Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Menyabung Ayam

Soalan: Mohon kiranya kaola mendapat jawapan daripada Pehin mengenai dengan perbuatan bersabung ayam. Kaola akhir-akhir ini telah banyak mendapati aktiviti-aktiviti seperti ini berleluasa bahkan melibatkan orang Islam di kalangan kawan-kawan kaola sendiri. Dengan adanya jawapan yang disandarkan daripada Pehin mengenainya, dapatlah serba sedikit membantu menyedarkan mereka ini.

Jawapan: Menyabung, bersabung atau melaga-lagakan binatang sesama binatang seperti bersabung ayam atau menyabung kerbau atau lembu adalah perbuatan menganiaya atau menyeksa binatang-binatang itu. Menganiaya atau menyeksa binatang hukumnya haram, kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat sesiapa yang menyeksa binatang.

Menyabung atau bersabung binatang itu mendedahkannya kepada bahaya, penyeksaan dan tiada belas kasihan ke atas binatang itu bahkan boleh menyebabkan kematian. Sesungguhnya sifat belas kasihan dan rahmat itu adalah antara beberapa tuntutan dalam agama Islam. Nabi sendiri diutus untuk membawa rahmat itu sebagaimana firman Allah:

Tafsirnya: Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. (Surah al-Anbiyâ’: 107)

Antara hadits-hadits yang membincangkan tentang sifat belas kasihan dan rahmat itu ialah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma:

Maksudnya: Orang-orang yang bersifat rahmat dan belas kasihan, mereka itu dirahmati oleh Tuhan ar-Rahman, maka hendaklah kamu bersifat rahmat kepada penduduk-penduduk bumi, nescaya kamu akan dirahmati oleh siapa yang berada di langit.

Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Barang siapa tidak bersifat rahmat (belas kasihan), maka tidaklah diberi rahmat kepadanya. (Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi, Abu Daud dan Ahmad)

Sesiapa yang menunjukkan belas kasihan atau bersifat rahmat, sekalipun kepada binatang bukan saja Allah bersyukur kepadanya, bahkan Allah akan mengampuni dosanya sebagaimana hal ini disebut oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam suatu peristiwa:

Maksudnya: Ketika seorang lelaki sedang berjalan, dia merasa sangat kehausan, lalu dia pun turun ke dalam telaga dan minum dari telaga itu, kemudian dia keluar, tiba-tiba dia melihat seekor anjing terjulur-julur lidahnya (sambil) menjilat tanah basah kerana kehausan. Orang itu berkata demi sesungguhnya telah sampai keadaannya seperti keadaanku, lalu dia (turun untuk) mengisi sepatunya (dengan air), dan dipegangnya dengan mulutnya, kemudian dia naik ke atas dan memberi minum anjing itu. Maka Allah Ta‘ala menerima dan memuji di atas budi dan ihsannya itu dengan mengampunkan dosa-dosanya. Lalu sahabat-sahabat yang ada di situ bertanya: “Adakah kita mendapat pahala berbuat baik kepada binatang-binatang, wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Berbuat baik kepada tiap-tiap hati yang hidup itu diberi pahala.” (Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, Ahmad dan Malik)

Sebaliknya melakukan penganiayaan dan penyeksaan terhadap binatang menyebabkan seseorang masuk neraka sebagaimana diceritakan dalam suatu peristiwa:

Maksudnya: Diseksa seorang perempuan (kerana) seekor kucing yang telah dikurungnya sehingga mati kelaparan. Dengan sebab itu masuklah perempuan itu dalam api neraka.

(Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim dan ad-Darimi)

Al-Imam Ibnu Hajar seorang ulama mazhab asy-Syafi‘e yang terkenal itu dalam kitabnya az-Zawâjir ‘an Iqtirâf al-Kabâ’ir mengkategorikan menyeksa, melaga-lagakan dan menyabungkan binatang sebagai dosa besar. Ini bererti perbuatan itu adalah haram. Al- Imam itu membawakan dalil-dalilnya, antaranya hadits-hadits di atas.

Antara bentuk-bentuk penyeksaan itu ialah memisahkan anak burung daripada ibunya sebagaimana Abdullah Ibn Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan dengan berkata:

Maksudnya: Adalah kami (kata ayahanda Abdullah) bersama-sama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam suatu perjalanan. Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berangkat kerana suatu keperluan Baginda, maka kami melihat hummarah (sejenis burung), bersamanya dua ekor anaknya, kami pun mengambil dua ekor anak burung itu, maka datanglah hummarah itu mengebas-ngebas kepaknya. Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pun datang dengan bersabda: “Siapa yang menyakiti (menyusahkan) ibu burung ini (memisahkan) daripada anak-anaknya? Kembalikan semula anak burung ini kepada ibunya.” (Hadits riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Pendeknya menyabung, bersabung atau melaga-lagakan binatang adalah haram, kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang perbuatan sedemikian. Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma meriwayatkan:

Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang melaga-lagakan antara binatang-binatang.

Termasuk dalam kategori menyeksa bintang itu ialah menanggungkan ke atasnya dengan barang-barang bebanan di luar keupayaan binatang itu. Pada Hari Kiamat nanti tuan punya binatang itu akan dikenakan qishâsh sejauh mana kezaliman yang dilakukannya terhadap binatang tunggangannya itu.

Hatta binatang-binatang yang harus dibunuh sekalipun, tidak boleh diseksa sebelum ianya dibunuh. Bahkan membunuhnya pun mestilah dengan ihsan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9670