Pembuangan Tembuni, Uri Dan Penghapusan Organ Dan Anggota Pesakit Menurut Pandangan Islam
Soalan: Dengan hormatnya sukacita dimaklumkan kepada pihak Dato bahawa Bahagian Perkhidmatan Kejururawatan, Jabatan Perkhidmatan Perubatan sedang menyemak semula Manual Prosedur Kerja serta dasar-dasar kejururawatan yang ada pada masa ini.
Dalam hubungan ini sukacita dipohonkan pandangan daripada Jabatan Mufti Kerajaan Brunei bagi perkara seperti Berikut:
1. Tatacara pembersihan tembuni dan uri serta penyempurnaan pembuangannya dari segi pandangan Islam.
2. Tatacara penghapusan organ dan anggota badan pesakit yang dibuang atau dipotong dari segi pandangan Islam.
Pandangan dan nasihat daripada pihak Dato mengenai perkara tersebut di atas adalah sangat-sangat dihargai bagi membolehkan Jabatan ini meneliti semula peranan Perkhidmatan Kejururawatan dalam perkara ini.
Jawapan: Tatacara Pengurusan Tembuni
Dalam Kamus Dewan uri itu diertikan sebagai tembuni. Tembuni pula diertikan sebagai uri yang keluar sesudah anak damit dilahirkan, sampul tian atau kakak anak. Tian pula diertikan sebagai bahagian perut tempat anak damit berada semasa dalam kandungan.
Tembuni kecil pula diertikan sebagai uri yang bersambung dengan tali pusat (tali uri).
Maka dalam penjelasan mengenai tembuni dan uri ini kita menggunakan istilah tembuni sebagai uri yang membungkus anak damit ketika dalam kandungan dan tembuni kecil sebagai uri yang bersambung dengan tali pusat anak damit. Dalam Bahasa Arab tembuni itu disebut sebagai al-masyîmah (املشـيمة), manakala tembuni kecil disebut sebagai al-khalâsh
Menurut Qalyubi, tembuni kecil (al-khalâsh) adalah dikira sebagai sebahagian anggota anak damit kerana ia dipotong daripada anak tersebut. Adapun tembuni adalah ia tersendiri tidak dikira sebahagian daripada anggota ibu yang mengandung dan tidak juga daripada anak damit. Menurut katanya:
Ertinya: Tembuni yang dinamakan sebagai al-khalâsh (tembuni kecil) adalah seperti anggota (anak) kerana ia diputus daripada anak berkenaan. Maka ia adalah sebahagian darinya. Adapun tembuni yang di dalamnya anak (pembungkus anak) maka ia bukan sebahagian daripada ibu dan bukan juga daripada anak. (Qalyubi wa ‘Umairah: 1/505)
Menurut asy-Syeikh Muhammad asy-Syarbini al-Khathib:
Ertinya: Maka bahagian yang terpisah daripada manusia atau ikan atau belalang adalah suci, manakala selainnya (manusia, ikan dan belalang) adalah najis. Dan sama juga dengan tembuni iaitu pembungkus anak, tembuni manusia dan lainnya. Adapun anggota yang terpisah daripadanya setelah matinya maka hukumnya adalah mengikut hukum matinya dengan tiada syak. (Mughni al-Muhtâj: 1/80)
Katanya lagi:
Ertinya: Adapun sesuatu yang terpisah daripada sesuatu yang hidup atau kita ragu tentang kematiannya seperti (potongan) tangan pencuri, kuku, rambut, darah beku (‘alaqah), darah bekam dan seumpamanya maka sunat ditanam kerana memuliakan tuannya, sunat juga membungkus tangan dan seumpamanya itu dengan kain sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Mutawalli. (Mughni al-Muhtâj: 1/349)
Manakala dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj disebutkan:
Ertinya: Dan daripadanya, tembuni yang di dalamnya anak (pembungkus anak) adalah suci daripada manusia, najis daripada lainnya. (Nihâyah al-Muhtâj:1/245)
Berdasarkan daripada kenyataan di atas, dapatlah difahami bahawa tembuni dan tembuni kecil yang dipisahkan daripada anak itu adalah suci, bukan najis. Sebagai penghormatan kepada anggota manusia, maka tembuni dan tembuni kecil tersebut sunat dibungkus dengan kain atau lainnya dan ditanam jika ia dipisahkan ketika anak berkenaan hidup. Jika ia dipisahkan setelah anak berkenaan meninggal dunia, maka penyempurnaannya adalah mengikut penyempurnaan mayat anak berkenaan.
Tatacara Penghapusan Organ Yang Dipotong
Menurut Ibnu Hajar al-Haitami adalah sunat menanam (di bawah tanah) anggota yang terpisah daripada orang yang hidup dan menurut asy-Syarwani tidak harus anggota itu disembahyangkan. (Hawâsyai asy-Syarwani wa Ibn Qasim al-‘Abadi: 3/161)
Berkata asy-Syiekh Sa‘id bin Muhammad Ba ‘Asyin, pengarang kitab Busyra al-Karîm, bahawa anggota yang terpisah ketika hayat seseorang tidaklah wajib disembahyangkan apabila hendak membuangnya setelah orang berkenaan meninggal. Hanya sunat dibungkus dengan kain dan ditanam sahaja. Jika orang berkenaan belum meninggal dan anggota tersebut hendak dibuang, maka sunat ditanam sahaja tanpa perlu membungkusnya (Busyra al-Karîm: 1/409). Namun menurut al-Mutawalli sunat juga dibungkus (Mughni al-Muhtâj: 1/349).
Dengan mengambil kira pendapat-pendapat yang dijelaskan di atas, maka organ atau anggota yang diambil daripada pesakit ketika dia masih hidup bagi tujuan kajian kesihatan itu, jika hendak dibuang adalah sunat membungkusnya dengan kain dan seterusnya ditanam.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9693
