Bolehkah Seseorang Dijamin Masuk Syurga?
Soalan: Dipohonkan pandangan dan fatwa Pehin Mufti berhubung dakwaan seorang bomoh yang mengetahui bahawa seseorang itu boleh dijamin masuk syurga atau neraka.
Jawapan: Dakwaan bomoh mengetahui seseorang akan dimasukkan ke syurga atau dimasukkan ke neraka adalah berkaitan dengan perkara aqidah, tegasnya perkara ghaib.
Syurga dan neraka serta sifat-sifatnya telahpun diceritakan dalam al-Qur’an dan hadits-hadits Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Ciri-ciri penghuni syurga itu juga ada diceritakan. Antaranya disebutkan dalam firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan orang-orang yang beriman serta beramal salih, merekalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya. (Surah al-Baqarah: 82)
Tafsirnya: Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya), serta dia menahan dirinya daripada menurut hawa nafsu, maka sesungguhnya syurgalah tempat kediamannya. (Surah an-Nâzi‘ât: 40-41)
Manakala penghuni neraka pula disebutkan dalam firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Sesungguhnya orang-orang munâfiq itu ditempatkan pada tingkat paling bawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sesiapa pun yang boleh menolong mereka. (Surah an-Nisâ’: 145)
Mengenai dakwaan seseorang bahawa dia mengetahui siapa yang akan dimasukkan ke syurga ataupun ke neraka adalah semua itu dusta belaka, sebab tiada siapa yang tahu perkara ghaib melainkan hanya Allah semata-mata. Berdustalah orang yang mendakwa itu, berdasarkan firman Allah ini:
Tafsirnya: Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dialah sahaja; dan Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daunpun melainkan Dia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfûzh) yang terang nyata. (Surah al-An‘âm: 59)
Tafsirnya: Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapa pun melainkan kepada mana-mana rasul yang diredhaiNya (untuk mengetahui sebahagian daripada perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Dia mengadakan di hadapan dan di belakang rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan). (Surah al-Jinn: 26-27)
Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa kunci perbendaharaan segala yang ghaib itu hanya ada pada Allah Ta‘ala sahaja. Tidak ada makhluk yang mengetahuinya kecuali daripada kalangan rasul yang dikehendakiNya. Itupun cuma sebahagian sahaja, atau dengan kata lain, sedikit sahaja daripada yang berkaitan dengan tugasnya. Termasuklah perkara-perkara ghaib itu ialah lima anak kuncinya yang disebutkan oleh hadits:
Maksudnya: Kunci-kunci perkara ghaib ada lima, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Allah; (iaitu:) Tidak ada sesiapa pun yang dapat mengetahui kandungan rahim yang kurang sempurna kecuali Allah. Tidak ada sesiapa pun yang dapat mengetahui apa yang terjadi esok kecuali Allah. Tidak ada sesiapa pun yang dapat mengetahui bila akan turun hujan kecuali Allah. Tidak ada sesiapa pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati kecuali Allah. Dan tidak ada sesiapa pun yang dapat mengetahui bila akan terjadi Hari Kiamat kecuali Allah. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri, sebagai orang paling hampir dengan Allah Ta‘ala dan paling dikasihi, juga tidak mengetahui perkara-perkara ghaib melainkan sebahagian sahaja yang berkaitan dengan tugasnya. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Katakanlah wahai Muhammad: “Aku tidak mengatakan kepada kamu bahawa perbendaharaan Allah ada di sisiku, dan aku juga tidak mengetahui perkara-perkara yang ghaib, aku juga tidak mengatakan kepada kamu bahawa aku ini malaikat; aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku.” (Surah al-An‘âm: 50)
Tafsirnya: Katakanlah: “Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudharat, kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan sebanyak-banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan tentulah aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah pesuruh Allah yang memberi amaran dan membawa berita gembira bagi orang yang beriman.” (Surah al-A‘râf: 188)
Bergantung Kepada Rahmat Allah Setelah Beramal Sesungguhnya tiada seorang pun dapat menjamin seseorang lain untuk masuk syurga, sekalipun dia itu orang yang beramal salih, melainkan semuanya adalah bergantung kepada kemurahan dan rahmat Allah jua.
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tidak sekali-kali akan dimasukkan seseorang itu ke syurga oleh amalannya.” Para sahabat berkata: “Tidak juga engkau wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Tidak! Tidak juga aku, melainkan Allah meliputiku denganُُ anugerah dan rahmatNya.” (Hadits riwayat al-Bukhari )
Walau bagaimanapun, kita jangan pula lupa dengan janji Allah, bahawa Dia akan membalas orang-orang yang beriman dan beramal salih itu dengan syurgaNya. Sesungguhnya Allah – sama sekali – tidak akan memungkiri janji.
Perkara ini dicontohkan oleh Nabi kita Shallallahu ‘alaihi wasallam, di mana Baginda itu amatlah rajin melakukan amal salih, terutama ibadat sembahyang, sehingga kedua tumit Baginda bengkak kerana terlampau banyak sembahyang malam. Demikian juga para sahabat Baginda.
Namun mustahak diingat, walaupun di antara mereka itu ada yang telah digembirakan dengan syurga (dijamin masuk syurga), mereka tetap terus beramal, rajin dan istiqâmah dengan amal salih itu. Inilah tandanya hamba yang bersyukur, bukan yang ‘ujub (yang bermegah-megah) dengan amalannya. Inilah hamba yang benar-benar menyedari akan rahmat Allah, bahawa ia (rahmat Allah itu) tidaklah tertandingi walau sebanyak manapun amalan hamba.
Allah berfirman:
Tafsirnya: Dan kalaulah tiada kerana kemurahan Allah dan rahmatNya kepada kamu, tiada seorang pun di antara kamu yang bersih buat selama-lamanya, akan tetapi Allah mensucikan orang-orang yang disukaiNya, dan Tuhan itu Maha Mendengar dan Maha Tahu. (Surah an-Nûr: 21) Cuba kita hayati cerita ini: Bahawa seorang hamba Allah telah beribadat kepada Allah Ta‘ala selama 500 tahun. Pada Hari Kiamat, Allah berkata kepadanya: “Wahai hambaKu! Masuklah syurga dengan rahmatKu!” Jawab hamba itu: “Bahkan, ya Tuhan! Masukkanlah aku ke dalam syurga kerana amalanku.” Maka Allah Subhanahu wa Ta‘ala pun memerintahkan supaya ditimbang segala amalan hamba itu dengan satu ni‘mat saja; iaitu ni‘mat melihat. Ternyata berat timbangan ni‘mat melihat itu tidak menyamai seluruh berat amal ibadatnya, sedang di atas hamba itu masih ada banyak lagi ni‘mat-ni‘mat lain yang masih belum ditimbang, maka Allah pun memerintahkan supaya dia dimasukkan ke dalam neraka.
Ketika itu, barulah dia sedar, lalu merayu: “Ya Tuhanku! Masukkanlah aku ke dalam syurga dengan rahmatMu!” Lalu Allah pun memerintahkan supaya dia dimasukkan ke dalam syurga. Allah yang bersifat Maha Besar dan Maha Tinggi memuji hamba itu serta berterima kasih kepadanya.
Dengan ini jelas bahawa yang perlu ada itu ialah dua perkara: Yang pertama, memperbaiki amalan dan yang kedua, bergantung kepada Allah dan menyingkirkan selainNya.
Sesungguhnya masuk syurga atau neraka itu adalah urusan Allah jua, namun sebagai seorang mu’min, sebagai seorang Islam, kita disuruh sentiasa menaruh harapan supaya dimasukkan ke dalam syurga dan dijauhkan dari api neraka. Bahkan menaruh sangka baik kepada Allah itu adalah ajaran dan pimpinan Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Tanda kita bersangka baik dengan Allah ialah banyak-banyak berdoa memohonkan rahmatNya, sebagaimana ini juga dilakukan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri:
Maksudnya: Wahai Tuhanku, ampunan Engkau sesungguhnya lebih luas daripada dosa-dosaku, dan rahmat Engkau lebih kuharapkan daripada amalku sendiri. (Hadits riwayat al-Hakim)
Di dalam doa Baginda itu menunjukkan amalan tidak menjadi penentu, melainkan rahmat Allah jualah yang menjadi penentu itu.
Oleh itu, dakwaan seseorang dia boleh menentukan atau menjamin seseorang yang lain masuk syurga atau neraka, dengan alasan apa pun jua, seperti berdasarkan amalan-amalan orang berkenaan, adalah dakwaan seumpama itu tidak boleh didengar dan dipakai. Ia adalah terang sesat dan bâthil berdasarkan dalil-dalil al-Qur’an dan hadits yang menegaskan bahawa perkara-perkara ghaib adalah milik Allah semata-mata, tiada siapa pun yang dapat turut mencampurinya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10208
