Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الحج والعمرة

Uzur Yang Diharuskan Berwakil Untuk Mengerjakan Wajib Haji (Melontar) Dan Upahnya

Soalan: Uzur bagaimanakah yang mengharuskan jemaah mewakilkan melontar jamrah dan adakah upah melontar ini mempunyai akad dan persetujuan antara yang berwakil (jemaah) dan orang yang diwakilkan?

Jawapan: Jemaah haji yang uzur yang tidak berupaya untuk melakukan lontaran oleh dirinya sendirinya adalah diharuskan meminta bantuan secara berwakil kepada orang lain untuk melontar jamrah bagi pihak dirinya.

Imam an-Nawawi Rahimahullah berkata:

Ertinya: Berkata Imam asy-Syafi‘e dan al-Ashhâb (ulama-ulama terdahulu dalam mazhab Syafi‘e yang terkemuka) Rahimahumullah: “Orang yang lemah melontar untuk dirinya sendiri disebabkan sakit atau ditahan dan seumpamanya (harus) berwakil kepada orang lain untuk melontar bagi dirinya sebagaimana yang telah disebutkan oleh pengarang (kitab al-Muhadzdzab - asy-Syirazi) dan sama ada penyakit itu diharap boleh hilang (sembuh) atau tidak, (sebagaimana yang telah disebutkan oleh pengarang kitab al-Muhadzdzab, asy- Syirazi) dan sama ada dia berwakil dengan upah atau tidak dan sama ada berwakil kepada lelaki atau perempuan.” (Al-Majmû‘: 8/174)

Pengarang Fath al-‘Allâm pula menjelaskan, katanya:

Ertinya: Wajib ke atas orang yang tidak berupaya melontar dengan sendirinya kerana uzur yang menggugurkan (tuntutan) qiyâm (berdiri) di dalam kefardhuan sembahyang untuk berwakil kepada seseorang untuk melontar bagi pihak dirinya, sama ada orang itu bukan di dalam ihram atau sedang berihram dan sekalipun dengan upah. (Fath al-‘Allâm: 4/365)

Berdasarkan keterangan di atas, maka orang yang lemah atau tiada daya melontar oleh dirinya sendiri disebabkan sakit, dikurung, terlalu tua atau perempuan yang sedang mengandung boleh dan sah mewakilkan orang lain melontar bagi pihaknya kesemua jamrah tersebut.

Mengenai dengan upah pula, ia perlulah terlebih dahulu mendapat persetujuan bersama supaya tidak timbul perselisihan dan ini sepatutnya telah dipersetujui semasa akad berwakil itu berlangsung.

Berwakil dengan upah atau tidak adalah sah kerana di dalam sebuah hadits diceritakan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mengutus wakil untuk mengutip zakat dan mereka telah diberi gaji (upah). Wakil berhak mengambil upah tersebut sebaik sahaja kerja perwakilannya itu selesai kerana hukum perwakilan berupah sama hukumnya dengan hukum sewaan.

Adapun perwakilan tanpa upah pula merupakan satu kebajikan, sumbangan daripada wakil. (Lihat al-fiqh al-Islâmi wa Adillatuh: 5/4058)

Sebagai suatu peringatan yang wajar diambil perhatian, akad perwakilan untuk melontar itu hendaklah dilaksanakan setelah masuk waktu melontar kerana muwakkal fîh itu hanya dimiliki oleh orang yang berwakil apabila telah masuk waktu melontar sebagaimana yang telah dibahaskan di dalam masalah perwakilan dam haji Tamattu‘ di awal-awal perbahasan ini.

Selain itu sebagaimana yang disarankan oleh Imam asy-Syafi‘e dan al-Ashhâb adalah disunatkan orang yang berwakil itu untuk menghulurkan anak-anak batu kepada wakilnya jika dia terdaya dan dia sendiri hendaklah menyebut takbîr (bertakbîr) kemudian wakil itu melakukan lontaran. Jika dia tidak menghulurkan anak-anak batu itu kepada wakilnya sedangkan dia terdaya, maka sah jua perwakilan itu dan memadai juga. (Lihat al-Majmû‘: 8/174)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9816