Tahallul Perempuan Yang Sedang Haidh Ketika Masih Dalam Ihram
Soalan: Jemaah perempuan kedatangan haidh sehinggalah hampir (dekat waktunya) berangkat ke lapangan terbang Jeddah untuk kembali ke tanah airnya. Bagaimanakah jemaah yang dalam ihram ini menghalalkan dirinya atau melepaskan ihram bagi membolehkannya bergaul seperti biasa dengan suaminya (bagaimanakah tahallulnya)?
Jawapan: Jemaah haji perempuan yang kedatangan haidh ketika masih di dalam ihram jika dia takut tertinggal daripada rombongannya yang mana ditakuti akan mengakibatkan kemudharatan ke atas nafaqah (perbelanjaan ketika musafir) atau ke atas dirinya sebelum lagi terputus haidh sedangkan dia belum lagi menunaikan tawaf ifâdhah (rukun), maka dia diharuskan mengikut rombongannya tanpa mengerjakan tawaf berkenaan. Apabila tiba di tempat yang mana dia tidak mungkin lagi kembali semula ke Makkah kerana ditakuti kemudharatan jika dia kembali ke Makkah, maka harus dia bertahallul dengan menyembelih binatang kemudian bergunting dengan berniat tahallul ketika melakukan kedua-dua perkara itu seperti yang dilakukan oleh orang muhshar iaitu orang yang ditahan daripada sampai ke Makkah bagi mengerjakan haji. Dengan berbuat demikian maka halallah ke atasnya semua pantang larang dalam ihram. Akan tetapi kewajipan tawaf tersebut masih lagi tertanggung ke atas dirinya sehingga dia kembali ke Makkah. Menurut pendapat yang aqrab bahawa tuntutan itu tidak berupa tuntutan yang mesti disegerakan. Jika dia hendak melakukan tawaf tersebut dia dikehendaki berihram untuk tawaf itu sahaja tanpa melakukan nusuk haji yang telah dilakukannya sebelum itu seperti tawaf dan lain-lain. Demikian pendapat asy- Syabramalissi ketika mensyarah perkataan ar-Ramli. (Lihat Fath al-‘Allâm: 4/418)
Berkata Imam an-Nawawi berhubung dengan cara bertahallul orang yang terhalang daripada menyempurnakan ibadat haji atau umrah sedangkan mereka telahpun berihram:
“Sesiapa yang hendak bertahallul (hendak keluar daripada ihram dan kerja haji) maka dia hendaklah menyembelih seekor kambing (yang memadai pada udhhiyah), di mana tempat dia ditahan itu. Saya berkata: “Hasil tahallul dengan menyembelih kambing dan niat tahallul yang berserta dengan menyembelih kambing seperti berniat dalam hati bahawa dia keluar dari ihram (mengerjakan haji) begitu juga dia bercukur itu selepas menyembelih kambing. Jika dia tidak mendapat kambing maka menurut qaul azhhar boleh digantikan dengan makanan (beras atau gandum) dengan sebanyak harga kambing itu. Jika dia tidak mampu mendapatkan harga kambing (tidak mempunyai wang sekadar harga kambing) maka dia berpuasa bagi tiap-tiap satu cupak makanan itu sehari puasa. Dan dia boleh tahallul dengan segera menurut qaul al-azhhar (dengan tiada payah menunggu berbuat puasa). Dan menurut qaul yang bukan azhhar maka tiada ganti bagi kambing itu. Maka kambing itu dituntut bila-bila masa sehingga dapat kambing dan menyembelih kambing itu).” (Al- Minhâj: 1/515)
Namun mengikut apa yang diperakukan oleh al-Urdi Ali Ba Fadhl, apabila bertahallul dengan rukhsah seperti orang muhshar (terhalang mengerjakan haji) ia bererti keluar dari hajinya. Maka orang berkenaan adalah keluar dari hajinya secara keseluruhannya. Pendapat ini juga diperakukan oleh asy-Syeikh Muhammad Shalih. (Lihat Hawâsyi asy-Syarawani wa Ibn Qasim al-‘Ubadi: 4/74-75 dan Fath al-‘Allâm: 418-419).
Menurut Ibnu Hajar dalam at-Tuhfah, bagi mengelak berkekalan kewajipan tawaf yang ditinggalkan dengan bertahallul seperti orang muhshar itu, maka jalan yang lebih selamat ialah bertaqlîd kepada pendapat yang mengatakan tertunai tawafnya dengan melakukan tawaf sebelum dia belayar, menurut an-Nihâyah dan al-Mughni dia bertaqlîd kepada pendapat Abu Hanifah dan Imam Ahmad mengikut satu riwayat yang mengatakan perempuan haidh mengerjakan tawafnya dengan membalut tempat keluar haidh (supaya tidak keluar darah haidh seperti menitis dan sebagainya) kemudian dia melakukan tawaf dan dia menyembelih badanah (unta atau lembu). Dalam hal ini dia tetap berdosa kerana masuk ke masjid dalam keadaan haidh. Walau bagaimanapun tawaf yang dilakukannya itu adalah dikira tertunai. (Lihat Hawâsyi asy-Syarawani: 4/75, Nihâyah al-Muhtâj: 3/317 dan Fath al- ‘Allâm: 419).
Maka berdasarkan pendapat-pendapat di atas, saya berpendapat seelok-elok jalan penyelesaian ialah pihak pengurusan syarikat yang mengendalikan pakej haji mesti berikhtiar menukar tarikh penerbangan orang yang terlibat supaya ibadat haji yang dikerjakan itu dapat diselesaikan dengan sempurna. Sekiranya ini tidak dapat dilakukan seperti tiada lagi penerbangan yang sempat baginya untuk ditunggu, maka carilah ubat yang boleh memberhentikan haidh itu dengan serta merta, kerana tempoh berhenti haidh itu adalah suci mengikut mazhab Syafi‘e. Sekiranya tidak diperolehi ubat, maka bolehlah pihak syarikat menyarankan kepadanya supaya dia melakukan tawaf dengan terlebih dahulu membersihkan darah yang ada kemudian membalut dengan kemas tempat keluar haidhnya supaya tidak berlaku pencemaran di tempat tawaf. Kemudian hendaklah dia menyembelih seekor unta atau lembu. Dengan demikian terlepaslah kewajipan tawaf itu daripada dirinya dan segala pantang larang dalam ihram. Namun dia tetap berdosa kerana masuk ke masjid dalam keadaan haidh.
Berhubung dengan tawaf Wada‘ pula, ia tidaklah dituntut ke atas perempuan yang kedatangan haidh atau nifas. Ini adalah berdasarkan hadits-hadits berikut:
1. Hadits yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma katanya:
Maksudnya: Manusia diperintahkan tawaf di keliling Baitullah (Ka‘bah) di akhir masa mereka berada di negeri Makkah, kecuali diberi keringanan kepada perempuan yang kedatangan haidh. (Hadits riwayat al-Bukhari)
2. Hadits yang diriwayatkan oleh Umar bin al-Khaththab, katanya:
Maksudnya: Sesiapa yang mengerjakan ibadat haji di Baitullah, maka hendaklah di akhir masa berada di negeri Makkah mengerjakan tawaf, kecuali perempuan yang kedatangan haidh dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memberi kemudahan (kelonggaran) kepada mereka itu. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9782
