Cara Membersihkan Bekas Pasar Khinzîr (Babi)
Soalan: Dipohonkan ulasan dan pandangan Pehin Mufti tentang tatacara penggunaan semula bangunan bekas pasar menjual daging segar khinzîr yang telah dibina pada tahun 1977, bagi kegunaan seperti bengkel kereta dan kegiatan-kegiatan seumpamanya.
Jawapan: Adalah harus menggunakan bekas bangunan pasar khinzîr bagi tujuan seperti pejabat, bengkel atau seumpamanya. Akan tetapi memandangkan tempat berkenaan adalah bekas pasar khinzîr, sudah setentunya tempat berkenaan telah dicemari oleh najis yang dinamakan najis mughallazhah. Ia perlu dibersihkan dengan cara-cara yang tertentu sebagaimana yang akan diterangkan.
Najis mughallazhah itu ialah khinzîr (babi) dan anjing atau yang berasal daripada keturunan keduanya, termasuklah air liur, peluh, air susu, air kencing atau darah daripada kedua-dua binatang tersebut.
Menurut ulama fiqh, najis adalah terbahagi kepada tiga jenis iaitu najis mughallazhah, mutawassithah dan mukhaffafah. Ketiga-tiga jenis najis itu boleh dibahagikan pula kepada dua bahagian:
Pertama: Najis ‘ainiyyah iaitu najis yang boleh dicapai dengan pancaindera sama ada sifatnya, rasanya, warnanya atau baunya.
Kedua: Najis hukmiyyah iaitu najis yang tidak dapat dicapai dengan pancaindera sama ada bendanya mahupun sifatnya seperti air kencing yang sudah kering yang tidak dapat dilihat warnanya, tidak dapat dirasa dan tidak dapat dicium baunya.
Setiap yang kena najis mughallazhah tidak dapat disucikan melainkan dibasuh dengan air bersih, iaitu salah satu basuhan itu mestilah dengan air yang bercampur tanah yang suci, sama ada najis mughallazhah itu najis ‘ainiyyah mahupun hukmiyyah, sekalipun pada bekas gigitan anjing perburuan.
Dalam hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu beliau berkata: “Telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Bersihkan bekas air seorang daripada kamu apabila ia dijilat oleh anjing, hendaklah dengan membasuhnya tujuh kali, salah satunya dengan tanah. (Hadits riwayat Muslim)
Dalam hadits yang diriwayatkan oleh Abu Daud menyebutkan:
Maksudnya: Ketujuhnya ialah dengan tanah. (Hadits riwayat Abu Daud)
Mengikut zahir hadits pertama, basuhan dengan air yang bercampur tanah dilakukan pada basuhan pertama, manakala hadits kedua menyebutkan pada basuhan yang ketujuh.
Akan tetapi para ulama fiqh menyebutkan bahawa basuhan yang dicampur dengan tanah itu tidak ditentukan pada basuhan yang ke berapa. Bahkan dibolehkan sama ada pada basuhan pertama, pada basuhan yang terakhir atau pada salah satu basuhan, sebagaimana dalam riwayat lain oleh ad-Daraquthni yang berbunyi:
Maksudnya: Salah satunya dengan tanah. (Hadits riwayat ad-Daraquthni)
Walaupun hadits di atas menerangkan bahawa yang dibasuh tujuh kali itu ialah jilatan anjing, tetapi para ulama fiqh mengqiyâskan khinzîr kepada anjing. Ini kerana keadaan khinzîr lebih buruk atau lebih jelek daripada anjing.
Kadar tanah yang wajib dicampurkan kepada air itu ialah sekira-kira dapat mengeruhkan air dan dengan perantaraan air itu ia boleh sampai ke semua bahagian yang bernajis.
Seandainya najis yang dicuci itu hanya hilang sesudah dibasuh berulangkali, maka ianya akan dianggap satu basuhan. Oleh itu hendaklah ditambah lagi enam kali basuhan dan salah satu daripadanya dengan air yang bercampur dengan tanah. (Fath al-‘Allâm: 1/483).
Untuk jelasnya, cara mencuci bekas pasar khinzîr itu ialah dengan membasuh tujuh kali dengan air muthlaq iaitu setelah menghilangkan ‘ain atau zat dan kesan najis seperti bau atau warnanya (najis). Salah satu daripada basuhan yang tujuh itu ialah air yang telah bercampur dengan tanah.
Dengan melakukan basuhan seperti di atas, tempat berkenaan (bekas pasar khinzîr itu) sudah menjadi suci daripada najis mughallazhah dan bolehlah digunakan oleh pengguna Islam tanpa was-was sama ada untuk dijadikan pejabat, pasar, bengkel dan sebagainya.
Sebagai irsyâd jua, untuk memastikan kerja-kerja pembasuhan atau pembersihan itu menurut kehendak hukum syara‘, bolehlah pihak berkenaan memohon bantuan daripada guru agama atau sesiapa yang dapat menunjukkan cara membersihkannya kerana ada kemungkinan bukan hanya bekas bangunan pasar khinzîr itu sahaja yang hendak dibersihkan, bahkan kemungkinan melibatkan tempat-tempat yang berhampiran dengannya seperti parit, tandas dan lain-lain.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10217
