Suami Meninggal Dunia Semasa Isteri Dalam ‘Iddah Raj‘i
Soalan: Seorang perempuan yang sedang dalam ‘iddah raj‘i, tiba-tiba suaminya yang telah menceraikannya meninggal dunia. Maka perempuan tersebut mesti ber‘iddah cerai mati iaitu empat bulan sepuluh hari.
Kemusykilan saya ialah: Adakah tempoh ‘iddah empat bulan sepuluh hari itu dikira daripada saat kematian suaminya atau dikira dari permulaan cerainya yang pertama (dalam talak raj‘i) iaitu ditolak dari tempoh ‘iddah raj‘inya?
Jawapan: Seorang perempuan yang ber‘iddah dengan ‘iddah talak raj‘i, apabila suaminya meninggal dunia ketika dia masih di dalam ‘iddah tersebut, maka ‘iddahnya berpindah kepada ‘iddah kematian suami. Dengan kematian suaminya itu maka terbatallah hukum ‘iddah talak raj‘i perempuan itu dan sabitlah ke atasnya ‘iddah kematian suami iaitu empat bulan sepuluh hari yang bermula dari saat kematian suaminya dan bukannya dikira atau disatukan dari permulaan ‘iddahnya yang pertama iaitu ‘iddah talak raj‘i.
Al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullah berkata:
Ertinya: Dan jika meninggal dunia (suami) perempuan yang ditalak raj‘i (maka) berpindah (‘iddahnya itu) kepada ‘iddah kematian dengan ijmâ‘ sebagaimana yang diceritakan oleh Ibnu Mundzir. Lalu terbatallah hukum-hukum (‘iddah talak) raj‘i dan gugurlah baki ‘iddah. Maka (dengan itu juga) gugurlah nafkahnya dan sabitlah hukum-hukum yang berkaitan dengan ‘iddah kematian seumpama berkabung (meninggalkan berhias kerana dukacita) dan lainnya. (Mughni al-Muhtâj: 3/396)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9774
