Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المواريث

Orang Kafir Tidak Mewarisi Harta Peninggalan Orang Islam

Soalan: Dengan penoh hormat dan takzim, sukacita dimaklumkan bahawa satu permohonan mengenai harta warisan telah diterima daripada seorang perempuan muallaf yang menetap di Temburong.

Ayah dan ibu perempuan tersebut juga adalah muallaf yang mana si ayah telahpun meninggal dunia pada tahun 1976. Ketika itu anak-anak Allahyarham belum lagi memeluk agama Islam. Oleh kerana itu segala harta peninggalannya diwariskan kepada isterinya dan Baitul Mal.

Pada tahun 2002 anaknya yang perempuan (pemohon) telah memeluk Islam. Pemohon ini ingin mendapatkan penjelasan adakah dia masih mempunyai hak ke atas tanah pusaka ayahnya yang telah menjadi milik Baitul Mal tersebut.

Berdasarkan kepada penjelasan di atas sukacita dipohonkan fatwa bagi perkara-perkara berikut:

1. Adakah waris-waris yang bukan Islam, yang kemudiannya memeluk agama Islam berhak kepada harta peninggalan si mati sedangkan semasa kematiannya, waris-waris berkenaan belum lagi beragama Islam?

2. Adakah waris-waris yang bukan Islam, yang kemudiannya memeluk agama Islam berhak menuntut balik tanah waris kaum keluarga yang telah menjadi hak milik Baitul Mal sedangkan semasa kematian kaum keluarga mereka itu waris-waris berkenaan belum lagi beragama Islam?

Jawapan: Ada tiga hal yang disepakati oleh ulama fiqh yang menghalangi seseorang Islam untuk mewarisi:

1. Membunuh. 2. Berlainan agama. 3. Perhambaan.

Berdasarkan pertanyaan yang dikemukakan, maka jawapan yang hendak kita tumpukan di sini ialah perkara berlainan agama iaitu bahawa orang Islam tidak dapat mewarisi orang kafir, demikian juga sebaliknya. Perkara ini jelas berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Orang Islam tidak mewarisi orang kafir dan orang kafir tidak mewarisi orang Islam. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sebaik-baik sahaja seseorang Islam meninggal dunia maka segala hartanya menjadi milik ahli-ahli warisnya yang seagama dengannya (Islam) setelah ditolak segala perbelanjaan yang berkaitan dengan keperluan pengurusan jenazahnya, wasiat, zakat, hutang-piutang dan lain-lain jika ada. Maka di antara orang-orang yang tidak mewarisi harta si mati Muslim itu ialah orang kafir, sama ada dia anaknya yang belum masuk Islam pada masa itu, atau ahli-ahli warisnya yang lain yang berlainan agama, apatah lagi jika melihat seperti masalah yang dikemukakan iaitu jarak antara ayah yang Islam itu telah meninggal dengan anak yang baru masuk Islam sudah menjangkau masa 26 tahun berlalu.

Perkara-perkara yang menegah pewarisan ini telah disebut oleh pengarang kitab Asnâ al- Mathâlib, al-Qadhi Abu Yahya Zakaria al-Anshari asy-Syafi‘e, katanya:

Ertinya: Pertama: Perbezaan agama dan apa-apa yang dihubungkan dengannya. Maka tidaklah mewarisi orang Islam itu orang kafir atau sebaliknya, sama ada, adakah sebab pewarisan yang ditegah itu kerana kekeluargaan, pernikahan atau perhambaan, dan sama ada orang kafir itu masuk Islam sebelum atau selepas pembahagian (harta pusaka). (Asnâ al-Mathâlib: 6/35)

Oleh yang demikian permohonan seorang anak yang pada masa itu belum lagi Islam untuk memiliki atau mewarisi harta peninggalan bapanya yang Islam, adalah tidak berbangkit dan ditolak oleh syara‘, dalam makna, anak tersebut walaupun memeluk Islam kemudiannya, namun dia tetap tidak berhak ke atas tanah peninggalan bapanya yang telah lebih dahulu memeluk Islam itu. Dengan ini juga tidaklah berbangkit perkara tuntut menuntut balik tanah bahagian yang telah menjadi milik Baitul Mal itu.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9689