dan warna. Tetapi rasa, tidak boleh tidak, mesti dihilangkan, kerana jika ia masih ada rasa setelah hilang bau dan warna, maka ia tidak memadai. Selepas ‘ain dan sifat najis yang terdiri daripada rasa, warna dan bau najis itu sudah dihilangkan, barulah benda yang terkena najis itu dibersihkan sebagaimana cara yang telah ditetapkan oleh syara‘.

Cara membersihkan najis mukhaffafah ialah dengan merenjis air ke atas benda yang terkena najis itu.

Cara membersihkan najis mutawassithah ialah dengan mengalirkan atau menjirus air ke atas benda yang terkena najis itu. Tidak memadai membasuhnya dengan air yang ditakung dalam bekas yang kurang daripada dua qullah (lebih kurang 161 liter atau isi padu empat segi 60x60x60x60cm. (Mu‘jam Lughât al-Fuqahâ’: 368) seperti air yang ditakung di dalam besen atau baldi di mana benda yang terkena najis itu hanya dicelup di dalamnya sekalipun beberapa kali.

Cara membersihkan najis Mughallazhah pula ialah: Benda yang terkena najis hendaklah dibasuh atau dijirus dengan tujuh kali air di mana salah satu daripadanya dengan air yang bercampur dengan tanah.

Najis Yang Dimaafkan

Salah satu peralatan moden yang luas penggunaannya ialah microwave oven yang berfungsi sebagai alat pemanas. Ia boleh digunakan oleh orang Islam selepas orang bukan Islam itu memanaskan makanannya (yang diragukan kehalalannya atau yang jelas haram) kerana pada lazimnya mana-mana makanan yang dipanaskan dalam microwave oven tidak diletakkan secara langsung tanpa bekas, bahkan makanan itu dibalut atau ditaruh dalam bekas lain yang tahan panas. Adapun udara pemanas yang keluar untuk memanaskan makanan itu adalah dari udara panas yang suci. Namun jika sekiranya udara panas berkenaan itu mengandungi udara najis, disebabkan kesan daripada makanan yang dimasak itu najis, mengikut setengah ulama, makanan yang dipanaskan itu harus juga dimakan. Hal ini dikiaskan kepada roti yang dimasak dengan bahan najis yang kering dan habuknya terkena pada roti, namun roti itu harus dimakan.

Pengarang kitab Fath al-‘Allâm berkata:

Ertinya: Dan dimaafkan roti yang dibakar dengan (menggunakan bahan bakar) tahi kering; dengan diletakkan sekeping roti di atas tahi kering selepas menyalakan apinya, atau diuli di atas tanah lapang, maka boleh dimakan roti itu dan mencebisnya pada ketika roti itu lembut walaupun terlekat padanya sedikit debu, dan tidak wajib membasuh mulut jika dia hendak bersembahyang dan sembahyangnya tetap sah dengan menanggungnya. (Fath al-‘Allâm: 1/518)

Katanya lagi:

Ertinya: Dan jika diletakkan bejana yang mengandungi susu di atas api yang bernajis bagi memanaskan susu itu, lalu berterbangan sesuatu daripadanya ke dalam susu, (sedemikian itu) adalah dimaafkan. (Fath al-‘Allâm: 1/520)

Sekiranya makanan itu jelas bernajis atau najis, maka asapnya yang sedikit mengikut ‘urf adalah dimaafkan walaupun asapnya itu timbul daripada kesan dimasak (dipanaskan) dengan menggunakan seperti tahi kering. Adapun wapnya yang bukan daripada sebab pemanasan adalah suci.

Perkara ini dijelaskan oleh Imam as-Sayyid al-Bakri:

Ertinya: Dan dimaafkan yang sedikit menurut ‘urf asap najis, iaitu asap yang naik daripadanya dengan sebab (dibakar) dengan api, sekalipun daripada wap yang diletakkan di atas seumpama (bara) tahi kering. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/106).

Makna ‘urf oleh sesetengah ulama ialah sekiranya tidak jelas adanya kesan. (Al-Hawâsyi al- Madaniyyah: 1/32)

Katanya lagi:

Ertinya: Dan terkeluar (tidak termasuk) dengan (perkataan) asap najis ialah wapnya, iaitu wap yang naik daripadanya (asap najis) yang bukan melalui dengan (dipanaskan/dimasak) dengan api, maka wap itu adalah suci. Termasuk dalam kategori ini ialah (seperti) udara yang keluar daripada tandas atau dubur, maka ia adalah suci, maka jika sekiranya angin itu dipenuhkan dalam satu bekas lalu dibawa dalam sembahyang, maka sembahyang itu tetap sah. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/106).

Dari itu, memakai semula microwave oven selepas digunakan oleh orang bukan Islam untuk memanaskan makanan yang meragukan kehalalannya atau yang jelas haram adalah harus.

Adapun jika makanan itu diyakini bernajis dan diketahui pula terkena alat pemanas, maka alat itu hendaklah dibersihkan terlebih dahulu mengikut cara-cara membersihkan najis, dan jika tidak terkena alat pemanas, maka wap makanan yang bernajis itu, yang sedikit dan melekat pada bejana itu adalah dimaafkan. Walaupun begitu, orang Islam patutlah berhati-hati mengguna pakai microwave oven berkenaan, seperti jika hendak memanaskan makanan di dalamnya, seeloknya hendaklah dibalut atau diletakkan dalam bekas yang tertutup. Tetapi jalan yang paling selamat ialah tidak menggunakan peralatan yang diguna sama oleh orang yang bukan Islam yang terdedah kepada najis, kerana orang yang bukan Islam itu tidak mengetahui hukum-hukum najis.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9637