Minyak Wangi Yang Mengandungi Alkohol
Soalan: Apa hukum memakai minyak wangi yang mengandungi alkohol kepada pakaian ataupun badan untuk menunaikan sembahyang?
Jawapan: Dalam melakukan sembahyang kita disyaratkan supaya memastikan kebersihan tubuh badan, pakaian dan tempat sembahyang daripada najis. Kewujudan najis pada tubuh badan, pakaian dan tempat sembahyang akan menyebabkan sembahyang itu tidak sah. Untuk mengetahui sama ada minyak harum yang bercampur alkohol itu najis atau tidak adalah tertakluk kepada bagaimana pembuatannya, baik dari segi minyaknya mahupun alkoholnya. Jika ia bersumber daripada benda yang najis seperti minyak yang bersumber daripada binatang yang najis atau alkohol yang bersumber daripada arak, maka minyak harum seperti itu adalah dihukumkan mengandungi najis dan jika ia dipakai ketika di dalam sembahyang, maka sembahyang seseorang itu tidak sah.
Sekiranya minyak harum itu bukan najis seperti ia tidak bersumber daripada benda yang najis dan tidak bercampur alkohol yang bersumber daripada arak, maka minyak harum tersebut boleh dipakai.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9681
