Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الحج والعمرة

Waktu Berwakil Penyembelihan (إراقةالدم) Dam Haji Tamattu‘

Soalan: Bolehkah akad dam haji Tamattu‘ dilakukan (dilafazkan) di Brunei Darussalam (sebelum mengerjakan umrah) sedangkan urusan pembelian dan akad pembayaran binatang untuk dam tersebut termasuk pelaksanaan penyembelihan dan pembahagian dagingnya dilakukan di tanah haram Makkah sebagaimana yang disyaratkan?

Jawapan: Wakâlah atau perwakilan itu mempunyai empat rukun, iaitu:

1. Muwakkil (orang yang berwakil). 2. Wakîl (orang yang diwakilkan). 3. Muwakkal fîh (perkara yang diwakilkan) dan 4. Shîghah (lafaz).

Apabila perwakilan itu memenuhi keempat-empat rukun di atas, maka sahlah sesuatu pekerjaan yang diwakilkan itu sama ada dalam urusan muamalat atau ibadat yang diharuskan berwakil seperti ibadat haji dan membahagi-bahagikan zakat.

Persoalan di atas adalah menyangkut rukun ketiga iaitu muwakkal fîh.

Muwakkal fîh atau sesuatu yang diwakilkan dalam persoalan ini ialah إراقة الدم iaitu perbuatan penyembelihan, bukannya pembelian atau penyediaan binatangnya. Jadi, jika hak atau kuasa membuat penyembelihan itu suatu perkara yang diwakilkan, maka hendaklah ia wujud atau dimiliki oleh orang yang berwakil itu semasa mewakilkannya. Apabila telah wujud hak (kewajipan) irâqah ad-dam waktu dia mewakilkannya kepada orang lain yang layak menerimanya menerusi lafaz tertentu, maka sahlah perwakilan irâqah ad-dam itu.

Berikut adalah huraian mengenai perkara ini.

Berkata Imam Abu Syuja‘:

Ertinya: Dan setiap perkara yang harus seseorang itu bertasharruf (melakukan atau menguruskannya) dengan dirinya sendiri, maka harus dia mewakilkannya kepada orang lain. (Hâsyiyah Syeikh Ibrahim al-Baijuri ‘alâ Syarh Ibn al-Qasim ‘alâ Matn Abi Syuja‘: 1/571-572)

Ibnu Qasim al-Ghuzza Rahimahullah ketika mensyarahkan perkataan Abu Syuja‘ di atas, beliau menerangkan:

Ertinya: Dan hendaklah (perkara yang diwakilkan itu) dimiliki oleh orang yang mewakilkan….

Dalam mensyarahkan perkataan yang terakhir di atas, Imam al-Baijuri Rahimahullah berkata:

Ertinya: Dan maksud perkataan Ibnu Qasim: Dan hendaklah perkara yang diwakilkan itu dimiliki (dalam hak) orang yang mewakilkan, ialah: Orang yang berwakil sudah memiliki (kuasa atau hak) tasharruf terhadap apa yang hendak diwakilkan ketika perwakilan itu dijalankan…. (Hâsyiyah Syeikh Ibrahim al-Baijuri ‘alâ Syarh Ibn al-Qasim ‘alâ Matn Abi Syuja‘: 1/572)

Difahamkan daripada keterangan di atas bahawa perkara yang boleh diwakilkan itu ialah yang telah dimiliki. Maksud dimiliki itu ialah dalam makna sudah boleh ditasharrufkan iaitu melakukannya kerana sudah di dalam kekuasaannya.

Adapun dalam kaitan tasharruf dengan dam haji Tamattu‘, maka jelas bahawa damnya (penyembelihan) itu hanya dapat ditasharrufkan atau dibuatnya setelah ia menjadi wajib, dan dam ini wajib dengan terdapatnya dua sebab, iaitu pertama: Setelah selesai mengerjakan umrah dan kedua: Setelah berniat ihram haji. Jadi, setelah berlaku kedua-kedua sebab itu barulah bertasharruf atau bertindak terhadap dam (penyembelihan binatang) itu. Mentasharrufkannya boleh diawalkan atau didahulukan daripada waktu yang sepatutnya (yang afdhalnya) jika salah satu daripada dua sebab itu telah wujud, seperti telah selesai daripada umrah, maka dia sudah boleh menyembelihnya. Waktu yang afdhal menyembelihnya ialah pada hari Nahr (Idul Adha) sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam an-Nawawi:

Ertinya: Dan waktu yang paling afdhal menyembelihnya ialah pada hari Nahr (Idul Adha). (Minhâj ath-Thâlibîn: 1/502)

Dengan itu, akan sah dan boleh mewakilkan penyembelihan dam haji Tamattu‘ itu ialah setelah jemaah haji memiliki (kuasa) tasharruf mengenainya.

Inilah analisis daripada keterangan Imam Ibnu Hajar Rahimahullah:

Ertinya: Maka waktu harus melakukan penyembelihan itu ialah dari masa wajibnya iaitu dengan wujudnya/adanya sebab (untuk melakukannya). Harus juga mendahulukan/mengawalkan beberapa perbuatan penyembelihan (sebagai dam) jika ada salah satu daripada sebabnya seperti dam Tamattu‘. Adapun dam Tamattu‘ itu diwajibkan kerana dua sebab, pertama kerana telah selesai umrah dan kedua setelah selesai ihram haji. Maka harus irâqah ad-dam (menyembelih binatang) iaitu setelah selesai mengerjakan umrah. (Hâsyiyah Ibn Hajar ‘ala al-Îdhâh: 172)

Keterangan tambahan:

1. Perkara yang diwakilkan ialah perbuatan menyembelih, bukan penyediaan binatangnya.

2. Mewakilkan haji merangkumi beberapa perkara di dalam manâsik (amalan-amalan ibadat) haji, seperti berwakil untuk melontar dan sembahyang sunat tawaf.

Melontar dan sembahyang sunat tawaf sah diwakilkan ialah apabila telah boleh ditasharrufkan (dilakukan) oleh yang berwakil, yakni sah berwakil melontar setelah tiba masa wajib melontar, dan sah berwakil sembahyang sunat tawaf setelah selesai mengerjakan tawaf. (Hâsyiyah Matn Abu Syuja‘: 1/402 dan Irsyâd az-Zumar: 104)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9834